Isu Fahaman Inklusif, Eksklusif dan Keabsahan (Legitimacy) Agama | Pergas Blog

newest article

isu-inklusif-eksklusif-dan-keabsahan-agama-1

Isu Fahaman Inklusif, Eksklusif dan Keabsahan (Legitimacy) Agama

15 November 2018 9:22 am // Written by Mohammad Jakfar bin Embek;

Dari sudut definisi kemajmukan atau “pluralisme’ (kata nama) itu sendiri, ia membawa pelbagai definasi daripada majmuk dari aspek perbuatan atau pengamalannya. Ada yang berpandangan dari sudut falsafah ideologi atau pegangan (bukan maksudnya di sini), tindakan sosial, atau kedudukan (state of being). Ia juga di lihat pada siapa yang menuturkannya dan di mana zon budaya si penutur itu.

Justeru, dalam perdebatan tentang faham kemajmukan atau ‘pluralisme’, istilah keekslusifan dan sejauh mana tuntutan sesuatu   agama itu boleh mengabsahkan agama lain, merupakan satu polemik yang amat sensitif. Pada seorang pengamal fahaman kemajmukan sudut faham liberal-humanis, kebenaran tidak pernah ekslusif, dan tidak juga boleh dituntut oleh mana-mana tradisi atau budaya. Walaupun perkara itu boleh dipertikaikan daripada aspek keimanan seorang Islam, namun ia tidak pernah menjadi penghalang sudut pergaulan dan interaksi sosial antara agama dan kaum.

Keekslusifan, Inklusivism, Pluralism & Nihilism

Menurut Dr Andrew Pessin,  Professor Falsafah di Connecticut College dan  juga penulis “The God Question”, (Huntington Post,  25 Mei 2011),  terdapat perbezaan makna antara keekslusifan, inklusifan, pluralism dan nihilism.

1)   Keekslusifan sebagai kedudukan bahawa kebenaran dan kebenaran sebenar adalah milik sesuatu agama itu sendiri, dan selain agama itu yang berlainan daripadanya adalah salah.

2)   Inklusivism. Kedudukan di mana kebenaran itu adalah milik sesuatu agama, namun membenarkan bahawa lain agama boleh berkata tentang kebenaran yang sama – walaupun tidak secara jelas eksplisit, namun cukup jelas atau mencukupi. 

3)   Pluralism.  Pandangan bahawa semua agama pada umumnya adalah serupa atau lebih kurang benar atau seumpama betul untuk mengatakan tentang kebenaran.

4)   Akhir sekali fahaman Nihilism.   Pandangan bahawa tiada agama yang benar sudut kebenaran itu sendiri, samada secara literal atau permasalahan perbezaan tentang kebenaran itu sekadar berlalu sahaja  Dan faham nihilism ini juga mempunyai dua polar pemikiran berbeza sedikit juga.

Fahaman Ahlu Sunnah Wal Jamaah

Dalam kelompok aliran berfaham ahlu sunnah wal jamaah, bahkan terdapat kecenderungan berbeza, khusus antara qaul mazhab Salaf dengan Khalaf.  Sesetengah tokoh Sufi (walaupun tidak semua sependapat dengan beliau) seperti tokoh Sufi daripada Amerika Syarikat beraliran tarekat Naqsyabandi, Sheikh Nizam Haqqani, anak didiknya Hisham Kahbani, dan Gabrail Haddad yang terkenal dengan sifat apologetik  yang pro aliran politik neo-konservatisme di Amerika Syarikat. Kepercayaannya pada teori falsafah fizik  ultimate truth “the black hole” (tentang sejarah kejadian manusia) dan kaitan dengan ultimate truth menjadi perbahasan pro dan kontra.  Terdapat  juga di kalangan aliran mazhab Sufi lebih terbuka menerima kebenaran (truth) luar daripada lingkungan agama Ibrahimiyah (Abrahamaic Faith) dengan memasukkan Buddha, Confucianism dan Hindu sebagai segolong dalam pengertian as Sabeiin dalam al-Quran, kerana dikatakan ada kebenaran pada keyakinan mereka.

