Alam Islam dari Ruang Anestetik ke Estetik | Pergas Blog

newest article

alam-islam-dari-ruang-anestetik-ke-estetik-1

Alam Islam dari Ruang Anestetik ke Estetik

15 November 2018 7:20 am // Written by Ahmad Saiful Rijal Bin Hassan; Muhammad Jailani bin Abu Talib;

Paradigma pendidikan masa kini sekali gus membentuk ruang pemikiran masyarakat kontemporari. Sir Ken Robinson, seorang pakar pendidikan serta Profesor Emeritus di Universiti Warwick mengutarakan pendapat bahawa paradigma pendidikan pada masa kini terarah kepada pendidikan yang anestetik berbanding pendidikan estetik. Demikian halnya, sementara pendidikan yang bersifat estetik menekankan penghayatan ilmu lewat segenap deria manusia, pendidikan anestetik membelakangi prinsip sedemikian dan mendesak agar penghayatan ilmu dibuat menurut sebuah sistem yang baku. Menjelaskan hal tersebut, Sir Ken Robinson menggagaskan bahawa sedangkan penghayatan ilmu yang estetik turut menekankan hubungan insaniah, penghayatan bersifat anestetik didasari desakan pengindustrian semata serta memaksa manusia untuk ‘menerima’ ilmu yang disampaikan tanpa keperluan ‘menghadam’. Hasilnya, ilmu tidak dimanfaatkan sepenuhnya dan hanya berfungsi bagi menepati piawai yang dituntut era pengindustrian.

Pencemaran Alam

Berhubung dengan wacana, berdasarkan laporan yang dikeluarkan Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC)  pada 2007, manusia merupakan punca utama bagi pencemaran alam. Berdasarkan laporan yang merangkumi hasil kajian 2,500 para saintis dari 130 buah negara, manusia telah menyebabkan hampir kesemua kerosakan pada alam. Sehubungan itu, dalam sebuah kenyataan yang dikeluarkan Met Office, (badan utama di United Kingdom) bagi menganalisa cuaca, suhu dunia pada tahun 2015 buat julung-julung kalinya mencecah lebih daripada 1.02 darjah berbanding tahun-tahun 1850-1900. Biarpun tampak kecil, kesan panjangnya tidak boleh dianggap remeh. Amat membimbangkan, sekiranya berlarutan dan mencecah 2.0 darjah, para saintis menjangkakan bahawa dunia ini akan melihat kesan destruktif.

Dalam kajian yang berasingan pula, data yang dikumpulkan pihak Yale School of Forestry & Environmental Studies mendapati bahawa jumlah pohon di seluruh dunia kian berkurangan sehingga hampir 50 peratus sejak peradaban manusia bermula. Menurut data yang diterbitkan pada 2 Sept 2015 itu, dunia kini hanya mempunyai sekitar 3.04 trilion pohon sahaja. Menjelaskan hal tersebut, para saintis di Universiti Yale menerangkan bahawa trend terkini menggambarkan pengurangan jumlah pohon berada dalam kiraan 15 bilion pohon setahun.

Amat mengecewakan lagi baru-baru ini, Asia Tenggara khususnya Singapura, Malaysia dan Indonesia dilanda jerebu teruk pada tahap berbahaya. Jerebu tersebut berpunca daripada syarikat-syarikat yang menggunakan kaedah tebas dan bakar di Indonesia dengan tujuan melapangkan tanah buat musim penanaman seterusnya. Tindakan yang tidak bertanggungjawab tersebut bukan sahaja membahayakan manusia, malah binatang-binatang dan tumbuh-tumbuhan yang ada di dalam hutan juga.

Antara Alam dan Islam

Lebih penting daripada data-data yang dikemukakan walau bagaimanapun, trend di atas mengingatkan kita untuk kembali peka terhadap dunia yang dihuni manusia. Berhubung dengan agama Islam pula, perihal di atas sewajarnya mengingatkan peranan yang dimainkan manusia sebagai khalifah di muka bumi ini. Perihal tersebut jelasnya turut diperincikan dalam ayat ke-30, surah Al-Baqarah. Allah swt berfirman yang bermaksud:

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”.”

