Keindahan Islam Dalam Sastera Melayu | Pergas Blog

newest article

keindahan-islam-dalam-sastera-melayu-1

Keindahan Islam Dalam Sastera Melayu

15 November 2018 3:01 am // Written by Mohd Raman Bin Daud;

Daripada 1.7 bilion orang Islam di dunia, menurut tinjauan firma Amerika Syarikat, Pew International, sekitar 300 juta jiwa merupakan rumpun Melayu yang terdapat di rantau Asia Tenggara iaitu antara kawasan paling aman di dunia. Rumpun Melayu juga membentuk kelompok Muslim terbesar di dunia.

Keindahan Islam terpapar pada kebudayaan rumpun Melayu, termasuk kesusasteraannya. Hal ini antara lain terpapar dalam pernyataan adat:

Adat bersendikan syarak          Syarak bersendikan Kitabullah

Rumpun Melayu

Lama sebelum Islam masuk ke Alam Melayu, para pedagang Arab (termasuk dari Yaman) telah lama melalui Asia Tenggara untuk berdagang. Antara bahan dagang dari rantau ini ialah kapur barus atau kafur (camphor) yang disebut dalam Surah Al-Insan: 5

“Sesungguhnya orang-orang yang berbakti (dengan taat dan kebajikan), akan meminum dari piala: sejenis minuman yang bercampur dengan kafur.”

Barus ialah sebuah pelabuhan di Aceh tetapi kafur diambil daripada getah pokok yang terdapat di selatan Aceh.

Antara sahabat Rasulullah s.a.w. ialah Saad ibn Waqqas (594-674M iaitu antara 10 sahabat yang dijamin masuk syurga) merupakan seorang pedagang dan pelayar. Makamnya dikatakan terdapat di Canton (kini Guangzhou), selatan China.

Menurut Cesar Adib Majul (1923-2003), mahaguru sejarah di Universiti Filipina, bahawa Islam masuk secara aman ke Nusantara atau rantau Asia Tenggara. Islam muncul di rantau ini lewat peribadi unggul para pedagang dan juga pendakwah Islam yang luar biasa. Walaupun dipercayai para pendakwah tadi berasal dari Timur Tengah (Arab dan Parsi) dan juga India (terutama Gujarat), terdapat juga teori bahawa para pendakwah tadi mungkin datang dari China.

Sempurnakan Budi

Menurut Prof Dr Muhammad Naquib Al-Attas dalam Seminar Aksara anjuran Lembaga Perpustakaan Negara Singapura pada 2006, Islam telah “menyempurnakan” tamadun Melayu. Ini disebabkan Islam merupakan suatu peradaban tinggi yang bersifat kesemestaan (universal).

Mengapa Islam memikat orang Melayu yang sudah melalui proses kepercayaan daripada anisme (memuja roh) kepada Hindu dan Buddha? Para pedagang Islam membawa ajaran sufi yang indah dari segi sentuhan kalbu dan harmoni dengan konsep kehidupan Melayu. Kesannya  mengindahkan erti budi Melayu yang terpapar pada pekerti sehingga budi bahasa dalam isi dan bentuk sastera Melayu yang dahulunya dipengaruhi ajaran Hindu dan Buddha.

Orang Melayu amat mengutamakan konsep budi yang indah pada pekerti, tutur kata dan tindakan serta ekspresi seni dan binaan. Bahkan sudah dikatakan: dek terhutang budi, maka dibawa mati. Kalangan pedagang Arab yang berkebolehan dan dikatakan  berketurunan daripada keluarga Rasulullah s.a.w. (ahlul bayt) telah dijadikan menantu raja Melayu seperti berlaku di Pontianak (Al-Qadri).   

Persuratan

Menurut Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad (1924-), ‘kesusasteraan’ berasal daripada istilah Sanskerta – gabungan kata “su” dan imbuhan “an” yang menjadi kesusasteraan . ‘Su’ bermaksud indah, baik, lebih berfaedah. Sastera ialah huruf atau buku. Gabungan kesusasteraan membawa maksud kumpulan buku-buku yang indah bahasanya dan baik isinya. Kumpulan buku yang baik dan indah isinya dinamakan sebagai karya sastera. (Seyogia dari segi etimologi, ‘sasterawan’ pernah dikaitkan dengan nama para ahli tilik atau nujum pada zaman dahulu. Namun istilah dan makna kekata boleh berubah menurut perubahan masa.)  

