Al-Wala' (Taat-Setia) Kepada Pemerintah Dalam Konteks Minoriti Muslim Singapura | Pergas Blog

newest article

2-header

Al-Wala’ (Taat-Setia) Kepada Pemerintah Dalam Konteks Minoriti Muslim Singapura

01 February 2020 9:00 am // Written by Muhammad Haniff Hassan, Dr.;

 

Artikel ini berasal dari kertas kerja yang ini dibentangkan di Seminar Antarabangsa Wasatiyyah 2017 “Fiqh Wala’ Dan Taat: Peranannya Dalam Mensejahterakan Negara”, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, 2 – 4 Mei 2017, Institut Wasatiyyah Malaysia, Jabatan Perdana Menteri. Diterbitkan dengan sedikit suntingan dan ubah suai.

Pengenalan

Konsep Al-Wala’ Wa Al-Bara’ (WB, Ketaatan dan Berlepas diri) adalah konsep yang popular di kalangan para aktivis dakwah dan gerakan Islam. Ia datang bersama dengan arus kebangkitan Islam yang bermula di rantau ini pada tahun 1970an dan amat mempengaruhi pemikiran gerakan Islam baik yang bersifat sosial atau politik.

Konsep ini boleh dianggap sebagai teras pemikiran gerakan Islam yang muncul sebagai natijah dari arus kebangkitan ini. Hal ini bukan unik bagi kebangkitan Islam dan gerakan Islam di rantau ini. Ia juga merupakan sifat utama gerakan Islam di merata dunia seperti Al-Ikhwan Al-Muslimun, Hizb Al-Tahrir dan Salafiyah.

Satu sifat utama dari WB yang popular difahami oleh aktivis dakwah dan didakwahkan oleh gerakan Islam dan dakwah kepada anak-anak muda dan masyarakat umum ialah ia merupakan teras akidah dan usul dalam agama yang apabila ditolak atau tidak dianuti akan menjejas kemurnian akidah seseorang, bahkan boleh menyebabkan terkeluar dari agama.

Artikel ini berusaha untuk membetulkan tanggapan sedemikian terhadap WB, iaitu ia bukan persoalan teras akidah dan usul dalam agama. Sebaliknya, ia adalah konsep yang diolah berdasarkan ijtihad dan tafsiran yang bukan mutlak kebenarannya hingga tidak boleh disemak semula atau dikritik atau wujud perbezaan pendapat mengenainya.

Statusnya sebagai konsep ijtihadi membolehkan ia disemak semula atau disesuaikan bagi konteks Muslim minoriti yang berhadapan dengan dilema antara konsep asal WB dan realiti kehidupan mereka yang membabitkan isu-isu seperti menetap di negara bukan Islam di bawah pemerintahan bukan Muslim, melantik bukan Muslim sebagai pemimpin dan mentaati pemerintah bukan Muslim.

Gambaran umum WB dan kemunculannya

WB adalah satu konsep yang bertujuan untuk memelihara kemurniaan akidah. Konsep ini membicarakan tentang kepada siapa sepatutnya seorang Muslim memberikan wala’ (ketaatan, kesetiaan dan kasih sayang) penuh dan kepada siapa pula wala’ tidak boleh diberi yang diistilahkan pula dengan bara’.

Ia mempunyai tiga elemen utama bagi wala’ yang wajib dipegang oleh semua Muslim:

1. Kewajipan untuk wala’kepada Allah semata-mata dan bukan Tuhan yang lain. Natijah dari wala’ ini ialah wajib mentaati dan tunduk hanya kepada syariah Allah sahaja dan kewajipan berlepas diri (bara’) dari segala undang-undang ciptaan manusia yang menyalahi dengan syariah Allah.

2. Kewajipan untuk wala’kepada Rasulullah s.a.w dan tunduk dan patuh pada Sunnahnya yang sahih dan kewajipan berlepas diri (bara’) dari apa jua undang-undang atau aturan hidup yang menyalahi Sunnah beliau.

