Bicara Ratusan Tahun Lagi | Pergas Blog

newest article

bicara-ratusan-lagi-1

Bicara Ratusan Tahun Lagi

16 November 2018 1:31 am // Written by Muhammad Husin bin Masnin;

Hari ini, terdapat pelbagai perakam yang canggih untuk menyampaikan sesuatu kepada yang dituju. Teknologi yang maju dan pesat berubah-ubah telah memudahkan untuk menyampaikan maklumat kepada sesiapa sahaja tanpa mengira tempat sama ada dari sudut audio atau visual. Pelbagai alat rakaman yang dahulunya telah digunakan seperti gramophone record atau dipanggil piring hitam, video cassette recorder (VCR) dan compact cassette atau kaset kini telah ditelan zaman disebabkan oleh kemajuan teknologi itu sendiri. Alat-alat ini tidak boleh berfungsi tanpa adanya alat pemain rakaman itu sendiri. Justeru kedua-duanya perlu berfungsi dengan baik untuk menerima apa yang telah dirakamkan.

Ini berbeza dengan rakaman dalam bentuk penulisan yang telah membuktikan kekalnya dari zaman berzaman. Ia hanya memerlukan mata dan akal untuk membaca dan memperolehi maklumat yang ingin disampaikan. Karya The Republic oleh Plato dan Nicomachean Ethics oleh Aristotle yang dikarang sebelum masihi lagi masih boleh dimanfaatkan dan dibaca oleh manusia zaman kini.

Kita juga melihat dalam sejarah Islam betapa pentingnya penulisan dan pembukuan Al-Quran dan hadith Rasulullah s.a.w untuk panduan manusia. Sementara itu di Nusantara ini juga tidak terkecuali tentang penemuan batu bersurat yang menjadi bahan sejarah yang penting bagi mengetahui tarikh kemasukan awal Islam di sini. Walaupun catatan itu ditemui di kayu, pelepah, batu, kertas atau di mana sahaja, yang pasti penulisan amat penting bagi masyarakat pada zaman itu dan akan datang.

Syed Qutb memberi ungkapan yang menarik untuk direnungi: “Satu peluru hanya mampu menembusi satu kepala, namun satu tulisan mampu menembusi ribuan malah jutaan kepala…” dan juga kata hikmah yang popular: “Mata pena adalah lebih tajam daripada mata pedang.” Kata-kata ini membawa erti bahawa penulisan mempunyai kekuatan yang luar biasa dan ‘senjata’ yang hebat untuk merubah dunia. Mungkin boleh difikirkan mengapa manuskrip-manuskrip lama termasuklah manuskrip Nusantara kebanyakannya berada dan tersimpan di Eropah pada zaman penjajahan. Kenapa mereka mengambil penulisan-penulisan ini yang hanya lembaran kertas dan tinta lalu membawa pulang ke negara mereka?

Sesungguhnya kehidupan di dunia ini amat singkat untuk manusia terus berbicara. Tetapi dengan merakamkannya dalam bentuk penulisan, nescaya seseorang itu mampu terus berbicara ratusan tahun lagi walau jasad sudah hancur ditelan bumi. Malahan pembaca akan merasakan sang penulis itu masih hidup bersamanya pada zaman itu. Ini dapat dilihat seperti karya hebat para ulama yang ditinggalkan seperti kitab ‘Ihya Ulumuddin’ oleh Imam Al-Ghazali, ‘Tafsir Al-Quran Al-Azim’ oleh Imam Ibn Kathir, ‘Al-Arbain Nawawiyyah’ atau hadith 40 yang dikumpulkan oleh Imam An-Nawawi dan sebagainya.

