Pelaburan Secara Islam: Tidak Kenal Maka Tidak Cinta | Pergas Blog

newest article

pelaburan-secara-islam-1

Pelaburan Secara Islam: Tidak Kenal Maka Tidak Cinta

15 November 2018 8:21 am // Written by

Bolehkah masyarakat Islam mengambil keuntungan dari pelaburan dan menggunakannya untuk keperluan di masa mendatang atau kehidupan yang lebih selesa?

Agama Islam amat menggalak harta itu dikembangkan. Akan tetapi, penambahan harta itu perlu secara adil dan saksama agar tidak ada golongan yang akan tertindas atau dizalimi. Justeru di dalam pelaburan, Islam telah menggariskan panduan yang jelas tentang apa yang dibolehkan dan apa yang perlu dihindarkan.

Di bawah adalah sebahagian perkara yang perlu dipertimbangkan para pelabur Islam sebelum membuat pelaburan mereka:

Bersih daripada Riba

Pelaburan secara Islam harus bersih dari unsur-unsur yang boleh mendatangkan riba. Riba adalah menerima atau memberi bunga di atas pinjaman kewangan yang dibuat atau sebaliknya.

Riba juga boleh terdapat dalam sebarang lebihan dari jual beli antara dua barangan ribawi yang sama jenis secara bertangguh (tidak sempurna dalam satu masa). Perkara ini tetap haram walaupun penjual dan pembeli reda dan bersetuju dengan transaksi sebegini. Contohnya, jika anda mempunyai lima gram emas dijual dengan harga $1,000 tetapi secara bertangguh, atau seorang peniaga mempunyai 10 kilogram beras basmati ditukar dengan 10 kilogram beras biasa secara bertangguh – kededua contoh menjadi riba kerana Islam telah menetapkan proses pertukaran serah-terima emas, mata wang dan beras wajib dibuat dalam waktu yang sama dan tidak boleh ditangguh, walaupun kedua-dua pihak setuju untuk memberi penangguhan.

Sumber yang halal

Masyarakat kita lazimnya amat menitik-beratkan soal pemakanan dari sumber yang halal lagi bersih. Jika diketahui sesuatu produk pemakanan atau restoran itu tidak mematuhi piawai halal, maka masyarakat kita akan lebih peka dan sensitif untuk tidak melanggani produk dan tempat makanan itu lagi.

Justeru kita sepatutnya juga peka dan sensitif dalam pelaburan yang kita lakukan untuk pastikan ia bersih daripada sumber-sumber yang mengandungi riba. Kita perlu pantau bentuk pelaburan yang diperniagakan dan elak dari melabur di dalam syarikat-syarikat atau institusi-institusi pelaburan yang dilarang Islam seperti perbankan konvensional, perjudian, industri hiburan, industri senjata api dan jual beli arak atau makanan yang tidak halal.

Perbankan Islam di dalam dan luar Singapura merupakan satu contoh di mana bank akan memastikan bahawa keuntungan yang diraih bersih daripada riba dan tidak terlibat di dalam industri-industri yang tidak dihalalkan Islam.

Berdasarkan apa yang ditetapkan Islam, mungkin ada yang tidak yakin jika pelaburan yang berlandaskan Syariah boleh meraih keuntungan. Secara zahirnya, pelaburan konvensional kelihatan seperti mempunyai lebih banyak peluang dan pulangan yang lebih besar kerana kurangnya keterbatasan.

Namun kita tidak harus membandingkan pelaburan Islam dan pelaburan konvensional tanpa memahami prinsip masing-masing. Ini kerana kedua-dua pelaburan mampu memberikan keuntungan atau mendatangkan kerugian. Yang membezakan kedua-duanya adalah sumber dan prinsip halal yang terdapat dalam pelaburan Islam.

Kelebihan Pelaburan Islam

Bagi pelaburan Islam, ia bukan sahaja boleh menguntungkan bahkan boleh mendatangkan keberkatan selari dengan kehendak agama. Ini kerana kelebihan pelaburan Islam terletak kepada:

1. Strategi dan pengurusan yang bijak dan cermat dalam pelaburan Islam yang meniagakan kewangan kita. Institusi-institusi ini mempunyai kepakaran sama dengan institusi di pihak konvensional.

