Keganasan Domestik – Peranan Asatizah | Pergas Blog

newest article

keganasan-domestik-peranan-asatizah-1

Keganasan Domestik – Peranan Asatizah

22 January 2019 2:43 am // Written by Mohammad Yusri Yubhi Md Yusoff;

Menurut catatan statistik Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MCYS), keganasan rumah tangga (domestic) terhadap wanita berkisar sekitar 74-76% dari tahun 2012 hingga 2016, manakala keganasan domestik (keluarga) terhadap lelaki berkisar antara 24-25% dalam tempoh yang sama. Keganasan domestik merangkumi kecederaan fizikal juga tekanan mental dan emosional yang dilakukan dalam kalangan ahli keluarga.

Mengikut Seksyen 64 Piagam Wanita (Women’s Charter), keganasan rumah tangga termasuk yang berikut:

  • Bersungguh-sungguh atau sengaja atau cuba meletakkan ahli keluarga dalam ketakutan atau kesakitan.
  • Menyebabkan kesakitan kepada ahli keluarga dengan melakukan sesuatu yang boleh mencederakan.
  • Sengaja menahan atau mendesak ahli keluarga untuk melakukan sesuatu tanpa keizinan atau kehendaknya.
  • Mengetahui bahawa gangguan atau desakan itu akan menyebabkan kesusahan kepada ahli keluarga atau memikirkan bahawa mereka dapat menerimanya.

Menurut statistik sepintas lalu yang dikeluarkan oleh  United Nations’ International Violence Against Women Survey  pada tahun 2009 dan 2010:

  • 9.2% golongan wanita di Singapura pernah mengalami kecederaan dan keganasan seks.
  • 23% wanita yang pernah mengalami serangan keganasan melaporkan secara rasmi.
  • 1 daripada 10 wanita di Singapura pernah mengalami keganasan secara fizikal daripada kaum lelaki.
  • 6 daripada 10 wanita mengalam keganasan fizikal yang berulang.
  • 71.7% Wanita yang mengalami serangan keganasan daripada pasangan kebiasaanya tidak melaporkan kepada polis.
  • 83% responden percaya wanita perlu kekal dalam hubungan walaupun mengalami serangan keganasan dalam keadaan tertentu.

Peranan Asatizah Dalam Membanteras Kes Keganasan Domestik

Sebagai golongan yang rapat dan dihormati oleh masyarakat, para asatizah mempunyai peranan yang cukup penting dalam memberi penerangan kepada masyarakat bagi membanteras kes keganasan domestik.

Ini dapat dilakukan di antaranya dengan memberikan kepada masyarakat perspektif yang sebenar dari sudut agama bagi mengubah tanggapan sesetengah pihak bahawa keganasan terhadap isteri merupakan satu perkara yang dibolehkan dari sudut agama.

Namun dalam hal ini, ada beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian dan perlu dilakukan oleh asatizah. Antara peranan dan pendirian yang perlu difahami oleh asatizah ialah:

Pertama: Faham isu

Asatizah terlebih dahulu perlu jelas isu keganasan domestik dan pandangan ulama dari sudut perbahasan maksud pukulan dalam Quran (rujuk ‘Maksud Nusyuz dan Darb’, Jurnal Dakwah 5, 2017: 118-122). Kegagalan dalam memahami isu ini akan memberikan kesan yang buruk kepada masyarakat.

Masyarakat akan menganggap bahawa bahawa pukulan merupakan hak suami dan keganasan boleh dilakukan oleh pihak suami. Sedangkan perbahasan ulama dalam perkara ini tidak semudah itu.

Kedua: Bersikap wasati

Perlu bersikap wasati dan sederhana dalam memahami pandangan mengenai ayat pukulan dalam Quran. Menolak bahawa ianya tiada dalam Quran juga merupakan satu perkara tiada asasnya, kerana terdapat ulama yang menyokong pukulan beserta syarat-syarat dilakukan pukulan.

