Mereka Yang Menulis: Sumbangan Asatizah Singapura dalam Penulisan dan Penerbitan Kitab-kitab Agama 1914 – 2016 | Pergas Blog

newest article

mereka-yang-menulis

Mereka Yang Menulis: Sumbangan Asatizah Singapura dalam Penulisan dan Penerbitan Kitab-kitab Agama 1914 – 2016

16 November 2018 3:16 am // Written by Sundusia Rosdi;

Di awal kurun ke 20, golongan yang celik huruf di nusantara tidak begitu ramai, yang arif menulis biasanya merupakan dari kalangan bangsawan dan yang berpelajaran kerana tuntutan pekerjaan (sebagai wartawan, guru atau pengarang berbayar). Selainnya sebagai hobi untuk bersantai dengan ilham dan curahan perasaan yang dicatatkan oleh pengarang, pemuisi, penulis lirik, pemusik dan peminat ruangan surat pembaca atau sahabat pena di akhbar atau majalah. Waktu itu bahan-bahan penulisan berbentuk makalah atau rencana ringkas amat sedikit sekali yang berisi maklumat atau pengajaran ilmu apalagi sebagai sebuah karya buku ilmiah.    

Kemunculan mesin percetakan pada kurun ke 16 di Eropah, India dan China merupakan antara mercu tanda penting dalam sejarah perkembangan intelektual manusia kerana melaluinya pelbagai ilmu dapat disebar luas dan dikongsi. Dua buah negara Timur Tengah iaitu Makkah dan Turki terlebih dahulu menjadi pusat percetakan karya Melayu/Islam, selain India pada awal abad ke 19.

Kemudian muncul kota Kahirah di Mesir mengambil alih peranan ini kerana kehadiran Universiti Al-Azhar sebagai nadi pengajian ilmu agama. Sejak akhir abad ke19, dengan peningkatan jumlah penuntut alam Melayu yang menuntut di situ, ulama-ulama di Al-Azhar  mendapat penghormatan tinggi kerana kegiatan intelektualnya yang tidak hanya setakat menjadi pusat ilmu tetapi telah meninggalkan pengaruh besar kepada senario penerbitan, penulisan atau literasi Melayu, termasuk karya-karya sasteranya.

Sebagai bandar pusat percetakan penerbitan Melayu terawal, terdapat beberapa syarikat percetakan di Kahirah yang menerbitkan pelbagai jenis buku dan kitab, majalah dan akhbar, termasuk mencetak sejumlah kitab Jawi tulisan ulama Nusantara sejak tahun 1910an dalam Bahasa Arab. Peranannya sebagai pusat percetakan kitab dan karya Melayu-Islam mula merosot selepas tahun 1930an kerana kemunculan banyak syarikat cetakan di Tanah Melayu lantaran kemudahan memperolehi alatan dan mesin cetak dan seumpamanya di Singapura dan Pulau Pinang.

KIAI MUHAMMAD FADHLULLAH SUHAIMI (1886-1964) DAN AHLI KELUARGA

Matbaah al-Ittiādiyyah merupakan syarikat percetakan milik bersama pelajar-pelajar Melayu yang menuntut di Universiti Al-Azhar, Kahirah, Mesir. Ditubuhkan pada awal tahun 1914 oleh Kiai Muhammad Fadhlullah bin Muhammad Suhaimi dari Singapura bersama-sama beberapa teman pelajarnya. Beliau kemudiannya menjadi seorang ulama, tokoh reformis juga pengasas Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah Singapura pada tahun 1936.  

Pada awalnya, matlamat penubuhan syarikat percetakan itu sejajar dengan cita-cita pengasasnya untuk mencetak, menerbit dan mengedar majalah Melayu terbitannya bertajuk al-Ittihad. Selain itu, syarikat ini juga mencetak pelbagai jenis kitab dalam Bahasa Arab, Melayu dan Jawa, sebagai mewujudkan rangkaian cawangan kedai kitab di seluruh Nusantara.

Ketika itu Kiai Fadhlullah Suhaimi sendiri menjadi pengurus dan editor majalah al-Ittihad, dengan beberapa anggota sidang pengarangnya dari kepulauan Indonesia. Majalah al Ittihad terbit sekali dalam tiga bulan. Ketiadaan naskhah asal asli al-Ittiād ini menyukarkan usaha untuk menentukan tarikh keluaran utama sulungnya. Harga langganan bagi selama setahun ialah tiga rupiah (di Indonesia) atau lima keping syiling (di Tanah Melayu).  

Kewujudan al-Ittiād yang merupakan majalah pertama yang diterbitkan oleh pelajar-pelajar Melayu di Kahirah hanya diketahui melalui penyiaran  satu rencana di majalah Neracha (1911-1915) yang bukan sahaja mengalu-alukan terbitnya al-Ittiād, tetapi telah mencabar pelajar-pelajar Melayu di Eropah agar berbuat yang serupa.  

Walaupun semua ehwal kegiatan penerbitan berlaku di Mesir tetapi buku pertama terbitan syarikat ini ditujukan kepada pembaca di Tanah Melayu. Selain mencetak majalah al-Ittihād, buku berjudulKitab Pelajaran Tauhid’ tulisan Kiai Muhammad Fadhlullah Suhaimi pada tahun 1914 adalah satu-satunya karya lain yang diketahui pernah diterbitkan oleh Matbaah al-Ittihadiyyah. Kandungan kitab ini memuatkan perbincangan soal-jawab tentang sifat Allah dan Rasul yang mungkin mencerminkan isu utama suasana sekeliling yang hangat pada masa itu, iaitu persoalan kekeliruan aqidah. Syarikat percetakan ini tidak dapat bertahan lama setelah pemiliknya, Kiai Fadhlullah Suhaimi kembali ke Singapura pada hujung tahun 1914 selepas berjaya menamatkan pengajian di Universiti al-Azhar selama satu tahun.

Kitab ‘Tarikh Islam’ karangan Kiai Md Fadhlullah Suhaimi

Kitab keduanya bertajuk ‘Tarikh Islam’ terbit di Batavia (Jakarta) pada tahun 1918.  Buku ini merupakan kumpulan nota syarahan mengenai riwayat Nabi Muhammad s.a.w. semasa beliau mengajar di Madrasah Alsagoff Singapura.  Ia pernah dijadikan buku teks sekolah-sekolah di negeri Johor dan Brunei Darussalam.

Dari tahun 1924, selama 40 tahun Kiai Fadhlullah Suhaimi telah menghasilkan 35 lagi judul buku dalam berbagai tema bukan sahaja agama seperti perkara khilafiyah malah tentang nasionalisme, ehwal semasa masyarakat seperti perkara berkaitan emansipasi dan isu penyertaan wanita Melayu dalam sukan dan politik. Selain itu terbit juga sebuah buku kamus Arab-Melayu yang beliau usahakan bersama Perpustakaan di Batavia (Jakarta).

