Sikap Membina Hadapi Wabak Covid-19 | Pergas Blog

newest article

32-3

Sikap Membina Hadapi Wabak Covid-19

18 November 2020 11:27 am // Written by Ahmad Saiful Rijal Bin Hassan;

 

Mutakhir ini, dunia dicengkam penularan wabak virus korona (COVID-19) yang menjangkiti jutaan insan dan mengakibatkan kematian luar biasa. Negara kita, Singapura, tidak terkecuali dalam menghadapi suasana amat muram akibat pandemik ini.

Pandemik ini telah menjejas jagat dalam tempoh amat singkat – sejak disahkan di kota Wuhan, China pada penghujung Disember tahun lalu. Tanpa adanya vaksin berkesan, maka hampir kebanyakan pemerintah melaksanakan perintah berkurung, jarak selamat dan amalan memakai pelitup, mengenyahkan kuman di kawasan awam sehinggalah menghentikan kegiatan harian dan ekonomi yang kurang perlu, serta menutup sempadan udara, darat dan air. Akibatnya, roda ekonomi dunia bak terhenti. Harga minyak menjunam di bawah paras sifar buat pertama kalinya. Tegasnya, jagat menghadapi suasana lebih buruk daripada Kemelesetan Besar 1929.

Bagi umat Islam pula, suasana pilu terpapar pada penutupan masjid sehinggalah tiada ziarah untuk berhari raya Aidilfitri.

Sampai bilakah kesan pandemik ini terus mencengkam? Adakah ini bermakna suatu kebiasaan baharu (new normal) terpaksa diamalkan untuk seluruh jagat dan sampai bila?

 

SYARIAH DAN SALAH FAHAM

Dalam menghadapi pandemik ini, umat Islam Singapura bukan saja berpandukan pada undang-undang dan panduan pemerintah, bahkan juga irsyad dan fatwa yang diumumkan Majlis Ugama Islam Singapura atau MUIS (rujuk Berita Harian, 17 Mac dan 24 Mac 2020). Langkah tegas pemutus litar jangkitan (Circuit Breaker) Singapura dimulakan pada 3 April. Seandainya suasana jangkitan kian merosot, kemungkinan besar kelonggaran tahap pertama dijadualkan mulai 2 Jun tahun ini.

Berdasarkan maklum balas di media massa dan media sosial, pada umumnya sikap majoriti umat Islam terhadap keputusan MUIS boleh dikatakan ‘redha’ iaitu antara cabang nilai membina atau positif keperibadian.

Namun, masih ada segelintir umat di sini yang menyatakan rasa tidak puas hati sehingga melemparkan cacian terhadap MUIS, termasuk Mufti keempat yang baru bertugas, Dr Nasirudin Mohd Nasir. Dalam khutbah Aidilfitrinya, Mufti telah menjelaskan hal ini berlaku kerana “pemahaman salah” terhadap erti yakin pada Allah semata tanpa mengambil kira pengalaman sirah atau sejarah Islam dalam menghadapi kemudaratan, termasuk wabak.

Seyogia, keutamaan syariat Islam mencakupi lima teras iaitu memelihara agama, jiwa, akal, keturunan dan harta daripada ancaman atau bahaya. Dalam kes penutupan masjid, ia tertakluk dalam memelihara jiwa dan juga agama. Hakikatnya, antara kelompok jangkitan yang dikenal pasti ialah pertemuan tabligh di Kuala Lumpur yang membabitkan segelintir Muslim Singapura.

