Berdakwah Dengan Ilmu: Moga Tidak Terlepas Pandang | Pergas Blog

wasat

berdakwah-dengan-ilmu

Berdakwah Dengan Ilmu: Moga Tidak Terlepas Pandang

01 August 2018 7:27 am // Written by Mohd Hafiz Bin Kusairi

Dakwah bukan sekadar ‘semangat-semangat’ sahaja

Perkembangan mutakhir ini melihat keruntuhan akhlak di kalangan masyarakat. Reaksi yang spontan daripada anggota masyarakat yang perihatin ialah menyingsing lengan untuk terjun ke medan dakwah. Maka sesuatu yang kelihatan negatif terlihat seperti melahirkan sesuatu kesan yang positif. Namun kesan positif ini menimbulkan keperihatinan yang lain iaitu kepercayaan seseorang yang terjun ke medan dakwah dengan merasakan bahawa dirinya berada di dalam kebenaran sedangkan kebenarannya itu terbina atas dasar-dasar yang rapuh. Pemahaman yang sedemikian tidak akan berjaya untuk menumpaskan kebatilan kerana orang yang perlu didakwahkan (kerana melakukan kesilapan) sendiri merasakan bahawa kelakuannya terbina di atas dasar-dasar yang wajib dipertahankan. Bahkan tidak mustahil pula bagi mereka yang merasakan dirinya berada di atas jalan kebenaran jatuh ke jurang lebih dalam daripada individu yang disalahkannya.

Mengapa? Seorang pesalah itu mungkin terhalang oleh kemahuannya untuk bertaubat kepada Allah sedangkan dirinya mengakui bahawa dirinya bergelumang dosa. Walhal si aktivis dakwah kepada kebenaran yang merasakan dirinya pembawa panji kebenaran itu tidak akan pernah ada kemahuan memperbaiki diri dan pengakuan akan kesilapan dirinya. Jadilah dia seorang pejuang yang egois, sombong dan sempit dadanya: semua ini termasuk sifat orang-orang yang binasa.

Bagaimanakah seorang yang binasa mampu menyelamatkan masyarakat di sekelilingnya sedangkan dirinya sendiri tewas tanpa disedari?

Kepentingan berdakwah dengan ilmu

Oleh itu, penting bagi seseorang yang ingin terjun ke gelanggang dakwah untuk menyedari bahawa urusan dakwah ini bukanlah urusan ‘semangat-semangat untuk menyahut panggilan dakwah semata’ tanpa merasakan akan perlunya dia berilmu.

Setiap nafas yang kita hela di bumi Allah ini hendaklah berdiri atas landasan ilmu. Ibadah kita berpaksikan fiqh ibadah, hubungan kita dengan keluarga berakarkan ilmu munakahat, urusan kita di tempat kerja seringkali memerlukan kita untuk merujuk kepada fiqh muamalat.

Bagaimana mungkin sebahagian dari kita merasakan pekerjaan dakwah yang merupakan faktor penentu kepada penerimaan ilmu-ilmu penting merasakan cukup hanya dengan perasaan ‘besar hati’ dan ‘idea kreatif dan gila-gila’ semata?

Syaikh Said Ramadhan Al-Buty menegaskan di dalam kitabnya Hakaza Falnad`u Ila Al-Islam (Beginilah Cara Kami Mengajak Kepada Islam, terbitan Persatuan Ittihad An-Nur Malaysia, 2016) bahawa prasyarat utama bagi seorang aktivis dakwah itu adalah berilmu.

Terlalu kerap kita melihat orang yang didakwahkan kelihatan lebih tenang dan rasional berbanding yang mendakwahkannya disebabkan kedangkalan si aktivis dakwah tentang fungsi dan matlamat dakwah itu sendiri. Bertambah teruk lagi apabila si aktivis dakwah dengan segala ‘perasaan kebenarannya’ itu semakin menyisihkan masyarakat daripada dirinya disebabkan sangkaannya bahawa dakwah itu cukuplah sekadar disampaikan ‘tegak-tegak’ dan tanpa berbasa-basi lagi: “Jika kau tak mahu terima, itulah tanda buta hati kau terhadap kebenaran. Di Akhirat, kita terpisah!”

Sedangkan nasib si aktivis dakwah dan yang didakwahkan di Akhirat tiadalah kepastian tentang siapakah yang sebenarnya selamat dan celaka antara keduanya: nasib kedua-duanya sama-sama di hujung tanduk!