3. Kewajipan untuk wala’kepada semua Muslim, khususnya penguasa Muslim yang diangkat secara sah dan kewajipan untuk berlepas diri (bara’) dari mentaati atau tunduk pada penguasa dan pemerintahan bukan berdasarkan Islam.

Konsep wala’ ini diolah secara gandingan bersepadu dengan konsep bara’. Gandingan tidak terpisah ini bermaksud wala’ hanya sempurna jika ada bara’. Pada dasarnya, konsep ini menggagaskan wala’ sebagai cinta (sikap positif) dan bara’ pula sebagai benci (sikap negatif).

Walau pun pada asasnya WB adalah isu akidah, tapi secara praktikalnya ia juga membabitkan soal kehidupan sosial Muslim kerana WB turut mengupas bagaimana seorang Muslim harus bermuamalah dengan bukan Muslim dan institusi-institusi mereka.[1]

Dalam konteks artikel ini, fokus perbicaraan ialah berkaitan hukum memberi ketaatan kepada penguasa bukan Muslim atau sistem pemerintahan bukan Islam atau melantik bukan Muslim sebagai pemimpin negara yang akan memerintah rakyat Muslim dan menjalankan pemerintahan yang bukan berdasarkan Islam yang mana ia jatuh dalam elemen ketiga dari WB seperti yang dinyatakan di atas.

Pengaruh WB dan kritikan terhadapnya

Penulisan awal yang mengolah WB sebagai satu konsep dapat disandarkan pada buku karangan Al-Qahtani yang bertajuk Al-Wala’ Wa Al-Bara’ Fi Al-Islam yang diterbitkan pada tahun 1982.[2]

Setelah itu, muncul pelbagai karya yang mengupas konsep yang sama. Namun, satu lagi karya yang menyumbang pada kemasyhuran konsep WB di kalangan aktivis gerakan Islam ialah buku Al-Islam oleh Sa`id Hawwa yang diterbitkan pada tahun 1988.[3]

Perlu dinyatakan pula, perkara-perkara yang dibicarakan dalam konsep WB adalah perkara-perkara yang telah dibicarakan oleh para ulama sejak zaman Islam dan boleh ditemui dalam karya-karya mereka. Namun, perkara-perkara itu wujud sebagai isu-isu yang terpisah dan bertebaran dalam pelbagai bab dan topik berasingan. Pengolahan sebagai satu konsep WB yang bersepadu muncul hanya pada dekad-dekad terakhir abad ke 20 dan pengaruhnya boleh dijejak pada karya Sheikh Muhammad bin Abdul Wahhab yang jalurnya pula membawa pada pengaruh Sheikh Muhammad bin Taimiyah.

Realiti yang dinyatakan di atas sama seperti perbahasan berkaitan Tasawwur Islam. Ia tidak wujud sebagai satu perbahasan yang tersendiri dan bersepadu seperti Fiqh, Tauhid, Tasawuf, Usul Fiqh di zaman silam. Ia hanya muncul dan berkembang bersama dengan arus kebangkitan Islam dan menjadi popular dan tersebar luar pada tahun 1980an, walau pun perkara-perkara dalam Tasawwur Islam ada dibicarakan oleh ulama-ulama silam dalam bab-bab yang berlainan.

Di pondok-pondok tradisional, Tasawwur Islam jarang sekali diajarkan sebagai satu mata pelajaran yang dipelajari oleh para pelajarnya. Ia diajarkan di sekolah-sekolah agama moden dan sebagai modul akademik di institusi pengajian tinggi.

Walau bagaimana pun, ini tidak bermakna konsep WB sesuatu yang tiada asas dalam Al-Quran dan hadis. Hakikatnya, wala’ dan bara’ dan perkataan-perkataan yang diambil darinya wujud dalam Al-Quran. Hanya perbahasan ayat-ayat yang terdapat padanya perkataan wala’ dan bara’ sebagai dalam satu tema secara bersepadu adalah sesuatu yang baru. Ia pula berkait rapat dengan tanggapan para penulisan dan pemikir Islam terhadap realiti yang mereka hadapi di zaman mereka.