Sastera antara cabang yang menjadi lambang kejiwaan bangsa Melayu. Sastera disampaikan melalui medium bahasa dan bahasa yang baik adalah jiwa pemikiran bangsa Melayu. Oleh sebab karya sastera merakam pemikiran bangsa Melayu, maka karya sastera bersifat kreatif dan bukan hanya bersifat pelengkap.

Islam membolehkan abjad Melayu berubah daripada abjad kawi atau tulisan Jawa (pengambilan daripada tulisan Hindu atau Chola) kepada tulisan Jawi yang ditambah dengan lima huruf baru iaitu ca, ge, pe, nge dan nye.

Orang rumpun Melayu baik dari Sumatera, Tanah Melayu mahupun Jawa dipanggil ‘Jawi’ oleh orang Arab kerana sistem abjad Arab telah disesuaikan untuk kegunaaan orang Melayu dan dipanggil Jawi.

Bahkan persuratan Melayu telah diislamkan dengan merubah kekata seperti Dewata Mulia Raya kepada Allah SWT dan sebagainya. Namun istilah-istilah keagamaan daripada bahasa Sanskerta (bahasa yang digunakan di candi dan istana) masih tertinggal seperti syurga (Arab: jannah), neraka (nar) sehinggalah pahala dan dosa. Mutakhir ini terdapat bahas agar istilah-istilah Sanskerta tadi terus digugurkan agar sembahyang hanya disebut ‘solat’ saja.

Pada peringkat awal permulaan Islam, apa jua yang bertentangan dengan akidah Islam disesuaikan supaya tidak bertentangan seperti berlaku Hikayat Seri Rama. Apabila hikayat ditulis dalam tulisan Jawi, kekata yang tidak sesuai dengan akidah Islam dimasukkan dengan perkataan Allah, Nabi Adam as dan lain- lain seperti terpapar dalam Hikayat Seri Rama versi Shellabear.

Menurut Prof Dr Ding Choo Ming dari Universiti Kebangsaan Malaysia,  hikayat yang berunsurkan Hindu/Buddha juga mengalami perubahan, misalnya Hikayat Marakarma dikenali sebagai Hikayat Si Miskin, Hikayat Indra Jaya pula ditulis sebagai Hikayat Syahi Mardan, Hikayat Serangga Bayu pula disebut sebagai Hikayat Ahmad Muhamad.

Bahasa yang digunakan dalam plot atau penceritaan juga turut berubah. Bahasa asal yang digunakan bercampur baur dengan bahasa Sanskerta dan Tamil, diubah dengan kemasukan istilah Arab dan juga Parsi selepas kedatangan Islam.

Bentuk Sastera Islam

Dengan kedatangan Islam, sastera Melayu diperkenalkan dengan pelbagai bentuk sastera yang sebelum ini belum lagi wujud dalam sastera Melayu. Bentuk – bentuk ini diambil dari sumber Arab – Parsi. Antara bentuk tersebut seperti hikayat cerita tatanegara, undang- undang, sastera kitab dan puisi.

Hikayat

Hikayat berasal dari bahasa Arab yang bererti kisah atau cerita panjang. Hikayat boleh disama ertikan dengan novel Melayu moden. Dalam kategori hikayat terdapat pelbagai cerita seperti kisah para nabi, pahlawan dan dai’ atau penyebar agama Islam.

Cerita

Cerita lebih pendek daripada hikayat. Ia boleh disamakan dengan bentuk cerpen Melayu. Tetapi adakalanya ‘cerita’ juga disebut juga sebagai hikayat, misalnya Hikayat Nabi Bercukur dan Hikayat Abu Syahman.

Sastera tatanegara

Kitab atau buku yang berunsurkan sejarah atau aturan sesebuah pemerintahan. Tidak semua fakta yang dimasukkan adalah benar dan bersifat sejarah yang tepat. Namun banyak unsur Islam dimasukkan seperti Taj-us-Salatin, Bustan-us-Salatin dan Sulat-us-Salation (lebih dikenali sebagai Sejarah Melayu).

Sastera undang- undang

Genre (jenis sastera) ini merupakan aturan pemerintahan yang dikuatkuasakan sama ada di laut atau darat, seperti Hukum Kanun Melaka, Undang-Undang Johor, Undang-Undang 99 Perak dan Undang- Undang Sungai Ujong.

Sastera kitab

Sastera keagamaan yang dikarang oleh para ulama dalam bidang-bidang fikah, usuluddin, dan tasawuf yang dihasilkan di pusat berkembangnya agama Islam seperti Pattani, Aceh, Palembang, dan Kelantan.

Bentuk puisi

Bentuk puisi Arab dan Parsi diterima masuk ke dalam kesusasteraan Melayu menerusi pengajian ilmiah seperti syair, nazam, ghazal dan masnawi.

