Islam dan Penuaan (Bahagian 2): Perancangan dan Pengurusan | Pergas Blog

wasat

islam-dan-penuaan-2
Follow by Email
Facebook
GOOGLE
Twitter
LINKEDIN

Islam dan Penuaan (Bahagian 2): Perancangan dan Pengurusan

01 April 2019 1:00 am // Written by Ustaz Dr. Muhammad Haniff Hassan

…bersambung dari Islam dan Penuaan (Bahagian 1): Pemikiran Asas. Klik di sini.

Walau pun penuaan adalah sesuatu yang tabi’ii dan tidak terelak bagi kehidupan manusia, Islam tidak menganjurkan sifat pasif dan berserah pada keadaan sahaja.

Terdapat banyak bukti bahawa Islam anjurkan Muslim untuk bersikap pro-aktif melakukan persiapan bagi menghadapi apa jua fasa-fasa kehidupan melalui perancangan yang baik sebelum kehadiran fasa itu dan pengurusan hidup yang rapi apabila melalui fasa itu. Anjuran itu ditujukan kepada Muslim sebagai individu dan masyarakat secara kolektif kerana masyarakat Muslim secara kolektif memikul amanah untuk memelihara kebajikan ahli-ahlinya.

Secara umumnya, Muslim dianjurkan untuk sentiasa berfikir tentang nasib dan keadaan hidupnya di masa hadapan. Hal ini boleh difahami dari firman Allah taala,

“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Al-Hashr: 18)

Walaupun ayat ini berbicara mengenai persiapan bagi kehidupan Akhirat, namun semangat dan maksud dari anjuran ini juga meliputi soal perancangan dan persiapan bagi hidup di masa hadapan dalam kehidupan ini.

Maksud sebegini disokong oleh kemahiran membuat “bacaan” terhadap peristiwa-peristiwa yang berlaku dan takwil mimpi yang diberikan oleh Allah taala kepada nabi Yusuf.[i] Melalui kemahiran ini unjuran tentang masa hadapan dapat dibuat dan langkah-langkah yang perlu diambil dapat dirancang dengan baik.

Perkara ini secara khusus dicontohkan dalam peristiwa mimpi raja Mesir yang ditafsirkan oleh nabi Yusuf sebagai petanda akan berlaku kemarau selama beberapa tahun dan langkah-langkah yang perlu diambil.[ii]

Allah taala mewahyukan kepada nabi Yusuf bukan hanya tentang musibah yang bakal berlaku tetapi juga langkah-langkah yang perlu diambil. Pemberitahuan langkah-langkah bagi menghadapi musibah ini memberi pengajaran tentang persiapan dan pengurusan sebelum dan ketika krisis berlaku.[iii] Sesuatu keadaan yang tidak terelak dari berlaku, bukan bermakna tidak perlu berusaha untuk menangani risiko, mencegah kesan buruk atau, paling kurang, meminimakan kesan buruk dari keadaan yang akan berlaku.

Dalam kisah ini, nabi Yusuf menawarkan kepada raja Mesir untuk menjadi pengurus perbendaharaan kerajaannya bagi membantu melaksanakan langkah-langkah persiapan bagi menghadapi musibah kemarau selama 7 tahun.[iv] Usaha nabi Yusuf berjaya bukan hanya menyelamatkan negeri Mesir dari krisis tapi menjadikan ekonominya bertambah makmur kerana penduduk-penduduk di daerah lain yang terjejas datang berbondong ke Mesir untuk mendapatkan bekalan makanan.[v]

Kepentingan perancangan bagi masa depan yang baik dan bagi mengurus risiko dapat dilihat sejarah Nabi s.a.w dan banyak hadis sahih dari beliau.

Hijrah ke Madinah adalah satu contoh yang amat baik dan jelas akan kepentingan perancangan. Nabi s.a.w melakukannya dengan perancangan yang rapi dari soal pemilihan tempat hijrah, persediaan tempat sebelum berhijrah, pemilihan laluan perjalanan ke Madinah, pelaksanaan tugas-tugas sokongan dan lain-lain.[vi]

Peperangan Nabi s.a.w juga penuh dengan contoh perancangan rapi seperti pemilihan tempat yang strategik semasa perang Badr, penempatan pasukan pemanah di lereng gunung bagi menjaga pasukannya dari serangan dari belakang semasa perang Uhud, penggalian parit di keliling Madinah semasa perang Khandaq dan pengutusan perisik bagi mendapatkan maklumat musuh dalam semua peperangan beliau.