Dari segi pengaruh WB, ia boleh dilihat dari segi penyebarannya yang meluas. Ia meresap dalam pembelajaran Tasawwur Islam yang dipelajari oleh anak-anak Muslim di peringkat sekolah menengah di sesetengah negara Islam. Kini, banyak dari perkara-perkara yang dibahaskan dalam WB dianggap sebagai fahaman Islam arus utama, bukan lagi satu fahaman yang asing. Buku-buku yang membahaskan mengenai WB atau perkara-perkara di bawahnya boleh

didapati dengan banyak di kedai-kedai buku. Topik-topik di bawah WB boleh dibicarakan di akhbar-akhbar bacaan orang ramai dan disampaikan sebagai tajuk ceramah dan kuliah-kuliah umum di masjid-masjid dan surau-surau.

Tidak salah juga dikatakan, WB adalah isi utama pemikiran kebanyakan gerakan Islam utama di negara-negara Islam hari ini.

Pastinya, penyebaran dan penerimaan meluas konsep WB mempunyai pengaruh positif dan negatif. Bukan tujuan untuk menyimpulkan bahawa WB mempunyai kesan negatif semata-mata atau kesan negatifnya lebih besar dari positif, artikel ini membicarakan kesan negatif WB seperti yang dicontohkan di bawah hanyalah

sebagai satu pendekatan berfokus untuk perbincangan dan bagi memberi latar belakang bagi keperluan ia disemak semula atau dikontekstualkan sesuai dengan realiti golongan minoriti Muslim yang boleh berhadapan dengan dilema untuk mengamalkan Islam setelah terdedah pada konsep WB. Antara kesan negatif WB ialah:

  • berlaku takfir sesama Muslim kerana perbezaan kefahaman dalam isu-isu di bawah WB
  • menjadi hujah bagi pemberontakan bersenjata ke atas penguasa negara Islam
  • dijadikan alasan bagi menghalalkan pertumpahan darah Muslim
  • menatijahkan eksklusivisme sosial i.e. meminggirkan diri dari masyarakat bukan Muslim
  • menatijahkan sikap angkuh (holier than you) terhadap mereka yang berfahaman berbeza.[4]

 

Masalah utama

Telah dinyatakan sebelum ini, konsep WB bukan sesuatu yang tidak bersandar pada nas syar`ii. Pada dasarnya pula, pengolahan konsep ini bukan tidak berpandu pada metodologi muktabar dalam membicarakan isu-isu Islam. Banyak dari rumusan-rumusan ini pula boleh diakui sebagai sesuatu yang boleh diterima dalam ruang lingkup dan keluasan kepelbagaian fahaman agama yang sememangnya dibenarkan oleh Islam.

Tambahan pula tidak semua mereka yang menerima konsep WB memanifestasikan dalam bentuk yang negatif. Ramai yang mampu berlapang dada dengan kefahaman yang lain dan menghormati hak orang lain untuk berfahaman yang berbeza. Oleh itu, penulis berpendapat fokus utama permasalahan bukan terletak pada inti pati dan huraian konsep WB, selama mana seseorang itu masih mampu mengamalkan adab-adab berikhtilaf dengan mereka yang berbeza.

Pada pengamatan penulis, masalah utama terletak pada sikap absolutist dalam berpegang pada konsep WB. Sikap absolutist ialah tanggapan bahawa apa yang diyakini merupakan satu kebenaran mutlak sesuai dengan apa yang dimaksudkan oleh Tuhan (al-haq al-mutlaq al-ilahi) yang tidak boleh ditolak atau dikritik dan tidak juga boleh ada fahaman alternatif. Hal ini dikerangkakan sebagai “perkara usul dalam agama” yang mana apa jua perbezaan dianggap menyalahi prinsip utama akidah dan sebagai garis pemisah antara seorang kekal sebagai Muslim atau telah murtad. Disebabkan ia adalah usul agama, tiada kompromi yang boleh dibuat dalam perkara-perkara di bawah WB kerana kompromi boleh membatalkan dua kalimah syahadah, atau paling kurang menyebabkan seseorang itu jatuh dalam kefasikan yang serius.

