Artikel ini ditulis hasil dari interaksi saya dengan beberapa individu di dalam masyarakat. Walaupun pengalaman peribadi dengan beberapa sosok individu tidak semestinya menggambarkan realiti masyarakat; namun pendapat saya turut mengambil kira perkembangan masyarakat berdasarkan pemerhatian harian melalui interaksi dengan beberapa aspek masyarakat sama ada secara langsung ataupun melalui pengamatan yang diperolehi dari jadual harian dan wadah media seperti media sosial.
Tulisan saya terfokus ke arah tiga perkara yang terserlah sepanjang interaksi saya, iaitu:
1. sikap selektif dan kurang cermat di dalam menggunakan fakta sejarah Rasulullah s.a.w dan para sahabat sebagai pegangan
2. sikap sempit di dalam menanggapi sejarah Rasulullah s.a.w dan para sahabat
3. sikap kurang amanah di dalam menyampaikan sejarah Rasulullah s.a.w dan para sahabat
Ketika jangkitan Covid-19 menyebabkan tertutupnya masjid-masjid di seluruh Singapura, saya teringat perbualan saya dengan seorang pakcik di kawasan Haig Road. Pakcik tersebut yang memulakan perbualan tersebut (mungkin kerana melihat ‘wibawa keagamaan’ pada cara pemakaian saya): “Perlukah masjid satu Singapura ditutup hanya kerana segelintir kes? Mana letaknya iman kita? Tawakal kita?”
Saya mempunyai pilihan untuk menjawab dengan rasional saintifik ataupun memilih dari lembaran sejarah. Saya memilih dasar sejarah sebagai dasar kerana mungkin menceritakan tentang perihal sahabat dan keimanan lebih tepat dengan ‘selera’ pertanyaan pakcik tadi.
Maka saya mengisahkan tentang perihal Saidina Umar r.a yang memilih untuk berpatah balik ke kota Madinah dan tidak jadi untuk menyambung perjalanannya ke kawasan Amwas disebabkan wabak yang melanda di sana. Saya berkongsi tentang perintah Saidina Umar r.a. agar penduduk Amwas dipindahkan ke tanah yang lebih tinggi kerana tanah yang lebih tinggi mempunyai suhu yang dapat mencegah penularan wabak dengan lebih baik. Saya juga menerangkan tentang keengganan Saidina Abu Ubaidah bin Al-Jarrah r.a. untuk menyahut ajakan Saidina Umar r.a. untuk bersamanya di Madinah atas sebab yang sama. Mesej saya kepada pakcik itu jelas: Bahawa yang dinamakan iman dan tawakkal itu termasuk juga usaha yang konkrit. Usaha yang konkrit pula tidak semestinya menafikan iman dan tawakal. Apatah lagi yang mengambil langkah-langkah konkrit ini merupakan sahabat-sahabat Nabi Muhammad s.a.w yang terulung yang mengambil langkah atas tindakannya sendiri.
“Tapi itu sahabat, bukan kita”, getus pakcik tersebut.
a. Sikap selektif dan kurang cermat di dalam menggunakan fakta sejarah Rasulullah s.a.w dan para sahabat sebagai pegangan
Mungkin kerana kekurangan ilmu dan kesabaran dalam diri, saya tidak teruskan perbualan dengan pakcik tersebut melebihi dari mendoakan keselamatan dirinya.
Namun yang lebih menimbulkan kesan di hati saya ialah betapa di dalam menanggapi sejarah untuk mengetengahkan pendapat, pendirian mahupun hujah, terdapat kecenderungan dari kalangan kita untuk bersifat selektif dan rambang.
Bagaimana mungkin kita berbual tentang iman tanpa mengambil contoh mereka yang benar-benar yang memahami hakikat keimanan. Lebih pelik lagi, apabila lembaran sejarah menunjukkan sikap sebenar seorang yang benar-benar beriman. Kita ingin memperjuangkan iman ‘di atas usaha’, tapi memilih pula untuk menafikan bahawa contoh keimanan para sahabat sesuai dengan keimanan kita!
Hakikat ini tidaklah begitu jauh daripada intipati sebuah ceramah yang saya dengar tidak berapa lama dahulu: “Kita tidak dapat membayangkan betapa indahnya kehidupan para sahabat bersama Rasulullah s.a.w dahulu. Bagaimana indahnya kehidupan mereka yang hidup bersama Baginda dan berperang bersama Baginda.”
