Menjelang bulan Zulhijjah, kita seringkali diingatkan tentang kisah betapa hebatnya pengorbanan dan tingginya ketaatan Nabi Ibrahim alaihissalam dan keluarga baginda dalam menjunjung perintah Allah Subhanahuwataala.
Begitu juga tentang hikmah-hikmah di sebalik pensyariatan ibadah korban yang dijalankan setiap tahun di seluruh dunia.
Namun, di sebalik kisah ini terdapat pelbagai pengajaran yang dapat kita jadikan sebagai panduan dan teladan terutama sekali bagi pemimpin keluarga dalam mencorak sebuah keluarga yang sakinah, mawaddah dan rahmah.
Mari kita singkapi panduan dan teladan ini melalui firman Allah Subhanahuwataala:
Maksudnya: “Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: ‘Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?’ Anaknya menjawab: ‘Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya-Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar’.”
(Surah as-Saffat, 37: 102)
Antara pengajaran yang dapat kita peroleh daripada kisah pengorbanan Nabi Ismail alaihissalam ini adalah:
1. Sikap Dalam Menghadapi Ujian
Setiap hamba yang beriman perlu sentiasa menyedari bahawa mereka tidak terlepas dari ujian dan dugaan Allah Subhanahuwataala yang berupa musibah atau nikmat menurut kadar kemampuan masing-masing.
Maksudnya: “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: ‘Kami beriman’, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?”
(Surah al-Ankabut, 29: 2)
Seorang bapa yang beriman apabila berhadapan dengan ujian Allah Subhanahuwataala akan menghadapinya dengan penuh ketaatan dan ketenangan sebagaimana yang digambarkan oleh Nabi Ibrahim alahissalam. Sifat ini juga dapat dilihat pada diri anaknya, Nabi Ismail alaihissalam melalui jawapan balasnya.
Ujian yang diberi oleh Allah Subhanahuwataala kepada hamba-hamba-Nya adakali bertujuan untuk memberi kesedaran kepada diri kita atas kelalaian atau kecuaian kita supaya segera kembali bertaubat. Selain itu, ada juga ujian yang bertujuan menggugurkan dosa dan mendekatkan diri kita kepada Allah Subhanahuwataala.
2. Sifat-Sifat Keibubapaan
Sifat-sifat keibubapaan perlu ditonjolkan dalam mendidik dan membesarkan anak-anak terutama sekali sifat penyayang. Seorang bapa dianggap dan dilihat sebagai seorang pelindung di mata keluarga. Dengan menzahirkan sifat penyayang, ia seolah-olah telah memberi suatu jaminan kepada keluarganya bahawa mereka berada di dalam lingkunan dan persekitaran yang selamat.
Ungkapan yang digunakan oleh Nabi Ibrahim alaihissalam ketika memanggil Nabi Ismail alaihissalam, “Wahai anak kesayanganku!”, adalah contoh jelas yang menggambarkan sifat penyayang seorang bapa terhadap anaknya.
Maksudnya: Dari Abu Hurairah radiallahuanhu, “Rasulullah Sallallahualaihiwasallam pernah mencium al-Hasan bin Ali dan ketika itu al-Aqro’ bin Habis at-Tamimi sedang duduk bersama baginda. Lalu al-Aqro’ pun berkata, ‘Aku mempunyai sepuluh orang anak namun tidak seorangpun dari mereka pernah kucium.’ Maka Rasulullah Sallallahualaihiwasallam pun memandangnya lalu baginda berkata, ‘Barangsiapa tidak merahmati/menyayangi maka dia tidak akan dirahmati’.”
(HR al-Bukhari & Muslim)
3. Kepentingan Berkomunikasi
Demi mencapai komunikasi yang berkesan dan efektif, ibu bapa perlu memastikan jalinan komunikasi antara mereka dengan anak-anak berlaku secara dua hala dan bukan satu hala sahaja. Matlamat ini sukar dicapai dan dilaksanakan sekiranya wujud jurang komunikasi antara ibu bapa dengan anak-anak.
Ruang untuk berbincang dan bertanya atau bertukar pendapat perlu juga dibuka kepada anak-anak terutama sekali dalam perkara besar yang melibatkan diri mereka dan memerlukan keputusan. Seorang bapa tidak perlu berasa janggal, kekok atau ‘segan’ apabila berkomunikasi dengan anak-anak.
