Bukan Sekadar Seni dan Hiburan | Pergas Blog

newest article

bukan-sekadar-seni-dan-hiburan-1
Follow by Email
Facebook
GOOGLE
Twitter
LINKEDIN

Bukan Sekadar Seni dan Hiburan

15 November 2018 2:50 am // Written by Muhammad Husin bin Masnin;

Dewasa ini, perkataan “seni” sudah tidak asing lagi dalam kehidupan kita. Seni bina, seni lukis, seni kata, seni lakon, seni tari, dan pelbagai lagi seni yang muncul dan berkembang dari semasa ke semasa.

Seni merupakan karya kreatif yang dihasilkan seseorang melalui bakat yang ada. Melalui seni juga seseorang itu boleh menyampaikan mesej dan tujuan yang terpendam dalam jiwa. Justeru, karya yang terhasil mempunyai maksud yang pelbagai, seperti kedamaian, kasih mengasihi, teguran, memberontak dan sebagainya.

Dalam penghasilan seni kreatif ini, akan muncul aneka karya sama ada yang mudah difahami maksud yang tersirat atau sebaliknya. Kita akan menemui pelbagai karya yang berbeza diantara setiap individu dengan individu yang lain, ataupun individu yang sama tetapi karyanya yang berbeza-beza. Ini menunjukkan bahawa karya seni itu mempunyai ruang yang luas dalam menghasilkannya.

Tetapi keluasan ini tidak bermakna ianya bebas berkarya dalam apa jua perkara tanpa sebarang sempadan dan batasan. Contohnya tarian yang menggiurkan, lukisan tattoo, senikata yang mempunyai maksud negatif, ini semua perkara yang terlarang dalam agama walaupun ada yang mendakwa bahawa ianya satu kebebasan dalam berseni. Alasan ini tidak boleh diterima kerana ia menyanggahi syara’. Justeru kebebasan untuk berkarya tidak bermaksud semuanya dibenarkan dalam agama, tetapi perlulah berpandukan syariat islam agar tidak terjerumus ke kancah kemungkaran.

Seni hiburan telah memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian kita, sama ada berbentuk nyanyian, lakonan, lawak jenaka dan bermacam-macam lagi. Ianya muncul tidak kira di mana jua seperti di tv, radio, akhbar, laman sesawang hatta di tempat awam. Ini menunjukkan bahawa kehidupan kita diselubungi dengan banyaknya hiburan. Ini tidak termasuk lagi dengan era globalisasi yang menggabungkan hiburan dari barat.

Kehidupan kita semestinya memerlukan hiburan agar dapat menghilangkan kebosanan dan membangkitkan keceriaan dikala kesedihan. Tetapi adakah dengan terlalu banyak berhibur ini dapat mencapai misi sebagai khalifah yang mengimarahkan muka bumi ini? Syeikh Yusuf Al-Qardhawi telah mengarang buku bertajuk: “Fiqh al-Lahwi wa at-Tarweeh” bermaksud fiqh hiburan dan rekreasi. Buku ini cukup menarik untuk dibaca kerana ia membincangkan batasan-batasan dalam berhibur, sementelah hiburan sudah menjadi sebahagian dalam kehidupan kita. Juga buku beliau “Fiqh al-Awlawiyyat” bermaksud fiqh keutamaan, yang membincangkan perkara apakah yang perlu diutamakan dahulu dalam kehidupan kita. Kedua-dua buku ini telah diterjemahkan ke bahasa melayu, dan disarankan juga supaya membaca buku ini agar dapat mencedok manfaat di dalamnya.

Justeru, hiburan bukanlah matlamat utama untuk dicapai. Matlamat utama adalah untuk mengimarahkan dunia dengan menyuruh manusia kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran, supaya ia sejajar sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Bukanlah hiburan itu suatu perkara yang terlarang, tetapi janganlah terlalu asyik sehingga leka untuk mencapai matlamat utama. Maka perlulah membezakan matlamat utama untuk dikecapi, yang mana didahulukan dan yang mana dikemudiankan.

Usaha untuk memajukan seni hiburan perlu diolah sedikit agar ia membawa erti dan matlamat yang berguna untuk masyarakat. Boleh diolah menjadi satu usaha untuk memajukan seni hiburan “berbentuk pendidikan dan pengetahuan”. Jika hanya menerapkan hiburan tanpa sebarang unsur pendidikan dan pengetahuan, atau dengan perkataan mudahnya hanya berhibur suka-suka sahaja, ini akan menghalang masyarakat untuk terus membangun. Kita tidak ingin melihat budaya bebalisme menapak di dalam masyarakat kita. Sebaliknya kita ingin melihat masyarakat yang intelektual dan berfikiran kritis. Ini pernah dinyatakan oleh Prof Syed Hussein Alatas dalam bukunya: Intelektual Masyarakat Membangun.

