Surah al Qalam ayat 4 ini menunjukkan pujian dan pengakuan Allah s.w.t terhadap tingginya budi pekerti, akhlak atau etika Rasulullah s.a.w. sehingga Allah menggunakan kalimat nakirah (am) yang menunjukkan bahawa segala perilaku baginda mengandungi akhlak yang boleh diikuti juga diteladani.
Rasulullah s.a.w. dianggap sebagai model utama manusia yang beretika kerana keseluruhan kehidupannya berpandukan al Quran, sesuai dengan hadis dari Saad Bin Hasyim yang mendatangi Aisyah r.a. dan meminta penerangan, “berilah aku khabar tentang akhlak Rasulullah s.a.w. maka Aisyah menjawab, “akhlak baginda adalah al Quran, tidakkah kamu membaca ayat (al Qalam : 4)?”
Al Quran banyak menyentuh soal akhlak dan etika terutama dalam era Mekah melalui ayat-ayat ketauhidan. Baginda diutus kepada orang Arab khasnya orang Mekah pada awalnya untuk memperbaiki akhlak mereka sehingga disebut zaman Jahiliyyah. Namun risalah Rasulullah s.a.w khususnya ajaran dan akhlak boleh diamalkan oleh setiap umat tanpa batasan tempat dan masa.
Etika dalam aspek ketuhanan dan ketaatan
Allah s.w.t. berfirman dalam Surah al-Isra ayat 23-24 :
Ertinya : … dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari kededuanya, atau kededuanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereak perkataan yang lembut mulia (yang bersopan santun)… dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”
Etika kepada Allah s.w.t. sebagai makhluk hendaklah mengakui dan mengabdikan diri sebagai hamba, tidak menduakanNya, tunduk taat dalam melaksanakan perintahNya. Ibarat seorang pekerja, ia mesti bekerja untuk keperluan majikan, bukan hanya mengaku dan menerima jawatan sebagai pekerja tanpa melakukan kerja. Namun Allah bukan majikan sehingga perlu akan ibadah
hambaNya, hanya kiasan mudah sahaja.
Etika kepada Allah diikuti dengan etika kepada kededua ibu bapa yang telah mendidik anak-anaknya. Allah memberi kedudukan yang sangat tinggi kepada ibu bapa dengan menyebutkannya setelah nama Allah, hingga keredaan dan murka Allah bergantung kepada mereka berdua.
Keimanan dan etika
1. Kuatnya kaitan antara keimanan dan etika termaktub dalam Surah at Taubah : 119 :
Ertinya : Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang-orang yang benar / jujur.
Jujur merupakan asas etika kehidupan dalam bermasyarakat, sama ada dalam amanah, perniagaan dan lainnya.
2. Ibadah mempunyai dampak etika dalam masyarakat, sebagai contoh adalah solat, Allah s.w.t. berfirman dalam Surah al Ankabut : 45 :
Ertinya : “…bacalah serta ikutlah (Wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari al Quran, dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan”.
Orang yang benar-benar mendirikan solat dan menghayati ajaran Islam akan terserlah keperibadiannya sebagai manusia penuh sopan santun lagi bersifat positif.
Dalam pelaksanaan ibadah haji pula, Allah swt menetapkan etika juga syariatnya agar sekembalinya dari menunaikan haji, jemaah akan mendapatkan gelaran haji mabrur lantas dapat menyebarkan kebaikan kepada orang di sekelilingnya. Semasa pentarbiahan haji, Allah swt berfirman dalam al Baqarah : 197 :
Ertinya : “… (masa untuk mengerjakan ibadat) haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. maka sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar…”
3. Etika juga merupakan syarat sahnya transaksi perniagaan mengikut Islam, ianya mesti jujur, persetujuan kedua belah pihak, antara ayatnya adalah firman Allah pada Surah an Nisa’ : 29 :
Ertinya : “… wahai orang-orang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri, sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu”.
4. Islam melaksanakan hukum hudud dan qisas untuk mencegah perbuatan yang tidak beretika seperti membunuh, berzina, mencuri dan lainnya agar kehidupan di dunia akan lebih aman damai sebagaimana firmanNya dalam Surah al Baqarah : 179 :
Ertinya : “… dan di dalam pelaksanakan hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertakwa”.
Sebagai penutup, Abdullah Bin Umar bertanya, “Wahai Rasulullah, siapakah mukmin yang paling mulia?” Rasulullah s.a.w menjawab, “Orang yang paling baik etika atau akhlaknya”.
Anas Bin Malik r.a. berkata : “Seorang hamba akan mencapai derajat yang sangat tinggi di akhirat disebabkan etika dan akhlaknya yang mulia, walau mungkin kurang ibadah (sunnah)nya, sebaliknya, dia akan ke neraka jika mempunyai etika yang buruk walau ia ahli ibadah.
Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.
Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.
Comments:
nana commented on Etika Dalam Al Quran: terima kasih perkongsian.