Seolah-olah gambaran yang ada tentang kehidupan di kota Madinah dahulu sekadar berkisar sekitar peperangan semata. Tidak mustahil jika orang bukan Islam mempunyai tanggapan sempit bahawa agama ini tertegak atas peperangan semata-mata kerana kita sendiri mempunyai andaian yang sedemikian rupa tentang Islam. Apatah lagi pula apabila norma peperangan itu dikaitkan pula dengan keindahan kehidupan sebuah tamadun. Kita mungkin tidak melihatnya sebagai suatu yang lebih dari sekadar kegagalan untuk menghayati sejarah dengan lebih menyeluruh namun kesan daripada kegagalan ini sebenarnya mempunyai kesan bukan sahaja terhadap imej agama tetapi juga kemaslahatan kemanusiaan juga.
Dr. Khaled Abou El Fadl menjelaskan tentang bahaya ini di dalam karyanya, The Great Theft:
“Akibatnya, para pelampau percaya bahawa seorang Muslim perlu menghidupkan kembali zaman keemasan (Islam) dengan benar-benar meniru dan mencipta kembali institusi dan kod etika yang mereka percaya wujud pada zaman tersebut. Ia seolah-olah menggambarkan bahawa Islam telah mencapai kemuncaknya dan telah mencapai potensi sepenuhnya hanya ketika zaman keemasan Islam. Bagi sejarah manusia yang berbaki ini, para pelampau membayangkan bahawa masyarakat Muslim bahkan seluruh kemanusiaan harus berusaha untuk mencipta kembali keadaan zaman tersebut di mana sejarah berada di kemuncaknya.”
Kesan daripada kegagalan untuk memahami bahawa sejarah dipelajari bukan untuk ditiru luarannya tanpa menghargai hakikat yang lebih penting seperti nilai-nilai kemanusiaan yang mulia seperti keilmuan dan kemuafakatan ialah sikap ‘memetik-memetik dalil’ dari sejarah tanpa mengambil kira keabsahan mahupun konteks dalil yang dipetik.
Di dalam mengkritik sikap suka memetik sejarah secara rambang, Dr. Khaled sekali lagi mengetengahkan sikap para pelampau yang menggunakan dalil bahawa perbuatan Saidina Abu Bakar Al-Siddiq r.a. membakar hidup-hidup puak munafik sebagai bukti yang membolehkan mereka yang dianggap sebagai musuh Islam untuk dibakar hidup-hidup sedangkan,
“…penggunaan api ke atas orang Islam ataupun yang bukan Islam sangat dikutuk di dalam syariat Islam. Ramai ulama begitu teliti untuk menerangkan bahawa laporan bahawa kononnya Abu Bakar menggunakan api ke atas musuhnya adalah ciptaan para musuhnya dan diriwayatkan oleh para individu yang sangat disangsikan keperibadiannya. Bukan sahaja para ulama mencabar ketulenan dan keabsahan fakta tentang Abu Bakar ini, mereka turut berhujah bahawa kekejaman merupakan sesuatu yang bercanggah dengan Al-Qur’an dan (tunjuk ajar) Nabi.”
Di sinilah sikap sebahagian kita yang rambang di dalam menanggapi sejarah Islam bukan sahaja membawa kerugian terhadap diri kita sendiri sebagai orang Islam tetapi menyemarakkan lagi sikap skeptikal dunia terhadap rahmat dalam tamadun Islam.
Kesan daripada salah faham tentang hakikat yang pedih ini akhirnya menzahirkan akibatnya apabila video seorang juruterbang jet pejuang tentera udara Jordan yang bernama Muadz Safi Yousef Al Kasasbeh ditangkap oleh pelampau ISIS dan dibakar hidup-hidup ditayangkan secara meluas untuk tatapan dunia.
b. Sikap sempit di dalam menanggapi sejarah Rasulullah s.a.w dan para sahabat
Saya juga pernah didatangi oleh seorang jemaah di masjid selepas menyampaikan kuliah dan ditanya kenapa saya tidak mengenakan serban. ‘Kegagalan’ saya untuk mengenakan serban ini dikaitkan pula dengan lemahnya iman dan betapa takutnya saya untuk menegakkan Sunnah. Hasil daripada perbualan saya dengan jemaah ini menunjukkan betapa penilaiannya tentang keberkesanan mesej yang disampaikan melalui sesebuah kuliah sangat terhad kepada apa yang (tidak) diletakkan di atas kepala seseorang.
Saya tidak menafikan nilai Sunnah pada pakaian dan mengenakannya tentulah perbuatan yang terpuji. Namun untuk menyempitkan Sunnah pada sehelai serban di kepala, hanyalah akan menafikan Sunnah-sunnah lain yang jauh lebih kritikal untuk ditegakkan: kasih sayang terhadap ahli keluarga, timbang rasa terhadap jiran tetangga, mengambil berat terhadap kekurangan masyarakat, kesungguhan menuntut ilmu, memelihara alam sekitar, menjaga kerbersihan dan seterusnya.
