Dalam konteks kehidupan kita di Singapura yang hidup dalam masyarakat majmuk yang terdiri dari pelbagai agama dan bangsa, menjaga keharmonian dan merujuk panduan Syariah dalam bermuamalah adalah sangat penting. Tujuan pertama tercetusnya artikel ini adalah untuk sama-sama kita membuat refleksi tentang apa yang berlaku pada pendakwah Ustaz Abdul Somad Batubara yang tidak dibenarkan masuk ke Singapura atas sebab-sebab tertentu. Kedua adalah untuk kita sama-sama mengambil pengajaran dan adab-adab yang dapat kita contohi dari apa yang diajar oleh Allah SWT dari sejarah kehidupan Baginda Rasulullah SAW apabila berdepan dengan isu-isu keharmonian yang kadangkala mencetuskan tidak kesefahaman di kalangan masyarakat sekeliling.
Masyarakat Yang Bertaqwa: Menjaga Keharmonian, Kesejahteraan dan Kemaslahatan Masyarakat Yang Berbilang Bangsa dan Agama
Dalam kehidupan kita sebagai seorang Muslim, kita dituntut untuk sentiasa menyeru kepada kebaikan dan menegah daripada kemungkaran. Dalam pelaksanaan ibadah dan dasar prinsip ajaran Islam, penting untuk kita menerapkan dua elemen yang menjadi teras jati diri seorang Muslim; hikmah dan akhlak yang mulia. Kekedua elemen tersebut boleh kita dapati pada diri semulia-mulia makhluk Allah s.w.t. dia itu Rasulullah s.a.w.
Pertama dalam sabdanya :
اَلْحِكْمَةُ ضَالَّةُ الْمُؤْمِنِ فَحَيْثُ وَجَدَهَا فَهُوَ أَحَقُّ بِهَا
Hikmah (kebijaksanaan) adalah barang berharga yang hilang bagi orang yang beriman. Dimana saja ia menemukannya, ia lebih berhak terhadapnya. (HR at-Tirmidzi dan Ibn Majah)
Kedua dalam firman Allah s.w.t. :
لَقَد ْكَانَ لَكُمْ فِي رَسُوْلِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللهَ كَثِيرًا ﴿٢١﴾ـ
Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). (Al-Ahzaab 33:21)
Rasulullah SAW telah menunjukkan dan membuktikan kepada kita bahawa akhlak yang mulia digandingkan dengan hikmah adalah satu resepi dakwah yang berjaya dan berkesan. Cerminan diri kita merupakan lambang nilai-nilai keislaman yang kita bawa ke mana-mana dan menjadi satu pancaran yang disaksikan oleh mata dunia. Setiap perbuatan dan reaksi kita terhadap sesuatu perkara akan meninggalkan kesan di dalam kehidupan kita bermasyarakat.
Allah SWT berfirman:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبًا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْ ۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ ﴿١٣﴾ـ
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). (Al-Hujuraat 49:13)
Ayat di atas menunjukkan bahawa sudah menjadi lumrah kehidupan akan adanya kepelbagaian bangsa dan latar belakang, namun ianya bukan menjadi satu alasan untuk kita mengasingkan diri atau membenci satu sama lain bahkan kerana kepelbagaian inilah, kita perlu berkenal-kenalan dan beramah mesra antara satu sama lain. Kemesraan terhadap kepelbagaian juga dapat kita tafsirkan dengan memberi kebaikan, penghormatan serta menjauhi apa-apa yang dapat merosakkan pertalian kemanusiaan tersebut. Dengan demikian, kepelbagaian yang ada perlu dilestarikan dan dijaga keharmonian dan keamanannya dan ini perlu kita fahami bahawasanya ia juga adalah tuntutan dan termasuk salah satu prinsip agama Islam.