Manakala menyatakan bahawa terdapat maksud pukulan di sisi para ulama tanpa penjelasan yang teliti juga boleh memberi kesilapfahaman dalam memahami nas Quran.

Ketiga:  Bersikap Pro-aktif 

Asatizah perlu bersikap pro-aktif dalam memperjuangkan keganasan domestik yang tiada tempatnya dalam agama.

Mereka juga boleh menggunakan wadah media sosial pada masa kini bagi menyampaikan kepada masyarakat tentang pengertian yang sebenar dan salah faham ayat tentang ‘pukulan’ dalam Quran ini. 

Keempat: Kerjasama Dengan Pihak Lain

Bagi memastikan isu ini dapat difahami masyarakat, adalah penting bagi golongan asatizah dan pemimpin masyarakat di badan-badan Islam setempat, agensi sosial kebangsaan serta individu-individu tertentu serta pihak yang perlu kerjasama dalam mencari huraian dan memberikan penjelasan kepada masyarakat.

Sikap Asatizah Dalam Menangani Kes Keganasan Domestik

Sebagai asatizah yang sering didampingi masyarakat bagi mendapatkan penjelasan untuk sebarang kemusykilan agama dan tidak terkecuali persoalan mengenai keganasan domestik, maka adalah penting untuk asatizah mempunyai sikap-sikap berikut apabila berdepan dengan persoalan ini:

Pertama: Memahami perspektif agama

Sikap yang utama yang perlu ada ialah membekalkan diri dengan pengetahuan yang mencukupi dalam isu yang diperlukan; dalam hal ini ialah pengetahuan dalam perkara keganasan domestik.

Asatizah perlu memahami perspektif agama mengenai permasalahan nusyuz dan juga tentang maksud ayat mengenai ‘pukul’ di dalam Quran. Mengapakanh diturunkan ayat tersebut dalam Quran, mengapakah ianya tidak sesuai diamalkan kini, dan mengapakah sewajarnya kita perlu mencontohi perilaku Nabi s.a.w. dalam melayan isteri dengan sebaik-baik layanan.

Kedua: Bersikap empati

Dalam berdepan dengan permasalahan ini, sikap penting yang perlu ada dalam diri asatizah ialah empati terhadap individu yang bertanya.

Maksud empati di sini ialah meletakkan diri kita dalam diri individu yang memerlukan bantuan kita. Dengan itu kita dapat berusaha menyelami emosi dan perasaan serta masalah yang dihadapi oleh individu tersebut.

Ketiga: Tidak bias dan menghukum

Usah sesekali bias dan menghukum. Itulah sikap yang perlu ada dalam diri para asatizah. Bukan terhadap isu ini sahaja, bahkan dalam isu apapun.

Dengan bersikap empati, ia dapat membantu dan tidak mudah menyalahkan sesiapa sama ada pihak suami atau isteri tanpa mendengar sebarang penjelasan dari kedua belah pihak terlebih dahulu.

Sikap tidak bias dan menghukum akan menjadikan para asatizah lebih objektif dalam memberikan huraian dan jalan keluar, serta memudahkan para asatizah menjelaskan pandangan agama terhadap keganasan domestik dan keburukan keganasan keluarga.

Keempat: Bijak dalam melakukan ‘referral’

Seperkara yang penting dalam hal ini, ialah para asatizah perlu tahu untuk merujuk kepada pihak yang lebih arif. Asatizah mungkin tempat pertama dirujuk, namun bagi menanganinya secara mendalam dan berterusan, asatizah perlu merujuk kepada pihak lain seperti para pekerja sosial di Pusat Perkhidmatan Keluarga (FSC) atau ke Institut Kesihatan Mental (IMH) bagi menangani trauma, masalah kemurungan dan sebagainya.

Pendidikan Islam Dalam Keganasan Domestik

Bagi langkah selanjutnya, pendidikan Islam dalam menangani perkara keganasan domestik ini juga perlu disesuaikan dengan naratif yang lebih terkini bagi menangani silap faham sesetengan masyarakat. Antaranya:

Nusyuz bukan hanya untuk isteri

Dalam Islam bukan hanya untuk isteri sahaja, tetapi juga untuk para suami juga. Ini bermakna para suami yang tidak bertanggungjawab atau melakukan keganasan terhadap isteri juga dianggap sebagai nusyuz.

