Kerosakan Alam, Pemanasan Sejagat | Pergas Blog

newest article

kerosakan-alam-pemanasan-sejagat-1

Kerosakan Alam, Pemanasan Sejagat

15 November 2018 8:10 am // Written by Muhammad Zuhal Bin A. Lathif;

Masyarakat dunia dalam beberapa tahun terakhir ini, khawatir dan bimbang akan keadaan suhu bumi yang semakin naik dan naik menjadi lebih panas, inilah yang orang ramai kenali dengan global warming atau pemanasan sejagat.

Menurut para ahli bahawa suhu bumi telah meningkat purata 0.4 – 0.8 darjah celsius dalam 100 tahun yang lalu, dan ianya diperkirakan akan meningkat kepada 1.4 – 5.8 darjah celsius dalam tahun 2100 dan kadarnya berbeza mengikut benua dan kawasan tertentu. Kajian mendapati kawasan Artik lebih pantas menjadi panas berbanding kawasan lain.

Kita dapat melihat dari laporan di akhbar atau media lainnya bahawa kawasan artik yang menyimpan gunung-gunung bersalji secara perlahan-lahan mula mencair saljinya, sehingga terjadilah banyak glasier di sana.

Bermula dari mencairnya salji yang banyak sehingga bumi kurang boleh memantulkan panasnya matahari ke angkasa, dari itulah terpaksa bumi menyerap atau menahan panasnya sinaran sang surya.

Perihal mencairnya salji yang ianya bermakna penghakisan bumi sedikit demi sedikit, sebenarnya Al-Qur’an sudah memperingatkan manusia 1400 tahun dahulu, sebelum manusia merasai pemanasan sejagat ini.

Allah berfirman dalam sepotong ayat :

“….maka tidakkah mereka melihat bahawa Kami datangi daerah bumi yang mereka kuasai dengan menguranginya sedikit demi sedikit dari hujung-hujungnya?” (Al-Anbiya’ : 44)

Ayat serupa kita dapati dalam surah Al-Ra’d ayat 41:

mengapa mereka yang kafir itu masih berdegil dan tidak mahu memerhatikan bahawa kekuasaan kami sentiasa menakluk bumi (yang mereka diami) dengan menjadikan dia kurang sedikit demi sedikit dari semua penjuru?”

Jika kita melihat kitab-kitab tafsir klasik, para mufassir akan mengatakan bahawa daerah kekuasaan orang kafir akan berkurangan dengan berkembangnya daerah yang akan ditaklukkan oleh orang Islam.

Namun mufassir mutakhir seperti Syaikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi Al-Mashry (1911-1998M) , mengatakan bahawa Allah akan mengurangkan kekuasaan mereka dengan merosakkan atau membinasakan mereka dengan terjadinya gunung yang meletup, gempa bumi dan lainnya, seperti yang berlaku pada umat terdahulu yang menentang dan ingkar kepada rasul-rasulnya.

Dengan kata lain, bahawa bumi ini rosak disebabkan kelakuan mereka sendiri.

Mencairnya gunung-gunung ais adalah salah satu dari fenomena kerosakan bumi, jika kita lihat bahawa bumi akan berkurangan dari hujungnya, maka para ilmuan mengertikan dengan mencairnya salji-salji yang ada menjadi air, menyebabkan paras air di laut semakin meningkat.

Dengan meningkatnya paras air di lautan, maka bumi ini semakin tenggelam centi demi centi setiap beberapa tahun, lambat tapi pasti, keadaan inilah yang akan menyebabkan beberapa pulau di muka bumi ini akan tenggelam.

Dalam bahasa Al-Qur’an, kerosakan disebut Al-Fasaad, mufassir klasik akan mengertikan kerosakan itu dengan erti maksiat atau dosa, ini kerana merujuk pada kejadian yang sudah berlaku pada masa itu, yaitu penentangan kaum kafir terhadap rasulnya yang menyebabkan mereka dibinasakan.

Makna selanjutnya bahawa kerosakan itu disebabkan dosa mereka, boleh diartikan sebagai kesalahan mereka dalam menyikapi hukum alam yang ditetapkan oleh Allah, kerana alam ini ditadbirkan oleh yang menciptanya yaitu Allah SWT.

Al-Qur’an dengan jelasnya menyebutkan bahawa kerosakan di bumi (baik di darat atau laut) itu disebabkan oleh perilaku dan perbuatan manusia.

Allah berfirman :

Ertinya : telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk (kesalahan) yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat) (Ar-Ruum : 41).

Syaikh Sya’rawi memberi contoh yang sederhana akam kerosakan bumi dengan adanya bangunan yang runtuh atau kita umpamakan dengan jalan yang rosak sebelum masanya, ini disebabkan kerana antara jururtera dan pelaksana kurang amanah dalam menjalankan kerja, mungkin ada korapsi atau lainnya, sehingga ianya tidak sesuai dengan aturan-aturan pembinaan yang ada.

Dalam skala yang besar, jika manusia tidak amanah kepada pemilik dunia yaitu Allah SWT, mereka menyalahi aturan yang Allah taala telah tetapkan, mereka tidak mahu mengaku sebagai hamba yang sepatutnya menghambakan diri kepada-Nya, mereka bahkan mencabarnya, maka disebabkan perbuatan inilah mereka dimusnahkan dan bumi menjadi rosak kerananya.

Antara kesalahan yang nampak adalah dengan pesatnya manusia membangun rumah-rumah kaca, menebang banyak-banyak pokok di hutan atau membakarnya, (bahkan dampak langsung pembakaran hutan di Indonesia (sebagai contoh), mengakibatkan jerebu, yang menjejas negara-negara jirannya), maka bumi kurang kuasa menyerap panasnya matahari yang menyinarinya.

Islam melarang berbuat kerosakan, sekaligus ianya perintah menjaga alam sekitar.

Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.

Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.


Rujukan:
  1. http://www.livescience.com/topics/global-warming/
  2. https://en.wikipedia.org/wiki/Muhammad_Metwali_Alsharawi

KEHIDUPAN MUSLIM PERSPEKTIF ISLAM ISLAM DAN ALAM ALAM SEKITAR DUNIA


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


The reCAPTCHA verification period has expired. Please reload the page.

related articles