Wasati (Sederhana Dan Adil) Dalam Menangani Perbezaan Dalam Amalan Solat: Satu Kajian Terhadap Hadis-Hadis Sifat Solat Rasulullah S.A.W. | Pergas Blog

wasat

wasati-dalam-menangani-perbezaan-dalam-amalan-solat

Wasati (Sederhana Dan Adil) Dalam Menangani Perbezaan Dalam Amalan Solat: Satu Kajian Terhadap Hadis-Hadis Sifat Solat Rasulullah S.A.W.

01 April 2017 4:35 pm // Written by Mohammad Yusri Yubhi Md Yusoff

Dengan kesedaran untuk mendalami ilmu agama semakin meningkat di kalangan masyarakat termasuk mempelajari amalan-amalan yang bersandarkan Sunnah[1]yang sahih, adab dalam menegur dan memberikan pendapat kadangkala diabaikan, sedangkan apa yang diperselisihkan sebenarnya masih lagi sealiran dengan Sunnah Rasulullah.

Bagi memahami perkara ini dengan lebih lanjut, saya akan membawa contoh-contoh hadis dalam amalan dan bacaan solat Rasulullah s.a.w. tentang bagaimana para ulama menilai dan mengamalkan hadis-hadis ini dan berbeza pendapat mengenainya.

Kajian kes pada hadis-hadis riwayat berkenaan sifat solat Rasulullah s.a.w

Bagi membawa gambaran yang lebih jelas mengenai hal ini, banyak perkara yang perlu dipertimbangkan, samada ia merupakan satu-satunya riwayat atau terdapat hadis-hadis dari riwayat-riwayat yang berlainan. Dalam sesetengah keadaan kadangkala memerlukan pengkaji untuk menghimpunkan hadis-hadis yang berkaitan dalam satu tajuk, penyelarasan atau mentarjih hadis-hadis yang saling bertentangan.[2]

Dalam perbahasan ini, penulis akan cuba memberikan contoh-contoh dari kajian riwayat-riwayat hadis mengenai sifat solat Rasulullah s.a.w. yang dapat dirumuskan melalui enam pembahagian di bawah.

Pertama: Keumuman hadis pada amalan solat.

Walapun tiada sebarang dalil daripada Al-Quran mahu pun Sunnah yang menunjukkan tentang cara Rasulullah s.a.w. melakukan atau menjatuhkan niat dalam solat beliau, amalan niat tetap dianggap sebagai perkara yang perlu untuk dilakukan dalam setiap ibadah termasuk solat berdasarkan keumuman hadis tentangnya yang diriwayatkan oleh Saidina Umar r.a., “Saya mendengar Rasulullah bersabda: ‘Hanyasanya semua amal perbuatan itu dengan disertai niat-niatnya dan hanyasanya bagi setiap orang itu apa yang telah menjadi niatnya….’”[3]

Menurut ulama mazhab Shafi`i yang menjadi pegangan rata-rata masyarakat Islam di Malaysia, Indonesia, Singapura dan juga di Nusantara ini, menjatuhkan niat di hati adalah fardu dan termasuk dalam rukun solat berdasarkan hadis riwayat ini. [4]

Menurut pendapat yang sahih di sisi mereka lagi seperti yang disebutkan dalam kitab Mughni Al-Muhtaj  karangan Imam Al-Khatib Al-Sharbini, niat diwajibkan ketika mula takbir sehinggalah selesai takbir.[5]  Manakala para ulama mazhab lain menyatakan kedudukan niatnya adalah semasa sebelum takbiratul ihram.[6]

Kedua: Kesepaduan hadis pada amalan dan bacaan solat.

Contoh kesepaduan hadis ini dapat dilihat melalui amalan melafazkan takbiratul ihram dalam solat.

