Apabila Seseorang Dakwa Atau Alami Karamah Dan Perkara Luar Biasa: Apa Sikap Yang Saksama? | Pergas Blog

wasat

apabila-seseorang-dakwa-atau-alami-karamah

Apabila Seseorang Dakwa Atau Alami Karamah Dan Perkara Luar Biasa: Apa Sikap Yang Saksama?

01 April 2018 3:43 am // Written by Mustazah Bin Bahari

Alam yang dicipta Allah taala ini mengandungi pelbagai anasir yang tidak dapat dihitung. Setiap unsur yang diciptakan mempunyai tujuan yang tertentu. Ia bukan sekadar diciptakan sia-sia begitu sahaja untuk memenuhi ruang. Setiap kejadian yang ada di dalam alam ini, mempunyai fungsi yang tersendiri untuk berkhidmat bagi kehidupan semua yang ada di dalamnya. Ada perkara yang berlaku menurut kebiasaan dan mudah difahami oleh manusia, ada pula yang berlaku di luar kebiasaan dan sukar difahami oleh sebahagian manusia. Apa pun kejadian yang berlaku atau ciptaan yang terjadi, ia tetap kembali kepada keagungan dan kekuasaan Allah taala dalam pentadbiran-Nya yang maha sempurna.

Di antara perkara yang berlaku di luar kebiasaan adalah mukjizat bagi para Nabi dan karamah bagi sebahagian individu yang terpilih di sisi Allah taala.

Masih lagi kedengaran di luar sana kekata sesetengah orang yang menyebut tentang perkara yang luar biasa berlaku dari seseorang individu tidak mustahil benar kerana jika Allah taala berkehendak, maka ia boleh sahaja berlaku.

Memang benar, segala perkara di dalam alam maya ini hidup dan bergerak menurut kehendak Allah taala. Tetapi jangan lupa bahawa Allah taala juga telah menetapkan segala sesuatu dengan kadar dan sistemnya yang tersendiri. Jika tiada sistem, maka tidak perlulah manusia kepada usaha untuk menghasilkan sesuatu yang diingini dan diperlukan. Tunggu sahaja keadaan sekeliling berubah menurut kehendak Allah taala semata-mata.

Justeru, artikel ini akan membahaskan syarat dan ciri-ciri yang perlu ada dalam menerima perkara yang berlaku di luar kebiasaan.

Hukum alam menurut sistem dan sunnah alam yang teratur

Di dalam Al-Quran terdapat banyak ayat-ayat yang menunjukkan bahawa alam ini bergerak dengan kadarnya yang telah ditetapkan. Misalnya ayat di dalam surah Yasin, firman Allah taala, “Dan (sebahagian dari dalil yang tersebut ialah) matahari; ia kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya; itu adalah takdir Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui, Dan bulan pula Kami takdirkan dia beredar melalui beberapa peringkat, sehingga di akhir peredarannya kelihatan kembalinya pula ke peringkat awalnya – (berbentuk melengkung) seperti tandan yang kering. (Dengan ketentuan yang demikian), matahari tidak mudah baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing.” (Yasin: 38-40)

Seterusnya pada ayat-ayat lain juga menunjukkan tentang sesuatu ciptaan Allah taala menjadi penyebab kepada kewujudan ciptaan yang lain;

  1. “Dia menciptakan langit tanpa tiang yang kamu melihatnya dan Dia meletakkan gunung-gunung (di permukaan) bumi supaya bumi itu tidak menggoyangkan kamu; dan memperkembang biakkan padanya segala macam jenis binatang. Dan Kami turunkan air hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan padanya segala macam tumbuh-tumbuhan yang baik.” (Luqman: 10)
  2. “Atau siapakah yang telah menciptakan langit dan bumi dan yang menurunkan air untukmu dari langit, lalu Kami tumbuhkan dengan air itu kebun-kebun yang berpemandangan indah, yang kamu sekali-kali tidak mampu menumbuhkan pohon-pohonnya? Apakah di samping Allah ada tuhan (yang lain)? Bahkan (sebenarnya) mereka adalah orang-orang yang menyimpang (dari kebenaran).” (Al-Naml: 60)
  3. “Allah-lah yang telah menciptakan langit dan bumi dan menurunkan air hujan dari langit, kemudian Dia mengeluarkan dengan air hujan itu berbagai buah-buahan menjadi rezeki untukmu; dan Dia telah menundukkan bahtera bagimu supaya bahtera itu, berlayar di lautan dengan kehendak-Nya, dan Dia telah menundukkan (pula) bagimu sungai-sungai.” (Ibrahim: 32)
  4. “Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari suatu saripati (berasal) dari tanah 13. Kemudian Kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kokoh (rahim) 14. Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian Kami jadikan dia makhluk yang (berbentuk) lain. Maka Maha sucilah Allah, Pencipta Yang Paling Baik 15. Kemudian, sesudah itu, sesungguhnya kamu sekalian benar-benar akan mati.” (Al-Mukminun: 12-15)