Bersebab daripada pandangan politik Sheikh Nizam yang bersikap apologetic atau non-political ini, membawa kepada sikap mudah dipergunakan sebagai seteru politik dan polisi divide and rule dalam menangani kelompok-kelompok Islam. Ia amat digemari oleh ahli politik Amerika berfaham neo conservative untuk memukul kembali kelompok Islam yang punya kecenderungan politik. Bahkan di kalangan ahli politik berkenaan, beliau sering dinobatkan sebagai juara suara kesederhanaan. Isu “keabsahan” bukan sekadar peringkat faham keagamaan, bahkan dalam kancah politik juga terdapat realiti cantas mencantas.

Golongan berfaham aliran Salaf dalam Islam pula lebih dikenali dengan sikap yang amat berhati-hati sudut keabsahan (legitimate) apabila terkait dengan aqidah tauhid, walaupun ia tidak semestinya menggambarkan penolakan mutlak mereka pada menerima fahaman agama lain. Maka dengan itu mereka digelar sebagai golongan “puritan” oleh para akademik barat. Tokoh ulama beraliran Salaf seperti Ibn Taimiyah dan Imam Jauziy sering dijadikan jajaan kononnya sesat oleh sesetengah golongan khalaf Sufiyah atas dasar beliau (Ibn Taimiyah) yang mempunyai sikap sedikit ekslusif dari sudut paradigma tauhid disalah ertikan atau manipulasi ilmiyah. Sebagaimana yang dikatakan oleh Sheikh Ibn Bayah dalam videonya baru-baru ini, salah faham timbul kerana menjadikan rujukan teks cetakan salah (misprint) sebagai benar atau legitimate, sedangkan Ibn Taimiyah tidak menggunakan kata-kata menunjukkan sedemikian.   

Di sini kelihatan isu esklusif, inklusif dan keabasahan boleh sahaja dimanipulasikan mengikut kecenderungan seseorang, walaupun sudut retorik publiknya mereka menyatakan neutral. Inilah yang dikatakan fitnah era akhir zaman sebagaimana terjadi pada Saiyidatina Aishah dalam kisah haditsul ifki.

Ternyata bahawa konteks sosio-politik dan zon budaya yang berlainan melahirkan pandangan paradigma ulama Islam yang berbeza juga. Dengan itu memahami zon budaya, istilah yang digunakan oleh cendekiawan Islam, Ibrahim Abu Rabbi itu penting agar kita tidak terkeliru dan sering menyalahkan atau menyesatkan pandangan berbeza sedangkan ia dalam proses ijtihadiyah yang mempunyai nas tektual daripada nas al-Quran dan Sunnah juga.

Photo: BH File Photo

Faham Kemajmukan

Persoalan kebenaran dalam tradisi Islam boleh menjadi milik persepsi individu, seperti kata seorang cendekiawan dan ulama Islam masa kini, Prof Emeritus Dato’ Dr Mahmood Zuhdi dari Universiti Malaya, (dalam Ceramah MUIS), “…. walaupun secara dasarnya kita katakan kebenaran itu satu, namun pengertian terhadap takrif dan pemahaman kebenaran ini juga boleh mempunyai kepelbagaian persepsi.”

Daripada sudut faham kemajmukan kesediaan interaksi sosial, khususnya dapatan daripada laporan kaji selidiyang tercatat dalam ‘Singapore Inter-Racial and Religious Relations’ pada Ogos 2006 (Chin, Yolanda, Vasu, Norman, Nov 2007: 33) menyatakan bahawa “90% masyarakat dapat menerima bahawa pergaulan dan interaksi antara kaum dan agama” dan setentunya ini tidak semestinya membawa maksud bahawa masyarakat Singapura, umumnya bersikap lebih inklusif dan menerima mereka yang berlainan agama. Kerana kesediaan sudut interaksi sosial setentunya tidak bermakna sudah punya keselesaan untuk menerima kebenaran kelainan agama atau  membenarkan bahawa lain agama boleh berkata tentang kebenaran yang sama tentang agama lain sebagaimana takrif inklusif Andrew Pessin di atas. 

