Kemajuan Negara: Di Manakah Kita? | Pergas Blog

newest article

4-header

Kemajuan Negara: Di Manakah Kita?

01 February 2020 11:00 am // Written by Muhammad Husin bin Masnin;

Menikmati kehidupan di sebuah negara yang aman dan makmur, jauh dari pergolakan di samping bebas mengamalkan pegangan agama dalam masyarakat majmuk yang bersikap toleransi, membuatkan kita berasa syukur. Walaupun negara sekular yang kita diami ini kecil berbanding negara-negara kejiranan, kemajuan yang dikecapi telah membuka mata dunia. Kemajuan ini sekaligus membuatkan kita sebagai rakyat bangga dengan usaha yang telah dilakukan oleh pihak-pihak tertentu.

Namun, dalam menikmati dan merasai kemajuan sebuah negara yang pesat membangun, mungkin kita boleh bertanya pada diri kita: Di manakah kita? Adakah umat Islam hari ini turut sama mencapai kemajuan? Adakah negara-negara Islam dunia turut disenaraikan sebagai negara-negara yang maju? Apakah sumbangan umat Islam terhadap negara khususnya dan dunia umumnya pada zaman kini?

Kita tidak nafikan bahawa umat Islam telah mencapai peradaban yang hebat suatu masa dahulu sehinggakan memberi sumbangan besar terhadap masyarakat Eropah yang membawa kepada era Renaissance mereka. Kita juga melihat lahirnya ramai tokoh-tokoh ilmuwan Islam seperti Ibn Sina, Al-Khawarizmi, Al-Biruni dan sebagainya dalam usaha mereka ke arah kemajuan dunia. Justeru di manakah tokoh-tokoh hebat seperti mereka hari ini?

Ramai sarjana Islam telah membicarakan mengenai keadaan umat Islam masa kini dan mengenal pasti sebab dan cara pemulihannya, antaranya ialah Jamaluddin Al-Afghani, Muhammad Iqbal, Syeikh Abul Hasan An-Nadwy, Hamka, Za’aba dan ramai lagi. Maka penulisan ini secara ringkas ingin menyimpulkan inisiatif agar dapat menggapai kemajuan, dan ianya memerlukan empat ‘I’, iaitu: Islam, Ilmu, Intelek dan Inovasi.

Islam

Semestinya Islam memandang kemajuan bukan hanya pada aspek duniawi atau zahir sahaja, malah ia juga menitikberatkan kedua-dua aspek dunia dan akhirat, rohani dan jasmani, zahir dan batin. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Qasas ayat 77:

Dan carilah (pahala) negeri akhirat dengan apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu, tetapi janganlah kamu lupakan bagianmu di dunia dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi. Sungguh Allah tidak menyukai orang yang berbuat kerosakan.

Islam bukan penghalang ke arah kemajuan, malah apabila disingkap sejarah kebangkitan bangsa Arab dari zaman kegelapan jahiliyyah adalah disebabkan kedatangan Islam yang telah memberi sinar pencerahan. Justeru apabila agama itu dipinggirkan dalam mengecapi kemajuan, maka akan berlaku kezaliman dan kepincangan hidup. Prof. Syed Naquib Al-Attas di dalam bukunya Risalah Untuk Kaum Muslimin berkata:

“Pada faham Islam maka perubahan dan perkembangan dan pembangunan itu merujuk kepada diri dan bererti pemulihan kepada kemurnian asali ajaran agama serta tauladan orang dan masyarakat Islam yang tulen… Jadi pada pengertian kita umat Islam maka gerak-daya yang menuju ke arah dasar Islam yang tulen itulah pembangunan, dan pembangunan demikianlah sahaja yang dapat kita kenali sebagai kemajuan.”

Maka dengan kembali kepada ajaran Islam serta mengamalkannya, ia secara tidak langsung merupakan kemajuan yang bukan hanya dikecapi di akhirat sahaja, bahkan di dunia juga. Namun keadaan masyarakat Muslim hari ini yang berbeza dengan zaman kegemilangan Islam dahulu adakah disebabkan agamanya yang dianut atau amalannya yang tidak diikut?

Ilmu

Firman Allah s.w.t. di dalam surah Az-Zumar ayat 9:

 “Katakanlah lagi (kepadanya): Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.”

Sejarah membuktikan bagaimana turun-naiknya tamadun sesuatu bangsa itu terukur melalui pembudayaan ilmu contohnya bangsa Yunani yang ketika itu berpusat di Athens suatu masa dahulu. Nama-nama seperti Hippocrates, Socrates, Plato dan Aristotle tidak asing lagi dalam dunia falsafah. Ini dapat dilihat bahawa setiap bangsa yang mempraktikkan pembudayaan ilmu akan mengungguli dunia contohnya bangsa Arab (suatu ketika dahulu), Eropah, Jepun dan Cina. Menurut Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud di dalam bukunya Budaya Ilmu:

“Budaya Ilmu antara lain bermaksud mewujudkan satu keadaan yang setiap lapisan masyarakat melibatkan diri, baik secara langsung mahupun tidak langsung, dalam kegiatan keilmuan bagi setiap kesempatan.”

Perlu difahami bahawa falsafah pendidikan Islam bukanlah untuk menghasilkan manusia sebagai ‘a good citizen’ , bahkan untuk menjadikan manusia itu sebagai ‘a good man’. Ini menunjukkan bahawa ‘insan yang baik’ akan menjadi ‘warga negara yang baik’ dan belum pasti ‘warga negara’ akan menjadi ‘insan yang baik’. Justeru falsafah pendidikan Islam itu lebih luas dan menyentuh cara kehidupan manusia yang secara tidak langsung bukan sahaja dapat memajukan negaranya sendiri bahkan dunia ini seluruhnya.

