Apabila Gagal Memahami Agama Dengan Pengertian Yang Luas | Pergas Blog

wasat

apabila-gagal-memahami-agama-dengan-pengertian-yang-luas

Apabila Gagal Memahami Agama Dengan Pengertian Yang Luas

01 October 2018 1:17 am // Written by Mohd Hafiz Bin Kusairi

Sewaktu melaksanakan ibadah haji baru-baru ini, saya mengambil kesempatan untuk merenung akan keadaan umat manusia yang bersama-sama berhimpun di kota suci Mekah dan Madinah.

Antara perkara paling ketara yang saya dapati dari renungan yang dibuat ialah kecenderungan para jemaah haji untuk meraih pahala untuk diri sendiri sehingga tidak mempedulikan kemaslahatan sesama jemaah di sekitar mereka. Seolah-olah tidak terkesan sedikitpun dengan perbuatan merempuh jemaah haji yang lain sewaktu bertawaf hanya kerana keghairahan untuk mengucup Hajar Al-Aswad. Di Muzdalifah, ada pula yang tiada perasaan simpati terhadap jemaah-jemaah haji yang tidak mendapat ruang untuk duduk beristirehat kerana inginkan untuk diri sendiri ruang rehat yang secukupnya. Ada pula yang tiada rasa terkesan pun dengan keadaan jemaah yang terpaksa bersempit menyimpul kaki sedangkan mereka hadir lebih awal untuk mendengar khutbah Jumaat kerana yang datang terkemudian bersahaja duduk di antara dua saf.

Pengamatan saya ini menyebabkan saya terfikir seolah-olah nilai ritual ibadah kita hari ini tidak memenuhi fungsi yang sepenuhnya.

Sememangnya kita diciptakan di bumi ini untuk beribadah sebagaimana yang difirmankan oleh Allah taala, “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.” (Al-Zariyat: 56)

Namun apakah natijah yang dikehendaki Allah daripada ibadah kita? Apakah kayu ukur kejayaan ibadah kita? Adakah ia perasaan euforia kerana berjaya mengucup batu syurga, walau dengan bersifat agresif di depan Ka’bah, atau rasa “syiok” kerana dapat solat di dalam kawasan Raudah walau pun menyakiti beberapa saudara Islam yang lain dengan kekerasan tangan kita dalam proses untuk memasuki ke dalamnya? Adakah kisah-kisah ini yang akan dibangga-banggakan di hadapan saudara mara kita sebaik sahaja kita tiba di tanahair?

Allah menyebut tentang natijah yang dikehendaki daripada ibadah yang terpenting sekali iaitu solat, “Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Al-Ankabut: 45)

Dari insiden-insiden yang saya perhatikan, saya mula memikirkan beberapa akibat daripada kegagalan untuk melihat fungsi agama ini melalui kerangka yang luas. Ini termasuk kegagalan untuk melihat agama ini sebagai mempunyai dinamika yang hebat untuk mengubah masyarakat; yang tidak hanya terbatas kepada sekadar retorika-retorika yang tidak menghasilkan gerak kerja yang produktif. Begitu jugak kegagalan untuk melihat fungsi agama sebagai sesuatu yang melebihi apa yang kita dandankan di tubuh badan kita.

Akibat pertama: Terhakisnya kualiti ilmiah dan penghayatan di dalam penyampaian mesej agama

Ada kalanya sang penyampai mesej agama kelihatan seperti seakan-akan tidak melaksanakan “kerja rumahnya” di dalam menyampaikan material agama; bahkan digantikan pula dengan paparan keagamaan pada pakaian penyampai beserta retorika yang tidak memberikan impak positif mahupun praktikal pada pembangunan para hadirin/pendengar.

Rentetan daripada kegagalan untuk memberikan tumpuan kepada penghayatan yang luas lagi mendalam tentang fungsi agama itu sendiri, kesan yang lebih kritikal di sini ialah agama dimanipulasi pula untuk kepentingan peribadi: jemaah yang sanggup berkorban harta untuk kepentingan peribadi “figur-figur agama” yang kononnya karismatik disebabkan paparan luaran dan retorika yang dihamburkan tadi.

Realiti ini menyenangkan figur-figur agama ini tanpa para jemaah gagal menyedari betapa mereka menyenangkan figur-figur yang bercakap atas pentas agama tanpa sebenarnya membantu maslahat agama.