Berpaksikan kaedah fiqh درء المفاسد مقدم على جلب المصلحة yang bermaksud menghindari kerosakan didahulukan daripada melakukan kebaikan. Kaedah ini ditujukan kepada berbagai hal yang besar kemungkinan akan menimbulkan bahaya yang boleh membawa kepada kesulitan dan kesempitan pada diri seseorang dan masyarakat keseluruhannya. Pejabat Mufti MUIS telah juga merujuk kepada para pakar dan Kementerian Kesihatan Singapura mengenai krisis ini. Golongan pakar yang dimaksudkan selari dengan konsep ahluzzikri yaitu mereka yang mempunyai ilmu dalam bidang mereka. Seperti firman Allah SWT, “…maka bertanyalah kamu kepada AhluzZikri (berilmu) jika kamu tidak mengetahui.” (QS An-Nahl: 43)

Keputusan Pejabat Mufti Singapura tidaklah terasing. Hakikatnya, Dewan Ulama Al-Azhar, Mesir telah mengeluarkan fatwa yang sama. Begitu juga, negaranegara
majoriti Muslim seperti Malaysia, Kuwait, Arab Saudi dan Amiriah Arab Bersatu turut membuat keputusan serupa.

Para ulama sedunia pada umumnya sepakat dalam merestui tindakan perit yang bersesuaian dengan keadaan yang rumit ini. Ini sejajar dengan pepatah Arab الوقاية خير من العلاج yang memberi maksud “Pencegahan itu lebih baik daripada rawatan”.

Cakap mudahnya, seluruh dunia kini dalam suasana ujian perih bak diperingat oleh Allah SWT: “Dan sungguh akan Kami berikan ujian ke atasmu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.” (QS Al-Baqarah, 155)

 

UJIAN WAKTU DARURAT

Dalam mengharung ombak ujian getir ini, keperibadian umat Islam akan terpapar dan mendapat sorotan dunia. Bagaimanakah kita bersikap tenang, tabah dan bertahan tanpa terburu-buru menjatuhkan hukum tanpa berdasarkan ilmu? Adakah dengan penutupan sementara masjid-masjid, umat Islam tidak dapat bersolat sendirian di rumah atau pejabat atau melaksanakan tuntutan agama dalam mentaati perintah Allah.

Ungkapan “kami tidak takut virus, kami takut Allah” amatlah mengelirukan. Ini kerana takut kepada Allah hendaklah bersandar ilmu tentang sejarah Islam, termasuk tindakan rasul-Nya. Nabi Muhammad s.a.w yang menyuruh kita untuk mengambil langkah pencegahan untuk mengelak daripada penularan wabak. Baginda berpesan:“Tidak ada penyakit menular (yang berlaku tanpa izin Allah), tidak ada buruk sangka pada sesuatu kejadian, tidak ada malang pada burung hantu, dan tidak ada bala (bencana) pada bulan Safar (seperti yang dipercayai). Larilah dari penyakit kusta sebagaimana engkau lari dari singa.” (HR Al-Bukhari, no 5707)

Hakikatnya, tiada sebuah negara pun yang tersisih daripada wabak ini. Itulah sebabnya ia dipanggil pandemik. Sebagai orang Islam yang menghayati erti ikhtiar (mencari huraian terbaik) dan tawakkal (berusaha dan meletakkan keyakinan pada Allah semata), tidaklah elok kita mengeluh, menyalahkan orang lain atau pasrah sahaja. Pada waktu runcing inilah, sewajarnya kalangan umat Islam menjadi contoh dalam mencari huraian mengatasi COVID-19 daripada segi disiplin awam sehinggalah menemukan vaksin atau penawar.

Ingatlah pada firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) ugama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan; dan perbaik (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha mempertingkat amalannya.”(QS Al-Baqarah:195)

Masalah kalangan orang Islam ialah dalam menghayati erti ‘tawakkal’ yang sering dianggap sebagai ‘pasrah semata’ pada takdir. Tawakkal bertujuan berusaha gigih dengan merancang dan melaksanakan pelbagai usaha dan kemudian barulah berserah kepada Allah. Ini sejajar dengan hadith Nabi s.a.w ketika ditanya oleh seorang lelaki pemilik unta tentang tawakkal:

