Sistem kewangan Islam telah berkembang pesat sejak tahun 1975 setelah tertubuhnya Bank Faisal di Egypt. Kini terdapat lebih dari 300 institusi kewangan Islam di 75 buah negara walaupun majoritinya tertumpu di Timur Tengah dan Asia Tenggara. Namun, industri ini mendapat perhatian dan sambutan dari Eropah dan Amerika Syarikat. Malaysia adalah negara Islam yang terkemuka dalam industri kewangan Islam di Asia sedangkan Singapura merupakan pasaran baru. Singapura telah menyemak rangka peraturan dan cukai struktur dan memperkenalkan pelbagai produk kewangan yang berlandaskan Syariah Islam sejak beberapa tahun lalu.
Walaupun Singapura mempunyai domestik pasaran yang kecil dan persaingan dari Malaysia, negara ini masih boleh memposisikan dan mempertahankan dirinya dalam persaingan dan cabaran industri di rantau Asia. Melalui strategi kewangan yang bersepadu dan pembangunan ekonomi yang pesat, Singapura boleh mencipta peluang baru dalam kewangan Islam dan produk-produk kewangan yang berkaitan di rantau ini. Walaupun Singapura tidak mempunyai pasaran Takafulyang teguh kerana saiznya yang kecil, tetapi ia mempunyai tahap penetrasi insurans tertinggi di kawasan ini.
Sejarah Takaful dan insurans konvensional
Sejak merdeka pada 1965, Singapura telah menjadi sebuah pusat kewangan antarabangsa. Perlaksanaan sistem kewangan Islam telah mendapat perhatian dari pemerintah Singapura. Terdapat lebih dari 700 institusi kewangan tempatan dan asing yang menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan kewangan. Di tahun 2002, 43 peratus daripada aset yang dikendalikan di Singapura bersumber dari Eropah dan Amerika Utara, dengan 30 peratus daripada aset dilaburkan di Singapura, 52 peratus di Jepun dan 18 peratus di seluruh Asia Pasifik. Pada 2004, Forum Ekonomi Dunia melaporkan Singapura merupakan antara sepuluh negara yang mempunyai pasaran kewangan yang paling canggih di dunia. Pada 2003, aset kendalian institusi kewangan di Singapura meningkat sebanyak 35 peratus menjadikan S$465.2 bilion. Aktiviti perdagangan harian mencapai US$153 juta pada tahun 2004 (kenaikan sebanyak 51 peratus semenjak 2001). Singapura juga merupakan pusat forex terkemuka. Justeru, strategi Singapura untuk menjadi pusat kewangan dan perbankan Islam merupakan usaha tambahan untuk tetap kekal relevan dalam bidang kewangan global dan perbankan.
Penyertaan Singapura dalam pasaran kewangan Islam bukanlah satu fenomena yang dirancang. Usaha Singapura dalam memanfaatkan kemahiran pengurusan adalah untuk memberi khidmat kepada pasaran kewangan Islam yang dilancarkan oleh pelabur-pelabur dari Timur Tengah dan Asia Tenggara.
Untuk memperkuat kewujudan industri kewangan Islam, Singapura telah menyempurnakan peraturan dan struktur cukai. Inisiatif yang diperkenalkan termasuk pemberian kadar cukai sebanyak 5 peratus untuk pendapatan daripada pengurusan dana syariah, pinjaman, insurans dan insurans semula. Penguasa Kewangan Singapura (Monetary Authority of Singapore (MAS)) juga akan mengembangkan kemudahan untuk menerbitkan sukuk dalam menganggapi keperluan institusi kewangan yang melakukan aktiviti syariah di Singapura.
Dari segi sistem peraturan, pada 2006, MAS telah menghadkan bank-bank agar tidak menyertai sebarang aktiviti berbentuk kewangan seperti perdagangan komiditi supaya mempermudahkan transaksi murabahah dalam pelaburan pelanggan. Ini menunjukkan bahawa MAS memperakui asas murabahah.
Pengamalan takaful amat berkurangan di Singapura kerana jumlah umat Islamnya di bawah 500,000 orang (13 % dari jumlah penduduk Singapura) berbanding dengan Malaysia dan Indonesia.
Terdapat tiga syarikat yang menyediakan polisi takaful di Singapura termasuk HSBC Insurance dan NTUC Income yang menyediakan produk-produk Takaful Keluarga berdasarkan konsep pelaburan produk. Produk ini serupa dengan Investment Linked Products (ILP) konvensional yang sumbangan dilaburkan dalam dana syariah yang sesuai di seluruh dunia.