Selain itu, tanggapan bahawa WB adalah soal usul agama menatijahkan juga:

  • mengqat’iiapa yang tidak qat’ii dalam agama
  • menjadikan prinsip/usul apa yang bukan prinsip/usul dalam agama
  • penafian keharusan berbeza pendapat
  • keengganan untuk menghormati pendapat orang lain yang berbeza
  • menutup pintu kritikan dan penilaian semula atas alasan ancaman akidah
  • menganggap sendiri saja benar kerana tidak boleh ada khilafiyah
  • berpegang dengan “kebenaran itu hanya satu, tidak boleh pelbagai” dalam isu WB
  • generalisasi yang salah, seperti semua kafir anti-Islam dan tidak boleh melantik semua orang kafir sebagai pemimpin
  • berfikir secara binary, seperti either you are with us or against us, kalau saya betul, awak mesti salah, hanya halal atau haram, hak atau batil, sah atau batal, sunnah atau bid`ah.

Konsep WB hanyalah satu tafsiran, bukan ketentuan Tuhan, boleh dilihat dari contoh-contoh berikut.

Pertama, ialah berkaitan pengertian perkataan wala’ dan bara’. Dari segi bahasa ia mempunyai pelbagai makna. Cinta, setia, taat, teman dan pemimpin yang banyak dikaitkan dengan wala’ hanyalah beberapa kemungkinan sahaja.

Tiada dalil qat’ii yang dapat dijadikan sandaran bagi menentukan satu makna yang pasti bagi perkataan wala’ dan bara’. Hakikat ini jelas boleh diperhatikan dalam perbahasan mengenai erti perkataan “mawla” yang mempunyai akar kata yang sama dengan perkataan wala’ oleh ulama Sunni apabila berhujah dengan ulama Shi`ah berkaitan hadith, “Sesiapa yang menjadikan aku sebagai mawla (pemimpin), Ali adalah juga mawla (pemimpin) baginya.Ya Allah, sokonglah mereka yang menyokong Ali dan musuhilah mereka yang memusuhi Ali.” (Riwayat Ahmad)

Ulama Sunni berhujah bahawa hadis ini bukan dalil tentang khilafah Ali setelah kewafatan Nabi s.a.w kerana perkataan mawla bukan semestinya bermaksud pemimpin atau ketua. Mereka kemudian menunjukkan kepelbagaian makna dari akar kata wilayah.

Kedua, ialah pengertian wala’ pada Allah, Rasul s.a.w dan orang-orang beriman. Adakah semuanya sama makna dan status? Kajian teliti menunjukkan ketiga-tiga wala’ ini mempunyai makna dan konsep yang berbeza. Wala’ pada Allah mutlak. Oleh itu, wajib mempunyai bara’ yang mutlak dari yang lain sebagai Tuhan. Manakala wala’ pada Nabi s.a.w tidak mutlak dan tidak pula perlu bara’ mutlak dari Nabi-nabi yang lain. Oleh itu, adakah wala’ pada orang beriman menuntut bara’ yang mutlak juga dari bukan Muslim?

Ketiga, perbicaraan mengenai ayat, “..barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang Allah telah turunkan, mereka itu adalah orang-orang kafir” (Al-Maidah, 44) yang merupakan perbahasan penting berkaitan hakimiyah Allah, satu sub-topik penting dalam konsep WB. Terdapat beberapa noktah yang terbuka pada pelbagai tafsiran dalam ayat ini yang boleh mencabar tafsiran versi WB sebagai kebenaran ilahi yang mutlak, iaitu:

  • maksud sebenar “berhukum”, samada kuasa politik (imarah) atau kuasa kehakiman (qadha’)
  • maksud sebenar kufr, samada kufr yang mengeluarkan dari agama atau kufrkecil (kufr duna kufr)
  • kaitannya dengan dua ayat lain, “..barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang Allah telah turunkan, mereka itu adalah orang-orang zalim” (Al-Maidah, 45) dan “..barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang Allah telah turunkan, mereka itu adalah orang-orang fasiq” (Al-Maidah, 47), iaitu bilakah perkara sedemikian menatijahkan seorang menjadi zalim, fasiq atau kafir. Namun yang jelas, perbuatan itu tidak terus menyebabkan kufr yang mengeluarkan dari agama.

