Filem-filem arahan P. Ramlee mempunyai elemen malar segar kerana pengajaran yang bukan sahaja dapat digarap secara konsisten tetapi tetap relevan pada zaman apa pun.
Ada masanya pengajaran ini sengaja dicetuskan melalui perkongsian mereka yang mempunyai hubungan langsung dengan P. Ramlee selaku pengarah filem. Namun yang membuatkan filem-filem arahan P. Ramlee sentiasa dekat dengan hati setiap lapisan masyarakat ialah pengajaran-pengajaran yang hanya didapati melalui pengamatan berdasarkan lensa penonton yang pelbagai latar belakangnya. Sama ada pengajaran tersebut disengajakan oleh P. Ramlee itu hanya beliau sendiri yang mengetahui.
Antara filem-filem yang sarat dengan pengajaran ialah filem Pendekar Bujang Lapok. Pengajaran yang berat yang disampaikan melalui wadah komedi ini telah berjaya mendapat anugerah Filem Komedi Terbaik di Pesta Filem Asia yang keenam pada tahun 1959. Antara fokus premis yang menyerlah di dalam filem tersebut ialah aspek pendidikan pasca Peperangan Dunia Kedua (1942-1945). Ini kelihatan pada keperluan diadakan Sekolah Umum Buta Huruf untuk orang dewasa di Kampung Pinang Sebatang dan ketidakmampuan Ramlee, Sudin dan Ajis membaca dan menulis.
Fokus artikel saya tertumpu kepada momen lucu yang menjadi trademark di dalam filem Pendekar Bujang Lapok, iaitu penggunaan kalimah “Cubaan” (disebut chobaan) yang berulang-ulang di dalam pelbagai babak yang melucukan.
Menghargai P. Ramlee sebagai seorang yang berpandangan kritis, dalam dan jauh membuatkan saya terfikir maksud di sebalik pemilihan kalimah ini. Saya yakin bahawa ia bukan bersifat rambang dan mempunyai nilai yang cuba diketengahkan kepada penonton, khasnya masyarakat Melayu.
Di dalam ruangan “Ulasan dan Fikiran” di dalam akhbar Berita Minggu pada 24 Jun 1973, terakam kata-kata yang menggambarkan keunggulan pemikiran P. Ramlee ini,
“Barangkali P. Ramlee bukan juga seorang seniman pemikir dalam erti kata seseni-seninya, tetapi seorang seniman yang berfikir (tentunya segala ciptaannya tidak melulu lahir tanpa pemikiran) yang mempunyai impak besar terhadap massanya dan yang sebegitu berpengaruh sehingga dapat mewarnakan iklim seni zamannya di tengah-tengah pengaruh filem Awara dan Ben Hur.”[i]
Kepentingan bimbingan agama berpaksikan realiti
Seiring dengan premis pendidikan yang begitu menyerlah di dalam filem tersebut, saya meyakini bahawa kalimah “cubaan” itu merupakan cara P. Ramlee mengkritik sikap pendidik yang sering memberikan bimbingan tanpa mengambil kira tentang realiti yang dihadapi pelajar.
Begitu juga keadaan pelajar yang menerima ilmu tanpa persoalan sedangkan telah terbukti bahawa bimbingan yang diberikan mendatangkan mudarat terhadap diri mereka sendiri.
Hakikat ini begitu jelas sekali kelihatan ketika Pendekar Mustar (yang dilakonkan Wak Mustarjo) memberikan arahan kepada Bujang Lapok, “Kalau ada apa-apa yang datang, jangan takut dan jangan lari. Itu semuanya hanya cobaan (cubaan).”
Dalam situasi ini, kelihatan solusi yang diberikan kepada Bujang Lapok apa jua cabaran yang bakal dihadapi hanyalah “jangan takut” dan “jangan lari”, tanpa ambil kira bentuk-bentuk cabaran itu.
Realiti sebegini juga kelihatan pada hari ini dalam pengisian sebahagian penceramah yang memberikan bimbingan agama tetapi tidak pernah mengambil kira realiti para pendengar. Seringkali terdapat kecenderungan untuk mengeluarkan pernyataan seperti, “Di dunia ini, jangan sungguh-sungguh sangat, sebab tempat kita yang sebenarnya ialah di Akhirat” atau “Dunia ini tidak perlu disibuk-sibukkan kerana Akhirat juga tempat nikmat sebenar.”