Hadis pertama ialah, sabda Rasulullah s.a.w, “Anak kunci solat ialah kesucian dan tahrimnya (memasukinya) ialah takbir dan tahlilnya (menamatkannya) pula ialah salam.”[7]

‏Hadis kedua yang memperkuatkan hadis pertama di atas ialah sabda Rasulullah s.a.w,“…Jika kamu berdiri untuk mengerjakan solat, maka bacalah lafaz takbir.  Kemudian bacalah ayat Al-Quran yang terasa mudah bagimu [setelah sebelumnya membaca surah Al-Fatihah].”[8]

Hadis-hadis ini jelas menunjukkan bahawa takbiratul ihram disyariatkan pada permulaan solat sebelum dilakukan perbuatan atau diucapkan perkataan lain di dalam solat, malah jika tidak dimulakan dengan takbir maka rosak solatnya sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis pertama di atas.

Hadis ketiga pula menerangkan bentuk lafaz takbir yang diucapkan oleh Rasulullah s.a.w ketika bersolat, iaitu “Allahu Akbar”. Dari Abu Humayd r.a. berkata: “…Biasanya Rasulullah s.a.w. apabila berdiri untuk solat, beliau berdiri dengan lurus, mengangkat kedua tangannya setentang dengan kedua bahunya kemudian mengucapkan “Allahu Akbar”.”[9]

Ketiga: Amalan atau bacaan Nabi s.a.w dari sumber riwayat hadis-hadis sahih yang bertentangan.

Hadis-hadis bagi amalan atau bacaan Nabi dari sumber riwayat hadis-hadis sahih yang bertentangan dapat dilihat pada amalan beliau dalam mengangkat tangan ketika takbiratul ihram. Antara hadis yang menjelaskan perkara ini ialah:

1. Hadis mengangkat tangan setara bahu.

Dari Abdullah bin Umar r.a. dia berkata: “Apabila Rasulullah s.a.w. telah berdiri  untuk mengerjakan solat, beliau mengangkat kedua belah tangannya sampai sejajar dengan kedua bahunya, kemudian beliau bertakbir.”[10]

2. Hadis mengangkat tangan setentang telinga.

Dari Wa’il bin Hujr dia berkata: “Aku berkata, Aku benar-benar melihat solat Rasulullah s.a.w., dan melihat  bagaimana cara beliau mengerjakan solat. Selanjutnya Wa’il berkata: Rasulullah s.a.w. berdiri mengadap kiblat lalu bertakbir, beliau mengangkat kedua tangannya sehingga sejajar dengan kedua telinganya…”[11]

Melalui kedua hadis-hadis ini, jelas terdapat dua cara amalan Rasulullah s.a.w dalam bertakbir; a) mengangkat tangan ke paras bahu, dan b) mengangkat tangan hingga ke paras telinga. Kedua-duanya merupakan Sunnah Rasulullah.

Keempat: Amalan atau bacaan Nabi s.a.w yang bersumber dari riwayat yang umum maksudnya.

Dalam beberapa keadaan, terdapat juga amalan solat Nabi s.a.w. yang berpunca dari satu sumber riwayat yang mempunyai maksud yang umum, maka terdedah pula pada beberapa tafsiran ulama.

Contoh bagi perkara ini ialah hadis berkaitan dengan posisi tangan pada kedudukan qiyam (berdiri) dalam solat pada hadis, “Adalah Rasulullah s.a.w. dalam solat ketika qiyam meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri kemudian Baginda mengeratkan di antara kedua tangannya dan meletakkannya di atas dada.”[12]

Hadis ini menjelaskan posisi sebenar tangan kanan di atas tangan kiri ialah di bahagian atas dada. Sebahagian berpendapat ini adalah yang paling kuat kerana banyak diriwayatkan daripada hadis sahih tentangnya berbanding dengan riwayat yang menyatakan di bawah pusat yang terdiri daripada hadis berdarjat daif (lemah).[13]

Namun yang benar ialah meletakkan tangan di bahagian dada dan meletakkan tangan di antara atas pusat dan dada merupakan amalan Sunnah Rasulullah. Kedua-duanya bersumber daripada hadis yang sama dan berstatus sahih.