Isu-isu lain yang terdapat juga ruang bagi kepelbagaian tafsiran dan perlu dinilai semula dalam konsep WB ialah:

  • pendekatan dialektik, atau pendekatan lain; mestikah wala’ berserta dengan bara’?
  • sikap negatif kepada semua kafir atau kepada kafir harbi sahaja
  • fokus kufr(nilai) atau kafir (individu), fisq (nilai) atau fasiq (individu)
  • adakah wala’ mutlak kepada Muslim walau jahat macam mana sekali pun?
  • adakah bara’ mutlak kepada kafir walau pun baik sekali pun?
  • adakah WB satu darjat?
  • kaitan WB dan konsep inklusif dan integrasi bagi masyarakat majmuk
  • aplikasi WB dalam konteks Muslim minoriti

 

WB dan minoriti Muslim

Konsep WB boleh menimbulkan masalah bagi minoriti Muslim di dalam negara berpenduduk majoriti bukan Muslim. Salah satu isunya ialah berkaitan kepimpinan politik bukan Muslim ke atas Muslim. Golongan minoriti Muslim yang terdedah pada konsep WB berhadapan dengan dilema berkaitan hubungan mereka dengan pemerintahan bukan Muslim dan negara yang bukan berdasarkan sistem Islam;

  • bagaimana menjaga hak minoriti Muslim sebagai warga negara?
  • partisipatif atau pinggirkan diri?
  • amalkan fiqh `azimahatau darurah?
  • apakah hukum `azimahdalam konteks minoriti Muslim?
  • hijrah atau kekal dalam negara bukan Muslim sebagai minoriti dengan segala keterbatasan yang ada?

Salah satu pendekatan bagi atasi dilema ini ialah pendekatan kontekstualisasi, iaitu fahaman konsep WB yang sedia ada perlu disesuaikan dengan konteks di mana Muslim itu berada. Hal ini dicapai dengan menyemak semula isi WB atau membuat tafsiran baru yang lebih sesuai dengan konteks tanpa melanggar mana-mana nas syara’ dan metodologi yang muktabar.

Hal ini akan lebih mudah dicapai dengan fahaman dan penerimaan bahawa konsep WB sememangnya adalah satu tafsiran yang terbuka pada kepelbagaian pendapat dan tafsiran semula hingga dapat memberi keanjalan bagi Muslim untuk merangka konsep kehidupan sebagai minoriti Muslim atau dalam pelbagai konteks yang berbeza-beza.

Sekaligus, penerimaan bahawa konsep WB sebagai satu ijtihad dan bukan qat`ii akan membantu meminimakan kesan negatif dari sikap absolutist yang menjadi punca pada pelbagai masalah pelampauan.

Kesemua ini dilakukan secara sedar di bawah panduan tafsiran dan ijtihad yang muktabar dalam keilmuan Islam sebagaimana yang telah ditunjuk dan dibangunkan oleh para ulama dari zaman berzaman, tanpa tergelincir ke daerah kontroversi aliran Islam Liberal.

Di Singapura, hakikat ini telah disedari oleh para ulama sejak awal kurun ke 21. Pada tahun 2003, Persatuan Ulama dan Guru Agama Singapura (Pergas), satu-satunya badan yang mewakili golongan agamawan, menganjurkan Konvensyen Ulama untuk membincangkan isu-isu kontemporari berkaitan kehidupan masyarakat Muslim selaku minoriti di Singapura yang berlatarbelakangkan ancaman Al-Qaeda dan Jemaah Islamiyah, dan kini Da`esh (IS) pula,  yang mempromosikan fahaman WB yang tegar.