Walaupun secara dasarnya ayat ini menunjukkan kepada betapa besarnya kedudukan Akhirat berbanding dengan dunia, namun ia juga berpotensi menampakkan dunia yang tidak memerlukan kesungguhan padanya. Maka antara akibat daripada kegagalan untuk memberikan bimbingan agama yang mengambil kira realiti pendengar dan menyarankan pendekatan yang sesuai ialah menjadikan seseorang itu menjalankan tanggungjawabnya di dunia dengan sambal lewa; bermalas-malasan di tempat kerja atau tidak mengambil berat tentang kebahagiaan zahir dan batin keluarga padahal natijah daripada kedua-dua keadaan ini akan bersangkut paut dengan kehidupan di Akhirat juga.
Bermalas-malasan di tempat kerja melibatkan sikap kurang amanah yang akan menjejas keberkatan rezeki yang kita berikan kepada keluarga kita. Ia juga melibatkan imej Islam kerana sikap seseorang yang bersungguh pada urusan ibadahnya dan melalaikan amanah kerjanya akan dianggap sebagai prototaip seorang pekerja Muslim. Jika seorang yang memang malas dalam urusan ibadah dan kerja, sikap itu boleh disandarkan pada sifat malasnya. Tetapi seseorang yang terkenal kuat beribadah tetapi malas dalam pekerjaan, bakal menimbulkan persepsi bahawa itulah yang diajar agama kita. Apatah lagi jika pemikiran sedemikian dibiarkan berleluasa.
Begitu juga seorang yang melihat dunia sebagai sesuatu yang keji seluruhnya, akan menafikan hak ahli keluarganya untuk menikmati kebahagiaan daripada kesenangan dunia seperti tempat tinggal yang selesa, pendidikan akademik yang baik dan hiburan yang diharuskan kerana nilainya yang mendidik dan bermutu. Bahkan yang ditekankan hanya apa yang dianggapnya sebagai Akhirat, iaitu penekanan terhadap aspek ibadah semata. Maka yang berkemungkinan terhasil adalah seorang ahli keluarga yang membenci agama itu sendiri kerana menganggap bahawa agama itulah yang mencantas hak mereka untuk bahagia di dunia.
Rasulullah s.a.w begitu mengambil berat akan realiti para pendengarnya di dalam memberikan bimbingan kepada mereka. Terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad tentang pemuda yang menyatakan kecenderungannya untuk berzina. Pemuda itu berjumpa Rasulullah s.a.w dan berkata, “Wahai Rasulullah, izinkan aku berzina!” Rasulullah s.a.w lantas bertanya kepada pemuda tersebut jika dia rela seandainya ibunya dizinai orang lain. Pemuda tersebut bertegas yang dia tidak rela. Rasulullah s.a.w bertanya soalan yang sama melibatkan anak perempuan, saudara kandung dan makcik bagi pemuda tersebut. Bagi setiap soalan Baginda, pemuda itu bertegas yang dia tidak rela. Rasulullah lalu menasihatinya, “Wanita yang akan kamu zinai itu adalah ibu dari anak-anak orang lain, isteri dari orang lain juga.” Rasulullah s.a.w kemudian mendoakan lelaki tersebut dan semenjak itu dia tidak lagi diganggu oleh kehendak untuk berzina.[ii]
Rasulullah s.a.w di dalam memberikan nasihat kepada pemuda tersebut sangat mengambil berat tentang realiti hidup seorang pemuda yang berhadapan dengan pelbagai perubahan pada luaran dan dalaman dirinya yang memungkinkan dirinya bingung dengan desakan nafsu dan syaitan.
Cara Baginda s.a.w memberi teguran tidak bersifat retorikal bahkan lebih menghimbau pemuda tersebut untuk berfikir secara rasional kerana bila seseorang sedang diasak nafsu, tentu sekali tanpa disedarinya, pemikirannya sudah tidak dimanfaatkan lagi.
