Sumbangan Asatizah Singapura dalam Penulisan Agama (2002 – 2016) | Pergas Blog

newest article

sumbangan-asatizah-singapura-dalam-penulisan-agama

Sumbangan Asatizah Singapura dalam Penulisan Agama (2002 – 2016)

16 November 2018 2:23 am // Written by Muhammad Haniff Hassan, Dr.;

Artikel ini berusaha untuk merakam penelitian ringkas penulis berdasarkan data-data yang diperolehi dari projek pengumpulan bibliografi asatizah oleh Pergas dengan tujuan memberi gambaran perkembangan sumbangan asatizah dalam bidang penulisan agama dan cadangan-cadangan pembaikan berterusan.

Penelitian ini adalah lanjutan dari satu penelitian ringkas yang dibuat oleh penulis pada 2002 mengenai sumbangan asatizah pada penulisan agama dan dakwah di Singapura dengan melihat sumbangan mereka dalam bentuk penerbitan buku dan artikel di akhbar. Maklumat tentang penerbitan buku diperolehi dari carian di pangkalan data www.elibrary.com dari seawal tahun yang direkodkan hingga ke tahun 2002. Manakala maklumat penerbitan artikel pula diperolehi melalui penelitian sumbangan asatizah di akhbar Berita Harian/ Berita Minggu (BH/BM) tempatan. Penelitian ini dirakam dalam satu artikel yang diterbitkan oleh majalah Al-Takwin (no. 2/2003), terbitan Perdaus.

Bersempena dengan projek penerbitan buku ini pada tahun hadapan (2018), penulis terdorong untuk meneliti dan menilai samada wujud perubahan pada dapatan dan kesimpulan yang lepas setelah hampir 14 tahun masa berlalu.

Fokus penelitian pada sumbangan asatizah dalam bidang penulisan adalah kerana penulisan merupakan satu bidang penting dalam penyebaran dan pembangunan ilmu agama dalam sesebuah masyarakat.

Dari sudut agama, kepentingan penulisan sebagai media ilmu keagamaan dapat dilihat dari hakikat bahawa salah satu ayat dari wahyu pertama yang turun berbunyi,

“[Tuhan] yang mengajar dengan pena. [Tuhan] mengajar manusia apa yang dia tidak ketahui.” (Al-Qalam, 4-5). Di dalam surah lain, Allah bersumpah pula dengan pena dalam firmanNya, “Nun. Demi pena dan apa yang mereka tulis.” (Nun, 1-2)

Kepentingan ini kemudiannya dimanifestasikan oleh Nabi s.a.w. dalam kehidupannya melalui amalan-amalan berikut:

  • memerintah para sahabat beliau (s.a.w.) menulis ayat-ayat Al-Quran yang diwahyukan kepadanya sehingga ia dapat dikumpulkan menjadi satu kitab sebagaimana yang wujud hari ini.
  • memerintahkah tawanan perang mengajar anak-anak umat Islam menulis dan membaca di zamannya s.a.w.
  • menggunakan media penulisan untuk berdakwah kepada raja-raja dan para pembesar di zamannya s.a.w. dengan mengutus surat kepada mereka.

Ia kemudian dihayati pula oleh generasi awal Islam sejak dari zaman para sahabat yang dapat dilihat dari kesungguhan sebahagian dari mereka menulis hadis-hadis Nabi s.a.w. dan juga pembukuan Al-Quran.

Penulisan dalam bentuk buku juga menjadi warisan utama para ulama Islam. Sejarah keilmuwan Islam yang berusia seribu lima ratus tahun telah melahirkan ribuan ilmuwan. Namun yang kekal memberi sumbangan besar dan diingati hingga hari ini ialah mereka yang meninggalkan karya penulisan.

