Islam, Melayu dan Budi | Pergas Blog

newest article

Melayu
Follow by Email
Facebook
GOOGLE
Twitter
LINKEDIN

Islam, Melayu dan Budi

21 August 2019 8:46 am // Written by Muhammad Husin bin Masnin;

 

Yang kurik ialah kundi

Yang merah ialah saga

Yang baik ialah budi

Yang indah adalah bahasa

Kedatangan Islam di setiap pelosok dunia telah memberikan cahaya kemajuan dan kejayaan hidup kepada masyarakat dan bangsa yang dahulunya hidup dalam kegelapan dan kemunduran. Kehidupan yang diselubungi dengan ketakutan, kezaliman dan peperangan dapat diubah menjadi kehidupan yang aman, adil dan berkasih sayang. Ini dapat dilihat bagaimana bangsa arab yang hidup dalam keadaan jahiliyyah mampu bangkit dan mencapai peradaban yang memberi perubahan pesat terhadap dunia. Sejarah membuktikan bagaimana tamadun Islam memberikan kesan terhadap masyarakat Eropah yang ketika itu di dalam zaman Dark Age sehinggakan dapat beralih ke zaman Renaissance. Ini diperkatakan dengan baik oleh Syeikh Abul Hasan Ali An-Nadwy di dalam bukunya Madza Khasira al-Alam Bi Inhitaatil Muslimin atau terjemahannya Kerugian Dunia Karena Kemunduran Islam.

Penyebaran Islam tidak hanya terhad di rantau Arab sahaja, malah dengan semangat keimanan yang teguh, para pendakwah sanggup mengharungi lautan demi menyampaikan risalah ketauhidan terhadap bangsa-bangsa selain Arab. Cahaya Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. dan diteruskan oleh umatnya turut memberi kesan yang mendalam terhadap masyarakat di daerah Kepulauan Melayu-Indonesia. Agama Hindu-Buddha yang mula menjadi anutan di rantau ini telah bertukar menjadi agama Islam hasil dari para mubaligh Arab yang belayar ke sini. Kesan dari perubahan agama itulah yang telah merubah pandangan alam atau worldview masyarakat Melayu menjadi masyarakat yang bertamadun berteraskan Islam. Amalan khurafat, tahayul dan sistem pengkastaan telah diubah menjadi masyarakat yang mementingkan ilmu dan intelek di samping mengamalkan budi pekerti yang tinggi. Ini boleh dirujuk di dalam buku Islam dalam sejarah dan kebudayaan Melayu oleh Prof. Syed Naquib Al-Attas.

Seorang wanita Russia yang pakar dalam sejarah dan alam Melayu, Prof. Tatiana Denisova, apabila ditanya di dalam rancangan wawancara ‘Bicara’ di Singapura, mengenai apakah keistimewaan tamadun dan orang Melayu? Jawapan beliau ialah adab, kesopanan dan kelembutan. Menarik untuk dilihat di mana adat dan kebudayaan Melayu mementingkan akhlak atau budi yang baik. Ini selari dengan sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah: “Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang baik.” [H.R. Ahmad]

Akhlak, tingkah laku atau kelakuan boleh dimaksudkan sebagai budi. Malah perkataan budi juga membawa erti akal, kebijaksanaan. Maka orang yang berbudi disebut sebagai ‘budiman’. Manakala perkataan ‘budaya’ pula adalah asal dari gabungan ‘budi’ dan ‘daya’. Menurut Haji Agus Salim, ‘budi’ itu unsur yang mengandungi makna akal, fikiran, pengertian, kefahaman, pendapat dan perasaan. Manakala ‘daya’ itu membawa makna ikhtiar, kekuatan, kesanggupan atau kemampuan.

Pendeta Dr. Muhammad Ariff Ahmad berkata di dalam bukunya Nilam, bahawa budi dapat dibahagikan kepada tiga: budi pekerti, budi bicara dan budi bahasa.

1) Budi pekerti terbahagi pula kepada dua:

a. Perilaku seseorang yang dilakukan untuk kebajikan dan manfaat bagi dirinya sendiri, seperti berdiri, berjalan, duduk, makan dan sebagainya.

b. Perilaku seseorang berbuat kebajikan yang menyentuh pemandangan, perasaan dan sahsiah orang lain sama ada peribadi atau masyarakat, seperti berpakaian, bertutur, membantu dan sebagainya.