Daripada Anas bin Malik berkata: “Telah berkata seorang lelaki: Wahai Rasulullah! Adakah aku ikatnya (unta) kemudian bertawakkal atau aku lepaskannya kemudian bertawakkal? Baginda menjawab: “Ikatlah (untamu), baru kamu bertawakkal.” (HR Al-Tirmidhi no 2707)

Agama Islam mengutamakan yang mudah dan tidak menyusahkan atau memberatkan umat. Ini sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w: “Sesungguhnya agama ini mudah, dan tidaklah seseorang berlebih-lebihan dalam urusan agama melainkan agama akan mengalahkannya, maka tepatkanlah, dekatkanlah, dan bergembiralah, minta bantuanlah dengan (melaksanakan ketaatan) di waktu pagi, petang, dan sebahagian malam hari” (HR Al-Bukhari no 39)

 

TERUS BERSABAR DAN BERDOA

Selain itu, apa yang dituntut oleh Syarak ialah bagi seorang mukmin itu harus bersikap sabar dalam menghadapi kesusahan dan terus meningkatkan ketaqwaan kepada Allah. Sepertimana Allah SWT berfirman: “…jika kamu bersabar dan bertakwa maka sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya). (QS Aali-Imran: 186)

Selain menjaga kebersihan diri dan sekitaran, jarak selamat, memakai pelitup dan sebagainya, selanjutnya amalan untuk meningkatkan ketaqwaan kita adalah berdoa dan bermunajat kepada Allah agar dihindari dari wabak COVID-19. Semua ini bertujuan agar keadaan pulih dan selamat. Antara doa yang diamalkan oleh Nabi s.a.w adalah:

Pertama:

“Dengan nama Allah yang tidak memudaratkan bersama nama-Nya oleh sesuatu di bumi dan di langit sedangkan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (HR Abu Daud no 5088 dan HR At-Tirmidhi no 3388)

Kedua:

“Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada penyakit gila, kusta, sopak dan sebarang jenis penyakit yang menggerunkan.” (HR Al-Nasa’i no 5493)

Ketiga:

“Aku berlindung dengan kalimat-kalimah Allah yang Maha Sempurna daripada sebarang kejahatan yang diciptakan-Nya.” (HR Muslim no 2709)

Kisah Covid 19 belum berakhir ketika makalah ini ditulis. Namun banyak iktibar yang boleh dipelajari oleh umat Islam untuk bermuhasabah secara membina atau positif. Pertama, hadapi usaha melawan wabak COVID-19 dilihat sebagai jihad atau perjuangan dari segi agama dan kemanusian. Istilah ‘jihad’ amat luas ertinya, tidak sekadar berperang sahaja. Syaikhul Azhar, Doktor Ahmad Tayyeb yang memberi definisi ‘jihad’ sebagai usaha gigih dalam mentaati Allah, dengan melaksanakan perintah-Nya di samping menjauhi larangan-Nya. Ini termasuk juga usaha dalam mengekang wabak COVID-19.

Kedua, ubah sikap. Masyarakat harus merobah sikap dalam menjaga kebersihan diri dan sekitaran – tidak sekadar bergantung pada pekerja pembersihan sehingga pekerja kesihatan seperti doktor dan jururawat (mereka juga dipanggil golongan barisan hadapan). Marilah kita pastikan amalan kebersihan diri bukan saja berlaku di rumah, tempat kerja, malah di mana saja kita berada. Sekitaran yang bersih akan memastikan tiada kotoran yang mencetuskan wabak atau penyakit.

Mungkin kehadiran COVID-19 mengingatkan kita agar sedar akan kerosakan pada alam sekitar dan perbuatan melampau manusia dari segi kosumsi bak pesan Allah SWT: “Telah tampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan karena perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” (QS ar-Rum:41)

CONTEMPORARY ISSUES MUSLIM LIFE SOCIETY ETHICS ISLAM AND ETHICS ISU SEMASA KEHIDUPAN MUSLIM MASYARAKAT ISLAM DAN ETIKA AKHLAK ETIKA


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

related articles