Dua buku terakhir tulisan beliau terbitan Syarikat Ahmadiah Press ialah “Sinaran Matahari pada Menolak Kitab Karangan Abu Bakar Asy’ari” (tahun 1959) mempersoalkan fatwa Abu Bakar Asyaari (ulama Perlis) antaranya yang membolehkan solat Jumaat tanpa khutbah dan tanpa berjemaah.  Buku terakhirnya ketika beliau berumur lewat 70an ialah “Panduan Hidup” (tahun 1963) berupa kumpulan isi ceramah yang disampaikan di beberapa madrasah di Singapura.

Selain menulis 35 judul buku, terdapat 144 rencana beliau yang pernah disiarkan dari tahun 1935 hingga 1958 di akhbar seperti Utusan Melayu dan Melayu Raya, di majalah Kehidupan Dunia & Akhirat dan Kehidupan & Bintang Malaya. (Rujuk “Footprints of Muslim Scholars’ Heritage in Singapore: A Select Bibliography 1914-2014” untuk senarai rinci).  

Kegiatan penulisan Kiai Fadhlullah terhenti dengan kepulangan beliau ke rahmatullah pada tahun 1964. Legasi menulis dalam keluarga ulama ini diteruskan oleh anak sulung beliau, Syeikh Muhd. Taha (1916-1999) yang juga berdakwah menerusi ‘tinta pena’ seawal tahun 1950an bagi 30 judul kitab agama.

Buku pertama Syeikh Muhd. Taha dalam bahasa Arab bertajuk Attanaqudhat fil Anajil al-Muaddasah diterbitkan di Kaherah tahun 1950an. Selain itu, buku-buku beliau banyak diterbitkan oleh  Solo Enterprise, Persatuan Islam dan Pencak Silat Singapura (PERIPENSIS) sejak tahun 1981, Syarikat Percetakan Persendirian (1980an) dan Da’wah Percetakan (1985). Beliau menulis dan menjual kitab-kitabnya untuk menampung dana pentadbiran Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah sebagai amalan sedekah jariahnya.

Kitab-kitab tulisannya berkisar mengenai persoalan Aqidah, Fiqh, Sejarah, Tauhid dan Ibadat Haji & Umrah juga perbincangan tentang ajaran Tariqah Al-Auradul Muhammadiyah yang diasaskan oleh datuknya, Syeikh Muhammad Bin Abdullah (Ibnu Abdillah) As-Suhaimi termasuk; Jawapan Bagi Tuduhan-tuduhan Terhadap Sejarah Hidup Syeikh Muhammad As-Suhaimi Dan Aurad Muhammadiah  dan Tiada Tengkarah Mengenai Aurad Muhammadiah. Beliau juga pernah bergiat menghasilkan skrip siaran rancangan agama di Radio Singapura.

Ustaz Mohd. Taha Suhaimi juga dikenali sebagai ahli dan pakar rujuk dalam bidang tasawuf dan perbandingan agama khususnya agama Kristian dan kitab Injil.  Di majlis-majlis dialog atau perbincangan berkaitan keharmonian silang- agama, beliau menunjukkan sikap terbuka, ikhlas menerima, bertolak ansur lagi sedia mendengar pandangan dan respons orang lain termasuk maklum balas masyarakat umum.

Kemahirannya dalam bahasa Inggeris dan pengajiannya tentang agama Kristian dan kitab Injil dimanfaatkan dengan menulis buku-buku perbandingan agama dalam bahasa Inggeris termasuk ‘The Miracle of al-Quran.(s.l.)’, ‘Is The Bible Reliable? Has the Bible been Altered?’, ‘Islam  The Misunderstood Religion’, ‘Muhammad Foretold in Earlier Scriptures’  dan ‘Manaqib Syeikh Muhammad Bin ‘Abdullah as-Suhaimi’. Kemahiran ini sangat signifikan kerana tidak terdapat di di kalangan para ulama tempatan atau Nusantara pada abad ke 20 yang memilikinya. Ustaz Mohd. Taha Suhaimi pernah dibandingkan sebagai setara dengan pendakwah Islam tersohor Afrika Selatan, Ahmad Deedat (1918-2005).

Oleh sebab keluasan ilmunya dan kefasihannya berbahasa Melayu, Arab dan Inggeris, beliau  dapat menghuraikan dan menerangkan isu-isu permasalahan agama seperti Tawassul dan Tabarruk dengan jelas dan berkesan dan sering dijadikan pakar rujuk dan perwakilan ke luar negara menghadiri majlis-majlis ilmu dan persidangan-persidangan. Kitab-kitab tulisannya yang lain termasuk; ‘Hakikat Syirik’, ‘Haji dan  Umrah’, ‘Ilmu Tauhid’, ‘Qadha’ dan Qadar’, ‘Kitab Fiqh’, ‘Kitab Puasa’, ‘Bukti-bukti Kebenaran Al-Quran’, ‘Tafsir Yasin’,  ‘Hukum Perkahwinan dalam Islam’, ‘Maulid Berzanji’, ‘Doa Menjauhkan Angin Ahmar’,  ‘Al-Quran Mengatakan Bible Sudah Berubah’, ‘Adakah Talqin Haram?’ dan ‘Ilmu Usul Fiqh’. 

Kini kedua-dua anak beliau; Ustaz Abdul Hafiz dan Ustaz Ahmad Haris juga mewarisi legasi ayah dan datuk mereka dengan menulis untuk berdakwah. Ustaz Abdul Hafiz selaku Presiden PERIPENSIS menulis dua buah buku mengenai ‘Doa-doa amalan seharian’ dan ‘Angin Ahmar’. Sejak tahun 2004 melalui syarikat penerbitan HRs Consultantnya, Ustaz Ahmad Harris Suhaimi telah menghasilkan beberapa judul buku  tentang akhlak termasuk ‘Bagaimana Mendapat Pahala Hidup 7000 tahun’ (ulangcetak ke 7 tahun 2012), ‘Apakah Amalan bagi Menjauhkan Kesusahan Hidup? (2006), ‘Amalan Dijamin ke Syurga oleh Rasulullah S.A.W’ (2011), ‘Reaping Rewards as if Living for 7000 Years’ (2015)  dan yang terbaru ‘Rosak Amalan kerana Adab’ (2016).