Bahkan umpamanya dalam pengamalan, ketika diminta untuk menghadiri acara kematian / pengkebumian mereka yang beragama lain atau menziarahi kunjungan belajar di tempat ibadah lain agama, selepas 50 tahun merdeka sebenarnya tidak terdapat penganjakan faham selesa, masih terdapat taboo sesetengah kalangan orang Islam sendiri bahawa ianya sama makna dengan menerima iktikad lain agama.

Justeru, kaji selidik Ogos 2006 itu sekadar merupakan satu ukuran paras keselesaan menerima kepelbagaian dalam masyarakat majmuk, dan tidak semestinya mencerminkan penerimaan terhadap dasar-dasar kemajmukan yang absah atau sebenar (the truth). Bahkan dalam kaji selidik untuk kajian disertasi sarjana saya (Islam and Religious Pluralism in Singapore Since Independent (1965) – Analytical Muslim Thoughts of Awareness, Responses and Challenges of Religious Pluralism) juga menunjukkan bahawa masih terdapat ketidakyakinan samada dalam perkara inter antara masyarakat agama lain di kalangan sesetengah kelompok Islam maupun dalam menerima persoalan inklusiviti dalam fahaman berlainan aliran (intra-diversities).

Bahkan selepas lakaran Piagam Kesederhanaan Dalam Beragama dihasilkan oleh Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas, 2003), masih ada golongan yang bertelagah dan belum memahami atau menerima Piagam ini, bukan dalam perkara inter-diversity, tetapi yang sering sengit dan bercelaru dalam perbezaan intra-diversity.

Kehadiran segelintir kelompok esklusif tegar dalam ahlu sunnah wal jamaah yang sealiran dengan fahaman “ahbash” (yang berpendapat mereka sentiasa benar) merumitkan lagi proses islah dan dan toleran antara kelompok berbeza dalam Islam (intra-diversities). Ini belum lagi isu esklusiviti, inklusiviti dan keabsahan apabila dibahaskan antara dua aliran berbeza dalam Islam; Sunni dan Shi’ah khususnya di Singapura dan Malaysia.

Kelihatan juga kecenderungan perbezaan dalaman ini juga mencorak sudut pemilihan kepimpinan dan profesionalisme budaya kerja di sesetengah organisasi Islam. Ini bermakna pemilihan di atas bukan lagi berdasarkan kepada keupayaan bekerja atau atas dasar merit dan integriti tetapi lebih kepada fahaman asobiyah berkelompok. Dasar mereka boleh sahaja terikut dengan sentimen ketaksuban kelompok (asobiyah), daripada hujjah ilmiyah dan etika profesionalisme kerja.             

Jika perdebatan di atas terjadi dalam kelompok Islam yang berbeza, sebenarnya dalam lingkungan masyarakat Kristian juga terdapat permasalahan sama. Ada juga terdapat perbezaan perspektif dalam mentakrif ‘exclusivist’ (seorang pengamal fahaman eksklusif) dan ‘inclusivist’ (pengamal inklusif). Isu yang timbul ialah sejauh mana penganut Kristian umumnya dapat menerima konsep “salvation” (penyelamatan) di ‘luar gereja’?  Seorang ilmuan, Roger Boase menukil kenyataan dari ahli-ahli “United Church of Canada” yang menyatakan “jika penyelamatan tidak berlaku di luar gereja, maka kami menolak penyelamatan atas diri kami; konsep penyelamatan pada kami adalah semua ciptaan disayangi oleh Nabi Isa a.s. Keberadaan kami tidak boleh berlaku tanpa yang lain-lain” (Boase, 2005: 24).