Empat cara memiliki ilmu dalam berdakwah

Ketahuilah bahawa terdapat empat jalan bagi memperoleh dan memperkasa ilmu tentang berdakwah:

1. Mendalami ilmu tentang dakwah

Terdapat pelbagai karya daripada kalangan para ulama dan aktivis dakwah yang menyentuh isu dakwah secara langsung yang boleh kita pelajari, renungkan dan mengambil faedah daripadanya untuk meningkatkan mutu dakwah.

Setiap karya ini menggunakan pendekatan yang berbeza di dalam menanggapi dakwah itu sendiri. Seseorang yang mahu berkecimpung di dalam aspek dakwah sepatutnya membaca dan memberikan pertimbangan penuh terhadap pendekatan yang digunakan di dalam menyampaikan dakwah itu sendiri.

Imam Abdullah Al-Haddad di dalam kitabnya, Al-Da`wah Al-Tammah Wa Al-Tazkirah Al-`Ammah (telah diterjemahkan dengan tajuk, Dakwah Yang Sempurna Dan Peringatan Yang Utama, terbitan Pustaka Nasional, 2005) memberikan fokus terhadap profil golongan yang menerima dakwah dan kaedah untuk mendekati mereka.

Syaikh Sa`id Ramadhan Al-Buty di dalam dalam kitabnya Hakaza Falnad`u Ila Al-Islam (Beginilah Cara Kami Mengajak Kepada Islam) pula memberikan tumpuan kepada prasyarat, syarat dan manhaj dakwah itu sendiri. Bagi mereka yang suka merujuk kepada tinta-tinta kontemporari pula, karya Syaikh Hamza Yusuf dan Syaikh Zaid Shakir yang bertajuk Agenda to Change Our Condition (Agenda untuk Mengubah Keadaan Kita) menyerlahkan ikatan antara kepentingan pengislahan zahir batin aktivis dakwah sebagai pemacu ke arah perubahan masyarakat ke arah kebaikan.

Kesimpulannya ialah, dakwah itu merupakan suatu perkara yang mempunyai struktur. Ia merupakan sebuah disiplin yang patut diberikan perhatian dan penelitian dan bukanlah suatu yang dipandang mudah apatah lagi oleh mereka yang berkeinginan kuat untuk berdakwah.

Adalah suatu malapetaka bagi diri kita jika kita sebaliknya menyangka bahawa karya-karya para ulama dan aktivis dakwah ini sebagai jeriji-jeriji yang mengongkong kebebasan berdakwah.

Apapun disiplin memerlukan prasarana yang utuh yang menjadi tunjang penegaknya. Orang yang mengetepikan kepentingan ilmu untuk berdakwah adalah pembina bangunan yang tinggi nilai astetiknya tetapi tidak mengambil peduli nasihat pakar bahawa bangunan indahnya itu bakal menyembah bumi disebabkan asas-asas yang dibina tanpa mengikut piawaian yang ditetapkan Sang Penguasa.

2. Mendampingi para aktivis dakwah mapan dan meneliti pendekatan mereka

Tiadalah contoh mahupun prototip yang terlebih berkesan untuk kita jadikan rujukan di dalam dakwah melainkan contoh dari mereka yang bergelumang di dalam medannya. Di dalam hal ini, berdamping dengan para aktivis dakwah mapan termasuk memerhatikan cara mereka menyampaikan dakwah itu sendiri sama ada dari aspek pendekatan seperti pedagogi (contohnya kaedah tekan tubi dan soal jawab), penggunaan bahasa (contohnya retorika) mahu pun perilaku seharian mereka walaupun di dalam keadaan mereka di luar situasi biasa medan dakwah.

Para aktivis dakwah tersebut bukanlah hebat semata-mata di atas pentas mahupun di bawah kubah masjid bahkan keunggulan mereka semakin menyerlah di dalam urusan seharian mereka dengan keluarga dan masyarakat.

Bolehlah juga dianggap bahawa duduk di dalam majlis seorang aktivis dakwah yang mapan itu sebagai sesi teori dan mendampinginya di luar majlis pula sebagai sesi praktikalnya. Apabila teori dan praktikalnya saling menguatkan maka semakin berkesanlah pemerhatian mereka yang ingin berdakwah.

Realiti yang agak ironis di kalangan bakal aktivis dakwah ialah mereka menghabiskan masa untuk hadir di majlis para aktivis dakwah mapan dan mendampingi mereka sebelum mereka mula berdakwah namun apabila telah aktif, mereka tidak pula meluangkan masa bersama aktivis dakwah mapan sedangkan proses dakwah ini berterusan dan setiap aktivis sentiasa perlukan pencernaan semula, perspektif baru, pertukaran buah fikiran ataupun sekurang-kurangnya doa dan nasihat daripada aktivis dakwah mapan ini.