Terdapat juga kisah yang masyhur mengenai seorang Arab badwi apabila dia ditanya mengenai kewujudan Tuhan, dia berkata, “Najis unta membuktikan adanya unta (di padang pasir), kesan tapak kaki membuktikan adanya orang yang berjalan, bintang-bintang di langit dan gunung ganang di bumi, bukankah itu semua membuktikan adanya Tuhan.”

Manusia juga mendapat ilmu dan kefahaman menerusi pembelajaran. Tiada manusia yang lahir terus dapat membaca dan menulis. Jika ada sekalipun, ia hanyalah kes terpencil yang tidak boleh dijadikan hujjah. Menurut kaedah fiqh, al-nadir la hukma lah, maksudnya: perkara yang bukan kebiasaan tiada hukum tetap baginya.

Hakikatnya, alam ini berlangsung dengan sebab musababnya yang saling terkait. Ia tidak terjadi tanpa sebab dan tidak berlaku tanpa punca.

Kedudukan dan hukum perkara yang luar biasa

Bicara mengenai hal-hal luar biasa yang berlaku ke atas atau dari manusia, sememangnya tidak boleh dinafikan. Misalnya kisah Maryam yang dikurniakan rezeki tanpa diduga dan kisah Nabi Isa setelah dilahirkan oleh Maryam, yang telah berbicara kepada kaumnya yang memfitnah ibunya sewaktu dia masih dalam buaian. Begitu juga kisah Ashab Al-Kahf yang tidur selama 309 tahun. Namun, adakah ia menjadi keutamaan di dalam urusan hidup manusia, terutama dalam urusan agama? Jawabnya tidak.

Dalam urusan agama, perkara luar biasa harus juga berlaku. Ia diistilahkan sebagai khawariq al-`adat. Habib Ali Al-Jufri[1] berkata, “Perkara luar biasa atau khawariq al-`adat itu ada lima jenis;

  1. Perkara luar biasa yang berlaku kepada para Nabi yang dinamakan sebagai mukjizat.
  2. Perkara luar biasa yang berlaku kepada para wali yang dinamakan sebagai karamat.
  3. Perkara luar biasa yang berlaku ke atas pendakwa kebenaran seperti Musailamah Al-Kazzab. Ia dianggap sebagai penghinaan baginya.
  4. Perkara luar biasa yang berlaku ke atas orang yang melakukan maksiat dan dosa, ia dinamakan sebagai istidraj.
  5. Perkara luar biasa yang berlaku daripada ahli sihir.

Jika dilihat kepada mukjizat para Nabi, ia juga bukanlah perkara utama yang mesti atau perlu ada pada mereka ketika menyampaikan dakwah. Nabi Musa tidak menggunakan tongkatnya setiap kali mengajak Bani Israil kepada Allah taala. Nabi Sulaiman tidak menggunakan kehebatannya berbicara dengan haiwan untuk berdakwah. Nabi Muhammad s.a.w tidak meminta kepada Allah untuk menunjukkan mukjizat kepada kaum musyrikin setiap kali Baginda berdakwah dan seterusnya contoh-contoh lain yang menunjukkan bahawa perkara mukjizat bukanlah bahan utama dalam keperluan berdakwah.