KIAI AHMAD ZOHRI MUTAMIM (1905–1985)

Ulama terkenal Kiai Ahmad Zohri Mutamim telah menulis sebanyak 15 tajuk kitab-kitab agama dalam bahasa Melayu (aksara Jawi) dan bahasa Arab sejak tahun 1930an. Isi perbincangan kitab-kitabnya berkisar pada tafsir al-Quran dan Hadis juga tentang Fiqh, Tauhid dan Aqidah

Beliau juga telah menterjemahkan sebuah kitab “Hadis 40” dari bahasa Arab ke bahasa Jawa yang bertajuk “Hadis arbain annawawiah” bersama seorang ulama Kiai Muhammad Ashik yang menterjemahkannya ke bahasa Bawean. Dalam kitabnya “Falsafah perangai” terbitan tahun 1937, beliau menghuraikan beberapa perangai baik dan keji yang harus diamalkan dan dihindari. Begitu juga kitab “Suluhan falsafah pada mentafsirkan surah al Fatihah” yang ditulis dalam aksara Jawi dan dicetak di Singapura oleh Matbaah Al Ahmadiah, membincangkan tentang pengetahuan tarbiah Tuhan kepada alam dan manusia yang dapat menguatkan iman dan meninggikan makrifat pengamalnya. Sementara itu kitabnya, “Namusi pada menyatakan surah kejadian manusia” menghuraikan kandungan tafsir lafzhi surah al-Alaq dengan mengenal diri sebelum dan selepas zahir, juga perbandingan diri manusia dengan dunia. Buku terbitan Al Ahmadiah Press, Singapura setebal 51 halaman ini diterbitkan pada tahun 1953.

USTAZ SYED AHMAD SEMAIT (1933-2006) & SYARIKAT PUSTAKA NASIONAL

Pada abad 20an, Syed Ahmad Semait muncul sebagai seorang pendakwah, penulis, penyelenggara dan penterjemah yang prolifik dengan kitab-kitab terbitan syarikat keluarganya yang mempelopori industri penerbitan buku Melayu tempatan dengan pembaharuan dalam aspek teknikal dan fizikal sesebuah buku termasuk reka corak,   tata letak dan kerangka layout buku yang lebih bermutu, dalam aksara Rumi, Jawi melalui bahasa Arab dan bahasa Melayu yang berkualiti.

Syed Ahmad Semait tidak menonjol di khalayak umum memberi ceramah atau sebagai panel perbincangan, beliau berperwatakan pendiam, amat ‘low-profile’ dan memilih untuk bekerja di ‘belakang tabir’. Beliau berkomunikasi dan berinteraksi dengan masyarakat melalui pembaca kitab-kitab tulisannya atau bahan-bahan penerbitan syarikatnya Pustaka Nasional (PN) yang kebanyakannya bercorak didaktik/nasihat. Melalui pengalaman menulis dan menterjemah buku-buku Arab, Syed Ahmad menyertakan analisa dan pandangan bernasnya. Banyak buku-buku yang diselenggarakannya dijadikan rujukan bagi kurikulum subjek Pengetahuan Agama Islam sesuai untuk pelajar-pelajar dewasa setempat.  

Syed Ahmad Semait mula bekerja dengan ulama Sheikh Omar bin Abdullah Al-Khatib (1908-1997) seorang pedagang, pengimpot dan pengekspot kain-kain serta buku-buku Bahasa Arab dari negara Timur Tengah ke Nusantara. Syed Ahmad melalui adiknya Syeikh Syed Isa Semait (mantan Mufti Singapura) yang ketika itu pelajar Universiti Al-Azhar, telah membeli buku-buku dari Mesir terbitan penerbit Sulaiman Mar’ie yang terkenal. Di sinilah beliau mula belajar cara menterjemah buku bahasa Arab di bawah pengawasan pedagang Syeikh Omar selain menjadi rakan kongsi syarikat itu.  

Pada tahun 1960, Syed Ahmad bersama adik bongsunya Syed Umar membuka kedai buku yang menjual buku bahasa Arab, iaitu Al-Maktabah At-tijariyyah (Eastern Publishing House) dengan tujuan untuk mengimpot buku rujukan agama bagi para asatizah dan pelajar-pelajar di rantau Nusantara. Sekali lagi adiknya, Syed Isa dilantik sebagai wakil pembeli buku di Kaherah dan mengirim buku-buku melalui kapal ke Singapura. Kedainya Al-Maktabah At-tijariyyah (Eastern Publishing House) yang pertama terletak di Kandahar Street,  kemudian berpindah ke Shaw Towers, kemudian di Joo Chiat Complex sebelum ke Changi Road.

Pada tahun 1963, Syed Ahmad Semait menukar nama syarikatnya kepada Pustaka Nasional untuk menampilkan identiti syarikat itu yang akan mengajukan isu minoriti Muslim di Singapura. Misi dan visi beliau adalah untuk mengembangkan kerja dakwah di Nusantara melalui penerbitan buku. Perubahan ini berlaku mungkin kerana peralihan corak produk buku yang dijualnya dari kebanyakan buku berbahasa Arab untuk asatizah madrasah kepada buku-buku terjemahan dari bahasa Arab ke bahasa Melayu.

Syed Ahmad juga menubuhkan syarikat percetakan, Kerjaya Printing Industry pada tahun 1980an di Singapura untuk mencetak penerbitan-penerbitan Pustaka Nasional. Selain itu anak syarikatnya di Johor bergelar Penerbitan Penamas ditubuhkan pada tahun 1980an dan Pustaka Islamiyah dipindahkan ke Kuala Lumpur pada tahun 1996 untuk dijadikan pengedar  buku-buku terbitan Pustaka Nasional di seluruh Malaysia.

Buku-Buku Terjemahannya

Dengan kesedaran bahawa masyarakat Melayu/Islam setempat bukan golongan yang rajin membaca, Syed Ahmad memastikan dan memilih kandungan subjek terjemahannya menjurus kepada isu dan masalah yang sering mencabar masyarakat agar mereka akan tertarik untuk membaca buku-buku terjemahan itu.

Dalam tahun 1970an, masyarakat Melayu dicengkam dengan banyak masalah gejala sosial seperti kemiskinan, tidak berpelajaran tinggi dan menganggotai kumpulan samseng termasuk penagihan dan salah guna dadah, kadar perceraian terus meningkat, terlibat dalam kancah jenayah dan sebagainya.

Menekankan kandungan dalam prakata kitab “Untaian Mutiara Hadits-Hadits Rasulullah s.a.w.” oleh Syed Ahmad Umar Hasyim, Syed Ahmad Semait berpendapat bahawa “kesemua 150 hadis dalam kitab itu amat berguna sebagai amalan  sebab keadaan masyarakat ketika itu menggambarkan nilai moral yang terhakis akibat pengaruh luaran yang telah menyentap budaya dan masalah interaksi sesama ahli masyarakat”.