Kita perlu mengurangkan seni hiburan yang tidak menyumbang kepada pembangunan dan pemikiran masyarakat. Terlalu banyak hiburan yang sudah berkeliaran di sekiling kita. Ini tidak termasuk hiburan dari barat yang mempunyai unsur-unsur negatif yang boleh merosakkan pemikiran masyarakat terutamanya golongan muda. Sudah tiba masanya untuk mengorak langkah maju kehadapan dalam memajukan seni hiburan berbentuk pendidikan dan pengetahuan di tanah air kita.

Dokumentari seperti “Jalan” yang disiarkan di Suria dan dipengacarakan oleh Ibrahim sawifi patut diberikan sambutan yang tinggi kerana ia dapat mendidik masyarakat, dan secara tidak langsung ia menambahkan lagi pengetahuan tentang sejarah Singapura. Manakala rancangan “Bicara” yang diwawancarakan oleh Daud Yusof juga tidak patut dipandang remeh. Rancangan ini menampilkan individu-individu yang ternama seperti mufti, ahli akademik, sasterawan, peniaga, pelakon, penyanyi dan lain-lain lagi. Ini agar dapat menyelami pemikiran individu itu dan secara tidak langsung mendorong masyarakat untuk berfikir secara kritis. Saluran seperti Discovery Science, National Geographic, Animal Planet juga turut menyumbang dalam menjana ilmu pengetahuan masyarakat. Rancangan-rancangan seperti inilah yang patut diperkayakan dan dimajukan lagi supaya ia dapat membina masyarakat berpengetahuan dan berilmu.

Hiburan berbentuk penulisan juga turut menjadi wadah dalam menyumbang kepada pembangunan masyarakat. Justeru, memajukan dan memperkayakan bahan bacaan berbentuk ilmiah dan pengetahuan amat diperlukan. Sudah banyak majalah-majalah hiburan sama ada mengenai artis, fesyen atau sukan. Malangnya kita kekurangan majalah berbentuk ilmu pengetahuan yang dapat menjana pemikiran masyarakat.

Apabila disebut “novel”, akan terlintas dalam fikiran seseorang itu unsur-unsur cinta dan romantis. Sebaliknya novel juga turut mendorong pembaca untuk berfikir secara kritis dan bukan hanya sekadar hiburan berbentuk percintaan sahaja. Inilah yang dilakukan sasterawan di dalam karya-karya mereka agar hasil yang dilakukan tidak kontang dari elemen-elemen nasihat, teladan atau pengajaran. Contohnya sasterawan negara Suratman Markasan, beliau menerapkan unsur menegakkan keadilan seperti di dalam novelnya “Tiga Lelaki” dan “Dunia Bukan Kita Punya”. Manakala pemikir terkenal nusantara Hamka turut menegur secara halus mengenai ketaksuban terhadap bangsa, adat dan pangkat darjat. Ini diluahkan di dalam novelnya “Merantau ke Deli” dan “Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck”.

Kita boleh usahakan untuk memperkaya dan memajukan lagi seni hiburan berbentuk pendidikan, pengajaran dan pengetahuan. Ini memerlukan kekreatifan seseorang itu untuk menghasilkan karya yang bermanfaat untuk masyarakat. Tidak mustahil karya itu boleh mendorong yang lain untuk menghasilkan karya yang lebih baik lagi. Secara tidak langsung masyarakat akan bergelumang dengan hiburan yang mendidik jiwa dan bermanfaat.

Kita ingin melihat hasil seni hiburan yang bukan sekadar hebat dan kreatif, tetapi juga mempunyai unsur-unsur dan elemen-elemen yang mendidik masyarakat ke arah pembangunan. Seeloknya modal dan wang yang ada dibelanjakan untuk karya berbentuk pengajaran dan pendidikan. Kita inginkan ramai golongan cendekiawan dan intelektual di dalam masyarakat kita. Justeru dengan hiburan yang mendidik jiwa, akan menyumbang kepada membentuk insan yang berguna di dunia dan akhirat. Wallahu’alam.

Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.

Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.

ISLAM DAN SENI ISU SEMASA KEHIDUPAN MUSLIM MASYARAKAT PERSPEKTIF ISLAM SENI HIBURAN


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

related articles