Konvensyen ini telah menatijahkan banyak rumusan penting yang kemudiannya diterbitkan dalam buku Kesederhanaan Dalam Islam Dalam Konteks Masyarakat Muslim Singapura, pada tahun 2004.[5] Buku ini memberi perspektif berbeza dari konsep WB yang popular bagi Muslim di Singapura yang membabitkan isu-isu:

  • Dasar hubungan antara Muslim dan bukan Muslim

Buku Pergas menetapkan bahawa dasar hubungan adalah aman dan damai, bukan perang; dan boleh mempunyai perasaan positif, tidak mesti membenci bukan Muslim.[6]

  • Pandangan mengenai nasionalisme

Buku Pergas berpendapat nasionalisme tidak salah selama mana tidak menzalimi golongan lain.[7]

  • Pandangan mengenai demokrasi

Buku Pergas berpendapat demokrasi sesuai dengan Islam.[8]

  • Sikap terhadap sekularisme

Buku Pergas berpendapat tidak mesti memusuhi sekularisme jika ia bukan bersifat anti agama.[9]

  • Pandangan mengenai, “..barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang Allah telah turunkan, mereka itu adalah orang-orang kafir” (Al-Maidah, 44)

Buku Pergas berpendapat menerima pemerintahan bukan Islam tidak salah dan tidak mesti menjurus pada kufr.[10]

Semangat yang sama pula diikuti oleh Majlis Ugama Islam Singapura melalui projek Identiti Muslim Singapura yang mengemukakan 10 sifat bagi Muslim Singapura yang dirakam dalam buku yang bertajuk Risalah Masyarakat Islam Cemerlang Singapura.[11]

Taat pada penguasa bukan Muslim bagi minoriti Muslim

Terdapat kesepakatan besar di kalangan ulama Singapura, baik yang berada di bawah Pergas atau Muis, bahawa melantik bukan Muslim sebagai pemimpin dalam konteks minoriti Muslim di Singapura adalah dibenarkan agama, dan tidak menyalahi akidah Islam asal sahaja pemimpin bukan Muslim itu memenuhi sifat berlaku adil dalam pemerintahan, tidak menunjukkan sikap anti agama atau Islam dan selama mana polisi-polisi umumnya tidak bercanggah dengan syariah. Dengan erti kata lain, selama mana pemimpin bukan Muslim berkenaan mempunyai syarat-syarat umum yang sama dikenakan ke atas mana-mana pemimpin Muslim.

Pendapat ini dibina atas hujah-hujah berikut:

  • Tidak semua bukan Muslim sama, iaitu mesti bersikap memusuhi Islam dan jahat. Hal ini didasarkan pada Al-Quran itu sendiri yang mempunyai sikap yang tidak menjadikan semua bukan Muslim sebagia sama seperti dalam Al Imran, ayat 113.
  • Hal ini dapat disokong oleh banyak contoh-contoh sejarah seperti Abu Talib, Najasyi dan raja Mesir yang melantik Nabi Yusuf a.s. sebagai menteri kewangannya.
  • Selain itu, keadilan Islam menuntut bagi setiap satu dari golongan ini diberi hukum yang sesuai, bukan meletakkan mereka dalam satu hukum yang sama.
  • Islam meletakkan dasar hubungan antara Muslim dan bukan Muslim ialah perdamaian, bukan permusuhan atau perang. Permusuhan dan perang itu bukan ditujukan kerana perbezaan agama, tapi kerana sikap permusuhan, tidak kira samada dari Muslim atau bukan Muslim.
  • Maka wala’yang dilarang ialah kepada bukan Muslim yang memusuhi (kafir harbi), bukan pada semua bukan Muslim.
  • Ayat yang berlaku dalam hubungan Muslim dan bukan Muslim ialah Al-Mumtahanah, ayat 8-9 yang membezakan hubungan antara bukan Muslim yang memusuhi dan tidak memusuhi.
  • Hal ini disokong pula oleh contoh-contoh sejarah;
    – perintah berhijrah ke Habsyah yang diperintah oleh raja bukan Muslim
    – para sahabat tidak dipanggil pulang hanya setelah tahun keenam hijrah
    – walau Najasyi memeluk Islam, negaranya tetap bukan Muslim dan Nabi s.a.w tidak mencela dia atau sahabat-sahabatnya di sana
    – Nabi s.a.w pernah meminta perlindungan dari ketua-ketua Arab yang bukan Muslim
    – Nabi Yusuf s.a.w pernah berkhidmat di bawah penguasa bukan Muslim di Mesir.[12]

