Foto dari USTAZ DR MOHAMMAD HANNAN HASSAN
Belasungkawa
Almarhumah Ustazah Kalsom Binti Marwan merupakan pendidik di Madrasah Alsagoff Al-Arabiah pada tahun 50-an hingga 80-an. Beliau turut aktif memberi pendidikan agama di masjid-masjid, rumah-rumah serta badan dan persatuan. Pada hari sabtu, 9 Oktober 2021 bersamaan dengan 2 Rabiul Awwal 1443H, beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada usia 86 tahun.
Perjalanan Hidup
Dilahirkan pada 7 Ogos 1935 di Java Road serta membesar di sana, beliau merupakan anak kedua dari dua beradik dan mempunyai abang seibu iaitu Almarhum Dato Paduka Ustaz Mustajab Bin Shaien. Selepas kematian ayahnya pada usia 4 tahun, beliau dibesarkan oleh ibunya Saodah Binti Abdul Halim. Datuknya pula Abdul Halim bin Abdul Rahim merupakan muazzin dan imam sambilan di masjid Hajah Fatimah, dan secara tidak langsung turut menjadi noja di sana.
Disebabkan kesempitan hidup, beliau tidak berpeluang seperti kakaknya Kamsiah untuk bersekolah. Namun, ruang harapan terbuka jua apabila tokoh ilmuwan dan juga gurunya, Kiyai Ahmad Zuhri Mutamim dan Ustaz Daud Ali, menaja beliau untuk bersekolah di Madrasah Alsagoff Al-Arabiah. Setelah tamat pendidikannya, beliau dipelawa oleh mudirah madrasah tersebut Ustazah Kamsiah Ahmad untuk melanjutkan pengajian di Medan-Indonesia. Walau bagaimanapun, hasratnya terhalang dek kurang berkemampuan. Justeru, beliau menyumbangkan kembali ilmunya dengan menjadi tenaga pengajar di Madrasah Alsagoff. Antara mata pelajaran yang diajarkannya ialah Fiqh, Sirah, Hadis dan Tafsir. Selepas berkhidmat di madrasah selama tiga dekad, beliau berbakti pula kepada masyarakat dengan mengajar di masjid-masjid, rumah-rumah dan persatuan.
Beliau pernah memberi ceramah pada setiap malam jumaat di stesen Radio Television Singapura (RTS) ketika itu. Di usia mudanya, beliau aktif menyertai kegiatan-kegiatan di Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam (Pergas), Jamiyah dan madrasah. Beliau dikenali dengan sifatnya yang lemah lembut tetapi tegas dan penyayang ketika mendidik. Antara muridnya ialah Almarhumah Ustazah Sharifah Badriyah yang merupakan ahli anggota Kumpulan Pemulihan Agama (RRG) dan Pergas; dan Ustazah Khadijah Syafiee yang merupakan antara ketua muslimah Pergas pada tahun-tahun 80an dan 90an.
Pendidikan Anak-Anak
Almarhumah meniti bahtera kehidupan bersama suami tercinta, Hassan Abdul Majid, dan dikurniakan lapan orang cahaya mata. Semasa kecil, anak-anaknya disertakan ke dalam pendidikan sekular atas saranan abangnya iaitu Ustaz Mustajab untuk menjamin kehidupan masa depan di Singapura. Tetapi atas keprihatinannya terhadap pendidikan agama dan hasratnya untuk melihat anak-anaknya menjadi asatizah, mereka ditukarkan ke aliran agama. Kesungguhannya untuk menanamkan pendidikan agama dapat dilihat ketika mereka berpindah ke flat di Beach Road. Dengan ahli keluarga yang ramai dan rumah yang kecil, beliau sanggup mendidik anaknya di tangga flat untuk mendapatkan cahaya yang lebih terang dan ruang yang lebih besar.
Memandang tinggi terhadap ilmu agama membuatkan beliau turut menghormati guru-guru anaknya di madrasah. Suatu ketika apabila diadakan majlis khatam kitab di sekolah anaknya iaitu di Madrasah Aljunied Al-Islamiah, beliau menyumbangkan juadah istimewa kacang pool untuk meraikan guru-guru yang ketika itu berbilang bangsa seperti Almarhum Ustaz Syed Abdullah Aljunied, Almarhum Ustaz Muhammad Diab yang berbangsa Arab, Almarhum Ustaz Amir Mohd Rais, Almarhum Ustaz Tirmizi Hj Ehsan yang berbangsa Melayu dan Almarhum Ustaz Peer Mohamed Rawther yang berbangsa India.
Walaupun tidak berpeluang menuntut ilmu hingga ke peringkat selanjutnya, namun ini tidak menjadi batu penghalang untuk memberikan pendidikan yang terbaik kepada anak-anaknya hingga ke menara gading. Dengan tekad dan azamnya, hampir kesemua anaknya berkesempatan menuntut di universiti bahkan sehingga ke peringkat Doktor falsafah antaranya Ustazah Dr. Haslinda; Ustaz Dr.Muhammad Hafidz; Ustaz Dr. Mohammad Hannan dan Ustaz Dr. Muhammad Haniff.
Biarpun susah tetapi berpegang kepada kejujuran dan amanah. Itulah falsafah hidupnya yang digenggam teguh. Walaupun beliau pernah ditipu dari segi kewangan, pendapatan dan hasil kerjanya, tetapi beliau tetap dengan kejujuran dan amanah pada setiap perkara.
Sumbangan kepada masyarakat Singapura
Nama Ustazah Kalsom Binti Marwan tidak asing lagi di kalangan asatizah senior Pergas yang kebanyakkannya merupakan anak didiknya. Sumbangan ilmunya terhadap masyarakat telah dijejaki oleh anak-anaknya antaranya Ustaz Mohamad Hasbi yang merupakan presiden Pergas, Ustaz Dr. Mohammad Hannan yang merupakan timbalan mufti Singapura, dan Ustaz Dr. Muhammad Haniff merupakan zamil penyelidik di S. Rajaratnam School of International Studies (RSIS).
Melihat abangnya Ustaz Mustajab berkhidmat menyampaikan ilmu di negara Brunei Darussalam, beliau berpesan kepada anak-anaknya apabila selesai menuntut di luar negara, agar kembali ke tanah air menjadi asatizah dan menyumbangkan kembali kepada masyarakat di Singapura. Beliau khususkan negara Singapura kerana masyarakat di sini lebih memerlukan, mentelah lagi masyarakat Muslim merupakan masyarakat minoriti. Justeru perlu untuk anak-anaknya kembali ke tanah air dan berbakti semula di samping wang sumbangan masyarakat yang telah membantu mereka melanjutkan pengajian.
Akhir kalam, Almarhumah Ustazah Kalsom Marwan merupakan bukti bahawa seorang wanita mampu untuk memberi sumbangan yang besar kepada masyarakat. Ini dapat dilihat buahnya apabila ditanam dengan didikan dan disirami dengan bimbingan yang sempurna, maka lahirlah anak-anak yang menjadi obor kepada ummah.
Semoga semangat bakti beliau menjadi contoh kepada para asatizah khususnya dan masyarakat awam umumnya. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan bersama para Ulama pewaris nabi, Syuhada dan Solihin seperti yang disebutkan di dalam sebuah hadis Rasululllah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi iaitu “Para ulama adalah pewaris nabi.” Amin…
ASATIZAH