Pendapat pertama iaitu meletakkan tangan di bahagian dada merupakan maksud zahir hadis tersebut. Manakala pendapat kedua yang merupakan pandangan para ulama mazhab Shafi`i yang mengertikan bahawa lafaz hadis di atas dada yang dimaksudkan ialah di bahagian antara bawah dada dan atas pusat.[14]

Amalan meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri mereka di bahagian atas pusat dan dada inilah yang merupakan amalan kebanyakan masyarakat Islam di sini dan sekitarannya. Walau bagaimanapun meletakkan tangan di atas dada sebagai mengikut maksud zahir hadis juga tidak mejadi kesalahan, kerana kedua-dua amalan ini bersumber daripada Sunnah Rasulullah s.a.w.

Kelima: Riwayat hadis-hadis sahih yang berbeza-beza tentang lafaz bacaan tertentu.

Banyak sekali riwayat hadis-hadis yang sahih bagi amalan bacaan yang datang dari Rasulullah dalam solat beliau  s.a.w. Namun, artikel ini hanya akan berkongsi hadis-hadis pada amalan bacaan tashahhudNabi s.a.w disebabkan keterbatasan ruang.

Terdapat beberapa hadis-hadis yang berbeza yang menjelaskan lafaz bacaan Rasulullah s.a.w. Dalam hal ini, memadai saya berkongsi dua hadis sahaja:

1. Dari Abdullah bin Mas`ud berkata, “Kami dahulu apabila solat di belakang Nabi s.a.w., kami mengucapkan, [Ertinya]: Salam atas Jibril dan Mika’il, salam atas fulan dan fulan. Maka Rasulullah s.a.w. menoleh kepada kami dan bersabda: Sesungguhnya Allah adalah al-Salam. Apabila salah seorang di antara kalian solat, maka hendaklah ia mengucapkan,

التَّحِيَّاتُ لِلَّهِ وَالصَّلَوَاتُ وَالطَّيِّبَاتُ السَّلامُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ السَّلامُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللَّهِ الصَّالِحِينَ فَإِنَّكُمْ إِذَا قُلْتُمُوهَا أَصَابَتْ كُلَّ عَبْدٍ لِلَّهِ صَالِحٍ فِي السَّمَاءِ وَالأَرْضِ أَشْهَدُ أَنْ لا إِلَهَ إِلاّاللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ ‏ ‏مُحَمَّدًا ‏ ‏عَبْدُهُ وَرَسُولُه

[Ertinya]: Segala penghormatan untuk Allah, selawat dan kebaikan. Salam ke atasmu wahai Nabi dan rahmat Allah serta berkah-Nya, salam kepada kami dan kepada hamba-hamba Allah yang soleh) kerana sesungguhnya apabila kalian mengucapkan yang demikian, nescaya telah mencakup semua hamba Allah yang soleh di langit dan di bumi.  Aku bersaksi bahwa tidak ada sembahan yang sesungguhnya selain Allah, dan aku bersaksi Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya.”[15]

2. Dari Ibn Abbas r.a. bahawa dia berkata: “Rasulullah s.a.w. mengajari kita doa tashahhud sebagaimana beliau mengajarkan surah Al-Quran kepada kami. Beliau berkata,

التَّحِيَّاتُ الْمُبَارَكَاتُ الصَّلَوَاتُ الطَّيِّبَاتُ لِلَّهِ السَّلامُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللَّهِ  وَبَرَكَاتُهُ السَّلامُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللَّهِ الصَّالِحِينَ أَشْهَدُ أَنْ لا إِلَهَ إِللا اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ ‏ ‏مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّه

[Ertinya]: Kerajaaan, keberkatan, selawat, dan kebaikan adalah milik Allah. Semoga keselamatan, rahmat, dan berkah Allah tercurah kepadanya wahai Nabi.  Semoga keselamatan juga tercurah pada kami dan hamba-hamba Allah yang soleh. Aku bersaksi bahwa tidak ada Tuhan selain Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah utusan Allah.”[16]

