Pemakanan Sihat Mengikut Al-Quran dan Sunnah | Pergas Blog

newest article

dates

Pemakanan Sihat Mengikut Al-Quran dan Sunnah

06 May 2019 9:49 am // Written by Siti Khadijah Binte Ali;

Al-Quran adalah panduan kehidupan untuk manusia bagi segala sudut aspek kehidupan termasuk tentang pemakanan sihat. Setiap pemakanan yang dibolehkan atau tidak dibolehkan mempunyai hikmah di sebaliknya. Bahkan Al-Quran juga menyebut tentang kebaikan sesuatu pemakanan dengan menerangkan bagaimana ianya dapat memberikan kesihatan tubuh, kekuatan jasmani, rohani dan minda, juga membaik pulih kesihatan manusia dan alam semulajadi.

Menurut ilmu pemakanan sihat, untuk mendapatkan keseimbangan tubuh yang sihat, kita perlu mengimbangi pemakanan yang berasid dan beralkali. Dr Linus Pauling (pemenang Pingat Anugerah Nobel dalam Ilmu Sains dan Kimia) menyarankan kadar yang dianggarkan adalah 80% pemakanan beralkali dan 20% pemakanan berasid. Namun, hari ini dengan meluasnya industri pemakanan, ramai individu terdedah dengan pemakanan yang berasid dari pemakanan yang beralkali. Tetapi kini, tren pemakanan semasa telah mengatasi kadar keperluan manusia dengan hakikat sebaliknya, iaitu 80% pemakanan berasid dan kurang dari 20% pemakanan beralkali. Tren ini menyebabkan ramai masyarakat kita mengalami masalah kegemukan, perut buncit dan penyakit gaya hidup (lifestyle disease) seperti kencing manis, darah tinggi, kolestrol tinggi dan kanser.

Namun begitu, pemakanan yang seimbang boleh dicapai dengan langkah berikut:

1. Elakkan atau kurangkan pemakanan yang berasid seperti daging haiwan, produk tenusu, bijiran, kekacang, minuman kopi dan teh.

2. Lebihkan pengambilan makanan yang beralkali termasuk sayur-sayuran hijau yang mempunyai antioksidan yang tinggi, buah-buahan (khususnya lemon) dan bawang putih.

3. Amalkan minum air tulen dan bersih sekurang-kurang 1.5 liter sehari

Allah s.w.t. telah menciptakan setiap manusia dalam keadaan fitrah dan suci. Badan kita adalah amanah pemberian Allah s.w.t. dengan anggota dan fungsi yang tertentu. Justeru, apabila kita kembali kepada Allah s.w.t, sebaiknya dalam kita berada dalam keadaan seperti baru dilahirkan, iaitu anggota kita yang sempurna.

Setiap individu Muslim harus menjaga kesihatan jasmani dengan memberi hak badan dari aspek pemakanan sihat yang bernutrisi tinggi seperti memakan makanan yang diperkaya dengan khasiat dan berakali seperti yang disunnahkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. antaranya seperti kurma, delima, zaitun, anggur, barli, madu, cuka dan sebagainya.

Petikan hadis riwayat Muslim, dari Abu Hurairah r.a. beliau berkata Rasulullah s.a.w. bersabda: “Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah s.w.t. dari Mukmin yang lemah; dan pada kedua-duanya ada kebaikan.” Hadis ini menerangkan bahawa kedudukan orang Mukmin yang kuat, sihat dan cerdas adalah sangat baik dan lebih dicintai Allah s.w.t. berbanding dengan Mukmin yang lemah.

Dalam Surah Al-Baqarah ayat 168 yang bermaksud “Wahai manusia! Makanlah dari sumber yang (halal) lagi baik (thoyyib) dari apa yang terdapat di bumi, dan jangan mengikuti langkah-langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu.” Dalam ayat ini Allah s.w.t. memerintah sekalian manusia agar memakan makanan yang halal dan baik (thoyyib), yang bermanfaat bagi kesihatan serta kesejahteraan jasmani dan rohani. Ini kerana setiap ciptaan Allah s.w.t. termasuk buah-buahan, herba dan tumbuhan alami mengandungi banyak kebaikan, dan manusia dikurniakan akal fikiran untuk mengkaji dan mempelajari rahsia di sebalik ciptaanNya.

Antara pemakanan yang ‘thoyyib’ yang disarankan oleh World Health Organisation (WHO), ialah Superfoods, iaitu pemakanan yang diperkaya dengan nutrisi yang sangat tinggi nilai antioksidan, vitamin dan zat galian.  Ianya disahkan dapat membantu menurunkan kadar risiko penyakit kronik dan memanjangkan jangka hayat manusia secara semulajadi bagi pengamal pemakanan Superfoods ini. Antara Superfoods yang disarankan seperti Chia Seeds, Açai Berries, Kefir, Spirulina, Biji flax (Flax Seed) dan lain-lain. Ini juga termasuk ramuan rempah ratus masakan seharian seperti bunga cengkih, kayu manis, bawang putih, kunyit, halia dan lain-lain yang mengandungi banyak khasiat untuk kesihatan.

Masyarakat zaman ini, gemar mengikuti tren dan gaya hidup terkini khususnya tren pemakanan. Antara tren pemakanan sihat yang mudah dan ringkas adalah dengan mengamalkan diet alternatif seperti ‘smoothie’, iaitu buah-buahan atau sayuran yang dikisar dan dicampur dengan bahan-bahan alami yang berkhasiat. Antaranya ialah Overnight oats, (bijirin serat oats yang direndam semalaman dengan air kelapa atau susu dari kekacang badam) dan ‘infused water’ (air minuman tulen yang direndam semalaman bersama buahan atau sayuran  untuk mendetoksifikasi dan mengalkali tubuh.  Makanan tersebut boleh disediakan dengan menggunakan bahan-bahan yang disebut di dalam Al-Quran dan Sunnah seperti madu, kurma, anggur, kismis, cuka epal, barli, biji buah delima dan sebagainya mengikut kreativiti dan citarasa masing untuk mengamalkan gaya hidup sihat.

Sebagai agama yang syumul dan sempurna, Islam mengajar umatnya tentang amalan makan dan minum yang terbaik dan moderat mengikut adab dan etika tertentu. Amalan sunnah Rasulullah s.a.w. banyak mengalakkan umatnya untuk makan makanan yang bersih dan sihat kerana perut adalah antara punca tubuh yang sihat atau berpenyakit.

Marilah sama-sama kita menjaga kesihatan dengan menjaga pemakanan mengikut Al-Quran dan Sunnah agar hidup sejahtera dan bahagia di dunia dan akhirat. Insya Allah.

CONTEMPORARY ISSUES MUSLIM LIFE HEALTH AL-QURAN SUNNAH


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


The reCAPTCHA verification period has expired. Please reload the page.

Comments:

related articles