COVID-19 Mengajar Erti Wasatiyah | Wasat No. 37 / Februari 2021

wasat

37

COVID-19 Mengajar Erti Wasatiyah

01 February 2021 12:01 am // Written by Mustazah Bin Bahari

Apabila dunia digemparkan oleh penularan wabak Covid-19, banyak urusan yang biasa dijalankan terhenti serta merta. Dunia seperti sedang berada di ambang Kiamat sehingga ada para penceramah tanpa berlengah mengingatkan umat supaya segera bertaubat dan tinggalkan urusan dunia.

Wabak COVID-19 ini dikategorikan sebagai pandemik kerana ia telah merebak ke merata dunia. Hubungan rentas sempadan dihentikan. Perdagangan antarabangsa turut terkesan teruk. Ramai kehilangan pekerjaan dan banyak lagi kesan-kesan buruk yang menimpa manusia.

Namun, adakah wabak ini melumpuhkan segala urusan kehidupan manusia? Sebagai orang beriman, ia perlu beringat bahawa segala yang berlaku di dunia ini adalah takdir Allah. Segala yang berlaku juga berlaku di bawah naungan rahmat Allah. Selaku ummatan wasatan, umat Islam memikul tanggungjawab untuk memanifestasikan ciri-ciri wasatiyah dalam situasi yag sedang berlaku. Jika benar sekalipun Kiamat sudah begitu hampir, bukan bererti manusia perlu tinggalkan urusan dunianya kerana Nabi s.a.w pernah bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud, “Jika berlaku Kiamat sedangkan di tangan kamu ada benih yang boleh dtanam maka tanamlah ia.”[1]

Hadis ini menjelaskan kepentingan melakukan apa sahaja yang berfaedah dan tidak berputus asa walaupun Kiamat sudah berada di hadapan manusia. Ia mengajar satu ciri wasatiyah iaitu melakukan sesuatu yang terbaik dalam apa keadaan, jika mampu.

Artikel ini ingin berkongsi beberapa perkara yang boleh dikaitkan dengan ciri-ciri wasatiyah dalam suasana menghadapi pandemik COVID-19 ini.

 

Perlu menyesuaikan diri dengan norma baharu

Perubahan yang berlaku pada manusia bukanlah sesuatu yang baharu sebenarnya. Bezanya cuma dari sudut skala besar atau kecilnya perubahan itu. Dari skala yang kecil, semenjak manusia membesar dari kecil hingga dewasa, terdapat pelbagai perubahan yang perlu dilalui dan mereka berjaya melaluinya. Misalnya perubahan ketika waktu kecil yang banyak masa diluangkan untuk bermain. Apabila masuk alam persekolahan, berubahlah kebiasaan bermain itu kepada masa untuk belajar dan ulangkaji. Lama kelamaan ia menjadi perkara biasa baginya. Sudut skala yang besar pula, perubahan yang berlaku pada sekitarannya. Negeri atau tempat tinggalnya perlu kepada perubahan misalnya. Dahulu, rumah-rumah kampung merata Singapura perlu dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembangunan rumah pangsa. Pada awalnya ramai yang rasa kurang selesa untuk tinggal di rumah pangsa yang tidak memberi ruang untuk bercucuk tanam di halaman rumah mereka. Tetapi akhirnya ia menjadi norma baharu dimana masyarakat hidup dengan aman dan selesa di rumah-rumah pangsa.[2]

Jatuhnya sesebuah bangsa telah lama berlaku. Di dalam Al-Quran, Allah mengkhabarkan kisah-kisah kerajaan yang hebat tetapi akhirnya musnah, seperti kisah negeri Saba’. Namun, kehidupan bangsa manusia tidak berakhir dengan kemusnahan yang berlaku. Manusia yang hidup selepas kemusnahan itu meneruskan hidup dengan apa yang ada dalam suasana baharu mereka.

Sirah Nabi s.a.w juga membuktikan bahawa peralihan kepada norma baharu dapat membawa manusia keluar dari kemunduran dan tekanan. Hijrah Nabi s.a.w ke Madinah adalah satu contoh dan terdapat banyak pengajaran yang boleh diambil darinya.