Melalui tulisan dan terjemahannya, beliau juga mengetengahkan kepentingan peranan ibu bapa sebagai contoh atau idola kepada anak-anak. Kebanyakan ibu bapa tidak mempunyai keupayaan atau kemahiran keibubapaan (Parenting skills) dalam mendidik anak dalam era yang mencabar ini. Justeru, mereka perlu ada ilmu dan bimbingan agama, dan untuk maksud itu, beliau telah menterjemahkan buku “Pendidikan Anak-Anak Islam” tulisan asal Abdullah Nasih Ulwan dalam 2 jilid dan telah diulang cetak sebanyak sembilan kali dari 1988 hingga 2002.

Antara buku-buku lain yang dialih bahasa, enam dari sepuluh judul merupakan tulisan asal Imam Abdullah Al-Haddad termasuk tajuk “Nasihat Agama dan Wasiat Iman” terbitan tahun 1981. Selama 40 tahun, Syed Ahmad menekankan isu sosial sebagai tema umum penulisan dan penterjemahannya. Beliau berperanan menampilkan teks konvensional agama dalam bentuk buku yang praktikal, selesa dibaca dan senang difahami, boleh dikongsi asatizah dengan masyarakat umum. Kepakarannya dalam bidang penulisan dan penterjemahan dimanfaatkan untuk menyedar dan menyebarkan mesej Islam.

Hasil usaha penulisan dan penterjemahannya boleh dikategori kepada enam kategori:

  1. 7 judul asli tulisannya sendiri
  2. 72 judul dalam 6 subjek tulisan beliau bersama penulis lain
  3. 20 judul terjemahan/alih bahasa
  4. 2 judul terjemahan bersama
  5. 9 judul suntingan
  6. Lain-lain tajuk yang diterbitkan oleh syarikatnya

(Untuk senarai penuh buku-buku dan makalah tulisan/terjemahan beliau, sila rujuk Footprints of Muslim Scholars’ Heritage in Singapore: a Select Bibliography (Pergas, 2014).

Dalam menterjemahkan kitab-kitab agama, beliau cekap memastikan penggunaan kosa kata dan terma bahasa yang sesuai dan mudah bagi setiap golongan terutama pembaca muda. Beliau menterjemahkan dengan cara pendekatan dalam minda pembaca, setiap maksud dalam konteksnya dan bukan sekadar berdasarkan perkataan per se. Beliau akan menambah nota rujuk atau penjelasan dari teks bahasa asal bagi sesuatu huraian interpretasi. Kesemua ini dilakukan untuk berkongsi tradisi ilmu Islam, meningkatkan minat dan keprihatinan pembaca dan bukan untuk keuntungan semata. Tujuan ini tercatat dalam prakata buku Siyarus Salikin tulisan Syeikh Abdul Samad Al-Palembani.  

Kebanyakan buku tulisan, terjemahan dan terbitan Syed Ahmad berkisar kepada subjek Sufisme, Hadis, Sirah, Nahu Arab, Syariah Islam, Teologi dan juga sastera kreatif  Melayu. Karyanya yang paling menyerlah ialah komentarnya dalam Shahih Bukhari (Enam jilid), di mana pada satu jilid sahaja beliau sempat menulis dengan penjelasan ‘… bahawa beliau menggunakan mata penanya untuk menyelamatkan masyarakat tempatan khususnya dari kehakisan nilai moral dan kerohanian.’

Pada tahun-tahun 1980an hingga 1990an iaitu sejak PN memulakan misinya untuk menerbitkan buku yang ‘masyarakat hanya memerlukan buku asas untuk membina keimanan mereka’, amat sedikit sekali para asatizah yang menceburi bidang penulisan sedangkan amalan membaca pula begitu terasing bagi masyarakat Melayu setempat.  Justeru, buku-buku terbitan PN masa itu disasarkan kepada masyarakat umum. Tiga buku tulisannya yang pertama (1977) menyentuh perkara asas dasar agama bersandarkan kitab Hadis 40 susunan Imam Nawawi. Kitab ini mendapat sambutan kerana Syed Ahmad telah membawa teks konvensional ini kepada pembaca umum dan ianya masih lagi digunakan hingga kini.   

Dalam tahun 2006, beliau menterjemahkan dan menerbitkan buku Imam Bukhari, Al-Jami’us–Shahih (Sahih Bukhari). Usaha menterjemah kumpulan hadis merupakan satu sumbangan besar penerbitan dalam bahasa Melayu di Nusantara dan satu lagi fardu kifayah sumbangan beliau dalam membaiki keadaan ummah yang keliru akan tujuan agama and petunjuk ilahi. Beliau merumuskan bahawa umat hanya dapat diselamatkan melalui kefahaman al-Quran dan mengamalkan sunnah-sunnah Nabi Muhammad s.a.w. melalui bimbingan al-Quran.  

Buku-buku Syed Ahmad Semait popular kerana masyarakat Islam tempatan memerlukan bimbingan dalam bahasa yang sesuai dalam situasi semasa. Kitab “Kuliah Subuh” sebanyak 3 jilid membincangkan 40 hadis Imam Nawawi dengan menggunakan pendekatan moden dan contoh situasi semasa untuk menggambarkan pesanan hadis.  Buku yang diulangcetak sebanyak sembilan kali ini masih digunakan dalam kelas-kelas agama.

Buku “Kutub lil-madrasah lissuffuf al-ibtidaiyyah” (1995) yang diterbitkan untuk pembelajaran peringkat rendah madrasah tempatan telah mendapat sokongan Muis.  Walaupun kini tidak lagi digunakan di Singapura, ia digunakan di Sekolah Agama Rakyat Melaka. Dua buku susunan beliau, Mari Belajar Sembahyang (L), Let’s Pray (Male) and Mari Belajar Sembahyang (P) – Let’s Pray (Female) diterjemahkan ke bahasa Inggeris untuk kegunaan golongan muallaf. Buku ini telah melalui ulangcetak sebanyak 53 kali. Kekontangan buku-buku agama dalam teks Rumi bahasa Melayu moden menjadikan karyanya lebih popular kerana sebelum ini buku-buku agama samaada ditulis dalam bahasa Arab atau dalam skrip aksara Jawi atau sistem Bahasa Melayu ejaan lama.

Selain menulis, menterjemahkan, menyusun semula dan menerbitkan hasil karyanya sendiri, Syed Ahmad juga menggunakan buku terbitannya di kelas-kelas bimbingannya dan menerbitkan buku-buku tulisan asatizah mapan antaranya Ustaz Ahmad Sonhadji Mohd, Ustaz Syed Abdillah Aljufri, Ustaz Osman Jantan dan Ustaz Sheikh Jaafar Banafie.  

