Adab Dan Cara Pemakanan Rasulullah Yang Boleh Diteladani | Pergas Blog

newest article

adab-dan-cara-pemakanan-rasulullah
Follow by Email
Facebook
Twitter

Adab Dan Cara Pemakanan Rasulullah Yang Boleh Diteladani

06 May 2019 6:59 am // Written by Muhammad Husin bin Masnin;

Allah s.w.t. telah mengurniakan rezeki yang pelbagai kepada makhluknya termasuklah rezeki makan dan minum yang merupakan rutin seharian manusia. Islam tidak mengabaikan umatnya tanpa panduan, apatah lagi yang merupakan perkara seharian yang dilakukan. Justeru contoh tauladan pemakanan dan adab-adabnya boleh dilihat menerusi keperibadian insan yang mulia iaitu Rasululullah s.a.w.

Dalam ruangan yang terhad, penulisan ini tidak akan menyentuh perkara yang sudah diketahui umum seperti menyebut basmalah, mencuci tangan sebelum makan dan menggunakan tangan kanan, sebaliknya perkara yang akan disentuh lebih kepada perkara yang kurang diberi perhatian umum. Penulisan ini juga banyak mengambil manfaat dari buku Kenali Rasul Kita Muhammad S.A.W yang merupakan terjemahan serta huraian oleh Ahmad Adnan Fadzil dari kitab As-Syamail Al-Muhammadiyyah karya Imam at-Tirmizi. Disarankan untuk merujuk kepada buku tersebut untuk mendapatkan keterangan yang lebih lanjut.

Antara adab dan cara pemakanan Rasulullah s.a.w.:

1. Tidak duduk ittika’. Diriwayatkan dari Abi Juhaifah r.a. beliau menceritakan: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Adapun aku, maka aku tidak akan makan dengan duduk ittika’ (bersila atau bersandar)”. [HR Bukhari]

Terdapat tiga tafsiran ulama mengenai duduk ittika’ semasa makan:

a) Duduk dengan punggung tetap dan selesa di atas lantai, lapik atau alas seperti duduk bersila dan sebagainya, iaitu duduk orang yang ingin makan dengan banyak.

b) Duduk dengan bersandar dan berehat di atas rusuk kanan atau kiri.

c) Duduk dengan bersandar di atas satu tangan dan makan dengan tangan yang satu lagi.

Imam an-Nawawi berkata: “Hadith di atas memberi makna, aku tidak akan duduk (ketika makan) sebagaimana duduknya orang yang ingin menikmati makanan dengan banyak dan sebab itu ia duduk dengan tetap. Akan tetapi aku duduk sebagaimana duduknya orang yang tergesa-gesa (untuk bangun) dan aku makan sedikit sahaja.”

2. Duduk secara Iq’a (bertinggung). Diriwayatkan daripada Anas r.a. Ia berkata: “Aku melihat Nabi s.a.w. duduk secara iq’a sambil makan buah tamar.” [HR Muslim]. 

Menurut ulama, duduk iq’a ialah duduk di atas pangkal paha dalam keadaan ingin segera bangun, bukan dengan duduk menetap di atas lantai (bersila, mengiring atau sebagainya). Ia merangkumi duduk berikut:

a) Duduk di atas dua punggung dengan menegakkan dua betis.

b) Duduk dengan meletakkan punggung ke atas dua tumit dan dua betis serta dua paha dipanjangkan di atas tanah.

c) Duduk dengan menongkat di atas dua lutut dan belakang kedua-dua kaki.

d) Duduk dengan menegakkan tapak kaki kanan dan punggung diletakkan di atas hamparan kaki kiri.