Hakikat ini juga memberitahu bahawa penulisan adalah media utama bagi meninggalkan “ilmu yang dimanfaatkan”, selaku salah satu sumber amal jariah yang berterusan bagi anak Adam walau setelah kematian sebagaimana yang dianjurkan oleh Nabi s.a.w. dalam hadisnya, “Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara : sedekah jariah,atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya.” (Riwayat Muslim)

Dalam hal ini, bidang penulisan seharusnya menjadi satu bidang sumbangan yang menonjol di kalangan asatizah kerana apa yang dinyatakan di atas adalah ajaran agama yang harus disampaikan kepada masyarakat dan mereka memikul beban untuk memberi contoh yang baik. Selain itu, asatizah golongan adalah yang diharapkan, sebagai pewaris dan penerus tradisi ulama, untuk menghasikan karya-karya baru untuk generasi akan datang melalui penerbitan kitab-kitab dan bukan hanya melestarikan karya silam yang diwarisi.

Pembagian artikel

Artikel ini dibahagi kepada tiga bahagian. Bahagian pertama akan mengimbas secara ringkas dapatan dari penelitian pertama pada tahun 2002 untuk menjadi asas perbandingan dengan penelitian kali ini.

Bahagian kedua pula akan merumuskan dapatan-dapatan penting yang diperoleh dari usaha penelitian kali ini dengan melihat data-data yang dikumpulkan. Oleh kerana penelitian kali ini bertujuan untuk melihat kemajuan dan perkembangan, jika ada, maka tempoh masa yang menjadi fokus penelitian ialah dari tahun 2002 hingga ke tahun 2016.

Bahagian ketiga akan membentangkan beberapa cadangan atau tindakan yang boleh dibuat bagi mencetus perubahan pada realiti yang ada dan mengembangkan lagi sumbangan asatizah dalam bidang penulisan agama. Bahagian ini juga akan mengandungi penutup yang merumuskan hasil penelitian ini.

Perlu dinyatakan, penelitian ini bukanlah satu kajian lengkap bagi memberi gambaran komprehensif tentang isu yang diteliti. Hal ini adalah kerana keterbatasan masa yang ada bagi melakukan penelitian untuk memenuhi pelan perlaksanaan projek pengumpulan bibliografi asatizah tempatan. Apa yang dilakukan hanyalah bagi menunjukkan gambaran dan indikasi akan perubahan dan perkembangan, jika ada, pada dapatan yang lalu. Gambaran dan indikasi ini boleh dijadikan asas bagi mana-mana pihak untuk mengkaji lebih lanjut isu yang sama di masa akan datang.

Dapatan penelitian lalu

Kesimpulan utama dari penelitian yang lalu ialah sumbangan para asatizah dalam bidang penulisan pada masa itu didapati kurang memberangsangkan dan penulisan agama adalah bidang dakwah penting yang terabai yang perlu pada pembaikan segera. Hal ini berdasarkan noktah dan dapatan penting yang diringkaskan seperti berikut:

  1. Jumlah asatizah yang aktif menulis dan menghasilkan penulisan buku agama adalah rendah. Nama yang didapati dari carian di pangkalan data hanya mengandungi 11 individu sahaja.
  2. Jumlah asatizah yang masih aktif menyumbang di BH/BM pula kurang dari 10 individu.
  3. Kebanyakan asatizah yang berkarya ini adalah lulusan madrasah era tahun 1960-an dan terdapat kekosongan yang besar pada sumbangan lulusan madrasah dekad 70-an, 80-an dan 90-an dalam penulisan agama.
  4. Terdapat kekosongan yang besar pada penglibatan para ustazah dalam bidang penulisan agama kerana penelitian hanya menemui dua nama ustazah yang menerbitkan buku-buku agama (seorang Ustazah Khamsiah Ahmad telah menerbitkan buku bertajuk Wanita Islam terbitan Pustaka Nasional pada tahun 1981, tapi tidak tersenarai dalam penelitian lalu kerana maklumat ini tidak ditemui semasa tempoh penelitian oleh penulis), sedangkan populasi pelajar perempuan di madrasah pada dekad 80-an dan 90-an melebihi jumlah pelajar lelaki?
  5. Kebanyakan penulisan tertumpu pada bidang fiqh, aqidah dan akhlak pada tahap fardu ain dan bersifat deskriptif. Terdapat kekurangan pada bahan-bahan berkaitan isu-isu bidang sains kemasyarakatan dan kemanusiaan dan bersifat analitikal. Kebanyakan kandungan pula membicarakan ajaran Islam secara umum, bukan membahaskan isu-isu kontemporari yang dihadapi masyarakat Islam dalam konteks masyarakat majmuk Singapura.
  6. Bahasa pengantar utama bahan penulisan agama ialah bahasa Melayu dan terdapat keperluan untuk menghasilkan bahan-bahan dalam bahasa Inggeris bagi mendekati genarasi muda. Berkaitan dengan ini juga, tiada data bagi menunjukkan sumbangan asatizah di akhbar The Straits Times bagi isu-isu semasa dari perspektif Islam.