Selepas kepulangan Syed Ahmad ke rahmatullah pada tahun 2006, Pustaka Nasional terus menerbitkan buku-buku tulisan asatizah lain seperti tulisan Ustaz Muhammad Haniff Hassan ‘Fiqh Minoriti Muslim’ dan Ustaz Mohd Jakfar Embek ‘Menunggak Nilai, Melurus Faham’.

USTAZ AHMAD SONHADJI MOHAMAD (1922-2010)

Seorang lagi ulama mapan yang gigih menulis ialah Ustaz Ahmad Sonhadji Mohamad. Di celah kesibukan mengajar di madrasah dan masjid, beliau sempat menjadi imam Masjid Muhajirin sejak 1980 dan menyenggarakan penyusunan kajian pada bidang tafsir Al-Quran bermula tahun 1959.

Bakat beliau dalam bidang penulisan dikesan ketika menjadi pendidik di Madrasah Aljunied dengan mencipta lirik lagu Madrasah itu;  “Nahnu Syababul Islam” (Kami Pemuda Islam) yang masih dinyanyikan oleh pelajar-pelajar madrasah itu hingga kini.

Ustaz Ahmad Sonhadji merupakan wakil Pergas untuk melakar kurikulum Pengetahuan Agama Islam bagi sekolah aliran Melayu yang diarahkan oleh Kementerian Pelajaran Singapura (1958-1960). Hasilnya ialah siri buku ‘Benih Agama’ dalam enam bahagian dan Siri ‘Pengetahuan Agama Islam’ dalam empat bahagian.  

Antara 30 judul kitab agama penulisan beliau, bukunya mengenai ‘Sembahyang’ yang diterbitkan seawal 1957 cetakan Qalam Press, sangat popular sebagai sumber rujukan khususnya ‘saudara baru Islam’ dan terdapat dalam beberapa edisi bahasa-bahasa lain termasuk Bahasa Cina dan Tamil di dalam dan luar negara sehingga tahun 1988. Ustaz Mohd Yusri Yubhi Md Yusoff (2008) dalam tesis Sarjananya bertajuk “Kefahaman dan Pengamatan Solat Berdasarkan Sunnah Rasulullah: Satu Kajian di Kalangan Masyarakat Islam Singapura“ mengulas tentang buku ‘Sembahyang’ ini; ‘buku ini telah membuka lembaran baru tentang kaedah pembelajaran solat yang menggunakan bahasa yang cukup mudah, lengkap dengan ilustrasi dan bacaan surah dan doa yang   lazim dan dalam skrip rumi bagi kemudahan mereka yang baru belajar solat. Malah boleh dikatakan kebanyakan individu di sini mempelajari cara mengerjakan olat melalui buku-buku karangan Almarhum ini’. (Jurnal Dakwah 3 (2012), hal. 65). Pada tahun 2009 buku ‘Sembahyang’ ini dikemas kini dengan penambahan dan diterbit semula dengan judul baru; ‘Bimbingan Solat yang Sempurna’.

Sebagai seorang mufassir, kerja penulisan tafsir Ustaz Ahmad Sonhadji bermula pada 19 Februari 1959 (12 Syaaban 1379) hingga 26 April 1984 (24 Rejab 1404) atas permintaan Radio Singapura. Pada tiap hari Khamis malam Jumaat, suaranya berkumandang di Radio Singapura menyampaikan tafsir Al-Quran dengan skrip tulisannya sendiri. Semasa beliau bekerja di Brunei (1966-1970), beliau mengamanahkan Ustaz Syed Abdillah Aljufri supaya membaca skrip tulisannya yang dipos dari Brunei setiap minggu untuk ruangan tafsir Al-Quran agar rancangan itu terus berlangsung.

Hasrat beliau untuk melengkapkan tafsir 30 juzuk Al-Quran di Radio Singapura tidak kesampaian kerana rancangan itu dihentikan. Beliau hanya mengupas tafsiran ayat hingga Surah Al-Hujurat. Namun beliau terus menamatkan kerja tafsirnya sehingga selesai pada tahun 1984. Penulisan dan kompilasi tafsir yang memakan masa 25 tahun 2 bulan ini akhirnya dapat diterbitkan secara bertahap-tahap dari tahun 1960 sehingga 1988 lengkap sempurna 30 juz (30 jilid) dan diterbitkan dengan judul ‘Abrur Athir’. Ungkapan ‘Abrur Athir’ bermaksud ‘merentasi gelombang udara’ atau ‘tafsir di radio’. Kitabnya ‘Abrur Athir Tafsir Al-Quran di Radio’ menjadi bahan rujukan pelajar institusi  pengajian tinggi dan masyarakat umum Nusantara.

Beliau dianggap sebagai pelopor tafsir moden lengkap yang pertama ditulis dalam bahasa Melayu mudah melalui kitab tafsirnya ini sebanyak 30 juz. Kitab ini diterbitkan oleh Pustaka Nasional untuk Jilid 1 hingga 8, kemudian Syarikat Pustaka Mizan meneruskan penerbitannya hingga Jilid 30 pada tahun 1988. Ia diterbitkan sekali lagi oleh Pustaka Salam pada tahun 1990an.

Antara keunikan kitab tafsir ini ialah penyampaian tafsirnya yang amat sistematik dengan mengaitkan isu sosial dan perkembangan semasa yang disulami dengan peribahasa Melayu agar difahami oleh masyarakat tempatan. Sebagai seorang ulama yang prihatin terhadap masyarakat Islam, beliau membuka minda pembaca tentang isu saintifik yang mendahului generasinya seperti kejadian alam yang tunduk dan patuh dengan aturan Allah s.w.t., bintang horoskop, pengaruh budaya barat yang negatif, isu seks bebas juga pandangan Islam tentang isu bayi tabung uji.  

Selain itu, beliau juga menulis lima artikel yang diterbitkan dalam risalah berkala Madrasah Aljunied dan triwulan Pergas Ar-Risalah. (Rujuk ‘Footprints of Muslim Scholars’ Heritage in Singapore: a Select Bibliography’. Pergas, 2014 bagi senarai lengkap).  

Sepeninggalan beliau, banyak hasil karya tulisan dan koleksi buku-buku peribadi beliau didermakan kepada Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) Singapura dibawah kategori Koleksi Dermawan – Penderma Ustaz Ahmad Sonhadji (UAS). Koleksi yang berjumlah lebih dari 1000 naskah dalam bahasa Melayu, aksara Jawi dan Arab ini merangkumi lebih 500 manuskrip asal dan naskah mengenai Islam dan perkembangannya di Nusantara.