Jelas daripada hadis-hadis yang disebutkan di sini dan juga dalam riwayat-riwayat sahih lain yang tidak disebutkan di sini, terdapat kepelbagaian lafaz tashahhud yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w kepada para sahabat. Ini menunjukkan beliau membaca lebih daripada satu jenis bacaan tashahhud. Kesemuanya harus dibaca kerana bersumber daripada Rasulullah s.a.w.[17]

Walaupun begitu, menurut Imam Al-Baghawi dalam kitabnya  Sharh Al-Sunnah, para muhaddith (ahli hadis) memilih riwayat hadis Ibn Mas‘ud sebagai riwayat yang paling kuat dan sahih dan kebanyakan para sahabat dan juga para tabi‘in memilih lafaz ini.

Adapun menurut Imam Shafi`i, riwayat bacaan tashahhud yang paling afdal lagi sempurna ialah tashahhud versi riwayat Ibn Abbas. Ia dianggap lebih utama kerana terdapat tambahan lafaz tambahan “Al-Mubarakat” yang bertepatan dengan ayat Al-Quran,[18] “Maka apabila kamu masuk ke mana-mana rumah, hendaklah kamu memberi salam kepada (sesiapa yang seperti) kamu dengan memohon kepada Allah cara hidup yang berkat lagi baik. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat (yang menjelaskan hukum-hukum-Nya), supaya kamu memahaminya.” (Al-Nur, 61)

Selain dari itu Ibn Abbas juga memperkuat versi tashahhud tersebut dengan keterangan bahawa Rasulullah mengajar para sahabat bacaan tashahhud sebagaimana beliau mengajarkan Al-Qur’an kepada mereka.[19]

Adapun salah satu faktor yang mengunggulkan lagi hadis Ibn Abbas adalah ia lebih akhir menerima dari Nabi s.a.w. berbanding dengan riwayat hadis-hadis tashahhud yang lain.[20]

Keenam: Riwayat-riwayat hadis yang berbeza darjat kesahihannya antara sahih dan daif pada amalan dan bacaan solat.

Terdapat dalam beberapa keadaan di mana hadis yang dikatakan sahih, tetapi dianggap sebagai daif pula di sisi ulama yang lain. Antara contohnya ialah amalan membaca doa qunut.

Terdapat sebenarnya beberapa pandangan yang berbeza di antara para fuqaha’, iaitu sama ada disyariatkan membaca qunut ataupun tidak.

Secara ringkasnya semua sebab ini pula berpunca dari perbezaan pendapat para ulama hasil dari hadis-hadis berkaitan bacaan qunut pada solat Subuh yang diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w.

Sebab pertama ialah Rasulullah s.a.w. tidak melakukan qunut dalam solat Subuh.

Ini bersandarkan dari hadis Abu Malik Al-Ashja`i dari ayahnya yang berkata: “Aku pernah solat di belakang Rasulullah s.a.w., dan belaiu tidak melakukan qunut. Aku juga pernah solat di belakang Abu Bakar dan beliau tidak berqunut. Aku pernah solat di belakang Umar dan beliau tidak berqunut. Aku juga pernah solat di belakang Uthman dan beliau tidak berqunut. Aku juga pernah solat di belakang Ali, dan beliau juga tidak berqunut. Kemudian dia berkata: Wahai anakku itu adalah bidaah.”[21]

Sebab kedua ialah Rasulullah s.a.w. melakukan qunut dalam solat subuh dan kemudian meninggalkannya.