Akhlak Nabi itulah Al-Quran

Mengubah naratif perbahasan ayat ‘pukul’ dari sudut pandangan ulama dan cara memukul yang dibenarkan kepada penekanan akhlak Nabi s.a.w terhadap para isterinya adalah sebaik-baik penafsiran terhadap konteks ‘pukulan’ dalam Quran, kerana akhlak Nabi itulah al-Quran.

Pukul isteri adalah tidak OK

Merujuk kepada tujuan di sebalik diturunkan ayat ‘pukulan’ kepada isteri adalah sebagai batasan pada amalan terdahulu dalam mendidik isteri, yakni tidak menjadi pukulan sebagai langkah pertama, sementara matlamat akhir sebenarnya ialah kembali kepada apa yang dianjurkan oleh akhlak Nabi sendiri iaitu tidak memukul isteri.

Dengan itu, mesej yang ingin disampaikan dalam Quran sebenarnya ialah pukulan adalah tidak OK.

Fokus pada tanggungjawab bersama

Pendidikan Islam dalam hal rumahtangga sewajarnya adalah menyeluruh meliputi tanggungjawab keduanya, dan tidak menumpukan kepada soal ketaatan isteri kepada suami sahaja, tetapi termasuk tanggungjawab seorang suami terhadap isteri yang perlu ditaati suami.

Islam melarang keganasan domestik

Keganasan domestik adalah sama sekali dilarang dalam Islam, tiada langsung keizinan memukul sehingga mencederakan, tamparan di muka, menendang atau sebagainya, malah bagi yang mengikut pendapat mendidik dengan pukulan juga tidak mengizinkan perkara-perkara sedemikian.

Pilihan dan langkah bagi mangsa keganasan

Kesedaran yang perlu ditekankan dalam hal pendidikan Islam mengenai

keganasan domestik juga perlu meliputi penekanan bagi pilihan yang ada pada diri isteri dalam membuat pengaduan kepada pihak berkuasa dan juga rujukan kepada agensi-agensi tertentu bagi membantu mereka.

Cara memilih pasangan

Menjelaskan kepentingan memilih pasangan berdasarkan ciri-ciri yang ditetapkan dalam agama melalui panduan Quran dan juga sunnah Rasulullah s.a.w. Ketelitian memilih pasangan boleh mengurangkan risiko keganasan domestik, kerana tidak kurang kes-kes keganasan rumahtangga sudah pun terdapat simptomnya sebelum bernikah.

Kesimpulan

Keganasan domestik merupakan isu yang perlu ditangani secara bersama, dan asatizah mempunyai tanggungjawab menjelaskannya dari sudut perspektif agama.

Namun sebelum itu, perlu difahami akan perspektif sebenar konsep nusyuz dan darb menurut pemahaman yang sebenar dalam konteks Islam.

Asatizah juga perlu jelas peranan mereka serta sikap yang perlu ada dalam menangani permasalahan keganasan domestik.

Artikel ini merupakan sedutan komentari daripada perkongsian awal bagi sesi meja bundar bertajuk’ Keganasan Domestik bagi Siri Kesederhanaan dalam Islam’ dalam Muktamar Ulama, 2017, anjuran Pergas.

Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.

Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.


Rujukan:

  • Mohammad Yusri Yubhi Bin Mohd. Yusoff, Khairunnisa Abdul Rahim, Zanaria Jusary. Maksud nusyuz dan darb: Kajian perbandingan antara tafsiran golongan feminis Muslim dan ulama Islam. Jurnal Dakwah, Edisi 5, Mei 2017: 118-122.

ASATIZAH KELUARGA ISLAM DAN WANITA AGAMA DOMESTIC VIOLENCE


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


The reCAPTCHA verification period has expired. Please reload the page.

related articles