Tema Dan Nilai Sastera Islam

Terdapat tema tertentu yang menjadi pilihan sasterawan muslim dengan tujuan untuk mendekat dan memuncakkan lagi penghayatannya dalam nilai-nilai Islam. Enam kategori tema utama ialah metafizik, kenabian, keilmuan, pendidikan, kepahlawanan dan tasawuf.

Menyedari erti daripada Surah Assyuara (penyair), seniman Melayu yang bertanggungjawab, kata Buya Hamka (1908-1973) cuba mengelakkan daripada berkarya yang boleh menyesatkan lagi  melalaikan.

Antara tulisan indah yang awal mengenai Islam dapat ditemui pada karya Hamzah Fansuri (meninggal 1590M), seorang alim besar yang pernah bekerja di istana Aceh. Ilmiawan terkemuka Dunia Melayu dan Islam, Prof Dr Muhammad Naquib Al-Attas menyifatkan Hamzah sebagai ‘bapa sastera Melayu’. (Fansuri atau Pancur ialah nama sebuah pelabuhan di Aceh).

Syair Perahu

Inilah gerangan suatu madah          mengarangkan syair terlalu indah,

membetuli jalan tempat berpindah,          di sanalah i’tikat diperbetuli sudah

Wahai muda kenali dirimu,          ialah perahu tamsil tubuhmu,

tiadalah berapa lama hidupmu,          ke akhirat jua kekal diammu.

Konteks Moden

Dalam 1970-an di Indonesia dan Malaysia, tercetus bahas mengenai apakah yang disebut sebagai Sastera Islam. Menurut Sasterawan Negara Malaysia, Shahnon Ahmad, sastera Islam perlu menampilkan penghayatan mengenai Allah secara berhikmah untuk manusia sejagat. Seorang ilmiawan kontroversial Malaysia, Kassim Ahmad, telah mengambil pandangan universal iaitu Sastera Islam itu menggunakan bahasa untuk paparan keindahan, kebenaran dan kebaikan mengikut estetika Islam demi kebaikan manusia.

WM Hadi, seorang pengkaji sastera sufi di Indonesia, berpendapat sastera Islam ialah apa jua penulisan yang mencerminkan roh Islam seperti yang dirintis oleh Hamzah Fansuri. Seorang lagi Sasterawan Negara Malaysia, S. Othman Kelantan berpendapat bahawa sastera Islam ialah satu bentuk kesusasteraan dalam media bahasa khususnya yang bertulis yang menggambarkan cita-cita keislaman sebagai visi menerapkan pengajaran Al- Quran dan Sunnah Rasulullah.

Profesor Madya Dr Hadijah Rahmat pernah membahaskan persoalan sastera Islam dengan menyatakan bahawa sesebuah karya itu bersifat keislaman (Islamic) selagi memancarkan keindahan yang universal, bahasa yang indah dan kesopanan.

Di Singapura, kebanyakan karya sastera Melayu seperti sajak, cerpen, novel dan drama jarang sekali menimbulkan polemik kerana akur dengan keperluan Islam. Hal ini berbeza dengan suasana di Indonesia terutama pada 1968 apabila majalah Horison yang disunting oleh HB Jassin telah mencetuskan polemik kerana memuatkan cerpen, Langit Makin Mendung (LMM), karya Kipandjikusmin dari Yogyakarta. Cerpen ini dianggap menghina Islam kerana menceritakan Nabi Muhammad s.a.w. turun di bumi dengan buraq untuk melihat sendiri keadaan kacau di Indonesia. Tuhan dikatakan memakai cermin mata (rabun oleh keadaan sebenar). Akibatnya HB Jassin dipenjarakan kerana didapati menghina dan tidak bertanggungjawab terhadap umat Islam.

Anehnya tempias polemik cerpen LMM terasa juga di Singapura apabila dua penyajak, Mohd Latif Mohamed dan MIA (Mohd Ismail Abdullah) juga menghasilkan sajak yang agak mempersoal Islam. Namun kesannya tidaklah seberat LMM.

Sastera Islam Singapura

Banyak penulis Singapura daripada MAS (Muhd Ariff Ahmad), Masuri S.N., Djamal Tukimin sehingga Mohammed Yusoff bin Abdul Rahman (@Mibarzo dan Zairayu) yang mengungkap nilai Islam dalam karya mereka. Mulai 1994, Mibarzo telah mula menulis sajak-sajak berunsur keagamaan. Contohnya, sajak Siapa Aku Di Depan Tuhanku yang dibacakan sewaktu perasmian Masjid Al-Istiqamah pada awal tahun 2000 (lihat bait –bait sajak di muka akhir).  

