Budaya Berbicara: Antara Keperluan dan Kemahuan? | Wasat No. 35 / Oktober 2020

wasat

35-1

Budaya Berbicara: Antara Keperluan dan Kemahuan?

01 October 2020 12:01 am // Written by Muhammad Husin bin Masnin

Kemajuan pesat teknologi hari ini telah memberikan kesan yang pelbagai terhadap kehidupan. Dengan kemudahan teknologi hanya di hujung jari, setiap manusia mempunyai kebebasan untuk berbicara tanpa memikirkan kesan terhadap individu khususnya atau masyarakat umumnya. Malah wadah media sosial menjadi arena yang hangat untuk meluahkan perasaan, memberi pendapat, berdebat, mengkritik dan sebagainya.

Dalam konteks tempatan, seorang ibu dan anaknya telah disiasat polis kerana melemparkan kata-kata kesat dan penghinaan yang berbaur perkauman di media sosial. Manakala di Malaysia, seorang wanita dijatuhi hukuman kerana meluahkan kata-kata penghinaan di media sosial terhadap pihak polis yang mengarahkannya pulang ke rumah semasa perintah kawalan pergerakan  akibat wabak Covid-19. Di dalam kejadian lain pula, seorang yang telah disahkan positif Covid-19 mengharapkan kata-kata semangat dan sokongan daripada rakan-rakan. Namun sebaliknya pula yang berlaku apabila beliau mendapat cemuhan dan kata-kata sinis sehingga menyebabkan dirinya berasa trauma dan ingin melarikan diri dari wad.

Justeru, kebebasan berbicara perlu berada pada landasan yang benar agar ia tidak membawa kerugian dan penyesalan di dunia dan Akhirat. Walaupun dengan alasan ingin memberi nasihat dan teguran, ia tidak seharusnya mencetuskan ketidaksenangan terhadap pihak tertentu apatah lagi menimbulkan kemudaratan.

Hal ini telah difirman oleh Allah taala,

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.” (Al-Nahl: 125)

 

Bicara dan kebebasan

Manusia hari ini sering merasa mempunyai hak kebebasan untuk melaksanakan sesuatu yang diinginkan, ini termasuklah berbicara apa sahaja, tanpa peduli samada kesan baik atau sebaliknya.

Oleh itu, memahami makna kebebasan dengan sebenarnya amat perlu agar ia tidak memberi kebebasan yang tidak terbatas untuk melakukan sesuka hati dan sekaligus memudaratkan orang lain sebagaimana yang dikatakan oleh Prof. Syed Naquib Al-Attas:

“Gerak-daya yang digelar ‘bebas’ itu adalah gerak-daya yang menyerahkan diri jasmani nescaya tunduk takluk kepada diri rohani dengan cara mematuhi undang-undang serta hukum akhlakiah yang ditetapkan oleh agama dan bukan sebaliknya.” (Syed Muhammad Naquib Al-Attas (2014), ms. 82)

Maka yang dimaksudkan bebas bukanlah bererti tiada batasan atau ikatan sehingga membolehkan seseorang melakukan apa sahaja, tapi terikat dengan syariat agama dan memilih untuk melakukan sesuatu yang baik dan bukan sebaliknya.

Prof. Syed Naquib menambah “Maka apa yang dikatakan sebagai ‘pilihan’ yang membawa kepada keburukan bukanlah pilihan. Oleh kerana kebebasan adalah tindakan yang diambil menurut fitrah kita yang hakiki, memilih apa yang sebenarnya baik itulah sebenarnya yang dinamakan “pilihan yang bebas”. Memilih yang terlebih baik adalah tindakan yang sebenarnya bebas.” (Syed Muhammad Naquib Al-Attas (2014), ms. 16)

Jika kebebasan berbicara dijadikan alasan untuk menyatakan apa sahaja sewenang-wenangnya, ia pasti akan mencetuskan kekacauan dalam kehidupan serta perbuatan mencemarkan maruah dan hak orang lain akan bermaharajelela. Apatah lagi dengan teknologi yang mudah dan pantas untuk menyatakan apa sahaja dan kepada siapa sahaja hari ini.