2. Lebih mengikuti trend-trend semasa di negara-negara maju. Kebanyakan negara-negara maju kini ingin pelaburan yang beretika dan memenuhi tujuan-tujuan kemasyarakatan dan kemakmuran. Pelaburan secara Islam menitik-beratkan ketelusan dan kewibawaan dalam menjalankan transaksi. Ini membuatkan orang bukan Islam merasakan kelainan dan tertarik dengan prinsip dan aktiviti yang dilakukan. Setiap instrumen dan setiap duit yang dilaburkan, termasuk keuntungan yang disalurkan ke badan-badan amal perlu menjalani proses terperinci dan harus memperoleh keizinan dari Penasihat Shariah atau badan Penasihat Shariah. Di dalam pelaburan Islam anda akan dapati tujuan-tujuan shariah ditekankan melalui etika dalam menjaga sekitaran, hak-hak asasi manusia dan juga mengelakkan bisnes yang memiliki dasar arak dan perjudian. Ini adalah trend yang kian meluas, dan sekiranya kita mengambil peluang ini, kita akan menjadi antara yang terawal mempelopori pelaburan yang bermanfaat, beretika dan boleh menguntungkan di masa akan datang.

3. Kita berkeyakinan bahawa keuntungan yang diraih tidak perlu disucikan lagi kerana ia tidak tercampur dengan duit yang tidak halal atau meragukan.

Dalam pandangan Islam, harta itu perlu dikembangkan agar kita boleh menunaikan zakat harta setiap tahun dan juga beramal jariah seperti wakaf dan infaq. Ini bertepatan dengan hadis yang bermaksud:  

“Barangsiapa yang mempunyai tanah hendaklah dia bercucuk tanam atau pun diserahkan tanah itu kepada saudaranya (untuk bercucuk tanam)”. (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

Fakta agama ini membuat masyarakat Islam tidak boleh menyimpan harta yang ada begitu sahaja, akan tetapi perlu mengembangkan atau berniaga agar dapat tergolong dalam mereka yang akan selalu membayar zakat harta yaitu 2.5% dari harta yang tersimpan, disamping melaksanakan sedekah-sedekah yang lain. Selebihnya adalah pulangan yang halal dan tidak perlu disucikan lagi.

Jalan yang boleh diambil

Masyarakat Islam hari ini lebih bersedia untuk memastikan pelaburan Islam yang halal kerana wujudnya portfolio-portfolio pelaburan yang lengkap, disebabkan keberadaan kelas-kelas aset utama yang berlandaskan shariah dan mengikut risiko profil masing-masing.

Berikut adalah potfolio-potfolio yang terdapat dalam pasaran Singapura:

  1. Dana Amanah Saham Global (e.g. Templeton Shariah Global Equity)
  2. Dana Amanah Saham Asia Serantau (e.g. Templeton Shariah Asian Equity)
  3. Dana Sukuk Global (e.g. Templeton Global Sukuk)
  4. Dana Komoditi Global (e.g. DWS Noor Precious Metals)
  5. Amanah Pelaburan Hartanah Singapura atau REIT (e.g. Sabana REIT)
  6. Sekumpulan Saham SGX Singapura (e.g. ditapis menggunakan ‘Ideal Ratings’ bagi memastikan ia mematuhi Shariah, berasaskan metodologi yang diterima di peringkat antarabangsa seperti kaedah-kaedah yang diisytiharkan oleh Pertubuhan Perakaunan dan Pengauditan bagi Institusi Kewangan Islam (AAOIFI)

Akhir sekali, ingatlah kita menginginkan keselesaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat. Ini boleh dicapai dengan memastikan pulangan dan apa yang dilakukan sekarang sejajar dengan lunas-lunas agama Islam yang murni.

Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.

Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.


Rujukan:

Al-Khatib asy-Syarbini.  Mughni al-Muhtaj (2/30). Dar Al-Maarifah, 1998.

PERSPEKTIF ISLAM ISLAMIC FINANCE KEWANGAN ISLAM INVESTMENT PELABURAN


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


The reCAPTCHA verification period has expired. Please reload the page.

related articles