Amat terkilan jikalau umat Islam itu ketinggalan dalam kebudayaan ilmu di samping masyarakat lain sudah jauh di hadapan, sedangkan terdapat banyak suruhan dan galakan dalam agama akan kepentingannya. Mungkin boleh direnungkan juga apakah hikmah di sebalik ayat ‘Iqra’ yakni membaca menjadi wahyu pertama diturunkan ke atas Rasulullah s.a.w.?

Intelek

Menurut Prof. Syed Hussein Alatas di dalam bukunya Intelektual Masyarakat Membangun:

“Intelektual merupakan orang yang mengabdikan diri untuk memikirkan idea dan masalah bukan kebendaan dengan menggunakan kemampuan akliahnya…. Sebaliknya, individu yang tidak mempunyai kelayakan akademik dapat menjadi intelektual apabila kemampuan berfikirnya dimanfaatkan sepenuhnya dan memiliki pengetahuan yang cukup tentang pokok perbahasan yang diminatinya.”

Justeru, golongan intelek tidak semestinya terdiri dari orang yang mempunyai pangkat atau nama. Bahkan ia tergolong disebabkan kepeduliannya terhadap masalah yang dihadapi masyarakat serta pemikirannya yang kritis hingga dapat mengesan punca dan sebab masalah tersebut serta membolehkannya mengemukakan jalan keluar dengan idea yang membangunkan masyarakat. Ini bererti bahawa intelektual dapat: a) mengajukan masalah; b) mentakrifkan masalah; c) menganalisis masalah; d) menyelesaikan masalah.

Kemajuan itu akan tempang jika hanya terdapat bangunan-bangunan tinggi lagi indah di samping golongan elit semakin kaya dengan kedudukan yang semakin selesa, tetapi di sisi lain masih terdapat ramai rakyat yang masih dalam keadaan sengsara dengan keterpinggiran, kemiskinan, ketindasan dan kejahilan tanpa sebarang pembelaan dan keprihatinan. Ini bererti bahawa kemajuan itu hanya bersifat eksklusif pada kumpulan tertentu atau golongan atasan sahaja tanpa memikirkan rakyat atau masyarakat yang di bawah. Seharusnya golongan intelektual mempunyai keprihatinan dalam menegakkan kebenaran dan kepedulian dalam memajukan masyarakat sepertimana sabda Rasulullah s.a.w. daripada Anas r,a, beliau berkata:

Tolonglah saudaramu yang berbuat zalim (aniaya) dan yang dizalimi. Mereka bertanya: Wahai Rasulullah, jelas kami faham menolong orang yang dizalimi, tetapi bagaimana kami harus menolong orang yang berbuat zalim? Baginda bersabda: Pegang tangannya (agar tidak berbuat zalim).” [H.R. Bukhari]

Inovasi

Kehidupan kita hari ini tidak dapat lari dari teknologi. Inovasi dan kreativiti yang dicipta telah banyak memudahkan urusan manusia. Jenama-jenama seperti Toshiba, Mitsubishi, Panasonic, Canon, Nissan, Toyota, Yamaha, Suzuki dan sebagainya semestinya tidak asing dalam penggunaan seharian kita. Cumanya sekali lagi ‘di manakah kita?’. Adakah kita cukup selesa dengan hanya memainkan peranan sebagai pengguna sahaja dari menjadi pengeluar?

Kita akur akan penemuan ilmuwan Islam telah jauh mendahului ilmuwan lain antaranya Ibn Al-Nafis (1213-1288) telah mendahului William Harvey (1578-1657) dalam penemuannya mengenai peredaran darah (circulation of blood), Al-Khazin (900-971) dalam penemuanya mengenai hukum graviti telah mendahului Isaac Newton (1642-1727), dan Ibn Al-Haytham (965-1040) telah mendahului Francis Bacon (1561-1626) dalam kaedah sains. Tetapi dengan hanya berbangga dengan nama dan sejarah silam ianya tidak akan membawa ke arah yang diinginkan.

Seharusnya umat Islam kembali menerajui kemajuan dunia dengan penemuan dan penghasilan yang membawa ke arah kebaikan manusia. Akhir sekali, kita fikirkan apa yang telah dikatakan Prof. Syed Hussein Alatas di dalam bukunya Kita Dengan Islam: Tumbuh Tiada Berubah:

“Seluruh dunia Islam hanya mempunyai kebolehan membeli, mengendalikan dan mengatur syarikat-syarikat. Mereka tidak pandai membuat kapal haji. Demikian juga dalam lapangan-lapangan lain. Dunia Islam pandai membuat kain tetapi tidak pandai membuat jentera-jentera (mesin-mesin) yang membuat kain itu. Dalam istilah ekonomi, kita belum pandai membuat production goods. Kecenderungan kita semata-mata mencari yang sudah jadi, dibuat orang lain, tidak membuatnya sendiri. Pada masa sekarang soal inilah yang luarbiasa penting. Negeri-negeri yang tidak dapat membuat production goods; iaitu alat produksi, akan selamanya terbelakang dan tertekan keadaan ekonominya oleh negeri-negeri yang sudah maju.”

Wallahu a’lam.

KEHIDUPAN MUSLIM MASYARAKAT RELIGION SINGAPURA AGAMA SINGAPORE MUSLIM LIFE


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


The reCAPTCHA verification period has expired. Please reload the page.

related articles