Ini pula bersandarkan hadis dari Anas: “Bahawasanya Nabi s.a.w. melakukan qunut selepas ruku’ selama sebulan bagi mendoakan kejelekan ke atas satu kabilah daripada kabilah-kabilah Arab, kemudian beliau s.a.w. meninggalkannya.”[22]

Pada masa yang sama, riwayat Anas r.a. pada hadis kedua adalah untuk menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w. tidak lagi memanjatkan doa-doa seperti itu setelah turun firman Allah taala, “Engkau tidak berhak sedikitpun (wahai Muhammad) dalam urusan (orang-orang yang ingkar) itu, (kerana urusan mereka tertentu bagi Allah), sama ada dia menerima taubat mereka ataupun Ia menyiksa mereka; kerana sesungguhnya mereka itu orang-orang yang zalim.” (Ali Imran, 128)

Sebab ketiga ialah Rasulullah s.a.w. hanya kekal melakukan qunut pada solat Subuh dan meninggalkannya pada solat-solat yang lain.

Ini bersandarkan hadis dari Anas bin Malik r.a. meriwayatkan: “Sesungguhnya Nabi s.a.w. melakukan qunut selama satu bulan mendoakan ke atas mereka, kemudian beliau meninggalkannya. Sedangkan solat Subuh, Rasulullah s.a.w. melakukan qunut sehingga beliau wafat.”[23]

Bagi yang bermazhab Shafi`i, para ulama mazhab ini berpegang kepada hadis yang terakhir dan mereka menilai status hadis ini sebagai sahih. Dengan itu, mereka merumuskan, sebagai kesimpulan daripada himpunan hadis-hadis ini, Rasulullah s.a.w mengamalkan bacaan doa qunut pada mulanya ke atas seluruh solat fardu tetapi kemudiannya meninggalkannya dan hanya membacanya pada solat Subuh sahaja.

Namun terdapat juga para ulama yang melemahkan hadis yang digunapakai oleh para ulama mazhab Shafi`i ini.[24]

Kesimpulan

Melalui analisa ringkas dari kajian terhadap hadis-hadis sifat solat Nabi s.a.w. ini, dapat difahami bahawa perbezaan solat sebenarnya sudah berlaku sejak zaman Rasulullah s.a.w. hasil dari kepelbagaian riwayat mengenai cara solat Baginda s.a.w. sendiri. Demikianlah juga pada zaman para sahabat dan selepasnya yang menerima dan mencontohi amalan solat Rasulullah yang kadangkala berbeza dari satu ketika ke satu ketika yang lain.

Ini juga menunjukkan bahawa perbezaan solat itu sendiri adalah lumrah dan bukan satu perkara luar biasa dan hanya berlaku pada hari ini. Melalui riwayat-riwayat yang berbeza ini pula, ia kemudiannya menjadi pendapat para ulama mazhab dan hadis dalam menentukan amalan dan bacaan solat yang menjadi pilihan berdasarkan hadis-hadis yang sahihdan sebab-sebab tertentu yang menjadi hujah di sebalik pilihan bagi amalan yang afdal di sisi mereka.

Dengan memahami hujjah-hujjah dan dalil hadis di sebalik perbezaan amalan solat yang dilakukan di kalangan umat Islam, diharapkan akan menimbulkan sikap wasati dalam menilai dan mengamalkan sesuatu amalan, serta dapat menghapuskan sikap kurang adab dalam menerima perbezaan yang wujud serta sikap suka saling salah menyalahkan. Sebaliknya, umat Islam hendaklah menyemai sikap berlapang dada dalam menerima perbezaan pendapat dan amalan yang diperselisihkan, lebih-lebih lagi jika amalan yang diperselisihkan itu sebenarnya merupakan amalan yang bersandarkan kepada Sunnah Rasulullah s.a.w.

Artikel ini adalah sedutan, dengan sedikit olahan dan penambahan, dari disertasi penulis yang bertajuk Kefahaman dan Pengamalan Solat Berdasarkan Sunnah Rasulullah s.a.w.: Satu Kajian Di Kalangan Masyarakat Islam Singapura bagi ijazah Sarjana Usuluddin (Secara Disertasi), Jabatan Al-Quran dan Hadis dari Universiti Malaya pada tahun 2008. Kertas yang sama juga pernah dibentangkan semasa Seminar Hadis di Masjid Assyafaah pada 10 April 2016 yang lalu.

Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.

Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.


Rujukan:

[1] Sunnah di sini adalah merujuk pada, sebagaimana yang telah didefinisikan oleh ulama hadis, amalan dan kata-kata Nabi s.a.w. Lihat Dr. Nur Al-Din `Itr (1997), Manhaj Al-Naqd Fi `Ulum Al-Hadith, c. 3. Beirut: Dar Al-Fikr Al-Mu`asir, ms. 26 yang mendefinisikannya sebagai apa yang disandarkan kepada Rasulullah s.a.w. dari perkataan, perbuatan, taqrir, sifat-sifat peribadi dan sifat kejadian beliau s.a.w..

[2] Sila rujuk lebih lanjut pada kitab karangan Dr Yusuf Al-Qaradawi (1996), Huda Mohsin et al (terjld.), Bagaimana Berinteraksi Dengan Al-Sunnah, Kuala Lumpur: Budaya Ilmu, ms. 140.

[3] Al-Imam Muhammad bin Isma’il bin Ibrahim bin Al-Mughirah bin Bardizbah Al-Bukhari (2001), Sidqi Jamil Al-‘Attar (ed.), Sahih Al-Bukhari, Kitab Bad’ Al-Wahy, Bab Kayfa Kan Bad’ Al-Wahy Ila Rasul Allah, no. hadis 1, jld. 1, Beirut: Dar Al-Fikr, ms. 17.

[4] Dr. Anisah Bt. Abdul Ghani (2001), Konsep Dan Pengamalan Solat: Satu Kajian Di Zaman Rasulullah, Sahabat dan Tabi’in, Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publishers, ms. 146. Dinukil daripada kitab Al-Muhallakarangan Ibn Hazm. 

[5] Muhammad bin Muhammad Al-Khatib Al-Syarbini (2000), Mughni Al-Muhtaj Ila Ma`rifat Ma`ani Alfaz Al-Minhaj, jld.1,Bayrut: Dar Kutub Al-`Ilmiyyah, ms. 347.

[6] Sila lihat perbincangan ini dalam Fiqh `Ala Madzahib Al-Arba`ah oleh Al-Jaziri.

[7] Al-Imam Abu Dawud Sulayman bin Al-Ash`ath Al-Sajastani Al-Azdi (t. t.), Muhammad Muhy Al-Din  `Abd Al-Hamid (ed.), Sunan Abi Dawud, Kitab Taharah, Bab Fard Wudu’, no. hadis 61, jld. 1, t. tp.: Dar Ihya’ Al-Sunnah Al-Nabawiyyah, ms. 16. Hadis ini dinilai hasan oleh Imam Al-Baghawi, pengarang kitab Sharh Al-Sunnams. Lihat: Al-Imam Al-Husayn bin Mas`ud Al- Baghawi (1983), Shu‘ayb Al-Arnaut et al(ed.), Sharh Al-Sunnah, jld. 3, c. 2, Beirut: Al-Maktab Al-Islami, ms. 17.

[8] Al-Imam Muslim bin Al-Hajjaj Al-Qushayri Al-Naysaburi (1955), Muhammad Fu’ad `Abd Al-Baqi (ed.), Sahih Muslim, Kitab Al-Salah, Bab Wujub Qira’ah Al-Fatihah, no. hadis 45, jld. 1, Beirut: Dar Ihya’ Al-Kutub Al-`Arabiyyah, ms. 298.

[9] Al-Imam Muhammad bin Yazid Al-Qazwini (t. t.), Sunan Ibn Majah, Kitab Iqamah Al-Salah Wa Al-Sunnah Fiha, Bab Raf‘ Al-Yadayn Idha Raka‘a, Wa Idha Rafa‘a Ra’sah Min Al-Ruku‘, no.hadis 862, jld. 1, Beirut: Dar Ihya’ Kutub Al-‘Arabiyyah, ms. 280. Hadis ini dinilai sebagai sahih oleh muhaqqiq kitab Sharh Al-Sunnah iaitu Shu`ayb Al-Arna’ut dan Zuhayr Al-Shawis. Lihat Al-Imam Al-Husayn bin Mas‘ud Al-Baghawi, (1983), Sharh Al-Sunnah, Shu‘ayb Al-Arnaut et al (ed.), jld. 3, c. 2, Beirut: Al-Maktab Al-Islami, ms. 13.