Namun, para bakal aktivis dakwah yang memerhati dan mendampingi para aktivis dakwah mapan ini perlu juga mempunyai nilai penelitian yang tinggi (high discerning capacities); bahawa isi penyampaian dan pendekatan seorang aktivis dakwah mapan itu tidak dapat tidak, terbentuk juga oleh pengalaman yang ditempuhnya dan suasana sekelilingnya. Oleh itu yang lebih perlu digarap dan diberikan perhatian oleh bakal aktivis bukan paparan fizikal sang aktivis dakwah semata-mata (contohnya cara pemakaian). Tetapi sebaliknya yang terlebih utama yang perlu dijadikan pedoman adalah nilai-nilai murni yang disampaikan lalu diolah oleh para bakal aktivis menurut pendekatan yang sesuai dengan keperibadian mereka agar tidak kelihatan dibuat-dibuat dan kepura-puraan (contrived and pretentious).

Termasuk mengolah di sini juga ialah kemampuan bakal aktivis menitikberatkan konteks masyarakatnya yang ingin didekati pada zaman ini apabila merenungkan nilai-nilai yang diketengahkan aktivis dakwah mapan tadi.

Terlalu kerap kita mendengar rintihan berpanjangan di kalangan sebahagian aktivis tentang betapa profil masyarakat di zaman mereka tidak serumit profil masyarakat hari ini.

Natijah daripada sifat suka bernostalgia telah menjadikan para aktivis dakwah sebagai ejen yang hanya ‘bijak’ mengenalpasti masalah tetapi gagal mendatangkan penyelesaian.

Di samping itu, tidak kurang juga para aktivis yang menjadikan suatu kemestian untuk masyarakat melalui secara terperinci proses yang dilalui para aktivis ketika mereka dilatih menjadi aktivis dakwah dahulu termasuk dalam aspek cara dan suasana penerimaan ilmu dan cara berpakaian. Perkara-perkara ini yang ditekankan walaupun keadaan masyarakat dan tempat mereka dilatih dahulu terlalu jauh berbeza.agenda-to-change-our-condition-revised-edition-hamza-yusuf-zaid-shakir-6

Akibatnya, kegagalan para aktivis dakwah untuk mengolah atau pun menyesuaikan pendekatan mereka mengikut konteks masyarakat tempatan akan melahirkan suatu gerakan dakwah yang bersikap eksklusif dan berpotensi untuk melahirkan pengikut-pengikut yang sentiasa memandang sinis dan sempit terhadap usaha dakwah orang lain pula.

3. Mempelajari ilmu-ilmu alat tentang dakwah

Seorang aktivis dakwah perlulah sentiasa meningkatkan potensi dakwahnya dengan sentiasa mengemaskini ilmu-ilmu alat yang ada pada dirinya.

Kategori ilmu alat ini merangkumi aspek yang terlalu luas bagi menampakkan betapa gentingnya peranan seorang aktivis dakwah di dalam meluaskan dan menambah-nilai kepakaranya.

Secara amnya, ilmu-ilmu alat ini boleh dibahagikan kepada dua bahagian:

1. Ilmu alat primer: menajamkan kemahiran dan mengenalpasti pendekatan terbaik

Inti pati ilmu alat primer ini tergantung sangat kepada fokus aktivis dakwah itu sendiri.

Jika seseorang itu ingin mengajak mereka yang berada di bangku sekolah rendah mengenal huruf-huruf di dalam Al-Quran, beliau sendiri sekurang-kurangnya perlu menguasai cara pembacaan Al-Quran yang sempurna; bukan ‘alar kadar’ ataupun ‘biasa-biasa’ sahaja.

Tambahan pula, jika yang dididiknya itu mempunyai kemampuan yang berbeza-beza dari segi kemampuan untuk memberikan perhatian berpanjangan dalam satu sesi atau kemampuan untuk menghadam maklumat yang diberikan dalam tempoh yang tertentu, maka aktivis dakwah itu sendiri perlu memperuntukkan masa untuk mempelajari kaedah-kaedah terkini di dalam menangani pontensi pelajar yang pelbagai.

Ini termasuk juga fokus yang lain seperti menjadi seorang pendamping (befriender) kepada remaja bermasalah; seorang aktivis perlu juga menjalani kursus-kursus yang berkaitan dengan psikologi dan kaunseling.

2. Ilmu alat sekunder: mengenalpasti latar belakang golongan yang didakwahkan

Ilmu alat sekunder melibatkan keperluan para aktivis dakwah mengenalpasti konteks yang dilalui oleh golongan yang sedang mereka dekati.