Nabi s.a.w dan para sahabatnya sendiri amat mencintai Mekah. Ketika baru di Madinah, mereka sentiasa merindui Mekah. Namun mereka harungi dengan cekal norma baru di Madinah kerana ia satu keperluan hidup dan juga ketentuan Tuhan. Akhirnya terbukti kehidupan di Madinah jauh lebih baik dari Mekah sehingga Nabi s.a.w pernah bersabda yang bermaksud, “Madinah adalah lebih baik untuk mereka jika mereka mengetahuinya.”[3]

Sejarah manusia yang terjebak dengan wabak yang melanda juga telah diceritakan. Wabak-wabak yang melanda dahulu seperti Amwas, Malaria, Spanish Flu, Polio dan sebagainya telah mencatatkan mangsa korban yang banyak tetapi hidup tetap diteruskan, cabaran dapat di atasi dan kemudiannya keadaan lebih baik muncul.

Begitulah keadaannya hari ini dalam suasana COVID-19. Usaha perlu diteruskan dalam menyesuaikan diri dengan norma baharu.

Ciri wasatiyah dalam kehidupan di dalam norma baharu adalah meneruskan hidup dengan usaha yang terbaik, bukan bersikap pasrah (fatalisme) dengan keadaan.

 

Tidak berputus asa, usaha sudut yang lain

Apabila banyak syarikat ‘menggulung tikar’, ramai pekerja terjejas. Ada yang diberhentikan kerja dan ada pula yang dipotong gajinya. Ramai yang terjejas dengan keadaan, tidak berpeluk tubuh. Mereka berusaha untuk terus mencari nafkah menerusi peluang kerjaya yang ada. Sifat sebegini patut dipuji kerana ia dapat mengelak diri dari sifat putus asa. Ini sejajar dengan sabda Nabi s.a.w yang bermaksud, “Seorang mukmin yang kuat lebih disayangi Allah dari seorang mukmin yang lemah, malah kedua-duanya ada kebaikan masing-masing. Usahakan apa yang boleh mendatangkan manfaat bagi kamu dan mintalah kepada Allah serta jangan merasa lemah. Jika kamu terkena sesuatu musibah, janganlah kamu mengatakan, ‘alangkah baik kalau aku melakukan itu atau ini’, tetapi katakanlah, ‘takdir Allah apa yang Dia kehendaki Dia lakukan, kerana sesungguhnya perkataan kalau itu membuka pintu syaitan.”[4]

Hadis ini mengingatkan umat Islam supaya terus berusaha dan jangan merasa lemah dengan cabaran yang ada. Elakkan diri dari ‘berkalau-kalau’ kerana ia membuatkan manusia tidak menerima takdir Allah taala dan tidak pula menyumbang pada huraian masalah yang ada. Sebaliknya, beri tumpuan pada usaha atasi cabaran.

Dalam suasana pandemik yang menggugat ekonomi dunia, pilihan untuk mendapatkan kerjaya yang diidamkan mungkin terhalang. Bagi mereka yang terkesan dengan keadaan itu, jangan berputus asa dan jangan memilih kerja. Lakukan apa yang sesuai dengan kemahiran diri yang ada. Melakukan sesuatu adalah lebih baik dari duduk sahaja tanpa sebarang usaha walaupun habuan gaji kurang dari apa yang diharapkan.

Berjuang untuk keluar dari belenggu hidup yang menekan demi kelangsungan hidup yang lebih bermakna adalah salah satu ciri wasatiyah yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w dan para sahabatnya apabila mereka hadapi kehidupan baru di Madinah.