Keadaan “figur-figur agama” yang memanipulasi masyarakat ini dicela oleh Imam Ghazali di dalam muqaddimah bukunya Bidayatul Hidayah:

“Orang yang telah dikuasai oleh syaitan maka ia menjadikan ilmu yang dituntutnya itu sebagai alat untuk menghimpunkan harta benda dan bermegah-megah dengan kedudukan dan merasa bangga dengan ramai pengikutnya. Dia menggunakan ilmu yang dituntut untuk mencapai segala hajatnya dan untuk mengaup keuntungan dunia. Walaupun demikian, dia masih terpedaya lagi dengan sangkaannya bahawa dia mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah kerana dia masih lagi pada zahirnya menyerupai para ulama. Dia bercakap seperti percakapan ulama dan berpakaian seperti pakaian ulama’, pada hal zahir dan batinnya penuh dengan tamak dan haloba.”

Sungguhpun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat figur-figur agama yang tulen yang menginfakkan harta yang diamanahkan masyarakat kepada mereka untuk mendatangkan inisiatif-inisiatif yang menguntungkan masyarakat dari segi keilmuan dan material.

Akibat kedua: Kualiti kepimpinan yang menurun/rendah

Kualiti kepimpinan turut terjejas apabila pemimpin-pemimpin organisasi mahupun gerakan menampilkan imej keagamaan tetapi tidak terfokus pada aspek gerak kerja yang cerdas, cergas, amanah dan terbuka kepada pembaharuan. Natijahnya, gerakan dan organisasi keagamaan ini menyerlah imej keagamaan pada logonya, pada pemakaiannya, pada ritual yang mengiringi pembukaan dan penutupan mesyuaratnya, tapi lumpuh jiwa perjuangannya.

Rasulullah s.a.w sendiri pernah memberikan amaran tentang perihal ini, “Celaka bagi orang-orang yang yang menjadi ketua! Celaka bagi orang yang menjadi pemimpin! Celaka bagi orang yang menjadi penyimpan amanah!” (Riwayat Ibn Hibban dan Al-Hakim)

Dr. Yusuf Al-Qaradhawi menyebutkan di dalam karyanya (terjemahan) Halal dan Halam Dalam Islam,

“Orang Muslim boleh mendapatkan rezekinya dengan bekerja di pejabat-pejabat, sama ada pekerjaan itu di pejabat pemerintah, atau organisasi, ataupun swasta, selama dia mampu memikul tanggungjawab pekerjaannya itu serta menyempurnakan tugasnya dengan baik. Seorang Muslim tidak boleh mencalonkan dirinya untuk sesuatu kerja yang ia tiada mempunyai pengalaman atau keahlian padanya.”

Akibat ketiga: Masyarakat yang mundur

Akibat pertama dan kedua memberikan fokus kepada mereka yang memegang teraju kepimpinan, namun yang menanggung akibat yang sebenarnya daripada kegagalan melihat keindahan dan keluasan Islam adalah masyarakat itu sendiri.

Keadaan masyarakat menjadi sempit pemikiran dan terkebelakang di dalam memahami sifat Islam yang menyeluruh dan dinamik. Para hadirin majlis-majlis agama seolah-olah lali dengan isi penyampaian yang hambar dan tak berkualiti kerana yang penting hadir dan mendapat berkat. Jadilah majlis ilmu itu majlis yang pasif dan tidak memperkasa; hadir di majlis ilmu tetapi bagaikan tertinggal akal.

Anggota-anggota organisasi pula lebih terfokus kepada pemeliharaan imej dan identiti luaran agama; masyarakat yang berbakat merasa tersisih dan tidak mahu bergiat aktif dalam kerja-kerja organisasi kerana merasakan masa dan bakat terbuang disebabkan kepimpinan yang tidak mahu mengubah cara dan pengikut yang taksub pada ketua.

Sememangnya masalah ini sudah menular di dalam masyarakat kita tanpa disedari. Ia tidak disedari kerana ia terselindung di balik besarnya nama agama.

Berikut adalah beberapa saranan yang boleh dipertimbangkan.