Syarikat ketiga ; United Overseas Insurance yang memasuki pasaran pada 2002 memilih untuk menumpukan pada perniagaan takaful umum dan bekerjasama dengan AMPRO Holding Singapore Pte Ltd, (kumpulan ekonomi kendalian para professional sukarelawan dan pengusaha di Singapura), bagi menawarkan tiga produk takaful. Syarikat tersebut mengakui bahawa pasaran takaful merupakan satu pasaran industri yang semakin berkembang dan dapat digunakan sebagai instrumen untuk mendorong pertumbuhan Syarikat Takaful Singapura.
Penubuhan syarikat-syarikat insurans dan takaful
NTUC Income yangmerupakan antara syarikat insurans konvensional berpengalaman sebagai syarikat insurans koperasi di negara bukan Islam menyediakan takaful untuk penduduk Islam. Terdapat beberapa amalan NTUC Income sebagai sebuah koperasi insurans, yang mempunyai beberapa persamaan dengan prinsip transaksi syariah, perniagaan dan takaful.
NTUC Income ditubuhkan pada 1970 dengan modal saham sebanyak S$1.2 juta sumbangan Kesatuan Pekerja (Trade Unions). Ia bertujuanuntuk menyediakan insurans dengan kadar berpatutan untuk pekerja dan masyarakat yang berpendapatan rendah agar mereka dapat dilindungi melalui insurans dan memberikan keselamatan yang terjamin untuk keluarga mereka.
NTUC Income telah membuat kemajuan selama 35 tahun terakhir ini dengan memiliki sekitar 1,200,000 pemegang polisi, total aset yang bernilai S$15 bilion, premium tahunan sebanyak S$2,000 juta, kedudukan peringkat ‘AA’ dan nisbah perbelanjaan adalah 10 peratus lebih rendah dari industri kewangan. Mereka juga mempunyai pasaran yang terbesar di dalam insurans am dan insurans kesihatan dan pasaran ketiga terbesar dalam insurans hayat di Singapura.
Amalan NTUC Income adalah untuk memudahkan produk-produk mereka, melalui penggunaan bahasa yang mudah difahami dan menyatakan risiko yang akan dihadapi oleh pelanggan. NTUC Income mempunyai pelbagai produk insurans hayat termasuk:
Tabungan – untuk bakal pesara, pendidikan anak-anak
Pelaburan – mengembangkan modal pelanggan di masa hadapan
Perlindungan kewangan – kematian, cacat anggota, kemalangan, penyakit yang berlarutan
Pada 1996, NTUC Income telah menjadi rakan kongsi sebuah badan profesional Muslim untuk mempromosikan takaful. Ini merupakan pelaburan beretika yang menggalakkan pembahagian risiko pelaburan dan mengelakkan urusan perniagaan yang bertentangan dengan syarak. Sebagai sebuah koperasi, rakan-rakan mereka dilibatkan dalam perbincangan dan perundingan sebelum membuat keputusan. Keputusan kolektif dibuat dengan menggunakan prinsip kerjasama dan mengamalkan prinsip-prinsip Islam dalam urusan mereka.
Justeru, mereka mampu menarik sekitar US$40 juta dalam dana takaful dari kebanyakan para pelabur Muslim. Dana ini juga terbuka untuk golongan bukan Muslim yang menyokong konsep pelaburan beretika ini. NTUC Income yang telah melancarkan produk keduanya di pasaran pada 25 Mei 2005 merupakan dana Islam terbesar di Singapura dengan bon Islam yang pertama diperkenalkan secara tempatan. Dana tersebut mempunyai S$450 juta yang juga dilaburkan pada ekuiti syariah dan S$100 juta untuk pelaburan dalam bon Islam.
Amanah Equity Fund menawarkan fleksibiliti dalam premium tunggal atau biasa dan menggunakan wang tunai atau tabungan dari Tabung Simpanan Pekerja (CPF). Pelabur juga boleh memilih sendiri kadar pelaburan dalam saham dan bon serta melabur hanya dalam satu dana atau sepenuhnya.
Syarikat Takaful AMPRO-Income merupakan usaha sama antara AMPRO Holdings, Singapura (terutama di bidang manufaktur usaha) dan NTUC IncomeCooperative (sebuah syarikat insurans tempatan saling mendominasi insurans dengan jumlah relatif yang besar). Pelan insurans takaful untuk syarikat ini berfungsi lebih kepada ‘mutual fund’ di mana kesemua premium digunakan untuk membeli unit berkenaan daripada dana takaful. Dengan ini, pihak tertanggung harus membuat pembayaran premium sekurang-kurangnya minimal S$40,000
Dana AMPRO Income mencapai S$15 juta (termasuk pendapatan premium sebesar S$9 juta) pada akhir 1998. Kini pelaburan ini berkembang di pasaran tempatan dan Asia dengan meninggalkan saham asing yang terdiri daripada 13 peratus daripada dana tersebut. Dana ini mengalami hasil pelaburan sebanyak 18.6 peratus pada 1996 dan 1997. Bagaimanapun, AMPRO Income mengalami kerugian 29 peratus pada 1998 akibat kemelesetan ekonomi di rantau Asia.
