Seorang lelaki datang kepada Rasulullah s.a.w. dan bertanya, “Apakah itu agama?” Baginda s.a.w. menjawab, “Akhlak yang mulia”.
Dalam hadis lain, Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”
Nabi Muhammad s.a.w. memperkenalkan agama yang telah disempurnakan oleh Allah s.w.t. dengan contoh tauladan dari akhlak mulia Baginda s.a.w. sendiri. Baginda Nabi Muhammad s.a.w. bukan sahaja berucap dalam hadis-hadisnya tentang kepentingan berakhlak mulia bahkan mempamerkan sikap yang indah, selayaknya dijadikan panduan oleh umat manusia yang bersaksi atas keesaan Tuhan dan kerasulan Baginda s.a.w.
Dari itu, jika kita mengaku sebagai seorang yang beragama dan ingin diiktiraf sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w., perlulah kita fahami inti agama yang sedang kita anuti, diterapkan dalam keperibadian kita dan menjadikannya sebagai pegangan hidup kita di muka bumi.
Keperibadian Mulia Rasulullah s.a.w.
Inti agama adalah akhlak yang mulia dan Nabi Muhammad s.a.w. adalah peribadi yang termulia sehingga dipuji oleh Allah s.w.t. dengan firman-Nya ((Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) benar-benar berbudi pekerti yang tinggi)) Surah Al Qalam : 4
Sayyidina Aisyah r.a. pernah meriwayatkan ketika ditanya tentang diri Baginda s.a.w. dan beliau menjawab, “Akhlaknya adalah Al Quran”. Ungkapan ini menunjukkan betapa sempurnanya akhlak Baginda Nabi Muhammad s.a.w. Seorang sahabat Baginda s.a.w. pernah mensifatkannya dengan berkata, “Rasulullah s.a.w. adalah sebaik-baik manusia, pada rupa dan juga sikap.” Baginda s.a.w berperibadi yang lembut, bersantun, rendah hati, murah hati, dermawan, sangat mudah memaafkan dan sentiasa bersabar dalam apa jua situasi. Sifat dan sikap mulia Baginda Nabi Muhammad s.a.w. merupakan akhlak yang dididik langsung oleh Allah s.w.t.
Sayidina Ibnu Abbas berkata, “Nabi s.a.w. adalah orang yang paling murah hati. Kemurahan hati beliau paling menonjol pada bulan Ramadan”. Sayidina Jabir juga menceritakan, “Tidak pernah Baginda s.a.w. diminta sesuatu (oleh orang lain) lalu menjawab, tidak.”
Rasulullah s.a.w Adalah Yang Terbaik Terhadap Ahli Keluarga
Rasulullah s.a.w. tidak pernah berlaku kasar kepada siapapun, apatah lagi terhadap ahli keluarganya. Baginda s.a.w. memperlakukan dengan penuh kebaikan dan penghormatan terhadap para isterinya dan juga anak-cucunya. Baginda s.a.w. membantu para isterinya dengan meringankan tugasan rumahtangga. Sayyidah Aisyah menceritakan, “Baginda s.a.w. biasa memperbaiki terompahnya, menjahit bajunya, melaksanakan pekerjaan dengan tangannya sendiri, seperti yang dilakukan salah seorang di antara kamu di dalam rumah. Baginda s.a.w. mencuci pakaiannya, memerah air susu dombanya, dan membereskan urusannya sendiri.”
Rasulullah s.a.w. juga bersikap lembut dan menzahirkan rasa cinta kepada anak-cucunya. Setiap kali Sayyidah Fatimah datang ke rumah Baginda Nabi Muhammad s.a.w. dan jika mendapati ayahnya sedang duduk, Baginda s.a.w. akan langsung berdiri, mencium kening anaknya dan membawanya ke tempat duduknya. Pernah suatu ketika, seorang laki-laki yang bernama Alqamah melihat Baginda Nabi Muhammad s.a.w. sedang memeluk dan mencium cucu-cucunya yang masih kecil, kemudian Alqamah pun berkata, “Aku mempunyai sepuluh orang anak dan tidak seorang pun dari mereka aku ciumi”. Baginda s.a.w. pun berkata kepadanya, “Barangsiapa tidak mengasihani, tidak akan dikasihani (oleh Allah s.w.t.)”
Sungguh benar bahawa Rasulullah adalah yang terbaik terhadap keluarganya dan jika kita benar-benar mengikuti ajaran Baginda s.a.w. nescaya kita juga akan bersikap baik, lembut, sabar dan mengasihani ahli keluarga kita. Sayyidah Aisyah meriwayatkan, Rasulullah s.a.w. telah bersabda, “Sebaik-baik kamu adalah orang yang paling baik terhadap keluarganya. Dan aku adalah yang paling baik terhadap keluargaku”
Orang Yang Paling Dekat Dan Dicintai Oleh Rasulullah s.a.w.
Di hari akhirat kelak, antara orang-orang yang beruntung kerana mendapatkan kemuliaan berada dekat dengan Baginda Nabi Muhammad s.a.w. dan dicintainya bukanlah dari golongan yang rupawan ataupun dari golongan yang berpangkat dan berharta ketika di dunia bahkan bukan juga dari golongan yang kuat beribadah semata-mata. Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesungguhnya yang paling aku cintai di antara kamu dan yang paling dekat kedudukannya denganku pada hari kiamat adalah yang paling baik akhlaknya.” Tidak ada salahnya untuk menjadi seorang yang kaya harta ataupun berpangkat ketika di dunia namun perlu diingat bahawa kemuliaan yang didapati di dunia hanya akan menjadi sia-sia jika ianya tidak terpandu dengan akhlak dan keperibadian mulia.
Kepada yang tidak dipandang mulia ataupun dicela manusia ketika hidup, tidak perlu khuatir kerana pandangan mulia yang paling berharga dan menguntungkan adalah pandangan mulia daripada Allah s.w.t. dan cara mendapatkan kemuliaan itu adalah dengan menjaga sikap, menahan lidah serta amarah, berakhlak baik dan juga menebarkan kebaikan terhadap siapapun ketika di dunia. Rasulullah s.a.w. bersabda, “Tidak ada sesuatu pun yang lebih berat dalam timbangan seorang mukmin di hari kiamat melainkan akhlak yang baik, dan sesungguhnya Allah sangat membenci orang yang suka berbicara keji dan kotor.”
Di hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya Allah Maha Pemurah menyukai kedermawanan dan akhlak yang mulia serta membenci akhlak yang rendah dan hina.”
Jika kita mengaku diri sebagai seorang yang beriman kepada Allah s.w.t. dan Rasul-Nya, perlulah kita memahami agama dengan sebaiknya dan cuba sedaya upaya untuk meneliti ajaran Baginda s.a.w. yang sejati, kerana seseorang itu tidak layak mengaku dirinya sebagai seorang yang beriman ketika dirinya berlaku kasar, menyakiti, berkata kotor dan bersikap jauh dari ajaran Baginda Nabi Muhammad s.a.w.
Rasulullah s.a.w. bersabda, “Orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya.”
Agama kita adalah sebuah manifestasi segala kebaikan, akhlak dan keperibadian mulia yang telahpun dicontohkan oleh peribadi yang termulia, Baginda Nabi Muhammad s.a.w. sejak dari 1400 tahun yang lalu. Dari itu, agama yang kita anuti ini keseluruhannya adalah akhlak mulia yang dapat menuntun kita kepada keperibadian mulia.
Comments:
surejaya commented on Akhlak Mulia Rasulullah s.a.w.: Minta share tuan, Boleh jugak rujuk di https://hadis.my