Ini membimbangkan apabila kemudahan menyatakan pendapat mempengaruhi orang lain, sedangkan apa yang dinyatakan itu tidaklah berlandaskan ilmu yang cukup dan benar. Kekacauan dan kekeliruan mula timbul apabila kebenaran dan keadilan telah bercampur aduk sehingga menyebabkan perpecahan dan perbalahan yang tidak menguntungkan.

 

Bicara, bahasa dan budaya

Bahasa merupakan perkara asas untuk menyatakan buah fikiran kepada orang lain. Tanpa bahasa ianya tidak mampu untuk dicerna dan difahami apa yang dijelaskan seseorang. Pendeta Za’aba menyebut: “Gaya bahasa itu ialah rupa susuk bahasa yang dipakai apabila bercakap atau mengarang, iaitu tentang perkataannya, ikatan ayatnya, jalan bahasanya, cara susunan atau bentuk pembahasaanya.” (Zainal Abidin Ahmad (2002), ms. 73)

Maka, penggunaan bahasa yang betul dan tepat amatlah perlu agar perkara yang hendak disampaikan dapat difahami dengan jelas dan tidak menimbulkan kesalahfahaman.

Penggunaan laras bahasa mungkin berbeza mengikut umur dan daya fikiran seseorang itu. Gaya bahasa ketika berbicara dengan ibu bapa tidak sama seperti berbicara dengan teman. Sama juga gurau senda bersama teman rapat yang sudah dikenali bertahun-tahun lamanya berbeza dengan gurau senda bersama teman yang baru dikenali. Turut berbeza penggunaan istilah bahasa agama kepada pendengar yang telah lama mempelajari Islam dengan orang yang baru berjinak-jinak dengan Islam. Ini perlu diambil kira agar maklumat yang ingin disampaikan dapat diterima melalui penggunaan bahasa yang tepat.

Selain dari itu, bahasa bukan hanya alat berkomunikasi antara satu sama lain sahaja. Ia lebih dari itu seperti yang dinyatakan oleh Dr. Muhammad Ariff Ahmad,

“Menurut pengertian orang Melayu, bahasa itu bukanlah semata-mata merupakan alat komunikasi fizikal yang menyampaikan perutusan penutur kepada pendengar/penerima tuturan itu sahaja, malah bahasa itu menunjukkan juga peradaban, sopan santun dan tatakrama seseorang. Seseorang yang berkelakuan rendah, tidak beradab atau tidak tahu tatakrama dikatakan tidak tahu bahasa.” (Muhammad Ariff Ahmad (1990), ms. 1)

Budaya Melayu terkait rapat dengan Islam hasil dari proses Islamisasi yang telah mempengaruhi bukan sahaja pada pandangan alam dan agama mereka, malah bahasa dan intelektual.  Ia sekaligus memperlihatkan peradaban bangsa Melayu di mata dunia.

Masyarakat Melayu juga terkenal dengan kelembutan, sopan santun dan budi bahasanya. Terdapat pelbagai adat yang menunjukkan kepentingan memelihara adab atau akhlak, antaranya seperti dilarang menyampuk perbualan orang yang lebih tua daripadanya kerana ia menunjukkan kurang sopan dan tidak beradab; menunduk apabila melintas di hadapan orang tua dan mencium tangan mereka apabila bersalaman.