Perlaksanaan Takaful di Singapura
Takaful di Singapura beroperasi mengikut konsep ILP (Investment Linked Products) yang tergolong di bawah Akta Insurans Singapura (Singapore Insurance Act). Ini bermaksud peraturan dan panduan yang digunapakai dalam Insurans Konvensional juga diaplikasikan di dalam produk-produk Takaful. Perbezaan antara Takaful dan ILP Konvensional Produk adalah kerana wujudnya dana tabarruk (Sadali Rasban, 2006: 138).
Dana tabarruk beroperasi sebagai dana hayat (Life Fund) untuk Insurans Konvensional yang bertujuan untuk membayar semula pampasan jika terdapat sebarang tuntutan di dalam kontrak insurans. Dana ini diatur oleh MAS untuk memastikan syarikat insurans boleh membuat bayaran bila-bila masa apabila terdapat tuntutan. Sebahagian wang yang dilaburkan (mengikut ketetapan MAS kepada instrumen kewangan yang tetap dan dijamin tanpa risiko) dan sebahagian besar instrumen kewangan ini merupakan produk yang berasaskan kadar bunga.
Apa yang tidak jelas di dalam dana Takaful Tabarruk ialah pelaburan portfolio, dan bagaimana panduan serta peraturan di dalam MAS dalam melaburkan wang kepada instrumen kewangan yang tetap dan dijamin.
Kewujudan IAB (Islamic Advisory Board) yang terdiri dari penasihat-penasihat Syariah adalah untuk memastikan bahawa Takaful akan mematuhi keperluan syarak. Namun cara IAB beroperasi agar Takaful dapat dilaksanakan selaras dengan tuntutan syarak tidak diketahui ramai dan akan menimbulkan ketidakpastian dalam operasi Takaful.
Sementara itu, tiada perbezaan dalam operasi ILP Takaful berbanding dengan Insurans Konvensional. Bayaran premium dikumpulkan dalam dana yang dilaburkan 100% kepada ekuiti untuk mengelak dari berlakunya instrumen tetap. Portfolio dalam pelaburan akan diberitahu lebih awal kepada pemegang polisi ( Sadali Rasban, 2006: 139).
Bayaran Premium digunakan untuk membeli unit daripada dana pada hari penurunan harga. Kos insurans dan administrasi dapat diperolehi semula dengan menjual sebahagian unit yang didapati daripada harga asal dengan harga taruhan. Lebihan unit pula akan dimasukkan ke dalam dana pelaburan peserta.
Salah satu kekurangan produk Takaful terletak pada pelaburan portfolio. Ia tidak menawarkan peluang untuk mengimbangi premium pemegang polisi dalam memperolehi keputusan yang maksimum dalam pelaburan. Kesemua premium yang dibayar telah dilaburkan dalam ekuiti, risiko yang dijangkakan amat tinggi kerana pemegang polisi boleh kehilangan kesemua bayaran premium apabila sampai tempoh matang di mana harga dana akan menurun.
Dalam mana-mana pelaburan, harus ada portfolio yang seimbang untuk memaksimumkan manfaat yang akan diraih. Ia mesti mempunyai campuran antara ekuiti dan instrumen tetap. Ini bermaksud Takaful di Singapura bukanlah produk yang terbaik untuk masyarakat Islam kerana risikonya yang tinggi dan menawarkan simpanan dana selamat yang terhad.
Takaful di Malaysia amat berbeza dengan Takaful di Singapura. Mereka mempunyai kedua-dua instrumen syariah yang tetap dan ekuiti di dalam portfolio mereka yang akan menawarkan penjagaan yang selamat dan pulangan yang tinggi dalam pelaburan. Masih ada pelbagai perkara yang perlu dibincangkan sebelum Takaful di Singapura boleh diterima sebagai instrumen kewangan yang berlandaskan syariah yang sebenar (Sadali Rasban, 2006: 140).
Artikel ini merupakan sedutan dari tesis sarjana muda bertajuk “Sistem Takaful dan Insurans Konvensional serta Aplikasinya di Singapura”. (Universiti Kebangsaan, Malaysia, 2011). Teruskan membaca bahagian kedua tentang “Prinsip-Prinsip Muamalah dalam Takaful di Singapura”.
Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.
Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.