Melanjutkan wacana, hubungan antara alam dan manusia sewajarnya merupakan sebuah hubungan yang saling memanfaatkan. Sayangnya, dalam berhadapan dengan dunia yang semakin canggih, manusia semakin lemas dalam gelora nafsu serta impian-impian yang bersifat materialistik. Bahkan, dalam mengejar impian duniawi, manusia semakin terlupa akan takrifan ‘dunia’ yang turut merangkumi alam semesta. Dunia sebenarnya bukanlah pada kemajuan teknologi dan ekonomi semata. Manusia, khususnya golongan Muslim, mempunyai tanggungjawab sebagai ‘khalifah’ untuk menjaga alam sekitar.

Seorang Muslim seharusnya tahu bahawa Allah s.w.t telah menentukan bahawa manusia itu tidak dapat hidup tanpa perkara-perkara asas yang lahir dari alam sekitar seperti air, udara, makanan dan lain-lain lagi. Ini sekali gus menunjukkan bahawa manusia itu mempunyai kaitan rapat dengan alam sekitar dan mempunyai tanggungjawab untuk menjaganya. Allah s.w.t berfirman dalam surah An-Nahl ayat 10-11, yang bermaksud:

“Dia lah yang menurunkan hujan dari langit; sebahagian daripadanya untuk minuman kamu dan sebahagian lagi menyebabkan tumbuhnya pokok-pokok (tumbuh-tumbuhan) untuk kamu melepaskan binatang-binatang ternak: makan padanya. Ia juga menumbuhkan bagi kamu dengan sebab hujan itu tanaman-tanaman dan pokok-pokok zaitun dan tamar (kurma) serta anggur; dan juga dari segala jenis buah-buahan. Sesungguhnya yang demikian mengandungi satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi kaum yang mahu berfikir.”

Ikutan itu, apakah peranan yang dapat dimainkan golongan asatizah serta pendakwah dalam menyedarkan tanggungjawab yang semakin terabai itu?

Perihal tersebut merupakan antara topik utama yang dibincangkan dalam Persidangan Antarabangsa Islam tentang Perubahan Iklim yang telah mengambil tempat di Bogor, Jawa Barat, dari 9 ke 10 April 2010. Hasil daripada persidangan tersebut, para ulama yang hadir sepakat dalam menerajui konsep ‘eko-pesantren’ bagi menangani isu-isu yang berkaitan dengan alam. Menariknya, di samping bergerak menepati konsep eko-pesantren, pesantren-pesantren yang terlibat, khususnya yang terpengaruh dengan ideologi Nahdlatul Ulama, mula menyebatikan ilmu alam dengan ilmu Islam dengan menyelarikan pengajian pengusahawanan dan penghayatan alam di samping materi utama pembelajaran. Dalam erti kata lain, selain mengajarkan ilmu fiqh, tajwid, hadis dan tasawwuf, murid-murid di pesantren-pesantren yang terlibat turut diajarkan tentang ilmu-ilmu seperti konsep kitar semula, pembinaan kolam ikan dan menanam pohon-pohon.

Meski begitu, biarpun baharu diimplementasikan secara meluas, sistem pendidikan yang pernah diusahakan secara kecil-kecilan sekitar tahun 1980-an dan 1990-an. Tergerak lewat desakan untuk memainkan peranan dalam usaha mendidik masyarakat tentang masalah alam, Pesantren Suryalaya, Indonesia telah meningkatkan kesedaran alam dengan memperkenalkan konsep irigasi dan penyaluran air. Hasil daripada perkenalan tersebut, masyarakat setempat telah memanfaatkan ilmu yang diajarkan. Ilmu yang diajarkan lantaran itu diterima secara serius serta tidak dilihat seperti mencurah air ke daun keladi. Pembelajaran Islam berlanjutan ke arah pembudayaan Islam, iaitu dengan penyebatian konsep-konsep agama dengan tradisi kehidupan yang relevan dengan khalayak masyarakat.