Nah, apa lagi tentang karamah. Adakah ia satu elemen yang menunjukkan adanya kelebihan seseorang dalam dakwah berbanding yang tiada karamah? Habib Ali Al-Jufri juga mengingatkan bahawa urusan karamah ini tidak boleh dijadikan sebagai penentu kepada kebaikan seseorang dan menafikan kebaikan orang lain yang tidak nampak adanya karamah pada dirinya.[2]

Syarat dan ciri-ciri karamah

Menurut Imam Ibrahim Al-Laqqani, karamah adalah suatu perkara luar biasa yang berlaku tanpa dakwaan kenabian, dan ia bukan sebagai permulaan kenabian, muncul dari seorang yang zahirnya nampak soleh dan beriltizam mengikuti Nabi yang diwajibkan untuk diikuti syariatnya berserta dengan iktikad yang benar dan amalan yang soleh.[3]

Dari definisi yang diberi mengenai karamah, jelas ia menunjukkan bahawa karamah yang sebenar terkeluar dari seorang individu yang soleh, menurut sunnah Nabi s.a.w dan terus iltizam dalam akidah yang benar dan amalan yang soleh.

Imam Al-Junaid, seorang tokoh kesufian juga pernah berkata, “Jika kamu nampak seorang yang terbang ke langit dan berjalan di atas air, maka janganlah kamu terus terpedaya dengannya sehingga kamu menimbangnya dengan timbangan amr ma`ruf nahi munkar. Jika kamu nampak dia melaksanakan perintah Allah dan menjauhi apa yang dilarangnya, maka benarlah dia seorang wali yang jujur, tetapi jika tidak, maka dia hanyalah seorang yang mendakwa sahaja (sebagai wali) dan dia juga adalah seorang zindiq!”[4]

Apabila membicarakan tentang karamah, ia terbahagi kepada dua;

  1. Tentang karamah itu sendiri
  2. Tentang orang yang timbul darinya karamah.

Jika diteliti daripada definisi karamah dan pandangan ulama mengenainya, karamah itu sendiri mempunyai beberapa ciri yang perlu ada untuk diterima dan tidak dipertikaikan. Antaranya adalah;

  • Karamah tidak berlaku jika ia bertentangan dengan nas-nas syarak yang qat’iy seperti dakwaan sebilangan manusia yang mendakwa dia menerima wahyu dari Tuhan sedangkan wahyu telah terhenti secara pasti menerusi dalil Al-Quran.
  • Karamah tidak berlaku pada perbuatan yang ditegah syarak atau berunsurkan maksiat seperti menghalalkan yang haram atau mengharamkan yang halal, atau melakukan sesuatu perbuatan yang berunsurkan syirik seperti memuja jin sehingga timbul keajaiban darinya.
  • Begitu juga ia tidak berlaku pada perkara remeh yang tiada kaitan dengan keperluan hidup atau urusan akhirat seperti permainan silap mata.

Manakala bagi empunya diri yang zahir daripadanya karamah, dia perlu memiliki ciri-ciri seperti berikut;

  • Seorang mukmin yang mentaati perintah Allah taala dan Rasul-Nya dengan benar dan iltizam.
  • Tidak menganggap setiap perkara luar biasa yang berlaku bermkasud karamah, mungkin sahaja ia berbentuk istidraj.
  • Jangan menganggap dirinya sebagai wali yang perlu disanjung tinggi.
  • Jangan jadikan karamah sebagai matlamat hidupnya.

Kesimpulan

Ahli Sunnah Wal Jamaah sepakat mengatakan bahawa karamah adalah benar dan harus berlaku. Cuma ia perlu difahami dan dikendalikan dengan betul. Seperti yang dijelaskan tadi, karamah bukanlah satu ukuran untuk mengenal pasti siapa yang lebih baik dari yang lain. Urusan hidup dan urusan agama juga tidak berpaksikan karamah. Ia hanyalah satu kelebihan yang Allah taala beri kepada sesiapa yang dikehendakinya dengan syarat yang disebutkan sebelum ini. Berusaha dengan mengambil asbab bagi keperluan hidup adalah kunci dan punca kepada kejayaan buat semua, bukan menantikan timbulnya karamah untuk menentukan sesuatu keperluan.