USTAZ SYED ABDILLAH AHMAD ALJUFRI (1938-2003)

Sebagai guru agama yang berpengalaman mengajar di sekolah menengah aliran Melayu, beliau sering dipertanggungjawabkan untuk menulis buku teks bagi subjek Pengetahuan Agama Islam (IRK).  Selain mengajar dan berceramah, beliau aktif menterjemah, menulis artikel untuk akhbar Berita Harian dan Berita Minggu. Mula menulis dari tahun 1968, antaranya buku-buku panduan peperiksaan “Chontoh2 Jawapan Kertas Pengetahuan Ugama Islam”,Pengetahuan Ugama Islam untuk Sijil Pelajaran Malaysia” dan buku umum “Panduan Ibadat Haji” (1982).

Beliau terkenal sebagai seorang Mufassir  kerana mengarang kitab-kitab tafsir Al-Qurannya seperti  “Pelita Al-Quran” yang membincangkan surah-surah  Al-Baqarah, Ali Imran, Al-Maidah, Al-An’am, Al-Anfaal, At-Taubah, Yunus dan Hud, begitu juga Juz 30 – Juz Amma dari tahun 2001 hingga 2011, termasuk dalam format audio CD.  Selain itu beliau menterjemahkan buku asal Abdul Razzak Naufal “Nabi Muhammad s.a.w.” bersama Ustaz Osman Jantan dan Abdul Aziz Murshidi terbitan tahun 2001.

Ustaz Syed Abdillah telah menghasilkan 36 judul buku sepanjang 43 tahun kerjayanya sebagai guru agama. Antaranya buku bertajuk, ‘Anda Bertanya, Saya Menjawab’ (Pustaka Nasional, 2001) yang merupakan kumpulan soal-jawab agama yang tersiar di ruangan mingguan akhbar Berita Minggu. Sebanyak 5 artikelnya juga pernah tersiar di akhbar yang sama.

Beliau juga menjadi pembimbing wartawan kanan Encik Mohd. Raman Daud dalam bidang penulisan agama dan dalam kerja-kerja penyuntingan tulisan-tulisan dari para asatizah yang diterima untuk disiarkan di akhbar.

USTAZAH FATIMA S. A. MAJEED & ZE MAJEED’S PUBLISHING

Ustazah Fatima S. A. Majeed merupakan graduan dari Universiti Al-Azhar, Kahirah, Mesir lewat tahun 1970an. Dalam tahun-tahun 1980an hingga 1990an, beliau aktif dalam kegiatan berceramah dakwah dan menulis buku-buku agama dalam bahasa Inggeris dan

kemudian diikuti dengan versi bahasa Melayu.

Beliau adalah satu-satunya guru agama tempatan pada tahun-tahun 1980an yang menulis dan menerbitkan lebih 50 judul buku bertema Akhlak dalam bahasa Inggeris dan  

bahasa Melayu, sebahagian besarnya untuk peringkat kanak-kanak. Buku-bukunya

diterbitkan oleh syarikat penerbitan keluarganya Ze Majeed’s Publishing.

Buku bergambar berjudul ‘Love Allah, Bismillah & Subhanallah’ (1988) merupakan koleksi lagu kanak-kanak yang menyemai nilai-nilai Islam seperti adab tertib.   Melalui lirik lagu yang menarik, kanak-kanak dikenalkan dengan keindahan Islam sebagai cara hidup harian. Buku ini terdapat juga dalam versi bahasa Melayu. Buku-buku beliau juga dihiasi dengan ilustrasi grafik berwarna-warni yang menarik.

Sejak tahun 1989,  Ustazah Fatima juga menulis buku bersiri (1 hingga 25) tentang Aqidah untuk kanak-kanak seperti ‘Teach Yourself Islam’ untuk menyemai keyakinan kanak-kanak tentang kewujudan Allah s.w.t., Rukun Islam dan Rukun Iman. Begitu juga buku cerita tentang para nabi-nabi, dengan pilihan kata-kata yang ringkas, sesuai lagi mudah difahami.

Buku-buku mengenai Islam dalam bahasa Inggeris untuk kanak-kanak ini mengisi kekontangan buku pendidikan Islam yang dialami para ibu bapa yang sebelum itu hanya  bergantung kepada buku-buku bahasa Inggeris terbitan luar negara seperti Darussalam International Publications Ltd. atau Islamic Foundation, London.

Kemudian beliau menghasilkan Siri Keibubapaan tentang ‘Asuh Anak Anda Islam’ dalam bahasa Melayu (1991), buku teks dalam bahasa Inggeris dan Melayu untuk permulaan

belajar bahasa Arab berjudul ‘Lughatul al-Arabiah: al-adad’ –  pengenalan kepada huruf-huruf hijaiyah, pembinaan kekata dan ayat mudah.  

Bagi peringkat dewasa Ustazah Fatima juga menulis buku dalam bahasa Inggeris.

Antaranya ialah ‘The Islamic Law. Volume One: The Shahaadah and the Salaah’ (2002) ‘The Islamic Law. Volume Two: Zakaat’ (2002) yang dilengkapi dengan informasi tentang solat dan zakat dalam bentuk maklumat rajah dan grafik. Pada tahun 1992, beliau menulis buku ‘God and man: questions and answers’.

Ustazah Fatima kini merupakan Pengetua di Greenview Islamic School, Bangi Selangor – sekolah pendidikan agama swasta yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantarnya.

USTAZ MOHAMMAD IBRAHIM BIN KASSIM (1926-2014)

Ustaz Mohammad Ibrahim ialah tokoh ulama tempatan yang melalui Pusat Pembelajaran Tradisional Al-Fatthu miliknya telah menulis dan menerbitkan 5 tajuk buku semenjak tahun 2011.

Judul-judul tulisan beliau dalam bahasa Inggeris yang dapat dikesan termasuklah; ‘The Seven Excellent Habits of a Successful Mu’min: Islamic Lessons in Developing Personal Integrity (2011), ‘A Short Guide to Marriage and Parenting in Islam” (2013) dan ‘Ad-Deenul Islami and its Branches: Daily Practices for Every Muslim’ (2013). Tulisan dalam bahasa Melayu beliau ialah ‘Muqaddimah Memahami Al-Quran’ terbitan tahun 2013 (61 halaman). Beliau juga turut berkongsi cerita kanak-kanak bertema kemuliaan Akhlak dalam buku bergambar susunan Jamil Abdullah “Stories from My Murshid” pada tahun 2011.