Melalui kata-kata beliau s.a.w pula, terdapat hadis yang berbunyi,

“Manfaatkanlah lima perkara sebelum lima perkara, 1) waktu mudamu sebelum datang waktu tuamu, 2) waktu sehatmu sebelum datang waktu sakitmu, 3) masa kayamu sebelum datang masa kefakiranmu, 4) masa luangmu sebelum datang masa sibukmu, dan 5) hidupmu sebelum datang matimu.” (Riwayat Al-Hakim)

Termasuk dalam erti memanfaatkan lima perkara yang dinyatakan ialah menggunakannya sebagai persiapan bagi menghadapi lima perkara yang sebaliknya dan ini pada dasarnya adalah anjuran mengurus peluang yang ada bagi menghadapi kemungkinan negatif yang pasti akan berlaku dalam hidup. Perkara pertama yang disebut dalam hadis pula berkaitan langsung dengan isu yang dibicarakan, iaitu anjuran merancang bagi masa tua agar risiko yang datang bersama masa itu dapat dielak atau diminimakan.

Rasulullah s.a.w juga mengajar Muslim untuk berdoa agar dijauhi dari ditimpa oleh arzal al-`umr dan al-haram (usia tua yang lanjut yang umumnya diiringi dengan hilang ingatan dan nyanyuk dan lemah tubuh hingga terlantar sahaja),

“…dan aku berlindung kepadaMu dari dikembalikan kepada arzal al-`umr…” (Riwayat Al-Bukhari)

Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari kelemahan, rasa malas, rasa takut, al-haram, dan sifat kikir. Dan aku juga berlindung kepada-Mu dari siksa kubur serta bencana kehidupan dan kematian.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Doa ini amat signifikan dalam soal persiapan dan pengurusan usia tua. Dalam Islam, apabila ada anjuran berdoa untuk sesuatu perkara ia bukan bermaksud memanjatkan permintaan kepada Allah taala agar dikurniakan perkara itu sahaja tetapi terkandung juga di dalamnya anjuran berusaha untuk memperolehinya. Sebagai contoh, anjuran Rasulullah s.a.w agar Muslim berdoa dikurniakan rezeki yang halal, ia juga anjuran agar kita memastikan agar sumber rezeki yang kita cari adalah halal. Demikian juga anjuran beliau s.a.w dalam hadis di atas agar dijauhi dari kesedihan, ia adalah anjuran agar Muslim menjauhi hidupnya dari sumber-sumber yang boleh menjatuhkan diri dalam kesedihan dan membina keupayaan diri untuk tidak mudah bersedih dengan apa jua masalah yang berlaku dalam kehidupan. Dengan ini, doa bukan sesuatu yang menjadikan seseorang itu pasif atau berharap pada Tuhan sahaja untuk menunaikan hajatnya.

Berdasarkan kefahaman ini, anjuran berdoa agar dijauhi dari arzal al-`umr dan al-haram juga satu anjuran agar Muslim berusaha untuk menjauhi faktor-faktor yang boleh mengakibatkannya.

Doa ini juga memberitahu bahawa, walau usia tua tidak boleh dihalang kerana ia membabitkan soal ajal yang ketentuannya hanya di tangan Tuhan semata-mata, risiko-risikonya seperti kelemahan tubuh yang teruk, hilang ingatan dan nyanyuk, boleh dicegah atau diminimakan. Mencegah dan meminimakannya pula adalah sesuatu yang dianjurkan agama, dan bukan petanda tidak redha dengan sunah alam ciptaan Tuhan atau cuba melawan takdir. Jika ia sesuatu yang tidak boleh dielakkan, tidaklah Rasulullah s.a.w anjurkan berdoa agar dijauhi darinya. Jika mencegah darinya pula tercela, tidak juga doa ini diajar oleh Rasululluah s.a.w agar diamalkan oleh Muslim, khususnya jika doa itu difahami sebagai anjuran untuk melakukan tindakan konkrit sebagaimana yang dinyatakan di atas, bukan hanya berharap dan berserah kepada Allah taala sahaja.