[10] Al-Imam Abu Dawud Sulayman Ibn Al-Ash‘ath Al-Sajastani Al-Azdi (t. t.), Muhammad Muhy Al-Din  ‘Abd Al-Hamid (ed.), Sunan Abi Dawud, Kitab Al-Salah, Bab Raf‘ Al-Yadayn Fi Al-Salah, no. hadis 722, jld. 1, t. tp.: Dar Ihya’ Al-Sunnah Al-Nabawiyyah, ms. 192. Hadis ini dinilai sebagai sahih oleh muhaqqiq kitab Sharh Al-Sunnah iaitu Shu‘ayb Al-Arna’ut dan Zuhayr Al-Shawis. Lihat Al-Imam Al-Husayn bin Mas‘ud Al-Baghawi (1983), Sharh Al-Sunnah, Shu‘ayb Al-Arna’ut et al(ed.), jld. 3, c. 2, Beirut: Al-Maktab Al-Islami, ms. 22.

[11] Ibid., no. hadis 726, ms.193. Hadis ini dinilai sebagai sahih oleh Al-Albani dalam kitabnya Sahih Sunan Abi Dawud. Lihat: Muhammad Nasir Al-Din Al-Albani (2000), Sahih Sunan Abi Dawud, jld. 1,  c. 2. Riyadh: Maktabah Al-Ma‘arif, ms. 210.

[12] Al-Imam Abu Dawud Sulayman Ibn Al-Ash`ath Al-Sajastani Al-Azdi (t. t.), Muhammad Muhy Al-Din ‘Abd Al-Hamid (ed.), Sunan Abi Dawud, Kitab Al-Salah, Bab Wad‘ Al-Yamin ‘Ala Al-Yusra Fi Al-Salah,  no. hadis 759, jld. 1, Beirut: Dar Ihya’ Al-Sunnah Al-Nabawiyyah, ms. 201. Hadis ini dinilai sahih oleh Al-Albani di dalam kitab Sahih Sunan Abi Dawud. Lihat Muhammad Nasir Al-Din Al-Albani (2000), Sahih Sunan Abi  Dawud, jld. 1, c. 2. Riyadh: Maktabah Al-Ma‘arif, ms. 216.

[13] Al-Imam Muhammad bin ‘Ali bin Muhammad Al-Shawkani (1983), Nayl Al-Awtar Sharh Muntaqa Al-Akhbar Min Ahadith Sayyid Al-Akhyar, jld. 1, Beirut: Dar Al-Kutub Al-‘Ilmiyyah, ms. 189.

[14 ]Abu Zakariyya Muhyiddin bin Syarf Al-Nawawi, (t. t.) Al-Majmu` Syarh Al-Muhazzab Li Al-Shirazi, jld.3, Jeddah: Maktabah Al-Irsyad, ms. 267.

[15] Al-Imam Muhammad bin Isma‘il bin Ibrahim bin Al-Mughirah bin Bardizbah Al-Bukhari (2001), Sidqi Jamil Al-‘Attar (ed.), Sahih Al-Bukhari, Kitab Al-Adhan, Bab Al-Tashahhud Fi Al-Akhirah, no. hadis  831, jld. 1, Beirut: Dar Al-Fikr, ms. 200.

[16] Al-Imam Muslim bin Al-Hajjaj Al-Qushayri Al-Naysaburi (1955), Muhammad Fu‘ad ‘Abd Al-Baqi (ed.), Sahih Muslim, Kitab Al-Salah, Bab Tashahhud Fi Al-Salah, no. hadis 60, jld. 1, Beirut: Dar Ihya’ Al-Kutub Al-‘Arabiyyah, ms. 302.