Dalam ruangan belasungkawa, Ustaz Dr. Mohammed Fatris Bakaram (Berita Harian, 9 Mei 2014) berpendapat “… penulisan beliau walaupun bukan dalam bentuk buku tebal, mengandungi isi yang sangat relevan dan mutakhir, menunjukkan beliau mempunyai fikiran yang tajam; beliau sertakan kaitan pengalaman dan ilmunya yang bersifat konvensional dengan keadaan semasa dan terkini dalam menghuraikan cabaran-cabaran yang dihadapi masyarakat”.  

USTAZ DR. MUHAMMAD HANIFF HASSAN

Penerima Anugerah Pergas ‘Asatizah Harapan tahun 2016’ ini merupakan penulis prolifik paling produktif di kalangan asatizah tempatan masa kini. Sebagai Zamil penyelidikan di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS) NTU, beliau telah menghasilkan lebih dari 20 buku selain ratusan artikel yang disiarkan di akhbar Berita Harian/Berita Minggu dan The Straits Times, termasuk rencana-rencana yang diterbitkan dalam siri penerbitan RSIS sendiri.

Kebanyakan tulisannya bukan bercorak bacaan ringan sebaliknya penulisan akademik yang menjurus pada subjek sosio-budaya dan isu semasa di sekitar kefahaman beragama dari perspektif Islam. Topik-topik yang selalu dikaitkan dengan penulisan Ustaz Dr Muhammad Haniff ialah keharmonian beragama, kesederhanaan dalam Islam dan mengenai golongan pelampau Islam. Persatuan agama, PERDAUS mula menerbitkan tulisan-tulisan awal beliau dalam buletin At-Takwim tahun 1997.

Rencana beliau Response to Jihadis View of Jihad: a Sample Approach to Counter Ideology Work’ diterbitkan dalam buku berjudul ‘Combating Terrorism’. (Singapura: Marshall Cavendish, 2005) halaman 85-112. Beliau menghasilkan buku terbarunya “Civil Disobedience in Islam: a Contemporary Debate” yang diterbitkan di New York oleh penerbit Palgrave Macmillan, 2017. Buku ini berkisar tentang isu perdebatan tentang ketidaktaatan sivil dalam Islam (khususnya dalam tradisi penganut Sunni) yang ketara sekali dalam revolusi aman (The Arab Spring) yang kini berlaku di beberapa negara Arab.

Begitu juga dengan buku-bukunya ‘Sampaikan Daripadaku: 100 Renungan Al-Quran & Sunnah Dalam Menyeru Kebaikan’ (Singapura: Firdaus Press, 2017) setebal 225 halaman ini adalah lanjutan dari buku terdahulunya ‘Fiqh Dakwah Dalam al-Quran’ (2004) yang amat berguna untuk para kaunselor, guru dan asatizah atau para da’i dan pendakwah dalam membimbing atau melatih dalam pengurusan modal insan dan pembangunan organisasi. Pembaca diterangkan dengan maklumat yang membantu mereka berfikir bersandarkan dalil dan ayat-ayat al-Quran serta memperkasa keupayaan untuk menghubung kaitkannya dengan isu-isu kehidupan khususnya cabaran-cabaran dalam berdakwah.

Kelayakan dan kemahiran Ustaz Muhammad Haniff dalam bidang agama Islam telah membuka jalan bagi graduan jurusan yang sama, menceburi bidang pengajian di RSIS serta menjadikannya sebagai teladan dan aspirasi dalam bidang penulisan golongan asatizah.

Sebagai penyumbang utama, buku ‘Kesederhanaan dalam Islam’, beliau telah berjaya mengolah kandungan buku itu dengan bernas hingga dapat dijadikan antara nara sumber dan sandaran idea juga suntikan semangat untuk para asatizah merujuk dan merangsang kreativiti dengan maksud membangunkan masyarakat yang boleh berfikir dalam kehidupan beragama dalam sesebuah negara.  

Ustaz Haniff juga menjadi Penyunting penerbitan atas-talian wadah Pergas bernama Wasat On-line, (setiap 2 bulan) yang membicarakan wacana berbagai tema di sekitar subjek Kesederhanaan Dalam Islam.  Kumpulan rencana dari Wasat On-line, isu 1 hingga 10 ini juga telah diterbit dan diedarkan untuk peserta-peserta Muktamar Ulama 17 anjuran Pergas pada bulan September 2017.

USTAZ DR FIRDAUS YAHYA AL-HAFIZ

Seorang lagi penerima anugerah Pergas ‘Asatizah Harapan tahun 2016’ ialah Ustaz Dr Firdaus Yahya. Beliau seorang mufassir yang aktif menulis kajian tafsir al-Quran yang berpotensi meneruskan usaha jerih payah mufassir terdahulu seperti Almarhum Ustaz Ahmad Sonhadji Muhammad dan Almarhum Ustaz Syed Ahmad Abdillah Al-Jufri.

Buku terawalnya ‘Ilmu Faraid’ (1998) menjadi antara sumber rujukan utama subjek Ilmu Faraid di kalangan asatizah kerana terdapat penggunaan cara dan formula kiraan dan grafik rajah yang jelas lagi mudah difahami. Buku ini juga dijadikan teks di madrasah-madrasah tempatan.

Kemahiran Ustaz Dr. Firdaus dalam bidang pengkhususan al-Quran dan bahasa Arab dikongsi dalam kitab-kitabnya ‘Terjemahan Al-Furqan Secara Lafzhiyyah; Juzuk 1, al-Fatihah & al-Baqarah, Surah Yaasin dan Juz 30’ (terbitan tahun 2001-2013). Beliau juga menghasilkan buku tafsir ‘Dirasat fi al-Quran al-Karim wa ulumuhu’, Juzuk 1 & 2 terbitan Muis, yang digunakan sebagai buku teks subjek Tafsir di madrasah-madrasah setempat. Juga buku teks ‘Nihayah al- Ghaliq fi Ilm al-Mantiq’ (2014) digunakan bagi peringkat pra-universiti. Banyak kitab-kitab beliau diterbitkan sendiri di pusat pembelajaran syarikatnya, Darul Huffaz Learning Centre. Buku terkini beliau bertajuk, ‘Ulum al-Quran: Pembahasan Ilmu-Ilmu Al-Quran’ telah diterbitkan oleh Pergas pada tahun ini.

Terkenal sebagai seorang ulama yang meminati jurusan Sains khususnya Ilmu Falak, Ustaz Dr Firdaus juga kerap menulis rencana-rencana di akhbar dan di jurnal-jurnal. Tesis kedoktorannya (PhD) adalah tentang teori kejadian kosmik bertajuk ‘Cosmic creation theory according to the Qur’an and Sunnah’  (237 halaman) terbitan Institute of Islamic Thought and Civilisation (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia tahun 2012 dan 2014. Beliau sebagai antara pakar rujuk dalam bidang ini sering menulis artikel yang disertakan dengan pandangan Islam berkenaan kosmologi, fenomena kejadian gerhana bulan dan matahari, teori gelombang graviti dan juga berkaitan golongan LGBT menurut pandangan Sains dan dasar-dasar yang terdapat dalam dalil-dalil al-Quran.