Penyajak sufi terkemuka Singapura dan rantau ini ialah Johar Buang (1957-) yang telah meraih banyak kemenangan dalam sayembara puisi Islam di rantau ini. Antologinya, ‘Perahu Melayu di Lautan Khulzum’ merupakan karya klasik yang bermutu tinggi dan telah beberapa kali diulang cetak. Antara sajaknya yang terkenal ialah MRT yang memiliki pancaran modernisme tetapi sebenarnya suatu kembara qalbu atau nurani.

Novel sulung Isa Kamari, ‘Satu Bumi’ juga indah dengan citra Islam menerusi watak Aminah (@Swee Mei) anak angkat Cina yang perlu melalui kegetiran dalam perkahwinan sehingga dirogol oleh orang-orang Cina yang mengetahui dirinya seorang Muslim ketika berlaku rusuhan kaum. Cerita yang berlatarkan kemajmukan ini tidak menegaskan siapa yang benar dan salah tetapi sekadar paparan suasana yang dilalui oleh Singapura dengan sifat-sifat kemanusiaan dan sebagainya. Turut dianyam kisah kubur dibongkar yang seolah-olah melambangkan erti kesinambungan.

Isa Kamari (1960-), seorang jurubina, juga menghasilkan sejumlah novel termasuk Tawassul yang memaparkan erti klon (clon) iaitu penerobosan sains sehingga seorang seperti Nabi s.a.w. dikatakan hidup semula untuk mengajarkan agama. Sasterawan Rasiah Halil menilai hal ini sebagai suatu tindakan penulisan yang keterlaluan. Namun, kritikan Rasiah tidak mencetuskan sambutan daripada pembaca.

Begitu juga dalam novel ‘Kiswah’ (kelambu Kaabah), Isa cuba menggarap persoalan seks dalam kehidupan rumah tangga – antara mengisi nafsu dan tanggungjawab menurut lunas-lunas Islam. Pemaparan sedemikian belum pernah dilakukan oleh para penulis Melayu/Islam di Singapura.

Hakikatnya, sastera Melayu di Singapura boleh dikatakan ‘beradab’ walaupun terdapat percubaan seperti dalam drama ‘Anak Melayu’ karya Noor Effendy Ibrahim dan ‘Ikan Cantik’ oleh Adlin Mosbit untuk mencetuskan tengkarah mengenai isu moral bejat. Bagi arus perdana sastera di Singapura, terutama aliran Inggeris, percubaan Effendy atau Adlin hanya perkara biasa-biasa saja.

Tinjauan mengenai nilai moral rakyat Singapura dari segi penapisan sering diadakan dan menunjukkan ciri-ciri konservatisme terutama yang digarap oleh golongan beragama (termasuk Kristian dan Buddha sebagai majoriti) masih teguh. Ini menjelaskan bahawa Singapura tidak akan berubah seperti keadaan di New York apabila sastera dan persembahan pentas lucah boleh diterima secara terbuka.

Masa Depan

Masa depan sastera Islam di Singapura akan cerah kerana kuatnya pegangan Islam di sini. Namun, terdapat kebimbangan bahawa dua unsur bertentangan boleh terjadi iaitu liberalisme di satu pihak dan radikalisme di pihak lain. Liberalisme ialah faham untuk menampilkan apa saja tanpa ikatan moral yang teguh seperti paparan kehidupan homoseksual dan menilai semua agama adalah sama. Sebaliknya, radikalisme pula menafsirkan Islam secara sempit dalam erti untuk menjulang satu bentuk cara dan menolak kemajmukan. Sejak kehadiran ancaman rangkaian Al-Qaeda di rantau ini, terdapat sastera yang menjulang Islam dalam rangka membentuk semangat jihad dan menyifatkan insan bukan Islam sebagai musuh untuk diperangi.

Oleh itu, amat penting bagi Persatuan Ulama dan Guru Agama Islam Singapura (PERGAS) mempunyai unit khas untuk memantau bahan persuratan Melayu terutama yang berligar di negara ini. Tujuannya ialah memelihara akidah umat Islam. Zaman melawan ajaran sesat yang diperkasai  Almarhum Ustaz Embek Ali kini memasuki suatu detik dan wadah yang rencam seperti ruang siber.

Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.

Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.

MELAYU SASTERA SEJARAH ISLAM DAN SENI MASYARAKAT PERSPEKTIF ISLAM SENI


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


The reCAPTCHA verification period has expired. Please reload the page.

Comments:

related articles