Dr. Mahmud Abu Huda Al-Husaini, salah seorang tenaga pengajar di Ma`had Al-Fath di Damsyiq menukilkan kata-kata seorang soleh yang dianggap wali Allah yang dikenalinya di Halab bernama Syeikh Na’saan Al-Farwati mengenai perkara luar biasa. Katanya, “Manusia yang terlalu banyak berbicara mengenai perkara luar biasa atau berlaku padanya perkara yang luar biasa adalah manusia yang lebih jauh daripada Allah.” Seterusnya beliau mengatakan bahawa semakin banyak perkara luar biasa yang berlaku pada diri seseorang semakin banyaklah fitnah yang akan berlaku ke atasnya.[5]

Di dalam Piagam Kesederhanaan terbitan Pergas, juga dinyatakan bahawa perkara luar biasa seperti ilham dan kassyaf adalah anugerah Allah tetapi ia tidak boleh dijadikan sebagai hujjah agama. Ia sekadar nilai tambah kepada seorang individu yang baik.[6]

Imam Ibn Rajab meriwayatkan sebuah kisah dari Al-Khallal yang menceritakan tentang persoalan yang diajukan kepada Fudhail bin `Iyadh mengenai seorang lelaki yang duduk di rumahnya dan mendakwa dia yakin kepada Allah, lalu Allah memberikannya rezeki, apakah hukumnya? Beliau menjawab, “Jika dia yakin dengan Allah sehingga Allah taala tahu dia telah yakin dengan-Nya, maka tiada sesuatu pun yang dapat menghalang apa yang dikehendaki-Nya. Tetapi perkara ini tidak dilakukan oleh para Nabi atau lainnya. Para Nabi sendiri pernah bekerja dan mengambil upah. Nabi s.a.w, Abu Bakar dan Umar juga pernah bekerja dan mengambil upah. Mereka tidak pernah pun berkata: “Kami ingin menganggur sehingga Allah memberi rezeki kepada kami.”[7]

Justeru wajar difahami bahawa syarat utama untuk berjaya dalam lapangan hidup di dunia dan juga di akhirat kelak adalah dengan usaha dan menuruti sistem alam yang telah ditetapkan.

Jika kekata ‘kalau Allah taala berkehendak tidak mustahil berlaku’ menjadi keutamaan dalam membentuk kehidupan, maka tidak perlulah para Nabi diutuskan, tidak perlu guru untuk mengajar dan tidak perlu pakar-pakar atau ilmuan untuk berinovasi mengeluarkan produk demi kebaikan manusia sejagat, hanya nantikan sahaja apa yang akan berlaku berpaksikan kehendak Allah taala semata-mata.

Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.

Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.


Rujukan:

[1] Habib Ali Al-Jufri (2014), Al-Karamat Wa al-Khawariq.. Hukmuha Wa Anwa`uha `Inda Ahl Al-Sunnah Wa Al-Jama`ah, 22 Oktober.Lihat: https://www.youtube.com/watch?v=Pu0fpS727lg (21 Mac 2018).

[2] Ibid

[3] Ibrahim Al-Laqqani (2009), Syarh Al-Nazim `Ala Al-Jauharat, Cairo: Dar Al-Basair, jld. 2, ms. 912. Lihat di https://archive.org/details/SHAR7-AL-NADHEM2 (21 Mac 2018).

[4] Ali Al-Jufri (2008), Al-Dars Al-Thalathun: Khitam Al-Majalis, 9 Oktober. Lihat: http://www.almoreed.com/archives/episodes/episode30 (21 Mac 2018).

[5] Mahmud Abu Al-Huda Al-Husaini (2009), Al-Mukjizat Wa Al-Karamat, 30 Oktober. Lihat: http://abolhoda.me/www/hosainy2.php?id=884  (20 March 2018)

[6] Pergas (2004), Moderation in Islam in the context of Muslim Community in Singapore, Singapore: Pergas, ms. 319.

[7] Ibn Rajab (2014), Jami` Al-`Ulum Wa Al-Hikam (terjemahan bahasa Melayu bertajuk Himpunan Ilmu dan Hikmah), Kuala Lumpur: Pustaka Salam, jld 4, ms. 1850.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


The reCAPTCHA verification period has expired. Please reload the page.

related articles