 

Contoh kes

Tafsiran yang dinyatakan di atas – larangan wala’ bukan ditujukan kepada semua bukan Muslim, tapi hanya kepada bukan Muslim yang memusuhi sahaja – dapat dilihat dalam satu insiden doa setelah khutbah Jumaat pada Mac 2017.

Insiden ini merujuk pada seorang imam dan khatib warganegara India yang

bertugas di sebuah masjid bagi jemaah Muslim India yang mengakhiri khutbah Jumaatnya dengan doa, “fansurna `ala al-qawm al-kafirinfansurna `ala yahudiyyinfansurna `ala al-nasraniyyin”. Doa berkenaan telah divideokan oleh seorang ahli jemaah yang hadir dan diviralkan di sosial media dengan dakwaan ia satu perbuatan yang tidak wajar dalam konteks Singapura kerana menghasut kebencian sesama pemeluk agama dan akan menjejas keharmonian antara kaum. Satu laporan polis juga telah dibuat ke atas imam itu.

Kejadian ini telah menimbulkan reaksi kemarahan dari para pemimpin politik Singapura yang terdiri dari menteri-menteri kabinet dan anggota-anggota parlimen Melayu dan bukan Melayu serta para pemimpin masyarakat dari kalangan Muslim. Ramai pemimpin masyarakat dari kalangan Melayu dan Muslim merasa terkejut dan menyatakan ketidaksetujuan mereka terhadap perbuatan imam berkenaan.

Akibat dari reaksi negatif kuat dari pelbagai pihak, imam berkenaan telah memohon maaf atas kesilapannya itu. Beliau dikenakan tuduhan atas menyebabkan kebencian antara pemeluk agama, mengaku salah atas tuduhan berkenaan dan dihukum denda sebanyak SGD4000. Permit kerjanya dibatalkan dan diarahkan pulang ke India.[13]

Berkaitan dari insiden ini, Pergas dan MUIS telah mengeluarkan pernyataan bagi menjelaskan makna sebenar dari doa “fansurna `ala al-qawm al-kafirin” yang terdapat dalam Al-Baqarah, ayat 286. Kededua badan ini menyatakan ayat berkenaan bukan ditujukan kepada semua bukan Muslim tapi kepada bukan Muslim yang memusuhi Islam sahaja sesuai dengan konteks penurunan ayat itu, iaitu merujuk kepada Quraisy Mekah yang memerangi umat Islam. Tafsiran ini disokong pula oleh Al-Mumtahanah, ayat 8-9.[14]

Penutup

Artikel ini merumuskan bahawa, secara umumnya, melantik bukan Muslim sebagai ketua pemerintahan adalah dibenarkan bagi masyarakat Muslim Singapura selama mana individu berkenaan diketahui sebagai seorang yang adil, kompeten dan tidak diketahui sebagai seorang yang memusuhi Islam. Berikutan dari itu juga, mentaati individu bukan Muslim sebagai penguasa yang dilantik secara sah mengikut undang-undang dan prinsip demokrasi bukan sesuatu yang menyalahi agama atau akidah Islam selama mana polisi-polisinya juga tidak menyalahi prinsip-prinsip umum Islam.

Walau bagaimana pun, ini tidak bermakna masyarakat Muslim tidak boleh berbeza pendapat atau mengkritik pemimpin yang telah dilantik kerana telah

diakui dalam apa jua pemerintahan yang demokratik, perbezaan pendapat dan kritikan bukan bermakna tidak taat atau tidak setia. Hal ini adalah kerana seorang pemerintah yang baik sekali pun boleh tersilap dan memerlukan teguran dan nasihat yang berbeza dengan pendiriannya.