Penelitian dan dapatan kali ini

Penelitian yang dibuat kali ini bertujuan untuk melihat sumbangan asatizah tempatan setelah lebih sedekad berlalu dari penelitian yang lalu.

Perbandingan akan dibuat dengan dapatan dari penelitian lalu bagi mendapat indikasi akan perkembangan dan kemajuan, jika ada. Namun, perbandingan yang dibuat bukanlah bersifat perbandingan sempurna (membandingkan epal dengan epal) kerana data yang ada diperolehi dari sumber yang tidak seratus peratus sama. Hal ini adalah kerana usaha ini hanya memanfaatkan data yang sedia ada dari projek pengumpulan bahan-bahan penulisan asatizah tempatan yang telah bermula sejak 2013 dan masih dijalankan oleh Pergas. Karya penulisan asatizah yang terkumpul bagi projek ini yang menjadi dasar penelitian sekarang adalah dalam bentuk buku dalam beraneka saiz (risalah, monograf dan buku sebenar) yang diperolehi melalui perkongsian individu asatizah dan carian di pangkalan data OPAC, Lembaga Perpustakaan Negara, universiti-universiti tempatan dan di Malaysia; dalam bentuk artikel yang diterbitkan oleh BH/BM yang diperolehi melalui arkib di Pusat Sumber,  Singapore Press Holding; dan artikel dalam majalah konvensional Pergas, Ar-Risalah,  Jurnal Dakwah dan dalam majalah dalam talian Wasat.

Adapun data bagi penelitian yang lalu, ia berdasarkan carian yang diperolehi dari pangkalan data e-library.com dan arkib BH/BM sahaja.

Oleh itu, dapatan yang terhasil dari penelitian kali ini dan perbandingannya dengan yang lalu hanya memberi indikasi umum yang boleh membantu perancangan bagi kajian yang lebih mantap.

Perkembangan positif

Penelitian kali ini mendapati terdapat perkembangan yang positif pada aspek penulis dan karya penulisan mereka.

Pada aspek penulis, terdapat penambahan yang memberangsangkan pada jumlah penulis dari kalangan asatizah. Seramai 34 asatizah telah menghasilkan karya berbentuk buku pelbagai saiz pada tempoh penelitian kali ini dan 25 dari mereka ini tidak tersenarai dalam senarai penulis buku dalam penelitian yang lalu (11 asatizah sahaja). 24 dari mereka pula menerbitkan lebih dari satu buku.

Hakikat ini disokong pula oleh jumlah asatizah yang menyumbang artikel di BH/BM sepanjang tempoh penelitian, iaitu seramai 55 individu, sedangkan dalam penelitian yang lalu, jumlahnya kurang dari 10 sahaja. 11 asatizah dari jumlah yang menyumbang di BH/BM pula menulis sebanyak 10 atau lebih artikel, 11 yang lain menyumbang sebanyak 5 hingga 9 artikel dan yang baki pula menyumbang 1 hingga 4 artikel.