Berdasarkan segala yang dinyatakan di atas, persiapan dan pengurusan usia tua yang meliputi langkah-langkah mencegah dan meminimakan segala risiko yang berkaitan dengannya adalah sesuatu yang bukan hanya dibenarkan, tapi digalakkan oleh Islam. Oleh itu, Muslim dianjurkan agar bersikap proaktif dalam isu penuaan dan tidak berserah pada keadaan semata-mata atas nama tawakal kerana tawakal yang sebenar ialah berusaha dan juga berserah kepada Tuhan sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w, “Ikatlah ia (unta), kemudian bertawakal.” (Riwayat Al-Turmuzi)

Aspek penuaan yang perlu diberi perhatian

Terdapat banyak aspek berkaitan warga tua yang perlu diberi perhatian. Sebahagian dari aspek-aspek ini dapat dikenalpasti melalui kajian-kajian sains sosial dan kemanusiaan yang boleh dirujuk pada mereka yang pakar dalam bidang ini.

Namun dari sudut keagamaan, tiga daerah agak menonjol dalam teks-teks Al-Quran dan hadis yang perlu diberi perhatian dalam soal persiapan dan pengurusan usia tua di kalangan Muslim.

Pertama ialah aspek kerohanian warga tua.[vii] Aspek ini diberi perhatian oleh agama bagi kalangan warga tua melalui peringatan ke atas mereka untuk bertaubat dan lebih menjaga ibadah kerana Islam menetapkan tanggungjawab berubudiyah kepada Allah taala adalah tanggungjawab yang berterusan, bermula dari usia baligh dan berakhir hanya setelah kematian, sebagaimana yang telah dinyatakan di atas dan sabda Rasulullah s.a.w pula tentang manusia yang paling buruk, “Orang yang panjang usianya, tapi buruk amalannya.” (Riwayat Al-Turmuzi). Islam juga memberi perhatian besar terhadap aspek kerohanian warga tua kerana secara tabi’ii kematian di kalangan mereka lebih dekat dan pasti. Dengan ini, warga tua dapat terpelihara dari terus dalam kelalaian hidup dan mengakhiri hidup dalam keadaan husnul khatimah (pengakhiran hidup yang baik dan terpuji). Oleh itu, apa jua program-program yang mengisi perancangan usia tua haruslah mengandungi aspek pengisian kerohanian bagi Muslim dalam golongan ini. Di sinilah peranan badan-badan Islam dan masjid-masjid menjadi kritikal bagi menyempurnakan program-program yang disedia dan ditawarkan oleh agensi-agensi pemerintah yang biasanya bebas dari unsur-unsur keagamaan. Termasuk dalam perkara ini ialah bimbingan bagi warga tua bagaimana melaksanakan ibadah dalam keadaan diri yang semakin melemah dan sakit, agar semangat untuk beribadah yang disemai tidak pula menatijahkan kemudaratan diri kerana ketiadaan ilmu tentang keringanan-keringanan yang diberikan oleh Islam untuk mereka.

Kedua ialah aspek ekonomi.[viii] Hal ini dapat dilihat dari perintah Allah taala ke atas Muslim untuk mensedekahkan sebahagian harta kepada saudara mara dan Muslim yang kurang berkemampuan. Ia adalah perintah untuk memberi perhatian pada sokongan ekonomi kepada warga tua yang kurang kemampuan untuk menyara hidup sendiri;

“….dan berbuat baiklah kepada ibubapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, dan orang-orang miskin…” (Al-Baqarah: 83)

“Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta…” (Al-Baqarah: 177)

Perhatian terhadap aspek ini dapat dilihat dari doa yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w,

“Ya Allah, aku berlindung padaMu dari rasa sedih dan gelisah, dari sifat lemah dan malas, dari sikap pengecut dan bakhil, dan dari cengkaman hutang dan penindasan orang.” (Riwayat Al-Bukhari)

Memohon perlindungan dari cengkaman hutang bermaksud anjuran untuk pengukuhan ekonomi dan pengurusan kewangan yang baik kerana, biasanya, seseorang itu berhutang bila dia tidak mempunyai harta yang cukup untuk memenuhi keperluan diri hingga kemudiannya menjadi terbeban disebabkan terlalu banyak hutang.

Hadis yang menganjurkan Muslim memanfaat lima perkara sebelum kedatangan lima yang sebaliknya juga terkandung aspek persiapan sudut ekonomi, iaitu “[rebut] masa kaya, sebelum datang masa miskin”. Dalam hal ini, program-program yang menjurus pada menabung bagi usia tua dan setelah bersara amat bersesuaian dengan ajaran Islam.