Firman Allah s.w.t. :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِنْ قَوْمٍ عَسَىٰ أَنْ يَكُونُوا خَيْرًا مِنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِنْ نِسَاءٍ عَسَىٰ أَنْ يَكُنَّ خَيْرًا مِنْهُنَّ ۖ وَلَا تَلْمِزُوا أَنْفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ ۖ بِئْسَ الِاسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ ۚ وَمَنْ لَمْ يَتُبْ فَأُولٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ ﴿١١﴾ـ
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim. (Al-Hujuraat 49:11)
Menjaga keharmonian sesama juga bererti menjaga maslahat semua serta menjauhi segala perkara yang dapat mencemarkan atau menggugat maslahat tersebut. Rasulullah SAW juga telah banyak memberi kita contoh dari sirah Baginda SAW bagaimana maslahat sesebuah ummah atau masyarakat perlu dititikberatkan dan dijaga untuk kebaikan jangka masa panjang dan generasi yang akan datang. Bukan itu sahaja, setiap perkara yang Baginda SAW lakukan dibentengi dengan hikmah dan akhlak mulia. Sesuai perkara ini, amat penting untuk kita fahami bahawa setiap Muslim mempunyai peranan yang besar dalam menjaga kemaslahatan umat Islam secara menyeluruh baik dari segi sosial, ekonomi, politik dan sebagainya.
Perkara ini juga selari dengan Maqasid Syariah Islamiah iaitu tujuan dan objektif Syariah Islam. Imam Ibn Qayyim RH menjelaskan: “Sesungguhnya syariah Islam itu binaan dan asasnya adalah segala hikmah dan kebaikan untuk manusia di dunia dan akhirat. Syariah Islam seluruhnya itu adalah keadilan, kebaikan dan hikmah. Maka setiap perkara yang terkeluar dari keadilan kepada kezaliman, dari rahmat kepada yang berlawanan dengannya, dari kebaikan kepada kerosakan, dari hikmah kepada sia-sia, maka ia bukanlah syariah sekalipun diberikan takwilan tersebut untuknya.” (I’lamu al-Muwaqqi’in)
Pada akhir ayat 13 surah al-Hujurat (Al-Quran) tersebut juga, Allah SWT menekankan bahawa dalam kepelbagaian manusia yang telah diciptakannya, kemuliaan sebenar yang terletak pada diri seseorang ialah pada ketaqwaannya :
إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ ﴿١٣﴾ـ
Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu.
Setiap perkara yang kita ucapkan dan lakukan haruslah digandingkan dengan ketaqwaan supaya tercapailah kemuliaan yang disebutkan dalam ayat tersebut. Ketaqwaan ini jugalah yang melahirkan masyarakat Muslim yang berhikmah dan berakhlak mulia.
Maka apabila keharmonian terjaga, maslahat terpelihara dan ketaqwaan menjadi tunggak masyarakat Islam kita, terbitlah darinya keamanan, kesejahteraan dan kebaikan yang menyeluruh baik bagi kita dan bahkan juga bagi masyarakat lain. Masyarakat yang bertaqwa juga akan diberkati dengan kemajuan dan terhindar dari keburukan, kemudaratan serta kemunduran.
Maka itu juga antara amalan yang dibekalkan dan dicontohkan oleh Rasulullah s.a.w. pada dirinya sendiri dan untuk umatnya adalah doa :
اَللَّهُمَّ آتِ نَفْسِي تَقْوَاهَا وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلَاهَا
Ya Allah kurniakan pada diriku taqwanya dan sucikanlah ia Engkaulah sebaik-baik Yang Mensucikannya Engkaulah Pemiliknya dan Tuannya.
Sekalipun Rasulullah s.a.w. seorang yang paling bertaqwa namun baginda masih juga memohon dari Allah s.w.t. agar baginda dikurniakan sifat taqwa. Maka itu berdoa dan mendoakan adalah satu dari ciri-ciri orang yang tawadduk seperti Rasulullah s.a.w.
Pengajaran daripada Peristiwa Hudaibiyah
Keamanan adalah satu nikmat yang sering diambil mudah oleh manusia. Pemberontakan yang menjejaskan keamanan sebuah negara ataupun masyarakat yang telah diraikan oleh ramai adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan justeru kurang mengenal erti syukur. Ini kerana ia membawa kemusnahan pada bangunan dan “hadarah” iaitu tamadun yang telah berjaya ditubuhkan sesebuah masyarakat. Kita harus berwaspada dalam membuat satu keputusan agar tidak mengabaikan usaha masyarakat terdahulu yang telah berjaya membuka pintu ke arah kemajuan, permodenan dan komunikasi silang budaya.