Dari seramai 22 yang menyumbang 5 artikel ke atas, 16 asatizah mampu menyumbang 5 artikel atau lebih dalam setahun dan dari jumlah 55 individu di atas pula, 10 asatizah telah menyumbang selama 5 tahun atau lebih dan 6 pula menyumbang selama 3 tahun.

Kesemua data di atas memberi indikasi akan potensi atau bakat untuk menulis dan keupayaan untuk menulis secara konsisten pada sekumpulan asatizah selain dari mereka yang tersenarai dalam penelitian yang lalu.

Dari aspek penulisan, sebanyak 127 tajuk buku dapat dikumpulkan berbanding 57 tajuk yang ditemui dalam penelitian yang lalu.

Bagi meneliti sudut kualiti buku, tajuk-tajuk ini dibahagikan kepada:

  1. risalah (1-30 mukasurat),
  2. monograf (31-100 mukasurat),
  3. buku biasa (101 ke atas mukasurat).

Penelitian mendapati 14 tajuk bersaiz risalah, 26 bersaiz monograf dan 87 bersaiz buku biasa. Ini memberi indikasi tentang keupayaan penulisan dan kualitinya. Walaupun terdapat peningkatan tajuk buku yang diterbitkan, namun secara purata ia hanya menatijahkan penerbitan 1 buku per tahun.

Dari segi artikel pula, sebanyak 781 artikel diterbitkan di BH/BM atas nama asatizah tempatan. 100 artikel pula diterbitkan oleh Ar-Risalah (majalah rasmi Pergas), 17 artikel terbitan Jurnal Dakwah (jurnal akademik Pergas) dan 28 artikel diterbitkan oleh majalah dalam talian Pergas, Wasat.

Asatizah juga telah membuat penerobosan baru iaitu menerbitkan artikel-artikel dan buku di pasaran Malaysia melalui majalah-majalah (Solusi, al-Ustaz dan Gen-Q) dan penerbit buku (Telaga Biru) di sana. Walau pun jumlahnya masih sedikit, ia tetap satu pencapaian yang wajar disebut dan diberi pujian.

Kelemahan untuk pembaikan

Satu kelemahan yang dapat disimpulkan dari dapatan penelitian kali ini ialah kadar produktiviti penulisan oleh asatizah bukan sesuatu yang memberangsangkan. Hal ini dapat dilihat dari jumlah penerbitan buku yang secara purata hanya pada kadar 1 buku dalam setahun sahaja dan penerbitan artikel di BH/BM, satu-satunya akhbar Bahasa Melayu yang membolehkan pesanan agama mencapai khalayak ramai di kalangan masyarakat Melayu tempatan, hanya pada kadar 1 artikel dalam seminggu, iaitu jumlah 781 artikel yang diterbitkan dibahagi dengan 728 minggu (52 minggu x 14 tahun tempoh penelitian). Jumlah 1 artikel seminggu hanyalah kadar minima, sesuai dengan kadar purata ruang agama di BH/BM.

Rumusan ini boleh disokong oleh pengalaman penulis dalam penerbitan Ar-Risalah dan Wasat. Kededua media penulisan ini beroperasi, pada kebanyakan masa, atas dasar “kais pagi makan pagi” dari segi sumbangan artikel untuk diterbitkan, iaitu segala artikel yang disumbangkan harus diguna untuk edisi yang hendak diterbitkan dan tiada simpanan untuk edisi akan datang. Dengan erti kata lain, penghasilan artikel oleh asatizah tidak melebihi, kalau pun tidak kurang dari keperluan yang ada.

Kelemahan kedua ialah ketiadaan buku dari penulis di kalangan ustazah kecuali oleh Ustazah Habsah Senin, Fatimah S. A. Majeed dan Khamsiah Ahmad yang mana dua penulis pertama sudah tersenarai dalam penelitian yang lalu. Perkara ini telah disebutkan dalam dapatan penelitian yang lalu dan tiada perubahan signifikan setelah 14 tahun.  