Ketiga ialah aspek kesihatan.[ix] Perhatian terhadap aspek ini juga dapat dilihat dari doa yang diajarkan Rasulullah s.a.w agar dijauhi al-haram yang telah disebutkan di atas.

Demikian juga doa “[rebut] masa sihat, sebelum datang masa sakit” yang juga disebut di atas. Sihat dalam hadis ini boleh difahami juga dengan keadaan diri yang masih kuat semasa usia muda dan sakit pula ialah keadaan diri yang sudah lemah ketika usia tua. Perkara ini juga jelas kerana soal kemerosotan daya kekuatan tubuh dan kesihatan adalah satu aspek yang amat berkaitan dengan penuaan dan diketahui umum pula.

Tanggungjawab siapa?

Setelah disabitkan di atas bahawa persiapan dan pengurusan penuaan adalah anjuran agama Islam, isu asasi selanjutnya ialah siapakah yang bertanggungjawab menangani isu penuaan di kalangan masyarakat Muslim?

Dari pembacaan dan kefahaman dari dalil-dalil syarak dan karya ilmuwan berkaitan isu ini, empat golongan dapat dikenalpasti memikul tanggungjawab dalam persoalan persiapan dan pengurusan penuaan jatuh pada golongan berikut;

  • individu Muslim
  • ahli keluarga
  • masyarakat
  • negara[x]

Islam meletakkan tanggungjawab utama dalam soal persiapan dan pengurusan usia tua di bahu setiap individu Muslim kerana ia adalah fenomena yang berlaku di peringkat individu. Hal ini dapat dilihat pada doa yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w. Ia adalah doa yang dianjurkan sebagai amalan setiap individu. Hadis yang menganjurkan merebut lima keadaan sebelum kedatangan lima keadaan yang berlawanan juga ditujukan kepada setiap individu.

Oleh itu, Islam mempertangungjawapkan setiap individu untuk memainkan peranan, merancang dan mengurus hari tuanya tanpa terlalu menjejas kualiti hidupnya hingga membebankan diri dan orang lain.  Namun adakalanya seseorang individu tidak mampu, gagal atau hilang upaya untuk menjaga kebajikan dirinya di usia tua. Dalam hal ini, tanggungjawab menjaga kebajikannya perlu dipikul atau dibantu oleh orang lain.

Di kalangan orang lain, Islam meletakkan tanggungjawab tentang isu yang dibicarakan ini di bahu ahli keluarga berdasarkan keakraban hubungan darah. Maka yang paling bertanggungjawab ialah anak dan kemudian pasangannya yang masih berkeupayaan dan seterusnya dari kaum kerabat yang lain.[xi]

Tanggungjawab ke atas anak disebut dalam pelbagai ayat Al-Quran yang memerintah anak berlaku baik kepada ibu bapa mereka apabila mereka berada di usia tua (Al-Isra’: 23-4 dan Luqman: 14-5). Hadis berkaitan perkara ini juga banyak. Disebut di bawah ini satu sebagai contoh sahaja,

“Sungguh terhina, sungguh terhina, sungguh terhina.” Ada yang bertanya, “Siapa, wahai Rasulullah?” Beliau bersabda, “(Sungguh hina) seorang yang mendapati kedua orang tuanya yang masih hidup atau salah satu dari keduanya ketika mereka telah tua, namun justeru ia tidak masuk syurga.” (Riwayat Muslim)

Pasangan (suami atau isteri) yang masih mempunyai keupayaan pula adalah kerana ia adalah ahli keluarga yang terdekat. Maka selama mana ia masih mampu membantu pasangannya yang lemah kerana usia, ia bertanggungjawab untuk melakukannya.

Kerabat yang lain pula adalah kerana ia adalah hak silaturahmi yang Islam tuntut ditunaikan oleh Muslim terhadap mana-mana kerabatnya yang memerlukan bantuan.

Di dalam Al-Quran juga ada menyebut firman Allah taala,

“…Orang-orang yang mempunyai hubungan itu sebahagiannya lebih berhak terhadap sesamanya (daripada yang kerabat) di dalam kitab Allah…” (Al-Anfal: 75)

“…Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturahmi…” (Al-Nisa’: 1)

“….dan berbuat baiklah kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, dan orang-orang miskin…” (Al-Baqarah: 83)

“Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta…” (Al-Baqarah: 177)

Dalam ayat-ayat di atas, Allah taala memerintah Muslim menunaikan hak ke atas kaum kerabat yang meliputi membantu mereka apabila berada dalam kesulitan atau lemah dan Allah taala juga menyebut ahli kerabat dahulu sebelum golongan lain yang perlu dibantu.

