Al-Quran adalah kitab yang lengkap kerana isi kandungannya tidak pernah bercanggah dengan penemuan dan fakta sains. Berikut adalah beberapa contoh ayat al-Quran yang menjelaskan kejadian alam semesta dan ciptaan manusia.
1. Cap jari manusia sebagai tanda pengenalan
Firman Allah s.w.t di dalam surah al-Qiyamah, ayat 3-4 yang bermaksud, “Apakah manusia mengira, bahawa Kami tidak akan mengumpulkan (kembali) tulang belulangnya? Bukan demikian bahkan Kami berkuasa menyusun (kembali) hujung jari jemari dengan sempurna”. Ayat ini menjelaskan keingkaran orang kafir untuk meyakini tentang kehidupan selepas mati. Mereka tidak percaya bahawa tulang belulang dan tubuh badan kita akan dikumpulkan semula apabila kita sudah mati kelak.
Allah s.w.t. menegaskan bahawa bukan setakat sifat tubuh badan yang mudah berubah seperti wajah kulit dan sebagainya, malah cap jari tangan manusia (sifat yang tidak berubah dari kecil hingga dewasa dan berbeza antara satu sama lain) juga akan dikumpulkan kembali.
Ketika ayat ini diturunkan, manusia tidak mengetahui sifat yang boleh membezakan antara manusia juga yang tidak berubah dengan perubahan anggota badan. Hanya pada tahun1902, barulah Scotland Yard menemui kaedah yang dapat membezakan pengenalan diri manusia. Sebelum itu mereka mengguna kaedah atau sistem Bertillon yang memerlukan gambar muka, saiz ukuran kepala serta panjang kaki kiri, lengan kiri dan jari kecil. Sistem Bertillon ini menghadapi masalah pada tahun 1903, apabila dua individu di Amerika Syarikat, mempunyai nama yang hampir sama juga semua ciri yang sama dalam kaedah pengenalan sistem Bertillon.
2. Ciptaan Planet, Bumi dan Langit
Firman Allah s.w.t di dalam Surah al-Anbiya’, ayat 30 yang bermaksud. “Dan apakah orang-orang kafir tidak mengetahui bahawasanya langit dan bumi itu keduanya dahulu adalah suatu yang padu, kemudian Kami pisahkan antara keduanya. Dan daripada air, Kami jadikan segala sesuatu yang hidup, maka mengapakah mereka tiada juga beriman?” Ayat ini berkaitan dengan teori Big Bang iaitu teori kejadian alamNya lagi .
Surah al-Anbiya’, ayat 104 yang bermaksud, “(Ingatlah)hari kami menggulungkan langit seperti menggulung lembaran surat catatan… “ pula menyentuh teori The Black Hole iaitu teori kemusnahan alam.
3. Bentuk bumi dan perjalanannya di atas paksi
Dalam bukunya Almagest, Ptolemy (2 Masihi) menganggap bahawa bumi ini bulat tetapi tidak bergerak. Ahli falak Islam telah mengukur liitan bumi dengan teknologi yang serba kekurangaan dan hasilnya hanya terdapat perbezaan 0.46% daripada ukuran yang menggunakan alat canggih masa kini.
Ahli falak Islam zaman Al-Makmun bin Harun Ar-Rasyid (786-833 M, Khalifah pengembang sains) yang diketuai Abu Musa bin Syaki telah mendapat kiraan ukuran bumi sebanyak 40, 253.4 kilometer (perbezaan hanya 185.4 kilometer). Pada zaman Renaissance Eropah (abad ke 14-17), pihak gereja Eropah begitu keliru dan menganggap bahawa planet bumi adalah pusat alam semesta.
Galile Galileo (1564-1642M) yang terpengaruh dengan Copernicus berpendapat bahawa bumi mengelilingi matahari. Akibatnya dia dihukum penjara seumur hidup tetapi terselamat apabila beliau menarik balik pendapatnya.
Firman Allah s.w.t. di dalam Surah Al-Hijr, ayat 19 bermaksud, “Dan bumi ini Kami bentangkan …..”. Justeru, jika bumi ini terhampar, ia mungkin berbentuk bulat, empat segi atau bentuk lain. Tetapi maksud perkataan “bentang” ialah di mana sahaja kita berada di atas muka bumi ini , ia terbentang di hadapan kita. Jika kita ke Kutub Utara (Artik) dan Kutub Selatan (Antartik), kita akan melihat bahawa planet bumi ini sentiasa terbentang. Fenomena sebegini tidak berlaku melainkan jika planet bumi ini berbentuk bulat (Sulaiman Nordin, 1995).
Firman Allah s.w.t. seterusnya dalam Surah Az-Zumar, ayat 5 bermaksud, “Ia (Allah) menjadikan malam melingkari siang (dengan gelapnya). Perkataan “memutar” dan “melingkar” digunakan dengan begitu tepat apabila menggambarkan bentuk bumi yang bulat. Dalam bahasa Arab “Yukawwir” adalah pengambilan secebis kain yang dibalut pada sebiji bola yang bulat. Ayat ini menjelaskan bahawa Allah menjadikan kededuanya berada pada kitaran bulatan bumi kita pada masa yang sama.
FirmanNya lagi yang bermaksud, “Dan malam pula tidak dapat mendahului siang” (Surah Yasin, ayat 40). Menurut pandangan mata kasar, siang mendahului malam atau malam mendahului siang tetapi Al-Quran menyatakan bahawa siang bukan mendahului malam dan malam juga bukan mendahului siang.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, “Dan engkau melihat gunung-ganang itu engkau menyangka tetap membeku, pada hal ia bergerak cepat seperti bergeraknya awan” (Surah An-Naml, ayat 88). Ayat ini menjelaskan bahawa bumi ini berputar dan bergerak di atas paksinya mengelilingi matahari. Tidak mungkin Nabi Muhammad s.a.w. mengetahui hal yang begitu saintifik ini jika tidak diberitahu melalui Allah s.w.t .
Artikel ini diadaptasi dari buku bertajuk “Wacana Asasi Agama dan Sains” oleh Hussain Othman, (halaman 109 -113).
Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.
Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.