Perubahan baik didapati dalam penulisan artikel yang mana terdapat sekumpulan ustazah yang menyumbang artikel di BH/BM yang mana tiada seorang ustazah tersenarai dalam penyumbang di BH/BM dalam penelitian yang lalu. Walau bagaimana pun, jumlah mereka masih amat kecil berbanding jumlah asatizah lelaki, iaitu hanya seramai 9 ustazah. Di Ar-Risalah, hanya 14 ustazah menyumbang artikel dari seramai 46 penulis dan hanya seorang ustazah menyumbang di Wasat dari 28 penulis. Sementara itu terdapat 5 artikel sumbangan 6 ustazah dari 16 penulis yang diterbitkan di Jurnal Dakwah.

Kelemahan ketiga ialah dari segi kelahiran jumlah penulis baru inti (new core writers) di kalangan asatizah sebagai tambahan dari mereka yang sudah tersenarai dalam penelitian lalu. Data yang ada menunjukkan kewujudan antara 10 hingga 15 penulis inti, iaitu mereka yang ada keupayaan untuk menulis secara konsisten baik dalam bentuk artikel atau buku. Namun jumlah ini bukanlah satu jumlah yang boleh dibanggakan jika dilihat pada jumlah keseluruan asatizah, peluang, keperluan dan permintaan yang ada.

Kelemahan keempat ialah pada skop penulisan, iaitu masih tertumpu pada bidang tradisional agama dan bersifat naratif dan deskriptif. Karya-karya yang bersifat analitikal dan kritikal dan meliputi bidang sains kemanusiaan dan kemasyarakatan (SKK) atau gabungan antara pengajian Islam tradisional dan disiplin ilmu lain masih langka dan kurang sekali.

Kelima, jumlah bahan penulisan berbahasa Inggeris oleh asatizah masih amat langka. Ini pastinya tidak menepati dengan realiti penggunaan bahasa Inggeris yang lebih meluas di kalangan generasi sekarang ini dan kompetensi bahasa Inggeris yang lebih baik di kalangan asatizah muda sekarang.

Penutup

Sebelum artikel ini diakhiri, tiga poin ingin disampaikan sebagai penutup.

Pertama ialah harapan agar kelemahan-kelemahan di atas dapat diatasi melalui satu perancangan yang sistematik dan berkesan sehingga penelitian yang dibuat pada sepuluh tahun akan datang sebagai lanjutan dari penelitian ini dapat menunjukkan pencapaian yang lebih baik dan membanggakan.

Sejak sepuluh tahun yang lalu, terdapat sekumpulan asatizah yang bekerja dalam bidang kajian di institusi akademik dan think tank yang sememangnya dilatih untuk mengkaji dan menulis hasil kajian mereka. Kewujudan mereka sememangnya telah turut menyumbang pada penambahan jumlah penulis di kalangan asatizah dan bahan-bahan penulisan. Kepakaran mereka ini boleh digembeleng untuk dimanfaatkan dan dijadikan pemangkin bagi kemajuan bidang penulisan agama seterusnya. Bahkan kewujudan mereka ini harus diperkukuhkan dan dipastikan penerusannya.

Selain itu, penubuhan kolej Islam di Singapura sebagai institut pengajian tinggi bagi bidang pengajian Islam diharapkan dapat berfungsi bukan hanya sebagai institusi pendidikan dan pembelajaran, tapi juga institusi kajian yang akan menyumbang pada karya-karya agama tempatan yang lebih bermutu.

Kedua ialah kemajuan yang dicapai dalam sumbangan penulisan asatizah bukan hanya disebabkan oleh motivasi dalaman individu semata-mata, tapi ia juga berlaku kerana kewujudan wadah-wadah yang dapat memotivasi dan “memaksa” asatizah untuk menyumbang dalam bentuk penulisan. Sebagai contoh ialah Wasat yang mana kewujudannya telah dapat menarik dan menambah sumbangan asatizah muda dan bakat-bakat baru dalam penulisan agama. Selain wadah seperti Wasat, kewujudan “ustaz mentor” yang dapat memberi motivasi / menarik/ “memaksa” asatizah mengasah bakat dalam penulisan juga amat penting. Hal ini bermakna memajukan penulisan agama di kalangan asatizah memerlukan wadah-wadah bagi mereka menyumbang, hingga tidak perlu bergantung pada wadah lain seperti BH/BM. Selain itu, perlu juga kenal pasti golongan “ustaz mentor” dan dikerahkan tenaga mereka secara berkesan hingga dapat membimbing dan memotivasi asatizah muda untuk berkarya dalam penulisan.