 

Bekerjasama dalam menangani wabak

Apabila pemerintah mengeluarkan perintah pemutus rangkaian dan mengarahkan semua untuk mengikuti SOP yang ditetapkan, ia menjadi tanggungjawab semua rakyat Singapura. Dalam suasana pandemik, setiap anggota masyarakat memikul tanggungjawab untuk berusaha bersama-sama melawan wabak yang melanda. Ia bukan soal diri sendiri tidak terkena penyakit, maka tidak perlulah bersusah payah menurut SOP yang dikenakan. Bersama-sama dalam mengawal penularan wabak merupakan kerjasama yang diperintahkan dalam Al-Quran, “Saling bantu membantulah kamu di dalam pekara yang baik dan ketakwaan, dan jangan saling bantu membantu di dalam perkara yang membawa dosa dan permusuhan.” (Al-Ma’idah: 2) 

Dalam usaha saling membantu ketika pandemik ini, anggota masyarakat dinasihatkan juga untuk berbelanja secara berhemat. Elakkan dari pembaziran dengan membeli makanan yang berlebihan sehingga meninggalkan saki baki yang banyak dan akhirnya dibuang. Sebaiknya masyarakat berganding bahu untuk meninjau jika terdapat ahli keluarga yang terjejas kerana diberhentikan kerja misalnya untuk dihulurkan bantuan kewangan, jika perlu. Keadaan COVID-19 yang tidak menentu bila pengakhirannya memerlukan masyarakat untuk bersiap siaga selalu menghadapi situasi-situasi yang lebih sulit. Cara Nabi Yusuf mengendalikan perbelanjaan untuk menghadapi musim kemarau yang panjang amat sesuai dijadikan tauladan.

 

Hukum dikeluarkan menurut pertimbangan matlamat syariat

Dalam suasana apa sekalipun, ibadah yang diperintahkan Allah tetap perlu dilaksanakan. Rukun Islam dan perkara-perkara wajib tidak boleh dikompromi. Namun ia boleh dan perlu disesuaikan kepada keadaan, masa atau tempat ibadah itu dilakukan. Secara dasarnya ia dibenarkan tanpa khilaf. Solat lima waktu misalnya, tidak boleh dikurangkan hanya kerana wujud penghalang. Tetapi ia boleh dijamakkan atau ditangguhkan jika ada keperluan yang wajar. Jika sakit tidak boleh berdiri ketika solat, dibenarkan duduk atau baring dalam keadaan tidak mampu untuk duduk.

Di antara ibadah yang ‘terjejas’ oleh COVID-19 adalah solat Jumaat, solat Hari Raya dan solat secara berjemaah di masjid. Semua solat yang dilakukan secara berjemaah tidak dapat dijalankan seperti biasa kerana perintah penjarakan sosial yang diarahkan oleh pihak berkuasa demi mencegah penularan wabak. Solat berjemaah dihadkan bilangan jemaahnya dan perlu dilakukan secara berjarakan.

Selain itu terdapat juga aktiviti keagamaan yang terkait dengan perubahan pada cara mengendalikannya seperti pernikahan yang dilakukan secara maya. Yang terkini, isu yang dikaitkan dengan hukum halal atau haram adalah vaksin COVID-19.

Dalam menguruskan hal ehwal keagamaan, golongan ulama dan agamawan mempunyai kemahiran tersendiri untuk menangani isu-isu semasa yang timbul yang terkait dengan urusan agama. Mereka juga mempunyai proses yang perlu dilakukan sebelum menerbitkan sebarang hukum, sama seperti bidang-bidang lain, walaupun ada pihak-pihak yang tidak bersetuju dan gembira dengan natijahnya.

Syariat Islam diturunkan untuk menjaga kemaslahatan manusia. Matlamat utama yang ingin dicapai adalah memelihara agama, jiwa, maruah, harta dan akal. Lima perkara utama ini disepakati oleh para ulama untuk dilaksanakan.[5] Kelima-lima matlamat tersebut terhasil dari pengumpulan dalil-dalil dari Al-Quran, hadis, pandangan atau amalan para sahabat Nabi s.a.w dan para Tabi`in. Ia bukanlah pandangan yang dikeluarkan tanpa merujuk kepada nas-nas agama.