Sheikh Abdul Fattah Abu Ghuddah memberi komentar,
“Perhatikan bagaimana Rasulullah s.a.w berjaya mencabut keinginan berzina dari hati pemuda tersebut melalui sebuah perbualan, di samping menggunakan pendekatan psikologi untuk menggalakkan pemuda tersebut membuat penilaian terhadap dirinya sendiri yang lantas membuatkan pemuda tersebut menghargai kesan daripada permintaannya secara rasional… Pelajaran dari peristiwa ini ialah mereka yang mengajak kepada Islam seharusnya menggunakan pendekatan logika sahaja pada waktu-waktu tertentu untuk sebahagian orang apabila timbul keperluannya.”[iii]
Begitu juga di dalam mengajak seorang sahabat dari kalangan Badwi yang bernama Dhimam Bin Tsa’labah untuk memeluk Islam. Baginda s.a.w setakat mengiyakan soalan-soalan Badwi tersebut tentang perihal keimanan dan rukun-rukun Islam dan menjamin syurga buatnya jika dia kekal atas janjinya untuk mengamalkan kewajiban Islam semata-mata. Ini tentu sekali mengambil kira realiti Badwi tersebut yang tidak kompleks dalam pemikirannya. Hasilnya? Dhimam berjaya mengislamkan kaumnya, iaitu Bani Sa’ad Bin Bakar bila dia kembali kepada mereka; tentu sekali dengan membawa mesej dan pendekatan sama yang ditunjukkan kepadanya oleh Rasulullah s.a.w. Pendekatan Rasulullah s.a.w yang indah ini termaktub di dalam kitab Sunan Al-Darimi.[iv]
Kesan retorika tanpa realiti terhadap pendengar
Kesan dari bimbingan yang tidak mengambil kira akan realiti pendengar ialah pendengar yang tidak mampu untuk menggunakan mindanya di dalam membuat keputusan.
Perhatikan betapa pengulangan retorika “cubaan” hanya mematikan pemikiran Bujang Lapok. Mereka bukan sahaja tidak mampu mengaplikaskan natijah daripada perkataan “cubaan” apabila berdepan dengan situasi yang menekan, malahan mereka tidak dapat membuat keputusan yang rasional kerana pengulangan kalimah “cubaan” itu mencantas realiti kehidupan daripada mereka. Ini paling ketara kelihatan melalui keadaan mereka yang tidak merasakan terdesak dengan keadaan Ros (lakonan Roseyatimah) apabila dia dilarikan oleh kumpulan samseng.
Tidak dinafikan bahawa adab merupakan suatu perkara yang penting untuk diamalkan oleh seorang penuntut ilmu. Namun, adab itu sendiri perlu berpaksikan ilmu agar tidak terkeliru antara apakah yang dinamakan adab dan apa yang dinamakan kegagalan atau kemalasan untuk berfikir.
Seringkali perbuatan banyak bertanya dianggap sebagai kurang beradab sedangkan perinciannya ialah perbuatan tidak beradab dalam bertanya ialah berkaitan dengan cara soalan tersebut ditanya dan juga niat di sebalik pertanyaan itu sendiri.
Di dalam surah Al-Baqarah, sikap Bani Israel yang banyak bertanya didorong oleh sikap sombong mereka yang disifatkan oleh Buya Hamka di dalam tafsirnya sebagai perangai mereka yang “ingin hendak menunjukkan bahawa mereka orang ahli bertanya semua.”[v]
Bahkan di dalam kehidupan Baginda s.a.w sendiri terlihat beberapa ketika yang mana persoalan yang diberikan itu memberikan kebahagiaan yang besar buat para sahabat. Ini terbukti pada situasi di mana seorang Badwi bertanyakan kepada Rasulullah s.a.w tentang bila akan berlaku Kiamat. Di penghujung interaksi dalam hadis tersebut ialah sabda Rasulullah s.a.w, “Engkau akan bersama orang yang kau cintai (di hari Kiamat).” Mendengar jawapan tersebut, Saidina Anas bin Malik r.a. berkata, “Kami tidaklah pernah merasa gembira sebagaimana rasa gembira kami ketika mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, “Engkau akan bersama dengan orang yang engkau cintai.” (Riwayat Imam Al-Bukhari).[vi]
Sebaliknya keadaan di mana para sahabat membuat keputusan tanpa bertanya terlebih dahulu membawa akibat yang sangat parah buat sahabat yang lain. Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, ada dikisahkan tentang seorang sahabat yang mendapat luka di kepalanya dan tidak lama sesudah itu mengalami mimpi yang mewajibkannya mandi. Apabila dia bertanya kepada sahabat-sahabat lain sama ada dia boleh bertayamum, mereka menyatakan bahawa tiada keringanan selagi mana air boleh digunakan. Maka sahabat tersebut mandi yang menyebabkan lukanya melarat dan menyebabkan kematian. Apabila kematian sahabat tersebut diberitakan kepada Rasulullah s.a.w, Baginda menjadi amat marah sehinggakan Baginda bersabda, “Mereka (yang tidak membolehkannya bertayamum) telah membunuhnya. Semoga Allah mematikan mereka. Sepatutnya mereka bertanya jika tidak tahu. Ubat bagi kebodohan adalah bertanya.”[vii]
Natijah panduan yang berpaksikan realiti
Kepentingan bimbingan agama yang disertai dengan perincian yang mengambil kira tentang realiti para pendengar jelas dipaparkan melalui pendekatan yang diambil oleh isteri Pendekar Mustar yang dilakonkan oleh Momo Latiff.