Ketiga, satu kajian mengenai penerbitan buku-buku Melayu di Singapura sepanjang tempoh 2001-2010 mendapati bahawa subjek perkara berkaitan Islam adalah yang paling banyak diterbitkan pada tahun 2001-2008, iaitu sebanyak 43% dari keseluruhan 556 tajuk buku yang diterbitkan berdasarkan carian di katalog OPAC koleksi Lembaga Perpustakaan Negara (Mazelan Anuar, “Penerbitan Buku Melayu Singapura 2001-2010”,  BiblioAsia, 7 (1), April 2011, hal. 28 -31). Hal ini membayangkan minat yang ada di kalangan pembaca dan penerbit dan ia adalah satu peluang yang patut dimanfaatkan oleh asatizah sebagai kelompok yang memikul amanah untuk menyebarkan fahaman agama yang betul pada masyarakat.

Pasca-skrip

Penulis ingin menambah beberapa data berkaitan sumbangan penulisan asatizah yang diperolehi setelah artikel ini sempurna ditulis dan disebabkan kesuntukan masa, penulis tidak dapat memasukkan data-data ini dalam dapatan yang dinyatakan dalam artikel ini. Dengan erti kata lain, data-data yang dinyatakan dalam artikel ini tidak meliputi data tambahan di bawah. Namun data tambahan di bawah ini tidak mempunyai pengaruh yang signifikan pada kesimpulan yang dinyatakan dalam artikel ini. Ia hanya menambah angka pada data yang ada sahaja.

  1. Jurnal Dakwah terbitan Pergas  sebanyak 5 edisi sejak tahun 2010 telah menerbitkan sebanyak 17 artikel oleh 10 ustaz dan 6 ustazah. Kesemua asatizah ini tidak termasuk dalam senarai penulis dalam penelitian pertama dulu.
  2. Asatizah juga ada menyumbang artikel di penerbitan luar negeri seperti majalah Gen-Q. Dua ustazah (Nurhanisah Senin dan Nurulhuda Mohd Hashim) telah menerbitkan sumbangan gabungan sebanyak 44 artikel sepanjang tempoh 2013 hingga 2016.
  3. Sepanjang tempoh penelitian kali ini pula sebanyak 33 artikel disumbangkan oleh asatizah bagi majalah Inabah terbitan Masjid Khadijah.

Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.

Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.


Rujukan:
  1. Al-Takwin (no. 2/2003). Singapura:  Perdaus.
  2. Mazelan Anuar, “Penerbitan Buku Melayu Singapura 2001-2010”, BiblioAsia, 7 (1), April 2011, hal. 28 -31.
  3. Sundusia Rosdi (Penyusun).  Bibliografi Penulisan Asatizah Singapura: Karya Warisan Sepanjang 100 tahun (1906 – 1916).  Draf yang belum diterbitkan.
Akhbar dan majalah:
  • Berita Harian dan Berita Minggu. Singapura: Singapore Press Holdings
  • Ar-Risalah. Singapura: Pergas
  • Al-Ustaz. Kuala Lumpur: Telaga Biru
  • Gen-Q.
  • Inabah. Singapura: Masjid Khadijah
  • Jurnal Dakwah. Singapura: Pergas
  • Solusi. Kuala Lumpur: Telaga Biru
  • Wasat. Singapura: Pergas

MASYARAKAT ASATIZAH SEJARAH SINGAPURA PENULISAN ASATIZAH SINGAPURA KITAB SUMBANGAN


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

related articles