Setelah ahli keluarga, amanah membela warga tua hendaklah dipikul oleh masyarakat sebagai satu fardu kifayah yang wajib ditunaikan.

Hal ini kerana membela nasib warga tua termasuk di dalam makna melakukan al-ma`ruf, al-khair dan al-bir, iaitu melakukan perkara kebaikan atau amal soleh yang menjadi sifat umat Islam dalam firman Allah taala,

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung.” (Ali Imran: 104)

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah…” (Ali Imran: 110)

Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran…” (Al-Maidah: 2)

Kesemua ayat ini menggunakan kataganti antum (kamu) yang merujuk kepada ramai. Ia memberi makna bahawa tugas ini adalah tugas kolektif yang perlu ditunaikan sebagai satu masyarakat, bukan hanya dilakukan oleh individu sahaja.

Dalam hadis, Rasulullah s.a.w memerintahkan Muslim bukan hanya berbuat baik kepada ibubapanya tetapi juga kepada teman-teman ibubapanya. Rasulullah s.a.w bersabda, sebagai menjawab soalan mengenai berbakti kepada ibu bapa yang telah meninggal dunia, “mengirim doa (mendoakan) dan memohon ampunan kepada Allah, menepati janji dan nazar yang pernah dibuat oleh ibubapa, memelihara hubungan silaturahim serta memuliakan kawan dan kerabat ibubapamu.” (Riwayat Abu Dawud).

Oleh kerana, pada umumnya, teman-teman ibubapa seseorang berusia sebaya, ini sekali gus berupa anjuran agar Muslim sebagai individu turut menyumbang dalam membela nasib golongan tua yang bermula dengan rakan sebaya ibubapa mereka. Ini juga untuk menanam nilai bahawa seorang Muslim bukan hanya perlu menjaga kaum kerabat yang dekat yang memerlukan bantuan, tapi juga perihatin terhadap nasib orang lain. Bersama Muslim yang lain, sikap ini diterjemahkan dalam pelbagai inisiatif kemasyarakatan pula.

Secara amali pada hari ini, amanah dan tanggungjawab ini dipikul oleh badan-badan bantu diri Islam di Singapura seperti Muhammadiyah, Jamiyah dan Pertapis yang telah pun memainkan peranannya. Dalam konteks ini juga, masjid-masjid boleh juga digembeling untuk turut menyumbang dalam persoalan ini.

Akhir sekali tanggungjawab menangani warga tua adalah di bahu negara berdasarkan sikap Rasulullah s.a.w yang mengiklankan kepada orang ramai bahawa dia (selaku ketua umat Islam dan pemimpin mereka) akan mengambil alih apa jua beban yang tidak mampu ditunaikan oleh Muslim seperti hutang si mati yang tidak dapat dilangsaikan. Sabda beliau s.a.w, “Saya lebih utama [dalam menjaga hak Muslim] dari dirinya sendiri. Sesiapa yang meninggalkan harta, ia menjadi hak para warisnya. Tetapi sesiapa yang meninggalkan hutang dan …, ia kembali kepada aku dan menjadi tanggungjawab aku.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Tanggungjawab ini juga dipikul kerana negara, dalam Islam, adalah institusi yang bertanggungjawab untuk mengurus Baitul Mal, iaitu harta umum yang meliputi juga wang zakat yang dikutip untuk disalurkan kepada asnaf yang layak yang termasuk membela warga tua samada sebagai fakir, miskin atau fi sabilillah.

Perkara ini pula telah dicontohkan oleh Saidina Umar dalam sejarah bahawa beliau pernah terjumpa seorang tua Yahudi meminta sedekah. Apabila diberitahu bahawa dia melakukannya kerana untuk menyara hidup dan membayar jizyah, Saidina Umar r.a. memerintahkan pegawainya untuk memberi Yahudi tua itu sara hidup dari Baitul Mal dan mengecualikannya dari jizyah dan cukai-cukai lain seraya berkata, “Tidak wajar bagi kita membiarkan dia terlantar di usia tua, sedangkan kita kutip cukai darinya semasa usia mudanya.”[xii]

