Lumrah manusia mempunyai pelbagai kehendak dan keinginan. Ada yang mahu melakukan kebaikan, mencapai kejayaan dan membantu sesama insan. Ada pula yang digoda nafsunya sehingga dia ingin menyakiti orang lain.
Mungkin kita pernah tertanya, mengapakah Allah menciptakan nafsu dan syahwat sebagai sebahagian dari dalam diri manusia dan dalam masa yang sama menegah kita daripada menuruti keinginan tersebut?
Ciptaan Nafsu dan tabiat manusia
Sebenarnya nafsu itu merupakan di antara ciptaan semula jadi manusia. Kita tidak mungkin hidup tanpa nafsu, kerana keinginan untuk berumah tangga, makan dan minum berasal dari kewujudan nafsu syahwat di dalam diri kita. Maka agama Islam tidak pernah menyuruh kita untuk menghapuskan nafsu, tetapi Allah s.w.t. hanya memberikan kita tanggunjawab supaya ianya dikawal dan disalurkan kepada jalan yang ditetapkan agama.
Namun, terdapat juga keinginan di dalam diri manusia untuk melakukan sesuatu yang ditegah di dalam agama. Ini semua memang satu hakikat dalam kehidupan manusia kerana tidak ada seorang insan yang tidak terlepas dari terlintas di dalam mindahnya untuk melakukan kesilapan dan dosa. Yang membezakan adalah apa yang kita lakukan dengan lintasan fikiran tersebut.
Dosakah aku jika perasaan melakukan dosa hadir di dalam hati?
Maaf, tanyalah diri anda sendiri, pernahkah terlintas dalam benak hati anda untuk membuat sesuatu perkara yang ditegah, tetapi kemudian sedar dan menyesal serta tidak jadi melakukannya? Sebahagaian dari kita mungkin pernah tertanya, berdosakah kita jika terlintas di dalam hati kita untuk melaksanakan sesuatu yang dilarang agama?
Para ulama kita telah membahagikan niat seseorang untuk melakukan sesuatu kepada beberapa tingkat:
• Al Khatir (الخاطر): Lintasan fikiran yang timbul di dalam minda • Al Hamm (الهم): Keinginan untuk melayani lintasan fikir tersebut • Al Azam (العزم): Tekad untuk melakukannya
Kategori yang pertama tidak dianggap sebagai satu dosa kerana Nabi Sallahu Alaihi wasallam bersabda:
“Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla memaafkan untuk umatku terhadap apa yang terlintas di hati mereka, selagi mereka tidak melakukan atau mengucapkannya.” Hadis Riwayat Muslim
Adapun kategori yang kedua, maka hukumnya sama seperti yang pertama selagi mana keinginan dan perasaan tersebut tidak berubah menjadi azam untuk melakukannya. Nabi bersabda:
“Apabila hamba-Ku berkeinginan untuk melakukan kejahatan, maka janganlah kamu (malaikat) menulis dosa ke atasnya, tapi jika dia melakukannya, tulislah satu dosa ke atasnya.” Hadis Riwayat Muslim
Adapun kategori yang ketiga, iaitu azam yang bersungguh-sungguh untuk bermaksiat, maka ia dikira sebagai dosa yang akan dipertanggungjawabkan di akhirat, sekalipun dia tidak melaksanakan apa yang diniatkan itu. Dia juga akan mendapatkan pahala jika dia meninggalkan azamnya kerana Allah. Contohnya, seperti seorang yang berazam untuk berzina. Dia sudah menggerakkan tubuh badannya ke tempat melakukan maksiat dan hanya dapat dihentikan jika ada halangan luaran yang mencegah perjalanannya. Qadhi Abu Bakar Ibnu Thayyib mengatakan: “Adapun keinginan yang tidak ditulis padanya dosa atau pahala ialah lintasan hati yang jiwa tidak kekal padanya, dan dia tidak menyertakan niat atau keazaman untuk melakukannya.”
Cubalah sedaya upaya untuk tidak melayani lintasan fikiran yang negatif dengan menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang boleh menyumbang kepada.
Andainya tergelincir pada kemaksiatan
Seorang manusia bukanlah sama seperti para malaikat yang bersih dari dosa. Kadangkala kita dikalahkan godaan nafsu dan bisikan syaitan, sehingga kita tergelincir kepada perbuatan yang dilarang agama. Sebagai seorang yang beriman, terjatuhnya kita bukan bermaksud bahwa kita tidak mempunyai harapan untuk memperbaiki diri. Bahkan, Allah s.w.t. mengalu-alukan hambaNya untuk sentiasa bertaubat daripada dosanya kerana Dia mengetahui bahawa hamba-hambaNya tidak mungkin sempurna dan sentiasa mendambakan rahmat dan pengampunanNya. Pintu taubat akan dibuka untuk mereka yang sedar akan kesilapan mereka. Kesedaran itu akan menjadi azam untuk tidak kembali kepada perbuatan tersebut serta mendorongnya untuk menjadi insan yang lebih dari yang silam. Begitulah cara bertaubat di dalam agama Islam, dengan kita mengaku kesilapan yang dilakukan, berazam untuk tidak mengulanginya lagi dan memperbaiki diri kita dengan menambah amalan soleh kita.
Kembali ke pangkal jalan
Kadangkala seorang individu merasakan bahwa dosanya terlalu banyak untuk diampuni Allah. Jika perasaan sedemikian datang, ingatlah firman Allah:
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Surah Az Zumar 53
Pada tahun baharu Islam ini, marilah sama-sama kita tanamkan azam untuk kembali kepada Allah dengan memperbaiki diri kita sebaik mungkin. Setiap kali kita tergelincir, teruskan perjalanan dengan bertaubat dan bersangka baik kepada rahmat dan pertolongan Allah. Perjalanan untuk mengawal nafsu dan memperbaiki diri bukanlah mudah, tetapi ingatlah, usaha itu akan menjadi lebih ringan jika kita percaya bahwa Allah s.w.t. bersama kita dan sentiasa ingin membantu hamba-hambanya yang berjuang.