Ini termasuk mengenalpasti kecenderungan minat dan cara-cara individu tertentu meluahkan perasaan mereka. Sekurang-kurangnya aktivis dakwah tidak terlalu cepat ‘menerkam’ apabila melihat keadaan golongan tertentu kerana kegagalannya menghargai konteks yang dialami sesuatu golongan.

Contoh termudah ialah cara menanggapi fenomena anak muda yang semakin kerap berbahasa lucah kebelakangan ini; cara termudah namun mempunyai kesan yang sangat terbatas adalah untuk serta merta menegur, memarahi dan menghentikan serta merta perbualan mereka.

Walaupun secara zahirnya ia kelihatan sebagai menghentikan sesuatu kejahatan, namun hasil daripada pendekatan sedemikian rupa hanya terhad kepada batas waktu dan tempat.

Apabila anak muda tersebut berada di situasi yang berbeza, kemungkinan besar kata-kata yang kesat akan tetap meluncur deras dari mulutnya.

Apa yang perlu digandingkan dengan pendekatan di atas ini merupakan usaha telus untuk memahami dari manakah datangnya sumber yang mempengaruhi lidah-lidah anak muda zaman ini dan selanjutnya berusaha untuk mendatangkan program-program yang konstruktif (lawan bagi langkah reaktif dan kompulsif) di pelbagai peringkat untuk menangani fenomena ini.

Ia tentu sekali memakan masa yang panjang namun tidak ada sesiapa yang mengatakan kerja dakwah ini perlu kepada kegopohan dan kesan yang serta-merta.

Sekali lagi, kepentingan ilmu-ilmu alat ini menunjukkan kita bahawa tugas dakwah ini bukanlah suatu yang diceburi hanya dengan jiwa yang besar semata-mata tetapi ia turut memerlukan jiwa yang sudi mengakui bahawa dakwah yang berkesan dan komprehensif bermula dengan kesanggupan mempertingkatkan diri sendiri dan menghargai latar belakang orang lain.

4. Mengambil iktibar daripada pengalaman berdakwah

Seorang aktivis berdakwah perlulah cekal dan berlapang dada. Cekal kerana dakwah tentu sekali menuntut pelbagai jenis pengorbanan: harta, masa dan ada masanya maruah.

Masyarakat mutakhir bukan sekadar cekap menilai, malahan sudah hebat menghukum apabila berlaku kesilapan apatah lagi yang dilakukan oleh aktivis dakwah sendiri.

Aktivis dakwah yang berjaya ialah yang sentiasa belajar dari kesilapannya, tidak berputus asa dan terus memperbaharui tekad, azam dan pendekatannya.

Terlebih penting bagi seorang aktivis dakwah pula ialah keperluan berlapang dada. Berlapang dada untuk mengakui bahawa apa yang dicapainya itu masih boleh diperbaiki; apa yang sedia ada boleh dipertingkatkan. Berlapang dada untuk menerima pendapat dan pendekatan orang lain walaupun orang itu zahirnya musuh atau pesaing.

Walaupun tiada masalah untuk aktivis dakwah merasa teruja mahupun gembira dengan kejayaan inisiatif dakwahnya, janganlah dia menjadikan kejayaan ini sebagai sebab untuknya tidak merendah diri dan mengkaji cara untuk memperbaiki pendekatan yang sedia ada. Apatah lagi jika kejayaan tersebut menjadikannya meninggi diri dan lebih banyak menghimbau orang untuk mencontohi caranya tanpa dia sendiri mengajak dirinya sendiri untuk belajar daripada kaedah orang lain.

Kesimpulan

Kesimpulannya, artikel ini bukanlah bermaksud untuk menampakkan tanggungjawab dakwah sebagai suatu yang menyulitkan tetapi sebaliknya saranan-saranan yang menitikberatkan kepentingan melestarikan dan memperkasa usaha dakwah menunjukkan bahawa tanggungjawab dakwah merupakan amanah yang murni dan terpuji yang hanya dapat menghasilkan natijah yang baik jika yang melaksanakannya turut mempunyai niat dan perlaksanaan yang suci dan terpuji.

Nota: Hakcipta penerbitan artikel ini dimiliki oleh Pergas. Tidak dibenarkan mengulang cetak artikel ini di mana-mana wadah penerbitan lain dan dalam bentuk apa jua bentuk tanpa izin dari Pergas. Namun, keizinan diberikan untuk mengongsi artikel ini melalui alamat url yang asal.

Segala pendapat yang yang dikemukakan oleh para penulis artikel adalah milik penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Pergas, kecuali jika dinyatakan sedemikian secara tersurat oleh Pergas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


The reCAPTCHA verification period has expired. Please reload the page.

related articles