Ramai menganggap keamanan ini adalah sebagai satu keistemewaan yang diberi dan sering tidak mengambil endah tentang kepentingan untuk menjaganya. Jika kita imbas kembali sejarah keadaan pramoden dari segi hubungan manusia antara satu sama yang lain, kita bakal sedar bahawa terdapat banyak peperangan yang berlaku atas dasar tidak wujudnya keamanan yang jitu. Peperangan yang telah dilalui zaman perang dunia pertama dan kedua “World War” WW1 dan WW2, peperangan pada zaman lampau dan kuno. Betapa banyak nyawa yang terkorban dan masyarakat yang merana demi mencapai keamanan yang kita idamkan pada zaman ini. Ada slogan yang terkenal di zaman dulu ‘’ar-rum izaa lam tuqhza, qhazat’’ bermaksud orang Rom jika tidak diperang, nescaya mereka akan mulakan.
Agama Islam, dengan berpaksikan kedamaian, datang untuk menegakkan hubungan dengan satu sama yang lain atas dasar ‘silmi’ iaitu kedamaian. Justeru itu, setiap hubungan yang dibina seorang muslim dengan masyarakat silang agama, bangsa mahupun negara adalah atas dasar perhubungan yang ‘silmi’. Manakan tidak Islam mengarah pada kedamaian bila perkataan Islam itu sendiri datang dari kata dasar ‘Sa-la-ma’ bererti kedamaian.
Tidak kami sangkal bahawa pada zaman ini, amat mudah bagi sesetengah orang dan masyarakat terjerumus dalam perangkap keganasan atas dasar perbezaan dan kurang memahami antara satu sama lain. Sebagai umat Islam kita seharusnya menonjolkan sifat mahmudah dengan menjaga setiap tingkah laku agar ia membawa kepada kedamaian.
Lihatlah Peristiwa Sulhu Hudaibiyyah yang beerti Perjanjian Damai Hudaibiyyah memberi pengajaran kepada Umat Islam untuk sentiasa merebut segala peluang-peluang untuk berdamai di antara kaum-kaum yang berbeza. Ini dapat dilihat ketika Baginda SAW bersetuju untuk merunding perjanjian damai dengan kaum Quraisy dan menerima janji-janji dan terma-terma yang telah ditetapkan walaupun perjanjian-perjanjian itu menyebelahi pihak kaum Quraisy.
Tiga perkara yang dapat diraih daripada peristiwa Perjanjian Hudaibiyyah tersebut:
Pertama, memperakui hak politik sesebuah negara dan menghormati undang-undangnya. Perkara itulah yang dilakukan oleh Baginda SAW di dalam peristiwa tersebut di mana Baginda SAW menghormati hak penduduk-penduduk Makkah ketika itu dan menghormati garis pandu yang telah ditetapkan. Ketika kaum Quraisy tidak mengiktirafkan kenabian Baginda SAW lalu menghalangnya memasuki kota Makkah, Baginda tidak sekalipun merasa kecil hati atapun marah, malah Baginda menghormati dan meminta untuk dipadamkan gelaran ‘rasulullah’ dari perjanjian tersebut.
Baginda juga menerima keputusan kaum Quraisy yang menentukan waktu dan jangka masa di mana kaum Muslim dibenarkan untuk memasuki Makkah sepertimana yang dapat dilihat di dalam perjanjian Hudaibiyah.
Kedua, peristiwa ini membuktikan kebijaksanaan Baginda SAW yang sentiasa memikirkan manfaat yang besar yang bakal diraih pada masa hadapan. Baginda SAW memahami bahawa kedamaian merupakan kunci yang asas bagi kemenangan yang bakal kunjung tiba bagi umat Islam. “Sulhu” Perjanjian Damai Hudaibiyyah telah membawa kepada peristiwa gilang-gemilang di dalam sejarah Islam; Pembukaan Kota Makkah yang berlaku tanpa penumpahan darah.