Imam Abu Yusuf dalam bukunya Al-Kharaj meriwayatkan kandungan perjanjian Khalid bin Al-Walid r.a., selaku ketua tentera Islam, dengan orang-orang Kristian di Al-Hirah, Iraq, 

“Mana-mana orang tua yang lemah dari bekerja atau ditimpa sakit atau dahulunya kaya tapi telah menjadi miskin dan saudara-saudara seagamanya bersedekah kepadanya, dihapuskan jizyah dari dia dan dibantu hidupnya dan keluarganya dari Baitul Mal selama mana dia tinggal di daerah kekuasaan Islam.”[xiii]

Dalam konteks kehidupan di Singapura, kebajikan warga tua sememangnya satu tugas yang telah sedia dipikul oleh pemerintah Singapura. Pelbagai perancangan dan pelaksanaan polisi sedang diusahakan melalui pelbagai agensi pemerintah yang mana ia dapat dan perlu dimanfaatkan oleh badan-badan Islam dan masjid-masjid bagi melaksanakan amanah yang dinyatakan di atas. Turut berada di bawah kategori ini ialah Muis selaku salah satu agensi pemerintah yang juga bertangungjawab dalam mengurus Baitul Mal dan wang zakat yang meliputi penjagaan hak kebajikan warga tua Muslim.

Penutup

Islam memberi perhatian mengenai isu penuaan di kalangan umat manusia. Penuaan bukan dilihat sebagai satu fenomena tabi’ii yang harus diterima dan dihadapi secara pasif. Sebaliknya, Islam anjurkan Muslim mengambil langkah proaktif untuk mempersiapkan diri dan masyarakat bagi menghadapi penuaan melalui perancangan dan pengurusan usia tua yang rapi. Ia adalah satu kewajiban yang diamanahkan ke atas setiap Muslim secara individu dan secara kolektif sebagai satu masyarakat serta mereka yang diberikan kuasa ke atas urusan masyarakat umum.

Atas dasar ini, usaha menangani isu penuaan oleh badan-badan Islam dan masjid-masjid perlulah digalakkan.

Langkah pertama ialah dengan memahami idea asas tentang Islam dan isu penuaan sebagai dasar yang dibangun di atasnya pelbagai program berkaitan penuaan. Semoga penulisan ini telah berjaya memberi sumbangan ke arah ini.

Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.

Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.


Rujukan

[i]Lihat Yusuf: 6 dan 101.

[ii]Lihat Yusuf: 43-55.

[iii]Lihat Ibid.

[iv]Lihat Ibid.

[v]Lihat Ibid dan Muhammad Haniff Hassan (t. t.), Islam dan Pengurusan Kewangan Diri, di http://haniff.sg/pautan/islam-pengurusan-kewangan-diri/ (23 September 2018).

[vi]Muhammad Haniff Hassan (2000), “Jadikan Hijrah iktibar perjuangan menuju kemajuan”, Berita Harian, 23 April.

[vii]Lihat Mahjabeen Ahmad (2017), Muslim Aged Care: A Practical Guide for Service Providers, Adelaide: Tanpa penerbit; Fuad `Abd Al-Mun`im Ahmad (1424H), “Al-Musinnun: Huququhum Wa Wajibatuhum Fi Al-Islam”, Al-Majallah Al-`Arbiyah Li Al-Dirasat Al-Amniyah Wa Al-Tadrib; Bensaid and Grine (2014); Ahmad and Khan (2016).

[viii]Yasin, Mubaraak dan Jani (2016); Al-Qaradhawi (2009).

[ix]Al-Zubaidi (2012); Al-Badr (2011).

[x]Lihat Muhammad Ahmad Al-Qudhah dan `Abir `Abd Al-Aziz `Arif Al-Tamimi (2012), “Haq Al-Musin Fi Ri`ayat Al-Usrah Fi Al-Shari`ah Al-Islamiyah Wa Al-Mawathiq Al-Dawliyah”, Al-Majallah Al-Urduniyah Fi Al-Dirasat Al-Islamiyah, 8:1; Al-Zubaidi (2012); Al-Sadhan (1999), ms. 24-52; Yasin, Mubaraak dan Jani (2016); Said (1989).

[xi]Bensaid and Grine (2014), ms. 150-5.

[xii]Al-Sadhan (1999), ms. 150; Sa`id (1989), ms. 32 and 35-6;

[xiii]Al-Qaradhawi (2009), ms. 10-1.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

related articles