3. Bacaan ketika terlupa membaca bismillah. Diriwayatkan daripada Aisyah r.ha. beliau menceritakan Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila seorang daripada kamu makan dan ia terlupa menyebut nama Allah Taala ke atas makanannya, maka ucapkanlah Bismillahi Awwalahu wa Akhirahu (Dengan nama Allah untuk permulaan makan dan pengakhirannya).” [HR at-Tirmizi]

4. Makan dengan tiga jari. Diriwayatkan daripada Ka’ab bin Malik r.a. beliau menceritakan: “Rasulullah s.a.w. makan dengan tiga jarinya dan Baginda menjilatnya (selepas makan).” [HR Muslim]

Imam an-Nawawi berkata, berdasarkan hadith ini digalakkan makan dengan menggunakan tiga jari sahaja dan tidak menambah jari keempat atau kelima kecuali ketika tidak dapat dielakkan seperti memakan makanan yang tidak boleh dimakan melainkan dengan menggunakan lebih daripada tiga jari.

5. Mengambil makanan yang paling dekat. Diriwayatkan daripada Umar bin Abi Salamah r.a. bahawa beliau masuk menemui Rasulullah s.a.w. dan di hadapan Baginda ada makanan. Baginda pun berkata: “Hampirlah wahai anakku. Bacalah Bismillah, makanlah dengan tangan kananmu dan makan terlebih dahulu makananan yang paling hampir denganmu.” [HR Bukhari]

Sebahagian ulama mengkhususkan adab tersebut hanya untuk hidangan yang sejenis sahaja. Maka tidak perlu untuk menjulurkan tangan mengambil hidangan yang sama tetapi jauh. Adapun jika terdapat pelbagai jenis hidangan, maka tidak mengapa kerana ada keperluan untuk berbuat demikian.

6. Minum dengan tiga nafas (tegukan). Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a. beliau menceritakan: Bahawasanya Nabi s.a.w. bernafas pada (di luar) bekas minuman sebanyak tiga kali apabila Baginda minum. Baginda berkata: “Ia lebih mudah tercerna dan lebih menghilangkan dahaga.” [HR Muslim] 

Hadith ini menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w. tidak menghabiskan minumannya dengan hanya satu tegukan sahaja, bahkan dengan tiga tegukan dan diselangi setiapnya dengan bernafas di luar gelas (bukan di dalam gelas).

7. Tidak mensia-siakan makanan yang terjatuh. Diriwayatkan daripada Jabir r.a. dia menceritakan: aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya syaitan itu datang kepada setiap orang dari kalian dalam segala kesibukannya, sampai syaitan pun datang pada saat seseorang makan. Kerana itu, apabila suapan seseorang di antara kalian jatuh, maka hendaklah dia membuang kotoran yang melekat pada makan itu, kemudian memakannya, dan jangan sampai meninggalkannya untuk syaitan. Apabila telah selesai makan, hendaklah dia menjilati jari-jarinya. Kerana dia tidak tahu di dalam makanan yang mana terdapat berkat.” [HR Muslim]

8. Menjilat jari selepas makan. Diriwayatkan daripada Anas r.a. beliau berkata: “Nabi s.a.w. apabila makan suatu makanan Baginda akan menjilat tiga jarinya (yang digunakan semasa makan).” [HR Muslim]

Selain daripada amalan tersebut menyuruh kita agar tidak mensia-siakan rezeki yang sedikit di celah-celah jari, ia juga mempunyai barakah sepertimana yang diriwayatkan daripada Jabir r.a. beliau menceritakan: Nabi s.a.w. menyuruh menjilat jari-jari dan talam atau pinggan (selepas makan) dan Baginda bersabda: “Sesungguhnya kamu tidak mengetahui bahagian makanan yang mana terdapatnya barakah.” [HR Muslim].

Kita boleh pelajari dari cara pemakanan Rasulullah s.a.w. dari hadith-hadithnya bahawa Baginda bersikap sederhana dan tidak berlebihan dalam menikmati jamuan. Selain dari itu, sifat syukur terhadap rezeki yang diperolehi serta menjauhi dari pembaziran dan mendambakan keberkatan menggambarkan betapa indahnya sifat Rasulullah s.a.w. yang boleh diteladani. Wallahu a’lam…

KEHIDUPAN MUSLIM HEALTH AKHLAK SUNNAH


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

related articles