Dalam usia semuda 13 tahun, Nabi Ismail alaihissalam telah diberi ruang untuk melontarkan pendapatnya. Jawapan balas Nabi Ismail alaihissalam mencerminkan kematangan pemikirannya melalui pendidikan yang telah beliau terima dari bapanya.
4. Suburkan Sifat Terpuji
Keimanan kepada Allah Subhanahuwataala yang merupakan tunjang agama perlu disemai pada diri anak-anak semenjak kecil lagi sehingga terbit sifat taat, yakin, sabar dan reda dalam diri mereka terutama sekali apabila diuji oleh Allah Subhanahuwataala.
Ketaatan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail alaihimassalam terhadap Allah Subhanahuwataala mengatasi segalanya sehingga mereka mengutamakan perintah Tuhan lebih dari kecintaan mereka terhadap dunia dan keluarga. Sifat seperti ini perlu ditanam dalam diri anak-anak sehingga timbul kesedaran akan tanggungjawab mereka sebagai hamba Allah Subhanahuwataala.
Begitu juga kewajipan dalam mentaati suruhan ibu bapa perlu ditekankan sekalipun mereka berdua bukan dari kalangan orang yang beriman kepada Allah Subhanahuwataala asal sahaja ia membawa kepada kebaikan tanpa meninggalkan perintah atau melanggar larangan Allah Subhanahuwataala.
Keyakinan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail alaihimassalam terhadap segala ketentuan Allah Subhanahuwataala sangat utuh sehingga mereka berdua tidak sedikit pun berasa sangsi atau ragu-ragu apabila berhadapan dengan suatu ujian. Malah ujian ini dihadapi dengan penuh kesabaran dan keredaan.
Jelas sekali, kisah Nabi Ibrahim alaihissalam dan keluarga baginda merupakan suatu keberhasilan yang telah dicapai oleh seorang bapa dalam proses pentarbiahan anak. Ia menggambarkan betapa besarnya peranan seorang bapa dalam membimbing dan mendidik ahli keluarganya untuk menjadi Muslim yang beriman dan bertakwa. Amanah dan tanggungjawab yang diberi oleh Allah Subhanahuwataala perlulah dipikul dan digalas tanpa mengenal erti jerih perih dan penat lelah.
Marilah kita sama-sama berusaha meningkatkan ketaatan kita terhadap perintah Allah Subhanahuwataala selain mentaati kedua orang tua selagi mana ia tidak bertentangan dengan perintah agama sepertimana yang ditonjolkan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail alaihimassalam melalui keperibadian mereka.
Bersempena dengan Aidiladha yang bakal menjelang, ayuh kita merebut peluang mendekatkan diri kepada Allah Subhanahuwataala serta meraih ganjaran-Nya dengan memartabatkan salah satu syiar Islam iaitu melalui perlaksanaan ibadah korban.
Semoga dengan melakukan ibadah ini ia dapat menebus dosa-dosa kita, memperoleh kedudukan yang mulia sisi Allah Subhanahuwataala serta membentuk keperibadian yang ikhlas, sabar, belas ihsan, semangat bantu membantu dan sentiasa merasa berkecukupan dengan segala yang dimiliki.
Semangat pengorbanan ini juga perlu diperluaskan kepada segala persiapan kita buat ahli keluarga dari segi perancangan kewangan dan sebagainya setelah kita tiada di dunia nanti agar ia menjadi amal jariah dan bekalan buat kita di akhirat kelak.
وصلّى ٱلله على سيّدنا محمّد وعلى آله وصحبه وسلّم
PIH dengan sokongan Pergas & FSAC telah membuka tempahan ibadah Korban & Akikah 2019.
Tahun ini kami menawarkan korban & akikah di dua lokasi: Australia (Albany & Melbourne) dan Indonesia (Magelang & Lombok).
Daging korban di Australia akan diterbangkan ke Singapura. Khidmat penghantaran ke rumah berbayar.
Daging korban di Indonesia akan diagihkan kepada penduduk setempat.
Tarikh tempahan dibuka hingga:
1) Australia – Isnin, 4 Ogos 2019 2) Indonesia – Sabtu, 10 Ogos 2019