(Untuk versi penuh dalam format pdf, sila klik di sini. Untuk membaca setiap artikel bersendirian, sila klik tajuk setiap artikel di bawah.)
Alhamudlillah, Wasat edisi 10/Ogos 2016 kini di mata para pembaca, walau pun kami harus melalui kesibukan menunaikan ibadah dan pelbagai komitmen yang lain sepanjang bulan Ramadan yang baru berlalu.
Walau pun Syawal sudah hampir berakhir, pihak penerbitan Wasat tetap berhajat mengucapkan `Eid Mubarak kepada semua pembaca dan berdoa agar Allah taala menerima segala ibadah dan doa serta digolongkan di kalangan mereka yang akan bertemu semual dengan Ramadan dan `Eid di tahun akan datang. Doa juga dipanjatkan agar hari-hari setelah Ramadan ini lebih baik dari sebelumnya dan terus meningkat kebaikannya hingga menjelang Ramadan yang baru pula.
Kali ini, Wasat menampilkan tiga artikel yang pasti menarik dan relevan buat para pembaca.
Artikel pertama dipetik dari buku Moderation in Islam in the Context of Malay Muslim Community in Singapore (Pergas, 2004) bertajuk Wasatiyah With Regards to the Practice of Bai`ah in Islamic Groups. Artikel ini membincangkan konsep bai`ahdalam Islam dan hukum mengamalkannya dalam konteks kumpulan-kumpulan Islam, samada dalam bentuk gerakan dakwah, parti politik atau tariqat sufi. Soal bai`ah ini menjadi relevan hari ini kerana wujud penyalahgunaannya oleh kumpulan-kumpulan pelampau yang bertopengkan Islam sebagai satu mekanisme untuk menarik keahlian dan mengawal mereka. Kumpulan-kumpulan telah menggunakan bai`ah untuk menunjukkan sifat keIslamannya di kalangan mereka yang mula tertarik dengannya. Setelah itu, bai`ah ini pula dijadikan alasan untuk menghalang ahli dari meninggalkan kumpulan atas alasan melanggar sumpah atas nama Tuhan, melanggar janji pada Tuhan dan mengkhianat sumpah yang telah diberi. Disebabkan manipulasi ini, ramai yang merasa takut untuk meninggalkan kumpulan-kumpulan ini, walau pun menyedari akan penyelewengannya. Artikel ini akan mampu menjelaskan fahaman yang saksama tentang bai`ah hingga tidak mudah tertipu dengan tipu helah manusia-manusia jahat dan melenyapkan keraguan dalam diri sesiapa pun yang takut meninggalkan ajaran sesat kerana telah terlanjur memberi bai`ah kepada ketuanya.
Artikel kedua adalah sumbangan Ustazah Dr. Sakinah Saptu yang bertajuk Wasatiyah Dalam Pengajian Islam Bersanad. Ustazah Sakinah baru sahaja memperolehi ijazah doktor falsafah dengan pangkat cemerlang dalam bidang hadis dari Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada bulan Mei tahun ini. Sebelum ini, beliau pernah bertugas sebagai guru tahfiz di Darul Quran Singapura, pegawai dakwah di Masjid Darul Ghufran, pensyarah bagi program diploma di Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri dan Madrasah Alsagoff Al-Arabiah dan tutor serta pembantu penyelidik di Fakulti Pengajian Islam, UKM. Artikel ini membicarakan satu tren terkini dalam pembelajaran ilmu-ilmu Islam, iaitu peningkatan minat terhadap pembelajaran ilmu-ilmu Islam bukan hanya kerana isi kandungannya, tapi juga kerana sifatnya yang bersanad. Minat ini didapati berkembang bukan hanya di kalangan asatizah tapi juga orang awam.Artikel ini memberi gambaran umum akan asal usul dan kegunaan sanad di zaman awal Islam. Berdasarkan sejarah perkembangan sanad dalam ilmu Islam, artikel ini membuat kesimpulan akan sikap yang wasatiy dalam soal pembelajaran ilmu-ilmu Islam yang bersanad, iaitu “menyokong pengajian bersanad dan dalam masa yang sama tidak mempertikaikan kredibiliti graduan dan ilmuwan Islam yang tidak melalui pendidikan secara bersanad.” Artikel ini menolak sikap sesetengah pihak yang mensyaratkan keabsahan semua ilmu Islam hanya jika diperolehi secara bersanad dan sekali gus mempertikaikan kewibawaan ratusan graduan dari universiti-universiti Islam moden hari ini.
Artikel ketiga bertajuk Wasatiyah Dalam Masalah Pembahagian Ilmu Tauhid oleh Ustaz Mustazah Bahari. Artikel ini menyentuh polemik yang wujud hari ini berkaitan pembahagian ilmu Tauhid, samada dalam bentuk yang popular yang dikenali sebagai Tauhid Sifat Dua Puluh atau dalam bentuk “Tauhid Tiga Serangkai”, iaitu Tauhid Rububiyah, Uluhiyah dan Al-Asma` wa Al-Sifat. Dewasa ini, muncul kecenderungan menghukum pihak lawan dengan kesesatan dari kalangan kededua pembela aliran hasil dari perbezaan pandangan dalam soal pembahagian ini. Artikel ini menjelaskan bahawa hakikatnya pembahagian ini hanyalah ijtihad para ulama dengan tujuan memudahkan pembelajaran tauhid sesuai dengan cabaran semasa yang dihadapi mereka dan perkembangan zaman. Sikap menyesat dan membid`ahkan masing-masing pihak dalam isu ini bukan sesuatu yang wajar dan tidak dicontohi oleh ulama-ulama muktabar, baik di zaman awal atau kemudian. Artikel ini membawa beberapa pendapat ulama kontemporari bagi menyokong rumusan ini.
Akhir sekali, moga Wasat terus memberi manfaat kepada para pembaca.
Sekian, selamat membaca.
Wassalam