Ketiga, peristiwa ini menjanjikan kemenangan bagi umat Islam dan ia memberi pengajaran yang amat berharga bagi kita semua; Kejayaan Islam serta kemuliaannya adalah berdasarkan bimbingan, tunjuk ajar dan akhlak mulia Baginda SAW.
Oleh itu, zahirkanlah Izzah iatu kemuliaan dan keagungan Islam dan buktikanlah keindahan Islam dengan sentiasa membuat pilihan yang munasabah kerana bantuan Allah itu sangatlah dekat. Allah SWT berfirman:
أَمۡ حَسِبۡتُمۡ أَن تَدۡخُلُواْ ٱلۡجَنَّةَ وَلَمَّا يَأۡتِكُم مَّثَلُ ٱلَّذِينَ خَلَوۡاْ مِن قَبۡلِكُم ۖ مَّسَّتۡهُمُ ٱلۡبَأۡسَآءُ وَٱلضَّرَّآءُ وَزُلۡزِلُواْ حَتَّىٰ يَقُولَ ٱلرَّسُولُ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَعَهُۥ مَتَىٰ نَصۡرُ ٱللَّهِ ۗ أَلَآ إِنَّ نَصۡرَ ٱللَّهِ قَرِيبٌ ﴿٢١٤﴾ـ
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah). (Al-Baqarah 2:214)
Adab Berziarah yang Wajar Diperhatikan
Agama Islam sangat menitikberatkan adab dalam setiap aspek kehidupan. Bahkan adab dan akhlak yang baik sering dikaitkan dengan akidah dan keimanan yang kukuh. Rasulullah s.a.w. sering memesan bahawa keimanan yang sebenar kepada Allah SWT dan RasulNya perlu digandingkan dengan adab yang terpuji. Sebagai contoh, Baginda SAW mendidik kita bahawa orang yang beriman memelihara hubungan baik bersama orang lain iaitu jirannya:
مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيُحْسِنْ إِلَى جَارِهِ
Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka ia berlaku baik kepada jirannya. (HR Imam Muslim)
Begitu juga dengan amalan berziarah. Ia merupakan sesuatu yang baik dan dibolehkan di dalam Islam. Namun masyarakat Islam perlu memerhatikan adab dalam berziarah agar ia memelihara hubungan, menjaga kedamaian, menyuburkan ikatan bahkan mendapat rahmat dan keberkatan daripada Allah SWT.
Di dalam kita mencari adab memasuki sebuah negara, kita boleh melihat adab menziarah rumah orang yang telah diaturkan oleh Allah SWT Menurut Quraish Shihab, rumah adalah tempat untuk berehat, berlindung dan juga tempat peribadi menjaga privasi. Ini adalah mirip dengan sebuah negara yang merupakan tempat menetap dan berlindung bagi sebuah masyarakat serta memiliki undang-undang yang khas dan sesuai dengan masyarakat itu. Antara adab utama yang perlu diperhatikan adalah adab meminta izin. Firman Allah SWT:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَدۡخُلُواْ بُيُوتًا غَيۡرَ بُيُوتِكُمۡ حَتَّىٰ تَسۡتَأۡنِسُواْ وَتُسَلِّمُواْ عَلَىٰٓ أَهۡلِهَا ۚ ذَٰلِكُمۡ خَيۡرٌ لَّكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَذَكَّرُونَ ﴿٢٧﴾ـ فَإِن لَّمۡ تَجِدُواْ فِيهَآ أَحَدٗا فَلَا تَدۡخُلُوهَا حَتَّىٰ يُؤۡذَنَ لَكُمۡ ۖ وَإِن قِيلَ لَكُمُ ٱرۡجِعُواْ فَٱرۡجِعُواْ ۖ هُوَ أَزۡكَىٰ لَكُمۡ ۚ وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ عَلِيمٌ ﴿٢٨﴾ـ
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu). Maka sekiranya kamu tidak mendapati sesiapa (yang berhak memberi izin) maka janganlah masuk ke dalam rumah itu sehingga kamu diberi izin; dan jika dikatakan kepada kamu “baliklah”, maka hendaklah kamu berundur balik; cara yang demikian adalah lebih suci bagi kamu; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan. (An-Nur 24:27-28)