Bahkan kesan membataskan kemuliaan hanya kepada apa yang diletakkan di kepala tanpa mempedulikan apa yang dikenakan pada keperibadian kita akan mempunyai kesan yang negatif terhadap imej agama. Akhlak yang indah yang mengiringi pakaian yang indah tentu sekali menampakkan lagi kesempurnaan agama. Namun jika pakaian kita yang kita banggakan sebagai menuruti pakaian Rasulullah s.a.w tidak diiringi dengan akhlaknya yang mulia, bahkan yang terserlah hanyalah sifat yang keji, maka begitulah orang akan mengenali Nabi s.a.w dan agama kita.
Kegagalan untuk memahami sunnah Baginda s.a.w secara menyeluruh akan mengakibatkan kegagalan untuk mengenalpasti dan mencapai matlamat dan tuntutan yang lebih penting di dalam tugas kita sebagai khalifah di muka bumi ini.
Di dalam menggambarkan betapa luasnya peranan yang dimainkan Nabi Muhammad s.a.w di dalam membangunkan nilai kemanusiaan di bumi ini, saya menukil kata-kata Al-Habib Ali Bin Abdul Rahman Al-Jifri di dalam karya beliau yang diterjemahkan, iaitu Humanity Before Religosity,
“Penghulu kami Nabi Muhammad menganggap insan sebagai sumber terhebat dan dia percaya bahawa sumber yang lain harus dilaburkan ke arah mengembangkan potensi insan. Baginda melaburkan masa untuk mendidik dan membentuk insan, mengikat hati mereka dengan Tuhan dan menganjurkan mereka untuk menyerlahkan kecemerlangan di dalam perkataan dan tutur kata.
Nabi memanfaatkan kebijaksanaan insan dengan menyuruh mereka yang berilmu untuk mendidik insan di sekeliling mereka. Bahkan Baginda menetapkan bahawa tawanan peperangan Badar untuk mendidik sebahagian orang Islam untuk membaca dan menulis sebagai sebahagian daripada cara mereka untuk menebus diri mereka. Sebagai suatu lagi cara untuk melabur ke arah perkembangan ummah, Rasulullah memanfaatkan kedudukan Baginda di sisi masyarakat untuk mengajar manusia tentang nilai kemanusiaan. Demi memelihara nyawa seorang insan, Baginda melepaskan hak Baginda untuk menuntut bela ke atas sepupunya sendiri, yang langsung menjadi sebuah pengisytiharan terhadap terhapusnya amalan berbalas dendam pada zaman jahiliah.”
c. Sikap kurang amanah di dalam menyampaikan sejarah Rasulullah s.a.w dan para sahabat
Jika bersikap kurang cermat di dalam memilih fakta sejarah boleh dianggap membahayakan imej Islam, betapa lagi perbuatan kurang amanah di dalam menyampaikan fakta tentang Islam. Ia meremehkan nilai keilmuan yang selama ini begitu disanjung di dalam Islam dan secara tidak langsung menjadi cerminan budaya kurang berfikir di dalam masyarakat kerana masyarakat yang mengambil berat tentang khazanah Islam akan sensitif terhadap fakta-fakta yang disampaikan secara cuai, apatah lagi jika ia melibatkan Rasulullah s.a.w dan para sahabat.
Ketika menziarahi makam syuhada’ Uhud, saya terdengar seorang mutawwif menyampaikan kisah pengorbanan Saidina Hamzah bin Abdul Muttalib r.a.. Saya tertarik bukan dengan aura keagamaan pada pakaiannya yang ‘sunnah-compliant’. Bukan juga pada cara dramatiknya di dalam penyampaiannya. Bukan juga pada para jemaah bimbingannya yang sudah tenggelam di dalam lautan kecintaan terhadap Saidina Hamzah r.a. Yang menarik hati saya ialah inti penyampaiannya, “Di dalam peperangan Uhud, Saidina Hamzah r.a. telah membunuh 300 orang tentera Musyrikin. Namun tombak yang dilontar Wahsyi terkena tepat ke hatinya lalu pecahlah hatinya.”
Semakin kuat desahan air mata para jemaah. Hati saya turut pecah memikirkan tergamaknya mutawwif itu menyemburkan fakta-fakta yang bercelaru di hadapan mereka-mereka yang gugur menegakkan kebenaran.
Saya tidak mahu bertingkah lama tentang di mana tembusnya tombak Wahsyi; namun saya membuat sifir saya sendiri: Jika Saidina Hamzah r.a seorang boleh menewaskan 300 Musyrikin Mekah dalam satu peperangan sedangkan gabungan Saidina Ali, Saidina Hamzah dan Saidina Mus’ab r.a. sendiri membunuh 70 orang Musyrikin sahaja di dalam peperangan Badar, apa perlunya Rasulullah s.a.w memimpin 700 orang sahabat ke medan Uhud?