2) Budi bicara: ialah prakarsa atau inisiatif serta kebijaksanaan seseorang mewujudkan minda dan rasa (hati) yang baik dalam dirinya. Seperti adil, saksama, sabar, yakin, tenang, berani dan sebagainya.

3) Budi bahasa: ialah perilaku yang merupakan manifestasi peribadi seseorang, iaitu yang jadi ukur tara untuk menentukan nilai, maruah dan harga diri seseorang. Dengan melihat budi bahasanya, penilai sudah dapat menilai peribadi seseorang. Budi Bahasa itu selalu dikaitkan orang dengan adab dan adat.

Jika seseorang mengatakan ‘orang itu tidak faham bahasa’, bermakna dia tidak tahu adat, sopan santun, atau budi. Justeru budi dan bahasa tidak dapat dipisahkan dalam bangsa Melayu. Maka terdapatlah kata-kata seperti bahasa jiwa bangsa, bahasa melambangkan bangsa, budi bahasa budaya kita. Sama juga seperti pantun:

 Kuat rumah kerana sendi,

Rosak sendi rumah binasa,

Kuat bangsa kerana budi,

Rosak budi hancurlah bangsa.

Budi, adab dan kesopanan ini boleh dilihat dalam adat dan budaya masyarakat Melayu contohnya dalam pergaulan seharian mereka. Bagaimana cara berinteraksi dengan orang yang lebih tua seperti tidak menyampuk ketika mereka sedang bercakap, mencium tangan mereka apabila bersalaman, menunduk apabila melintas di hadapan mereka dan sebagainya.

Peribahasa Melayu juga tidak terlepas dari mementingkan sifat mulia dalam diri seperti ‘bawa resmi padi, makin berisi makin tunduk’ menunjukkan pentingnya sifat merendah diri; ‘ikut hati mati, ikut rasa binasa’ atau ‘ikut hati mati, ikut mata buta’ menunjukkan akan bahayanya menurut hawa nafsu.

Jika dilihat pada adat pantang larang Melayu pula, terdapat juga cerminan akhlak atau budi yang baik seperti dilarang duduk di atas bantal kerana dipercayai akan timbul bisul. Tetapi ia sebenarnya kerana bantal itu merupakan tempat untuk meletakkan kepala dan tidak sopan jika diletakkan punggung. Ada juga pantang larang terhadap haiwan seperti larangan menyakiti haiwan kerana dikhuatiri anak yang bakal lahir akan mengalami kecacatan. Tetapi sebenarnya larangan itu bertujuan untuk mengelakkan penganiayaan terhadap haiwan. Dalam pemakanan turut ada pantang larangnya juga seperti ketika memakan nasi maka perlu dihabiskan jikalau tidak nasi itu akan menangis. Sebenarnya ia bertujuan untuk mengelakkan berlakunya pembaziran.

Terdapat banyak lagi perkara-perkara di dalam adat dan kebudayaan Melayu yang mementingkan soal akhlak, adab dan budi sama ada terhadap diri sendiri, orang lain, haiwan dan hatta kepada alam seperti peribahasa ‘berbudi kepada tanah, tanah tidak tipu’. Ini selari dengan ajaran Islam yang mementingkan penjagaan hubungan terhadap semua makhluk. Maka tidak mustahil masyarakat Melayu dikenali dengan kelembutan, kesopanan dan adabnya yang tinggi.

Pulau Pandan jauh ke tengah

Gunung Daik bercabang tiga

Hancur badan dikandung tanah

Budi yang baik dikenang jua

Akhir sekali, perhatikan gurindam dua belas fasal yang kelima oleh Raja Ali Haji:

 Jika hendak mengenal orang berbangsa

Lihat kepada budi dan bahasa

 

Jika hendak mengenal orang berbahagia

Sangat memeliharakan yang sia-sia

 

Jika hendak mengenal orang mulia

Lihatlah kepada kelakuan dia

 

Jika hendak mengenal orang yang berilmu

Bertanya dan belajar tiadalah jemu

 

Jika hendak mengenal orang yang berakal

Di dalam dunia mengambil bekal

 

Jika hendak mengenal orang yang baik perangai

Lihat pada ketika bercampur dengan orang ramai.

Wallahu a’lam.

MUSLIM LIFE


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

related articles