Jika dilihat dalam majlis-majlis keramaian seperti adat meminang dan pernikahan, ia biasanya diserikan dengan berbalas pantun untuk menyatakan hajat yang ingin disampaikan. Ia tidak menyatakan hajat secara langsung tetapi secara berlapik dan berkias, seperti:

Akar memanjat pohon ara

Nampaknya cantik berseri laman

Besarnya hajat tidak terkira

Hendak memetik bunga di taman

 

Di majlis-majlis rasmi dan bukan rasmi, pantun dijadikan pembuka dan penutup majlis. Antara pantun yang popular sebagai berakhirnya majlis ialah:

Kalau ada jarum yang patah

Jangan disimpan di dalam peti

Kalau ada silap dan salah

Jangan disimpan di dalam hati

 

Kalau ada sumur di ladang

Bolehlah saya menumpang mandi

Kalau ada umur yang panjang

Bolehlah kita berjumpa lagi

 

Ini menunjukkan bahawa bahasa dan budaya Melayu perihatin dan menitikberatkan akhlak dan adab terutama dalam ucapan dan perbicaraan.

 

Contoh tauladan Rasulullah s.a.w

Insan paling mulia yang seharusnya dijadikan tauladan serta ikutan sepanjang zaman ialah Rasulullah s.a.w. Akhlak serta tingkah lakunya telah menjadi cerminan ajaran Islam yang mempengaruhi masyarakat untuk hidup aman dan damai. Oleh itu, disertakan di sini sebahagian hadis-hadis yang boleh dijadikan panduan untuk berbicara.

Berkata baik atau diam

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah dia berkata baik atau diam.” (Riwayat Al-Bukhari)

Sebelum memulakan bicara, perlulah difikir dahulu adakah kata-kata yang akan disampaikan itu mendatangkan kebaikan atau sebaliknya agar ia tidak menjadi satu perbuatan yang sia-sia; apatah lagi jika mendatangkan dosa. Apabila berbicara perkara yang tiada faedah atau yang mendatangkan keburukan, maka sebaik-baik tindakan adalah diam. Malah diam merupakan tindakan yang paling mudah.

Seorang petinju terkenal Muhammad Ali pernah berkata: “Silence is golden when you can’t think of a good answer.”

Malah diam juga merupakan jawapan yang terbaik ketika berlaku perbalahan yang tiada penghujung serta mengelakkan situasi semakin buruk.

Petikan lirik lagu ‘Diam’ (1996) oleh kumpulan Nuradee memberi peringatan yang baik;

Diam

Bukan bererti ku salah

Bukan bererti ku kalah

Hanya mencari jawapan

Yang tiada

 

Oh diam

Bukan bererti ku marah

Bukan bererti ku resah

Hanya mencari ketenangan

Di dalam keriuhan

 

Singkat dan padat

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa ia mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, “Aku diutus dengan Jawami’ Al-Kalim (ucapan singkat tetapi sarat makna).” (Riwayat Al-Bukhari)

Jika mempunyai keperluan dalam berbicara, maka pilihan kata-kata yang tepat, singkat dan padat di samping mempunyai erti yang luas akan memudahkan pendengar untuk mencernanya, terutama di dalam memberi nasihat dan teguran. Sebagai contoh hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa ada seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w, “Berilah aku wasiat”. Beliau menjawab, “Janganlah kau marah.” Orang itu pun mengulang-ulangi permintaannya, Nabi s.a.w. tetap bersabda: “Jangan marah!” (Riwayat Al-Bukhari)

Leteran akan membuatkan pendengar jemu malah mencemuh si penasihat. Oleh itu, memberi komentar atau teguran sama ada secara langsung atau melalui alam maya tidak semestinya dengan berjela-jela jika kata-kata yang singkat itu sudah mampu untuk memberikan kesan yang positif.

Tidak membicara semua yang diketahui

Rasulullah s.a.w. bersabda yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, “Cukuplah menjadi suatu dosa bagi seseorang, iaitu apabila dia membicarakan semua apa yang telah dia dengar.” (Riwayat Muslim)

Tidaklah semua perkara perlu diperkatakan pada sesuatu masa, kerana barangkali ia tidak sesuai untuk dibicarakan. Kemahuan untuk berbicara semua yang diketahui akan mendatangkan kesan yang tidak diingini seperti mengguris hati, menimbulkan fitnah, mendatangkan kekeliruan, tersilap kata dan sebagainya.