Kekecewaan saya di sini bukan sahaja kepada mutawwif yang kurang cermat dengan faktanya, namun dengan jemaah yang menghadam sepenuhnya maklumat yang diberi. Begitulah realiti penghayatan sejarah Islam; jika tidak dipandu dengan sikap berdisiplin pada yang menyampaikan dan disampaikan padanya, ia hanya akan menjadi bahan pemangkin emosi dan air mata semata. Air mata yang lahir daripada kecelaruan tidak akan menghasilkan natijah yang diinginkan daripada penghayatan sejarah, iaitu keazaman untuk menghidupkan iktibar. Mana mungkin Saidina Hamzah r.a. dapat dijadikan iktibar jika pengetahuan kita tentangnya sahaja berdasarkan kemustahilan?
Sememangnya di dalam lipatan sejarah Islam akan sentiasa terakam mukjizat Baginda s.a.w dan karamah para sahabat. Bahkan Shaykh Sa`id Ramadhan Al-Buti di dalam menanggapi mukjizat berkata di dalam Fiqh Al-Sirah bahawa, “mustahil kita menolak mukjizat dan kejadian yang luar biasa dari kehidupan Nabi kecuali dengan menghapuskan makna kenabian itu sendiri daripada kehidupannya.” Namun Shaykh Sa`id Ramadhan juga menambah bahawa manusia, “mengira, dengan kejahilannya bahawa mukjizat ialah sesuatu yang mengejutkan dan luar biasa sehinggakan dijadikan ukuran keimanan atau penolakannya terhadap sesuatu.”
Kesimpulannya penyampaian sejarah yang amanah merangkumi kajian yang bersungguh di samping tidak perlu menokok tambah suatu hakikat yang sedia ada hanya untuk menimbulkan kesan di kalangan para pendengar mahupun pembaca kerana kesan yang terhasil daripada olahan yang tidak jujur tentu sekali tidak akan mempunyai kesan positif yang lebih hebat berbanding penyampaian yang tepat dan benar pengisiannya. Sifat tidak amanah di dalam menyampaikan intipati sejarah juga akan mempunyai kesan panjang yang mana umat akan sentiasa tertutup daripada hakikat sejarah yang sebenarnya.
Menghargai khazanah peninggalan para ulama
Para ulama kita telah meninggalkan khazanah yang kaya buat manfaat dan pengamalan kita di akhir zaman ini. Dari segi khazanah sejarah, maklumat tentang Rasulullah s.a.w dan para sahabat tidak terbatas kepada tulisan yang berbentuk kronologi semata namun kepelbagaian bahan bacaan yang terus dihasilkan hingga ke hari ini menunjukkan betapa penghayatan tentang zaman keemasan Islam tidak boleh ditanggapi dengan perspektif yang sempit dan dangkal.
Sudah tentu Imam Al-Tirmidzi menulis kitab Syamail Muhammadiyah dengan bab yang merangkumi paparan lahir Baginda .s.aw, cara hidup dan akhlaknya supaya menghargai dan mencontohi Baginda s.a.w dengan kaca mata yang menyeluruh. Begitu juga apabila Shaykh Said Ranadhan Al-Buti menulis kitab Fiqh Al-Sirah. Dia ingin mendedahkan kita kepada khazanah keilmuan yang menjadi paksi kehidupan Baginda s.a.w dan para sahabat di samping mengajar kita untuk mengutip permata-permata hikmah daripada peristiwa-perisitwa sejarah dan bukan sekadar mengambil tahu paparannya tanpa belajar dan mengaplikasikan hikmahnya di dalam kehidupan seharian kita.
Apabila Shaykh Abdul Hayy Al-Kattani menulis Al-Taratib Al-Idariyah, tentu sekali beliau ingin menerangkan kepada kita tentang betapa kota Madinah yang didirikan Baginda s.a.w dan para
sahabat adalah sebuah kota yang hidup keilmuan, keruhanian dan kasih sayangnya di samping cemerlang penyusunan infrastruktur fizikalnya agar kita memberikan perhatian terhadap aspek pembangunan ruhani dan jasmani di dalam aspek diri, keluarga dan masyarakat.
Semoga hikmah daripada suasana dunia yang tidak menentu ini tidak menjadikan kita insan yang sentiasa memberikan reaksi yang keliru disebabkan pemahaman kita yang rambang tentang sejarah agama ini. Ini hanya dapat tercapai dengan meluangkan masa untuk menekuni khazanah yang ditinggalkan para ilmuwan kita.
Moga kecermatan mereka menulis akan menjadikan kita juga cermat menggarap dan menanggapi perkembangan di dalam masyarakat melalui lensa sejarah Rasulullah s.a.w dan para sahabat.