Di sini jelas bahawa meminta izin daripada tuan rumah adalah wajib. Malah Allah SWT menjelaskan jika kita tidak diizinkan oleh tuan rumah dan disuruh untuk pulang, maka kita tidak boleh melanggar keizinan tersebut. Aṣ Ṣobuni di dalam karyanya Tafsir Ayat Al-Ahkam menerangkan perkataan “tasta’nisū” iaitu kamu minta izin bukan sahaja beerti meminta izin, tetapi ia bermaksud mengetahui kerelaan tuan rumah untuk menerima kehadiran tetamunya. Dalam hadis pula kita mendapati Rasulullah SAW juga mendidik kita untuk memberi salam sebanyak 3 kali sebagai tanda meminta izin untuk berziarah. Sekiranya tiada jawapan selepas 3 kali salam, maka kita diperintahkan untuk pulang. Sabda Rasulullah SAW:
الإِسْتِئْذَانُ ثَلاثٌ فَإِنْ أُذِنَ لَكَ وإلَّا فَارْجِعْ
Meminta izin masuk rumah adalah tiga kali, sekiranya diizinkan (masuklah), jika tidak maka pulanglah. (HR Imam Muslim)
Merasa sedih dan kecewa apabila kehadiran kita ditolak adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Namun kita tetap perlu menjaga adab serta reaksi dalam berhadapan dengan situasi sebegini. Kita boleh mencedok pengajaran dan tauladan dari sejarah kehidupan Rasulullah SAW. Di dalam peristiwa Taif, kita mendapati masyarakat di Taif bukan sekadar tidak menerima kehadiran Rasulullah SAW bahkan mengusir dan menyakiti Baginda. Malaikat kemudian menawarkan kepada Baginda SAW untuk membinasakan kaum tersebut dengan membalikkan gunung ke atas mereka. Akan tetapi, Rasulullah SAW bukan sahaja menolak tawaran tersebut, bahkan mendoakan kebaikan buat mereka yang telah menolaknya. Baginda SAW bermohon:
Ya Allah tunjukkanlah kaumku ke jalan yang lurus, sesungguhnya mereka tidak mengerti.
Akhir sekali, sebagai masyarakat Islam, di antara tanggungjawab sosial kita adalah untuk saling menghormati dan mengekalkan perpaduan sesama manusia termasuklah menghormati keputusan untuk menjaga keamanan serta keharmonian. Firman Allah SWT:
وَأَحۡسِنُوٓاْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُحۡسِنِينَ ﴿١٩٥﴾ـ
Dan berlaku baiklah sesungguhnya Allah menyukai orang yang memperbaiki amalannya. (Al-Baqarah 2:195)
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ مِنْهُ نَبِيُّكَ مُحَمَّدٌ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ! وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا اسْتَعَاذَ مِنْهُ نَبِيُّكَ مُحَمَّدٌ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ! وَأَنْتَ المُسْتَعَانُ! وَعَلَيْكَ البَلَاغُ! وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ
“Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepadaMu sebaik-baik apa yang pernah diminta oleh NabiMu Muhammad saw, dan kami berlindung kepadaMu dari merbahaya yang NabiMu Muhammad saw pernah berlindung kepadaMu darinya, Engkaulah tempat meminta pertolongan dan Engkau pula yang menyampaikan, tiada daya dan upaya kecuali dengan pertolonganMu.” (kitab al-Azkar, Imam Nawawi)
KEHIDUPAN MUSLIM
MASYARAKAT
SINGAPURA
SINGAPORE
Kesederhanaan Dalam Islam
Moderation In Islam
#BeThatGraciousMuslim
CONTEMPORARY ISSUES
SOCIETY