1. Memperkasa institusi Majlis Pentauliahan Asatizah

Fungsi majlis ini boleh diluaskan untuk memantau bukan sahaja ajaran-ajaran yang bersifat ekstrim, tetapi juga isi kandungan ceramah yang jelas tidak memberikan nilai kepada pembangunan jiwa dan akal masyarakat. Ini termasuk isi yang masih membangkit-bangkitkan soal khilafiyah, kisah-kisah ‘luar biasa’ sebagai teras utama mesej dakwah, ceramah yang lebih bersifat celoteh dan luahan rasa pendakwah tentang perjalanan hidupnya dan bukan rintangan yang dihadapi masyarakat.

Di dalam kitab Al Hikam karangan Al Imam Ibn Ataillah Al-Sakandari, ada dikisahkan bagaimana sebahagian besar daripada penceramah di Masjid Jami’ Basrah dihalau keluar kerana sibuk berceramah tanpa mengetahui apakah perkara yang menyelamatkan agama (warak) dan merosakkannya (tamak).

2. Perlunya sering mengaitkan ibadah individu dengan kesannya terhadap masyarakat

Perlu ada suatu kesedaran yang berkekalan di kalangan pendakwah untuk mengaitkan fungsi ibadah (ketuhanan) dengan fungsi kemasyarakatan. Bahawa ibadah yang optima dan holistik adalah yang menghasilkan nilai tambah kepada kemaslahatan masyarakat. Ini dapat mendidik masyarakat untuk terbiasa dengan dwi-fungsi keberadaan mereka iaitu untuk beribadah dengan bersungguh kepada Pencipta dan bersungguh juga untuk berkhidmat kepada sesama ciptaan.

Buat masa ini kaedah penyampaian secara berdikotomi masih jelas digunakan iaitu menekankan/memfokuskan kepada nilai ibadah dan kelebihannya berbanding dengan urusan seseorang insan dengan masyarakat.

Begitu juga sebaliknya, iaitu penekanan terhadap urusan berkhidmat kepada masyarakat membelakangkan pula keperluan pada ibadah.

Maka mungkin diketengahkan tentang betapa hubungan yang sihat dengan Allah akan melahirkan natijah yang baik juga dari aspek sumbangan kepada masyarakat.

Inilah yang ditekankan oleh Syaikh Hamzah Yusuf dan Syaikh Zaid Shakir di dalam buku mereka Agenda To Change Our Condition,

“Bagaimanapun, agar perkembangan-perkembangan (yang baik) direalisasikan, kita memerlukan seorang Muslim yang bersemangat segar – yang diisi dengan visi yang berani dan penuh ketaqwaan. Inilah sebabnya mengapa Agenda Untuk Mengubah Keadaan Kita amat penting. Apabila dilaksanakan, ia bakal melahirkan Muslim yang mempunyai hubungan yang sihat dengan Allah, dan hubungan yang sihat akan mengarah kepada hubungan yang lebih baik bersama tetangga kita. Hubungan yang baik itu akan menghasilkan perubahan kepada keadaan masyarakat kita seluruhnya, insyaAllah.” (terjemahan oleh penulis)

3. Kerjasama organisasi untuk berkongsi rahsia kejayaaan

Ketua-ketua organisasi patut sentiasa mengadakan sesi-sesi perkongsian amalan-amalan yang baik untuk membuka mata para ketua dan pekerja, dan menginsafkan mereka tentang betapa keterbukaan minda dan jiwa penting sebagai dasar organisasi yang berpaksikan nilai Islam.

Bukankah Rasulullah s.a.w belajar dari Saidina Al-Hubab Bin Munzir tentang strategi menempatkan tentera ketika Peperangan Badar? Baginda s.a.w juga menerima dengan senang hati saranan seorang anak muda yang bernama Salman Al Farisi untuk membina parit di sepanjang utara kota Madinah untuk menghalang kemaraan tentara Ahzab.

Kesimpulan

Artikel ringkas ini bukan bermaksud untuk melekehkan mahupun merendahkan amal ibadat kita selama ini; bahkan ia merupakan suatu usaha untuk menghimbau kita ke arah pemerkasaannya.

Semoga kita menjadi masyarakat yang tidak bersifat individualistik, malah menjadi masyarakat Islam yang berwibawa pada penghayatan agamanya zahir dan batin, barulah mungkin perlahan-lahan kita boleh mengaku bahawa kita merupakan umat Nabi yang diutus sebagai rahmat kepada sekalian alam tanpa berasa sinis dengan realiti umat ini di depan mata kita, di depan Kaabah.

Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.

Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


The reCAPTCHA verification period has expired. Please reload the page.

related articles