Peranan Ulama dalam Meningkatkan Kesedaran Alam

Menariknya walau bagaimanapun, secara tidak langsung, fenomena tersebut menjelaskan peranan yang dapat dimainkan para ulama dalam meningkatkan kesedaran alam. Berbeza dengan pendidikan di sekolah-sekolah yang berpandukan silibus bagi tujuan peperiksaan, golongan asatizah mempunyai peluang dan keupayaan untuk mengajarkan ilmu yang bermanfaat. Dalam erti kata lain, para ulama berpeluang untuk mengajarkan ilmu demi perkembangan ilmu itu sendiri dan bukannya bagi tujuan duniawi. Demikian halnya, perkara itulah yang disebutkan Sir Ken Robinson sebagai elemen yang telah mendasari budaya keintelektualan pada zaman kegemilangan ilmu. Pembelajaran dan pengajaran ilmu daripada itu dilihat sebagai berada dalam ruang estetik dan merangsang daya pemikiran dan penghayatan manusia terhadap persekitaran mereka.

Hal yang sebaliknya walau bagaimanapun kini berlaku apabila pembelajaran ilmu hanya berlaku demi menaikkan status seseorang dalam masyarakat. Pembelajaran daripada itu berlaku dalam ruang anestetik, yakni apabila guru sekadar melihat dirinya sebagai pengajar manakala murid melihat dirinya sebagai penerima. Ilmu yang diraih daripada itu tidak mempunyai fungsi lain selain perangsang status seseorang.

Berhubung wacana, para ulama harus menyedari pengaruh besar mereka. Selaras dengan tradisi kehidupan masyarakat Nusantara, golongan ulama disegani ramai sebagai golongan yang menyebarkan ilmu-ilmu naqli. Contoh yang jelas dapat dilihat pada peristiwa Perang Aceh, yakni apabila Dr. Christiaan Snouck Hurgronje, penasihat Belanda, telah mendedahkan kepada pemerintahnya bahawa tunggak kekuatan masyarakat setempat bukanlah pada Sultan dan sebaliknya berada pada golongan ulama. Nescaya, kesedaran itulah yang akhirnya telah membawa kejayaan kepada golongan Belanda yang telah cuba untuk menguasai Aceh sejak lebih daripada 20 tahun.

Tanpa disedari pihak Belanda sebelum merujuk kepada Dr. Christiaan Snouck Hurgronje, golongan ulama merupakan golongan utama yang menjadi nadi kekuatan masyarakat setempat. Golongan ulama sebenarnya lebih berpengaruh daripada golongan pemimpin dan hulubalang Aceh. Dalam hal ini, potensi golongan ulama dalam menggerakkan ummah daripada dilihat daripada keupayaan mereka untuk berbicara secara langsung kepada masyarakat marhaen serta menggerakkan ummah lewat batin dan jiwa mereka. Menyimpulkan wacana, pengajaran, pendakwahan, dan penyebaran ilmu Islam daripada itu sewajarnya pulang ke ruang estetik dan diajarkan dengan tujuan memperkayakan erti kehidupan serta merangsang merangsang daya pemikiran dan penghayatan manusia terhadap jagat.

Penutup

Mengakhiri perbincangan, kesedaran alam dapat ditingkatkan lewat pembelajaran ilmu Islam lewat dua peringkat utama. Usaha pertama ialah dengan menyebatikan konsep-konsep agama dengan masalah-masalah kontemporari yang melingkungi masyarakat, seperti isu pencemaran alam yang semakin meruncing. Sementara itu, para ulama harus melihat diri mereka sebagai fasilitator ilmu dan merangsang minat masyarakat untuk menghayati konsep Islam yang murni. Perkongsian ilmu daripada itu harus dilakukan dalam ruang estetik dan menggalakkan kefahaman yang dapat membawa manfaat kepada masyarakat dan jagat.

Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.

Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.

PERSPEKTIF ISLAM ISLAM DAN ALAM ALAM SEKITAR DUNIA ISU SEMASA MASYARAKAT PENDIDIKAN


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


The reCAPTCHA verification period has expired. Please reload the page.

related articles