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Termasuk kebaikan Islamnya seseorang adalah meninggalkan sesuatu yang tidak berguna.” (Riwayat Ibn Majah)

Adakala sesuatu perkara itu benar tetapi tidak wajar disampaikan kerana ia boleh menjadi umpatan yang dilarang oleh Islam.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Adakah kamu tahu apa itu umpat?” Mereka berkata, “Allah dan RasulNya lebih mengetahui. Baginda bersabda, “Engkau menyebut sesuatu mengenai saudaramu dengan perkara yang tidak disukainya.” Lalu ditanya, “Bagaimana pendapatmu jika yang aku ceritakan itu benar ada padanya?” Baginda bersabda: “Sekiranya ada padanya apa yang kamu katakan, kamu telah mengumpatnya. Jika tiada padanya apa yang kamu katakan maka kamu telah memfitnahnya.” (Riwayat Muslim)

Tidak menyakiti orang lain

Rasulullah s.a.w. bersabda, “Seorang mukmin itu bukanlah orang yang suka mencela, suka melaknat, suka berperilaku keji dan suka berkata kasar.” (Riwayat Al-Tirmizi)

Hari ini, kita boleh melihat bagaimana budaya menghormati antara satu sama lain kian terhakis apabila peluang kebebasan berbicara dilakukan secara tidak bertanggungjawab, terutamanya di alam maya. Di mana ketiadaan budi bahasa malah kata-kata kesat dan gelaran-gelaran yang dilontarkan tidak mencerminkan seseorang Muslim yang berakhlak. Malah para ilmuwan turut dikeji dan dilontarkan dengan kata-kata yang tidak sewajarnya oleh golongan awam yang tidak berpengetahuan mengenai sesuatu isu.

Dalam hal ini, Allah taala telah berfirman, Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah sesetengah kamu menyatakan keaiban sesetengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Al-Hujurat: 11)

Justeru, pilihan berbicara antara kemahuan dan keperluan menggambarkan betapa seseorang itu prihatin terhadap apa yang diperkatakan, sebagaimana peribahasa Melayu menyebut: “Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.”

 


 

Rujukan

Album Nuradee (1996). Malaysia, EMI.

Berita Harian (2020), COVID-19: Pesakit trauma akibat cemuhan netizen, Kuala Lumpur, 29 April, di http://www.bhplus.com.my/berita/nasional/2020/04/682940/covid-19-pesakit-trauma-akibat-cemuhan-netizen  (Diakses pada 16 September 2020)

Berita Harian (2020), Ibu, anak disiasat bagi kata-kata hina dan kesat berbaur perkauman, Singapura, 11 Jun, di https://www.beritaharian.sg/setempat/ibu-anak-disiasat-bagi-kata-kata-hina-dan-kesat-berbaur-perkauman (Diakses pada 16 September 2020)

Brainy Quote, https://www.brainyquote.com/quotes/muhammad_ali_167360 (Diakses pada 16 September 2020)

Muhammad Ariff Ahmad (1990). Bahasa jiwa bangsa, Singapura: Berita Harian.

Noorazura Abdul Rahman (2020), “Maafkan saya polis, saya menyesal”, Berita Harian, Kuala Lumpur, 15 April, di http://www.bhplus.com.my/berita/kes/2020/04/677445/maafkan-saya-polis-saya-menyesal (Diakses pada 16 September 2020)

Syed Muhammad Naquib Al-Attas (2014). Ma’na kebahagiaan dan pengalamannya dalam Islam, Kuala Lumpur: IBFIM.

______________ (2014). Risalah untuk kaum muslimin, Kuala Lumpur: IBFIM.

______________ (1999). Islam dalam sejarah dan kebudayaan Melayu, Kuala Lumpur: Angkatan Belia Islam Malaysia.

Zainal Abidin Ahmad (2002). Ilmu mengarang Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


The reCAPTCHA verification period has expired. Please reload the page.

related articles