Rujukan:

[1]Lihat Muhammad Sa`id Al-Qahtani (1413H), Al-Wala’ Wa Al-Bara’ Fi Al-Islam, Makkah: Dar Tayyibah, di https://archive.org/stream/wwbfi#page/n0/mode/2up(5 Mei 2017); Mohamed bin Ali (2015), Roots of Religious Extremism: Understanding the Salafi Doctrine of Al-Wala’ Wa Al-Bara’, London: Imperial College Press.

[2]Lihat Ibid.

[3]Sa`id Hawwa (2001), Al-Islam, Qahirah: Dar Al-Salam, di https://archive.org/stream/saidhawa/islam#page/n0/mode/2up (5 Mei 2017).

[4]Lihat `Abd Al-Rahman bin Mu`alla Al-Luwayhiq (1992), Al-Ghuluw Fi Al-Din Fi Hayat Al-Muslimin Al-Mu`asirah. Bayrut: Mu’assasat Al-Risalah, di https://www.4shared.com/file/109878278/8fdf4d89/_______-_____1_____.html (5 Mei 2017); Abdul Rahman b. Mualaa Al-Luwaihiq Al-Mutairi (transl. by Jamal Al-Din M. Zarabozo) (2001), Religious Extremism in the Life of Contemporary Muslims, Denver: Al-Basheer Publications, di https://archive.org/details/ReligiousExtremism(5 Mei 2017).

[5]Lihat Pergas (2004), Kesederhanaan Dalam Islam Dalam Konteks Masyarakat Muslim Singapura, Singapura: Pergas.

[6]Ibid, ms. 213-44.

[7]Ibid, ms. 201-7.

[8]Ibid, ms. 135-44.

[9]Ibid, ms. 120-33.

[10]Ibid, ms. 300-36.

[11]Majlis Ugama Islam Singapura (2006), Risalah Membangun Masyarakat Islam Cemerlang Singapura,  Singapura: Muis, di http://www.muis.gov.sg/documents/Resource_Centre/risalah/Risalah%20Book.pdf(5 Mei 2017).

[12]Lihat Pergas (2004), bahagian 5.

[13]Charissa Wong (2017), “Clerics or not, the law treats all equally: Shanmugam”, The Straits Times, 9 April di http://www.straitstimes.com/singapore/courts-crime/cleric-or-not-the-law-treats-all-equally-shanmugam (5 Mei 2017); Mohamad Alami Musa (2017), “No doctrinal basis for enmity towards non-Muslims”, The Straits Times, 12 April,

di http://www.straitstimes.com/opinion/no-doctrinal-basis-for-enmity-towards-non-muslims (5 Mei 2017); Toh Yong Chuan (2017), “No room for religious extremism in Singapore, say Muslim leaders”, The Straits Times, 5 March, di http://www.straitstimes.com/singapore/no-room-for-religious-extremism-in-singapore-say-muslim-leaders (5 Mei 2017).

[14]Pergas (2017), Pernyataan Media: Panduan Agama Dalam Mendoakan Terhadap Penganut Agama Lain, 3 April, di http://www.pergas.org.sg/media/MediaStatement/mediarelease_PanduanAgamaDoaTerhadapPenganutAgamaLain_3April.pdf(5 Mei 2017); Majlis Ugama Islam Singapura (2017), Media Statement on the Case of Mr. Nalla Mohamed Abdul Jameel, 3 April, di http://www.muis.gov.sg/documents/Media%20Statement%20on%20the%20case%20of%20Mr%20Nalla%20Mohamed%20Abdul%20Jameel.pdf(5 Mei 2017).

KEHIDUPAN MUSLIM MASYARAKAT RELIGION SINGAPURA MUSLIM LIFE


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


The reCAPTCHA verification period has expired. Please reload the page.

related articles