[17] Al-Imam Muhammad bin ‘Ali bin Muhammad Al-Shawkani (1983), Nayl Al-Awtar Sharh Muntaqa Al-Akhbar Min Ahadis Sayyid Al-Akhyar, jld. 2, ms. 185.

[18] Al-Imam Al-Husayn bin Mas‘ud Al-Baghawi (1983), Shu’ayb Al-Arnaut et al. (ed.), Sharh Al-Sunnah,  jld. 3, c. 2, Beirut: Al-Maktab Al-Islami, ms. 183.

[19] Ibid.

[20] Al-Hafiz Ahmad bin ‘Ali bin Hajar Al-‘Asqalāni (1996), ‘Abd Al-‘Aziz bin ‘Abd Allah bin Baz (ed.), Fath Al-Bari Bi-Sharh Sahih Al-Bukhari, jld. 2, Beirut: Dar Al-Fikr, ms. 580.

[21] Al-Imam Ahmad bin Shu‘ayb bin ‘Ali bin Sinan Al-Khurasani Al-Nasa’i (2000), Sunan Al-Nasa’i, Kitab Al-Tatbiq, Bab Al-Tark Al-Qunut, no.hadis 1088, jld. 1, Stuttgart: Jam‘iyyah Al-Maktab Al-Islami, ms. 175. Hadis yang sama juga disebutkan dalam kitab Sunan Al-Tirmidhi dengan sanad hasan sahih sebagaimana yang dinyatakan oleh Shu‘ayb Al-Arna’ut dan Zuhayr Al-Shawish muhaqqiq kitab Sharh Al-Sunnah. Lihat:Al-Imam Al-Husayn bin Mas‘ud Al-Baghawi, (1983), Sharh Al-Sunnah, Shu‘ayb Al-Arnaut et al. (ed.), jld. 3, c.2, Beirut: Al-Maktab Al-Islami, ms. 123.

[22] Ibid., no.hadis 1087. Hadis ini dinilai sahih oleh Al-Albani di dalam kitab Sahih Sunan Al-Nasa’i. Lihat Muhammad Nasir Al-Din Al-Albani (1998), Sahih Sunan Al-Nasa’i, jld. 1, Riyadh: Maktabah Al-Ma‘arif, ms. 352.

[23] Ahmad ‘Abd Al-Rahman Al-Banna, (t. t.), Al-Fath Al-Rabbani Li Tartib Musnad Al-Imam Ahmad bin Hanbal Al-Shaybani, Bab Hujjat Al-Qa’ilin Bi Al-Qunut Fi Al-Subh Li Ghayr Nazilah, no.hadis 699, jld.3, Bayrut: Dar Ihya’ Al-Turath Al-‘Arabi, ms.302. Hadis ini dinyatakan oleh Imam Al-Nawawi bahawa sebilangan jamaah dari para Huffaz sebagai sahih dalam kitabnya Abu Zakariyya Muhyi Al-Din Yahya bin Syarf Al-Nawawi, (t. t.), Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab Li  Al-Syirazi,jld.3, Jeddah: Maktabah Al-Irsyad, ms. 384.

[24] Dinyatakan oleh muhaqqiq kitab Sharh Al-Sunnah iaitu Shu‘ayb Al-Arnaut dan Zuhayr Al-Shawish bahawa hadis riwayat Imam Ahmad, Imam Daraqutni, Imam Al-Baihaqi dan lain-lain ini sebagai dha’if. Lihat Al-Imam Al-Husayn bin Mas‘ud Al-Baghawi (1983), Shu’ayb Al-Arna’ut et al. (ed.), Sharh Al-Sunnah,  jld. 3, c. 2, Beirut: Al-Maktab Al-Islami, ms. 124.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


The reCAPTCHA verification period has expired. Please reload the page.

related articles