Fahaman “Salvation”

Fahaman ”salvation”  (penyelamatan) yang bersikap di atas juga dapat dikesan pengaruhnya di kalangan segelintir pemikir muda Muslim yang pada hakikatnya mereka  terpengaruh kepada fahaman inklusif-manusiawi (humanis).  Dalam satu program bertajuk “Developing Conversations” anjuran Pusat Harmoni, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) (Ogos 2009), terdapat seorang pegawainya yang mengatakan bahawa “putaran fahaman saya telah lengkap; dari seorang yang mulanya berfahaman fundamentalis, saya kemudian berubah menjadi konservatif dan kini saya seorang yang lebih inklusif. Saya tidak dapat menerima hakikatnya jika saya sebagai seorang Muslim berpeluang masuk syurga sedangkan teman-teman saya yang bukan Muslim tidak mendapat hak istimewa ini.” Pengakuannya itu setentunya menerima tepukan gemuruh daripada kalangan rakan agama-agama lain atas nama inklusivisme, namun setentunya menimbulkan permasalahan jika ditinjau dari sudut pandangan alam tauhid Islam.

Pandangan inklusif di atas mungkin dipunyai oleh sesetengah pemikir yang kelihatan bersikap falsafah kemajmukan (pluralisme), namun sudut perspektif tauhid Islam, kenyataan tersebut tidak boleh semudah merentasi kepada faham inklusif atau bersikap nihilisme. Justeru, meskipun jika saya mempunyai pandangan ‘ekslusif’ sudut paradigma tauhid dalam Islam, ia tidak seharusnya bermaksud bahawa saya telah mengabaikan tanggungjawab sosial untuk berbuat baik kepada orang berlainan keyakinan tauhid (agama) dari saya. Bagi agen-agen berkepentingan politik nasionalisme esklusif, sering sahaja isu ini dijadikan jajaan mengikut kepentingan politik nasionalisme mereka. Bahkan tidak kesamaan fahaman ini, apatah lagi mengandaikannya sebagai anti kerajaan.

Penutup

Oleh itu, semua istilah inklusif, eksklusif dan keabsahan (legitimacy) – bukan hanya boleh mempunyai takrif yang berbeza, bergantung pada siapa yang memberi penafsirannya dan apakah sudut pandangan worldview tauhidnya. Malangnya, ada kalanya sikap berhati-hati menerima  atau esklusif menurut pandangan aqidah ini, boleh dimanipulasi untuk keselesaan pilihan kepentingan politik lalu menjadi agak jauh menyimpang daripada takrif kontekstual dan tekstual dalam tradisi ilmu Islam yang sebenar.

Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.

Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.


Rujukan :

(1996, Jan). Othman Mohamed Fathi. Children of Adam – An Islamic Perspectives on Pluralism.Occasional Paper Series, Center for Christian Understanding History and International Affairs. Washington D.C.: George Town University.

(2005). Eck, Diana “Is Our God Listening? Exculsivism, Inclusivism, and Pluralism”. In Islam and Global Dialogue – Religious Pluralism and Pursuit for Peace.Edited by Roger Boase. Hants: Ashgate Publishing Litd, p. 24.

 (2007, Nov).  Chin, Yolanda and Norman Vasu. The Ties That Bind and Blind, A Report on Inter-Racial and Inter-Religious Relations in Singapore. Singapore: Centre for Excellence for National Security (CENS), S. Rajaratnam School of International Studies, (RSIS), Nanyang Technological University, p. 33.

(2009). Mohd. Jakfar Embek. Islam and Religious Pluralism in Singapore Since Independent (1965) – Analytical Muslim Thoughts of Awareness, Responses and Challenges of Religious Pluralism.Thesis for Master Degree in Muslim Community Studies, University of Gloucestershire, United Kingdom, 72 p.   

(2011, May 25). Pessin,  Andrew. The God Question. Huntington Post.

(2004 & 2014). Kesederhanaan Dalam Islam Dalam Konteks Masyarakat Islam Singapura. Singapura: Pergas, 415 hal.

ISU SEMASA FAHAMAN ISLAM DAN PEMIKIRAN KONTEMPORARI AGAMA


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


The reCAPTCHA verification period has expired. Please reload the page.

related articles