Soal solat berjemaah secara berjarak misalnya, ia menepati setiap satu matlamat yang ditetapkan. Dalam keadaan pandemik, wabak sedang mengganas dan tiada siapa yang boleh terlepas darinya kecuali mereka yang diselamatkan Allah. Masyarakat dunia telah didedahkan mengenai adanya individu-individu yang membawa wabak tersebut tetapi tidak mempunyai sebarang petanda yang dia sakit atau dinamakan sebagai pesakit tanpa gejala (asymptomatic). Justeru, dengan solat secara jarak, ia memelihara kesihatan dan nyawa. Apabila nyawa terselamat, akal, maruah diri, harta dan agama juga turut terselamat. Bukankah jika nyawa terselamat, akal manusia akan sihat? Apabila akal sihat, manusia dapat menjaga maruah dirinya dan hartanya. Nyawa, akal, maruah diri dan harta akan menyumbang kepada kesempurnaan agamanya.

 

Gambar: ROSLAN RAHMAN | AFP

Ada segelintir anggota masyarakat Islam yang marah dengan perintah solat secara berjarak. Mereka mendakwa bahawa ia bercanggah dengan dasar-dasar agama. Sebenarnya masalah solat berjarak dalam saf telah pun dibahaskan oleh para ulama silam.[6] Ia bukanlah perkara baharu yang dicipta hari ini hanya untuk menurut apa sahaja yang diarahkan oleh pihak-pihak tertentu.

Oleh kerana Islam merupakan agama yang begitu sempurna, ia mengajar manusia erti ketegasan dalam perkara-perkara mendasar dan juga pada masa yang sama mengajar erti keseimbangan dan keanjalan. Bayangkan jika masyakarat Islam tidak mengendahkan arahan penjarakan ketika solat berjemaah ketika pandemik ini, apakah pandangan masyarakat bukan Muslim terhadap Islam itu sendiri? Sedangkan Islam melarang umatnya dari sifat eksklusif seolah-olah wabak tidak akan terkena pada orang-orang yang solat. Hakikatnya, ramai juga umat Islam telah menjadi korban akibat COVID-19 ini termasuk beberapa tokoh ulama Islam hari ini.

 

Tidak menyebarkan berita tidak sahih

Semenjak COVID-19 melanda dunia, terdapat pelbagai spekulasi mengenai wabak tersebut. Ada yang mengatakan ia adalah ciptaan manusia untuk mengawal angka pertumbuhan manusia di dunia. Kemudian ada pula yang mendakwa telah berjaya mendapatkan penawar bagi COVID-19 selang beberapa minggu wabak itu menular. Ada pula dikalangan umat Islam yang mengatakan cukup ambil penawar dengan mengambil ‘makanan sunnah’ seperti madu dan Habbatus Sauda untuk merawat COVID-19. Ada pula yang mendakwa mimpi bertemu Nabi s.a.w dan Baginda mengajar cara merawat COVID-19. Sehingga ke hari ini, tiada satu pun ‘khabar’ yang disampaikan itu dapat dibuktikan benar. Malah hari ini terdapat varian terbaru virus COVID-19 yang lebih ganas menyerang. Jika semua ‘khabar’ yang disampaikan itu benar, kiranya hari ini masyakarat dunia sudah semakin pulih dan sihat. Tetapi, hakikatnya tidak.

Menyampaikan berita yang tidak benar sehingga mengakibatkan huru hara dan perselisihan dalam masyarakat adalah perbuatan yang buruk. Al-Quran telah mengingatkan kita supaya meneliti khabar yang disampaikan oleh orang yang tidak dikenali.[7] Para sahabat Nabi s.a.w seperti Abu Bakar[8] dan Umar bin Al-Khattab[9] misalnya amat teliti di dalam menerima khabar, walaupun dari orang yang mereka kenali. 

Terkini, masyakarat Islam berbelah bagi mengenai vaksin COVID-19. Ada yang mempersoalkan sama ada ia halal diambil. Ada pula yang mendakwa bahawa vaksin itu lebih merbahaya untuk kesihatan badan jika diambil. Masing-masing mendakwa tanpa bukti yang kukuh dari para pakar bidangnya sendiri.