RUMUSAN

Penulis mendasarkan tulisan ini berdasarkan maklumat yang amat terhad dari berbagai sumber. Rencana ringkas ‘Mereka Yang Menulis’ ini berkesimpulan bahawa di tengah kelangkaan penerbitan bahan penulisan, tentu ada ahlinya secara nyata ataupun terpendam. Penulis pasti lebih banyak lagi tulisan-tulisan yang ada, malangnya tidak dijilidkan atau bercetak dengan baik, mungkin bukan untuk diedarkan kepada ramai.

Suasana zaman silam di mana teknologi percetakan belum meluas, hanya dengan tulisan tangan, nota peribadi atau mesin saikostail juga mesin fotokopi terhad

digunakan lantaran kosnya, menjadi penyebab ianya tidak diterbitkan.  Tokoh-tokoh

Mereka Yang Menulis dapat dipertanggungjawabkan ilmunya dan telah berhasil   

mendokumenkan ilmu tersebut, sama ada dalam bahasa Arab, Melayu mahupun dalam  

bahasa Inggeris.

Sumbangan sebilangan asatizah penyelidik di pusat kajian dan institusi pengajian tinggi atau anggota-anggota Think Tank dan NGO yang menulis hasil dapatan mereka mungkin boleh mengisi jurang kekurangan bahan penerbitan nara sumber di kalangan asatizah. Kepakaran mereka boleh dijadikan pemangkin bagi penakatan bidang penulisan keagamaan seterusnya harus dikekalkan.

Ura-ura penubuhan kolej Islam di Singapura diharapkan dapat berfungsi bukan hanya sebagai institusi pendidikan, tetapi juga sebagai pusat kelukan (niche) kajian Islam yang unik di Singapura, langsung dapat menyumbang pada pendokumentasian bahan penerbitan para asatizah tempatan.   

Sebagai penutup, penulis ingin menukil pengamatan Ustaz Dr. Mohammed Haniff Hassan tentang kurangnya penglibatan para asatizah dalam bidang penulisan yang diterbitkan, artikelnya berjudul “Sumbangan Asatizah Singapura dalam Penulisan Agama 2002-2016’ dalam majalah/triwulan terbitan Pergas Ar-Risalah isu 23 (tahun 2017) halaman 2. Menurut beliau “kadar produktiviti penulisanoleh asatizah bukan sesuatu yang memberangsangkan kerana secara purata hanya 1 buku sahaja yang diterbitkan dalam setahun. Begitu juga dengan penulisan artikel samaada untuk akhbar atau majalah oleh asatizah tidak melebihi, kalau pun tidak kurang dari keperluan yang ada”.  Maka diharapkan lebih ramai para asatizah dapat melibatkan diri dengan serius dalam bidang penulisan agar tradisi keilmuan Islam terus cemerlang.

Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.

Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.


Rujukan
Buku-Buku
  1. (2017, Jan-Mac). Muhd. Haniff Hassan. Sumbangan asatizah Singapura dalam penulisan agama (2002-2016).  Ar-Risalah 23, hal. 5-9.
  2. (July 25, 2017).  Muhammad Haniff Hassan http://haniff.sg/artikel-panjang/artikel-sumbangan-asatizah-singapura-dalam-penulisan-agama-2002-2016/
  3. (2016). A Singapore-made Quran. BiblioAsia, Jan-Mar 2016, p. 56-57. (2014).  
  4. Abu Hanifah Haris.  Kaherah sebagai pusat percetakan karya Melayu-Islam, 1880-an hingga 1960-an. Jurnal al-Tamaddun Bil 9 (1) 2014, 15-31.
  5. (2014). Obor Ummah, Siri 2. Singapura: Pergas.
  6. (2014). Sundusia Rosdi. Footprints of Muslim Scholars’ Heritage in Singapore: a select bibliography (1914-2014). Singapore: Pergas.
  7. (2014, Mei 9). Tiada pengganti Ustaz Mohd. Ibrahim. Berita Harian, hal. 1
  8. (2013). Muhammad Mubarak bin Habib Mohamed. The role of Syed Ahmad bin Muhammad Semait in disseminating Islamic teachings in modern Singapore: his approach and methodology. A dissertation submitted in fulfilment of the requirement for the Masters of Arts (Islamic spiritual culture and contemporary society). Institute of Islamic Thought and Civilisation International Islamic University, Malaysia.
  9. (2012). Mohd. Yusri Yubhi Md Yusoff. Amalan bacaan solat berdasarkan sunnah Rasulullah s.a.w. : satu kajian di kalangan masyarakat Islam Singapura. Jurnal Dakwah 3, hal. 42-67.
  10. (2008). Mohd. Yusri Yubhi Md Yusoff. Kefahaman dan pengamatan solat berdasarkan sunnah Rasulullah: satu kajian di kalangan masyarakat Islam Singapura. Tesis Sarjana yang tidak diterbitkan, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.   
  11. (2002). Mahfuh Halimi Mari tajamkan pena dakwah yang tumpul. At-Takwim 34 tahun 8, hal. 4-5.
  12. (1998). Mustaffa Suhaimi. Fadhlullah Suhaimi, berdasarkan tesis oleh Ni’mah bt Hj Ismail Umar untuk ijazah M.A. (M.Litt) di University of Edinburgh tahun 1994. Selangor: Progressive.
  13. (1994). Proudfoot, I. Malay books printed in Bombay: A Report on Sources for Historical Bibligoraphy. Kekal Abadi. Jil. 12, Bil. 3 hal. 1.
  14. (1992). Md. Sidin Ahmad Ishak. “Malay Book Publishing and Printing in Malaya and Singapore, 1807-1998”, Disertasi Ph.D., University of Stirling, hal. 21.
  15. (1986).  Proudfoot I. A formative period in the Malay Book Publishing. Journal of the Malayan Branch of the Asiatic Society, Vol. 59 no. 2 [251], p. 110.
  16. (1983). Kitab Jawi: Islamic Thought of the Malay Muslim Scholars / Mohd. Nor bin Ngah. Singapore: ISEAS, 52 p.

MASYARAKAT SEJARAH SINGAPURA PENULISAN ASATIZAH SINGAPURA KITAB SUMBANGAN


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


The reCAPTCHA verification period has expired. Please reload the page.

related articles