“Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” [Al-Hujurat: 13]
Kehidupan akan hambar dan membosankan jika kepelbagaian tidak wujud dalam dunia ini. Arus gelombang serta rona mengindahkan lagi alam ini dengan corak dan sifat yang berbeza. Kekurangan dan kelebihan pada setiap sesuatu merupakan lumrah kehidupan agar kita saling memanfaatkan kelebihan yang ada pada pihak lain dan menginsafi kekurangan yang ada pada diri sendiri.
Manusia diciptakan dengan pelbagai bangsa, budaya, sifat, fizikal dan sebagainya. Setiap manusia mempunyai kelainannya yang tersendiri walaupun dari segi sudut zahirnya dipaparkan dalam peribahasa Melayu ‘rambut sama hitam, hati lain-lain’. Justeru kelainan inilah membuatkan kita seharusnya saling berkenalan dan mempelajari antara satu sama lain dengan sikap hormat dan bertoleransi. Ini akan membuahkan masyarakat hidup dalam keadaan harmoni dan damai.
Jika dilihat sejarah dan juga dunia hari ini, kezaliman, perbalahan dan peperangan tetap berlaku di mana ianya telah menyebabkan kemusnahan dan pengorbanan yang besar. Sama ada kezaliman berlaku antara negara, bangsa atau fahaman dan sebagainya; dan lebih menyedihkan lagi apabila perbalahan berlaku sesama Muslim sehingga semangat perpaduan tidak berkumandang dan ini mengakibatkan kelemahan yang kian meruncing.
Perbezaan dan kepelbagaian sentiasa akan wujud dan akan membawa kepada keindahan jika ianya disertakan dengan keadilan. Dalam sejarah Islam awal, Rasulullah saw. telah menyatukan kaum Aus dan Khazraj yang telah lama bermusuhan tetapi akhirnya tunduk pada ajaran Islam yang menitikberatkan keadilan dan keihsanan. Hayati maksud firman Allah SWT di dalam surah An-Nahl ayat 90: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini) supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.”
Bangsa, keturunan dan warna kulit tidak memberikan kedudukan istimewa untuk menzalimi pihak lain. Perbezaan dari segi kuasa, pangkat dan kedudukan juga tidak membenarkan kekejaman dilakukan sewenang-wenangnya. Malangnya, sejarah dipenuhi dengan kisah sebuah kaum memangsakan kaum lain sehingga kemuliaan manusia dicemari. Pembunuhan beramai-ramai dengan tujuan menghapuskan sesebuah kaum sudah lama berlaku. Hak-hak yang perlu diberikan kepada rakyat secara adil disekat dengan alasan ‘perbezaan’. Jenayah hanya dikenali apabila ia dilaksanakan oleh golongan-golongan tertentu. Tidak dianggap salah jika ia dilakukan oleh orang-orang yang berkedudukan, tetapi sebaliknya jika dilakukan pihak lain maka itulah kesalahan sebenar.
Lihatlah bagaimana Rasulullah s.a.w. menitikberatkan keadilan walaupun pada ahli keluarganya. Baginda bersabda: “Wahai manusia, sesungguhnya yang membinasakan orang-orang sebelum kalian adalah jika ada orang yang mulia (memiliki kedudukan) antara mereka yang mencuri, maka mereka biarkan (tidak dihukum), namun jika yang mencuri adalah orang yang lemah (rakyat biasa), maka mereka menegakkan hukum atas orang tersebut. Demi Allah, sungguh jika Fatimah binti Muhammad mencuri, aku sendiri yang akan memotong tangannya.” [HR. Al-Bukhari dan Muslim]
Apabila jenayah dan kezaliman terus berlaku dengan alasan ‘mereka tidak sama dengan kita’, ia seakan menghalalkan perlakuan tidak adil dek perbezaan yang ada. Maka kekejaman ini akan terus berlaku kerana kecenderungan manusia untuk hidup dalam keadaan berbeza dan pelbagai. Justeru keadilanlah yang akan memperlihatkan persatuan dalam perbezaan yang ada.
Allah SWT memberi amaran dalam surah Al-Ma’idah ayat 8: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah lagi menerangkan kebenaran, dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”
Tidak mustahil untuk mencapai kehidupan yang harmoni dalam keadaan aman dan damai dengan masyarakat yang berbilang kaum, fahaman dan agama. Pimpinan Rasulullah s.a.w, sahabat serta para pemimpin yang adil membuktikan bahawa ini bukanlah mustahil. Malah penghijrahan sesuatu bangsa untuk bermastautin di sesebuah negara agar mendapat keadilan telah memberikan sinar kehidupan cerah pada mereka. Mereka diterima dengan baik oleh masyarakat walaupun berbeza dari sudut agama dan budaya.
Terdapat negara-negara yang mencapai kemajuan hasil memanfaatkan kepelbagaian masyarakatnya. Ertinya, dengan memanfaatkan kepelbagaian dan perbezaan akan menghasilkan sesuatu yang menguntungkan semua pihak. Ini dapat dicapai dengan menjulang panji keadilan di samping memberikan hak pada yang layak serta melaksanakan tanggungjawab dengan amanah.
Buya Hamka (1908-1981) di dalam bukunya Tasawuf Modern mengungkapkan erti adil: “Cabangnya ialah adil di dalam masyarakat, walaupun terhadap diri sendiri, adil pula di dalam melakukan siasat dan muslihat. Adil di dalam budi pekerti ialah perangai ‘iffah. Adil menghadapi lawan ialah memakai perangai syaja’ah. Adil di dalam pergaulan ialah menghindarkan lengah dan lalai. Adil di dalam melakukan siasat (politik) masyarakat ialah menenggelamkan kepentingan diri sendiri ke dalam kepentingan bersama.” Apa yang diperlukan adalah keadilan dan juga keihsanan dalam setiap perkara. Perbezaan dan kepelbagaian akan sentiasa wujud dan akan memberikan kesan yang positif jika ia diletakkan di tempat yang tepat.
dengarlah pada nada yang pelbagai, tika digabungkan ia menjadi harmoni; lihatlah pada rona yang pelbagai, tika digabungkan ia menjadi pelangi.