Menyampaikan apa sahaja yang didengar dan disebar-sebarkan membawa kita kepada pernyataan Abdullah bin Al-Mubarak, seorang tokoh ilmuan bidang hadis, “Jikalau tiada isnad (rantaian penyampai khabar yang dikenali dan jujur) nescaya akan berkatalah setiap orang apa yang ingin dikatakan.”

Jika keadaan itu berlaku secara berleluasa, sukar untuk memastikan khabar berita yang benar dari yang palsu.  

 

Tidak melampaui batas

COVID-19 mengajar manusia agar hidup dengan mengambil apa yang perlu dan sesuai untuk diri masing-masing. Melakukan atau mengambil sesuatu dengan kadar yang berlebihan boleh mendatangkan kesan kepada alam. Para saintis telah menyatakan bahawa antara sumber dan sebab penularan COVID-19 ialah kehidupan liar di hutan terpaksa keluar dari habitat mereka kerana berlakunya penebangan hutan secara besar-besaran di banyak negara.[10] Terlebih dahulu, ia telah mengakibatkan pencemaran alam di merata negara di bumi ini.[11] Jika dikaitkan, kedua-dua kesan yang berlaku pada alam ini bersebabkan tindakan manusia yang mengambil melebihi apa yang diperlukan dan melakukan perkara yang melampaui batas yang ditentukan.

Semoga COVID-19 ini menjadikan kita lebih bersyukur dengan nikmat yang diberi selama ini dengan mengambil kadar yang sesuai serta mengingatkan kita akan amanah yang diberi untuk mengendalikan urusan hidup dengan wajar dan berimbang sesuai dengan prinsip wasatiyah.

 


 

Rujukan

[1] Al-Bukhari, Adab Al-Mufrad hadis no. 371.

[2] Statistics Singapore Newsletter. 2010. Key Findings of Sample Household Survey 2008.  STATISTICS SINGAPORE – Key Findings of Sample Household Survey 2008 (singstat.gov.sg) (7 January 2021)

[3] Sahih Muslim. Hadis no. 1363. 

[4] Sahih Muslim. Hadis no. 2664.

[5] Al-Syatibi (1997), Al-Muwafaqat, Al-Khobar: Dar Ibn ‘Affan, jld 1, ms. 31.

[6] Muis (n.d.), Fatwa on Friday Prayers During Covid 19, di https://www.muis.gov.sg/officeofthemufti/Fatwa/English-Fatwa-on-Friday-Prayers-during-COVID-19 (9 January 2021); Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (2020), “Fatwa-fatwa Terkini Berkaitan Penangguhan Solat Jumaat dan Solat Berjemaah”, Bayan Linnas, no. 225, 17 Mac, di https://muftiwp.gov.my/artikel/bayan-linnas/4338-bayan-linnas-siri-ke-225-covid-19-fatwa-fatwa-terkini-berkaitan-penangguhan-solat-jumaat-dan-solat-berjemaah (9 January 2021)

[7] Lihat Al-Hujurat: 6.

[8] Kisah seorang nenek yang meminta haknya dari harta pusaka. Abu Bakar mengatakan dia tidak pernah tahu adanya dalil dari Al-Quran atau hadis Nabi s.a.w mengenainya. Abu Bakar hanya menerimanya setelah didatangkan saksi.  

[9] Kisah Abu Musa Al-Asy’ari yang pergi ke rumah Umar dan memberi salam 3 kali tetapi tiada jawapan, lalu beliau pulang. Umar mempersoalkan tindakannya itu dan meminta dalil untuk mempetahankan perbuatannya itu. 

[10] Jeff McMahon (2020), “How Deforestation Drives The Emergence Of Novel Coronaviruses”, Forbes, March 2020, at https://www.forbes.com/sites/jeffmcmahon/2020/03/21/how-deforestation-is-driving-the-emergence-of-novel-coronaviruses/?sh=6ad2d21c1723 (9 January 2021).

[11] Sonia Madaan (n.d.), “How Does Deforestation Affect Climate Change?”, EarthEclipse, at https://www.eartheclipse.com/climate-change/how-does-deforestation-affect-climate-change.html (9 January 2021).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


The reCAPTCHA verification period has expired. Please reload the page.

related articles