Kesungguhan para ulama dalam penulisan boleh dilihat sebagai contoh Imam Al-Bukhari yang pernah bangun dari tidurnya dan mencatat sesuatu yang terlintas dalam fikirannya lalu tidur semula. Kemudian beliau bangun kembali dan melakukan perkara yang sama sehingga lebih kurang dua puluh kali. Seorang faqih dan muhaddith yang meninggal pada tahun 256H iaitu Imam Muhammad bin Sahnun, tidak sedar akan seorang budak perempuan telah menyuapkan makan malam kepadanya kerana beliau tenggelam dengan keasyikan menulis. Imam Ibn Jarir At-Tabari seorang mufassir terkenal menulis sebanyak empat puluh helai setiap hari. Kisah-kisah menarik ini boleh didapati di dalam buku ‘Qiimatu Al-Zaman ‘Inda Al-‘Ulama’ dan ‘Sofahaat Min Sobri Al-‘Ulama’ yang kedua-duanya dikarang oleh Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah.

Maulana Abdul Hayy Al-Laknawi telah menghasilkan 110 karya dan meninggal pada tahun 1304H pada umur 39 tahun. Chairil Anwar seorang penyair Indonesia yang terkenal telah menghasilkan sekitar 94 karya termasuk 70 puisi. Beliau meninggal pada usia 26 tahun dan puisinya masih segar yang menjadi perhatian para sasterawan.

Imam Syafie menulis di kertas terpakai dan tulang kerana kemiskinannya. Sasterawan Malaysia A.Samad Said ditegur kerana mengganggu orang yang sedang tidur kerana bunyi bising mesin taipnya ketika menghasilkan karya terkenal beliau ‘Salina’. Pramoedya Ananta Toer menghasilkan penulisan dalam bentuk novel demi memperjuangkan keadilan hidup telah menjadi penahanan politik serta dilarang menulis selama penahanannya itu.

Manakala Hamka pula telah menulis pelbagai topik penulisan seperti sejarah, falsafah, agama dan sebagainya, tetapi beliau menegur adat-adat yang telah memisahkan darjat seseorang itu melalui novel antaranya ‘Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck’ dan ‘Di Bawah Lindungan Ka’bah’.

Karya-karya yang hebat sudah pasti akan mendapat perhatian bangsa luar untuk menterjemahkan dalam bahasa mereka untuk mencedok isi kandungannya. Jika ditulis dengan bahasa ibunda walaupun bahasa itu tidak terkenal di dunia, ia tetap akan menjadi perhatian dunia jika ianya sesuatu karya yang hebat.

Kisah-kisah di atas ini menunjukkan bahawa untuk menghasilkan penulisan perlulah ada kesungguhan yang tinggi. Faktor umur, masa, alat dan jenis penulisan, atau bahasa bukanlah penghalang untuk menulis. Jika idea menjadi penghalang utama untuk memulakan penulisan, maka ubatnya adalah dengan ‘membaca’. Dengan membaca karya-karya yang hebat, secara tidak langsung ia akan mempengaruhi untuk menghasilkan karya yang hebat juga.

A.Samad Said ditanya oleh Faisal Tehrani bagaimana ingin menjadi penulis. Beliau menjawab ada lima syarat. Syarat pertama hingga keempat adalah ‘membaca’, dan yang kelima adalah ‘menulis’. Lalu beliau ditanya lagi bagaimana jika yang kelima juga ‘membaca’. Jawabnya dia akan menjadi ‘pembaca’ dan bukan ‘penulis’.

Justeru, tiada alasan untuk tidak menulis. Jika idea atau fikiran yang tidak dirakamkan dalam penulisan, mungkin ia akan hilang kerana lupa atau terkubur bersama jasad dan ini akan merugikan manusia yang lain. Sudah pasti kita inginkan ilmu yang bermanfaat yang menjadi saham akhirat. Penulisan menjadi pengganti setelah kita tiada lagi.

Akhir sekali, renungkan kata-kata oleh Shaharom TM Sulaiman di dalam karyanya ‘buku kekasih’: “Tanpa teks, peristiwa dan pengalaman akan ‘menguap’ ditelan waktu, untuk kemudian kita bertengkar tentang kebenaran peristiwa itu pada hari terkemudian. Tanpa teks, kita tidak mampu memetik kearifan hidup. Tanpa teks, apakah yang dapat kita wariskan kepada anak cucu?”

Wallahu a’lam…

Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.

Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.

SEJARAH ULAMA' ULAMA' ISLAM BUKU ILMU PENULISAN


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


The reCAPTCHA verification period has expired. Please reload the page.

related articles