Apabila menyedari bahawa lafaz “cubaan” itu telah menumpulkan akal pemikiran Bujang Lapok, beliau segera mendekati mereka sambil mengatakan, “Dengar sini! Anak aku si Ros yang korang tergila-gilakan itu sudah dibawa lari orang!”
Apabila panduan disertakan dengan realiti yang dekat di hati para pendengar, ia mampu untuk mengubah para pendengar yang paling pasif menjadi penggerak kebaikan yang dinamik. Begitulah kita melihat Bujang Lapok yang walau hanya bertiga, dapat menumpaskan 9 orang samseng.
Ini bukan hanya sebuah senario di layar perak tetapi realiti kehidupan yang begitu menyerlah contohnya dalam kehidupan Rasulullah s.a.w. Kebaikan terpancar bila mana perutusan Baginda mengambil kira akan realiti mereka. Di dalam menyedari bahawa situasi di Mekah tidak kondusif untuk berdakwah secara terbuka, Baginda s.a.w memerintahkan Saidina Abu Dzar r.a. untuk pulang kepada kaumnya, iaitu suku Ghifar untuk berdakwah kepada mereka. Tidak lama sesudah Rasulullah s.a.w berhijrah ke Madinah, Abu Dzar membawa kaumnya, Bani Ghifar yang telah memeluk Islam untuk menghadap Rasulullah s.a.w.
Baginda s.a.w juga mengenalpasti bahawa Saidina Zaid Bin Tsabit Al-Ansari r.a. lebih menyerlah bakat keilmuannya. Oleh itu, Beliau menganjur kepadanya untuk memberi fokus pada menguasai ilmu berkaitan Al-Qur’an dan bahasa Ibrani. Hasilnya, ada di tangan kita sekarang mushaf Al-Qur’an yang mana beliau sendiri menjadi ketua jawatankuasa pengumpulannya yang bermula pada zaman Saidina Abu Bakar Al-Siddiq r.a.
Kesimpulan
Seandainya artikel ini merupakan cerminan tepat apa yang cuba disampaikan oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee melalui kalimah “cubaan”, ia menjadi bukti yang kesekian kali tentang status beliau sebagai seorang maestro layar perak yang ulung lagi unggul.
Namun, jika ini sekadar mesej yang tergarap hanya melalui pemerhatian saya semata, ia tetap merupakan suatu mesej yang perlu diberikan perhatian serius agar kita tidak menjadi masyarakat yang rajin meratib retorika tanpa mengambil kira realiti pelbagai lapisan masyarakat.
Perhatian ini mungkin menganjakkan kita daripada terus membeku dan kaku kepada sebuah masyarakat yang lebih dinamik dan sentiasa bergerak ke arah kebaikan tanpa mengenal zaman, seperti Tan Sri P. Ramlee dan karya-karya agungnya.
Penulis adalah seorang guru sejarah di salah sebuah maktab rendah tempatan.
Rujukan:
[i] Sasterawan Negara Abdullah Hussain (2016), Kisah Hidup Seniman Agung P.Ramlee, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, ms. 244.
[ii] Lihat hadis penuh dalam Musnad Ahmad, no. 21708.
[iii] Mufti Muhammad Sajaad (2012), The Fiqh of Da’wah: A Commentary on 40 Hadiths, Birmingham: As-Suffa Institute, pp. 46-47.
[iv] Lihat hadis penuh dalam Sunan Al-Darimi, jld. 1, no. 652.
[v] Prof Dr. Haji Abdul Malik Abdul Karim Amrullah, (1990), Tafsir Al-Azhar, Singapura: Pustaka Nasional, ms. 218-219.
[vi] Lihat hadis penuh dalam Sahih Al-Bukhari, no. 3688.
[vii] Lihat hadis penuh dalam Sunan Abi Daud, jld. 1, no. 336.