Islam dan Kemajuan | Pergas Blog

newest article

islam-dan-kemajuan

Islam dan Kemajuan

15 November 2018 8:39 am // Written by Muhammad Husin bin Masnin;

Islam adalah agama syumul menyentuh segenap aspek kehidupan seperti kepimpinan; kemasyarakatan; kekeluargaan; kebersihan dan sebagainya. Islam juga sesuai diamalkan pada setiap zaman dan daerah. Ajaran Islam juga tidak memisahkan antara kehidupan di dunia dan akhirat. Tidak pula menumpukan sepenuhnya kehidupan di akhirat di samping menyisihkan kehidupan di dunia ini atau sebaliknya. Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Qasas ayat 77:

“Dan carilah (pahala) negeri akhirat dengan apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu, tetapi janganlah kamu lupakan bagianmu di dunia dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah  berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi. Sungguh Allah tidak menyukai orang yang berbuat kerosakan”.

Menerapkan ajaran Islam dalam kehidupan tidak akan menghasilkan masyarakat yang mundur. Bahkan kemunduran yang berlaku sebenarnya adalah berpunca daripada penyisihan ajaran Islam dalam kehidupan. Justeru akal tidak boleh mengatasi wahyu, atau dalam erti kata yang lain akal tidak boleh didahulukan atau diutamakan lebih daripada wahyu. Apabila berlaku sebaliknya maka akan berlakulah kerosakan dunia ini. Wahyu atau syariat Islam diturunkan adalah sebagai garis pandu demi untuk menjamin kesejahteraan dan keselamatan dunia, seperti pengharaman arak; zina; riba; judi dan sebagainya.

Kemajuan hakiki tidak diukur hanya dari sudut pandang zahir sahaja seperti kehidupan mewah di kalangan masyarakat; bangunan pencakar langit tersergam indah di kotaraya; keadaan ekonomi yang sentiasa stabil dan sebagainya. Tetapi perlu juga diukur dari sudut pandang batin atau rohani. Justeru kemajuan hakiki tidak akan berlaku jika hanya kaya harta tetapi papa pahala; hanya mendalami ilmu dunia tetapi tidak ilmu agama; hanya menginginkan hiburan tetapi tidak keredhaan Tuhan; hanya mengerti peraturan alam tetapi tidak syariat Islam; hanya takut dipenjara tetapi tidak pula dosa.

Ini sepertimana yang dikatakan oleh Prof. Naquib Al-Attas dalam bukunnya Islam dan Sekularisme: “Perubahan (change), pembangunan (development) dan kemajuan (progress) menurut pandangan Islam merujuk pada kembali ke Islam yang asal seperti yang diajarkan dan diamalkan oleh Nabi s.a.w dan sahabat-sahabatnya yang mulia dan para pengikutnya (semoga Allah meridhai mereka), dan iman serta amalan dari umat Islam sejati setelah mereka”.

Justeru dengan memahami dan mengamalkan ajaran Islam dengan berpegang teguh kepada Al-Quran dan As-Sunnah dapat menghasilkan masyarakat yang maju dan berjaya bukan hanya di dunia, bahkan di akhirat jua. Ini terbukti dengan lahirnya peradaban Islam dan juga tokoh-tokoh ilmuwan Islam yang hebat seperti Ibn Sina; Al-Farabi; Al-Khawarizmi; Ibn Firnas; Ibn Al-Haitham dan ramai lagi. Ini disebabkan pemahaman mereka yang mendalam terhadap ajaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.

Islam bukan hanya menekankan hubungan antara hamba dengan Tuhannya sahaja, bahkan meliputi makhluk-makhluknya juga seperti manusia; haiwan dan alam persekitaran. Justeru menganggap Islam hanya menyentuh aspek rohani atau batin sahaja adalah salah. Pengamalan Islam bukan hanya di masjid sahaja, tetapi di semua tempat dan daerah.

Kekeliruan inilah yang menjadikan citra Islam dipandang rendah dan diperkatakan oleh masyarakat yang bukan muslim. Bagaimana negara yang digelar negara Islam dan majoriti penduduknya adalah muslim tetapi pengamalannya terhadap Islam agak kabur. Apabila dilihat dari sudut pentadbirannya; pendidikannya; keselamatannya; kebersihannya dan sebagainya, agak menyedihkan dan mengecewakan. Walhal perkara ini telah ditekankan dan diajarkan di dalam Islam.

Tetapi apabila dibandingkan dengan negara yang majoriti penduduknya bukan muslim dan digelar negara sekular, anehnya perkara-perkara tersebut dijaga dengan baik dan rapi. Ini seperti mana yang pernah dikatakan oleh Syeikh Muhammad Abduh: “Aku telah pergi ke barat dan aku melihat Islam tetapi aku tidak melihat Muslim, dan aku telah pergi ke timur, aku melihat muslim tetapi aku tidak melihat Islam”

Tidak memadai dengan hanya banyaknya jumlah penduduk muslim tetapi pengamalan terhadap ajaran Islam tidak dititikberatkan. Tidak memadai hanya menjaga kebersihan dan akhlak di masjid tetapi di luar tidak diamalkan jua. Tidak memadai hanya berbudi baik sesama muslim tetapi tidak pula kepada yang bukan muslim.

Oleh yang demikian, kehidupan dengan memisahkan ajaran Islam adalah mustahil berlaku. Ini kerana segala perkara yang baik dan memberi maslahat terhadap masyarakat dan dunia ada dalam Islam. Hanya pemisahan ajaran Islamlah yang akan menimbulkan kerosakan dan kerancuan dunia ini.

Seeloknya masyarakat Islam perlu menonjolkan contoh budi yang lebih baik terhadap yang bukan Islam. Jika perkara ini berlaku sebaliknya atau dalam erti kata yang lain akhlak dan budi mereka yang bukan beragama Islam lebih elok dari yang beragama Islam, ini patut dikesali. Adakah mereka lebih Islam dari yang muslim? atau muslim sendiri tidak faham Islam?

Dengan mencontohi keperibadian Rasulullah s.a.w dan mengamalkan sunnahnya akan melahirkan masyarakat yang maju. Ini juga secara tidak langsung dapat memadamkan tanggapan bahawa Islam ini adalah agama yang mundur. Ini juga dapat menghapuskan kekeliruan masyarakat terhadap ajaran Islam itu sendiri. Islam yang diturunkan oleh Allah s.w.t bukan hanya untuk menjadi gelaran sahaja, tetapi untuk diamalkan dalam kehidupan seharian agar tidak tersasar dari landasan yang benar.

Justeru benarlah apa yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Malik: “Aku telah tinggalkan pada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selama berpegang kepada keduanya (iaitu) Kitab Allah dan Sunnah Rasulnya”. Wallahu a’lam…

Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.

Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.

MASYARAKAT PERSPEKTIF ISLAM ISLAM DAN KEMAJUAN KEMAJUAN KEHIDUPAN MUSLIM


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

related articles