(Untuk versi penuh dalam format pdf, sila klik di sini. Untuk membaca setiap artikel bersendirian, sila klik tajuk setiap artikel di bawah)
Selamat bertemu kembali kepada sekalian para pembaca dalam Wasat, no. 13/Februari 2017.
Seperti biasa, Wasat menyajikan beberapa artikel menarik untuk edisi ini. Tiga artikel dipilih dengan bertemakan wasatiyah dalam pelbagai bidang.
Artikel pertama bertajuk Wasatiyah Dalam Pemahaman dan Penggunaan Ijmak, sumbangan Ustaz Mohammad Rizhan bin Leman, calon doktor falsafah dalam Usul Al-Fiqh di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Beliau membahaskan sikap saksama dalam mendakwa sesuatu hukum itu tidak boleh diperselisihkan atau disanggahi kerana telah berlaku ijmak (kesepakatan ulama) terhadapnya. Bagi mencapai sikap saksama, beliau mencadangkan tiga perkara kepada sesiapa sahaja yang berhadapan dengan sesuatu hukum yang dikatakan sebagai ijmak ulama, iaitu:
- Membezakan antara kesepakatan empat mazhab dan ijmak
- Tidak tergesa-gesa untuk melontar tuduhan kafir atau fasik kepada sesama Muslim
- Berusaha untuk mengetahui pandangan para ulama sebelum memutuskan sesuatu hukum sebagai ijmak.
Sekaligus artikel ini juga menganjur pembaca di kalangan awam kefahaman asas tentang ijmak sebagai yang dianggap sebagai sumber hukum penting dalam Islam.
Aritkel kedua bertajuk Wasatiyah Dalam Berbincang dan Berdebat, oleh Ustaz Izal Mustafa Kamar yang bertugas sebagai pegawai kanan di Pejabat Mufti Singapura. Beliau membincangkan soal perdebatan yang berulang-ulang mengenai isu-isu khilafiyah sehingga kadangkala menatijahkah mudarat, seperti perpecahan dan sikap berpuak-puak di kalangan masyarakat Muslim.
Dalam artikel ini, beliau tidak menolak manfaat yang boleh diraih dari perdebatan. Namun, beliau juga mengingatkan bagaimana perdebatan itu boleh bertukar menjadi sesuatu yang negatif hingga dicela oleh agama. Untuk menjauhi perdebatan yang tercela, beliau mencadangkan pihak yang terbabit memeriksa sepuluh sifat-sifat keji pada diri sebagaimana yang dicadangkan oleh Imam Al-Ghazali dalam kitab Al-Ihya’. Jika ada salah satu dari sifat-sifat ini, beliau mengingatkan mereka yang terbabit dalam apa jua perdebatan agar mengubah sifat itu dalam diri atau meninggalkan perdebatan berkenaan. Bacalah artikel ini, untuk mengetahui apakah sepuluh sifat itu.
Akhir sekali ialah artikel yang bertajuk Wasatiyah Dalam Iman Pada Akhirat dan Persiapan Menghadapinya, oleh Ustaz Mustazah Bahari dan Ustaz Muhammad Haniff Hassan. Kededua penulis ini membicarakan kepentingan iman pada Akhirat dan pengaruhnya dalam diri manusia. Namun mereka juga membangkitkan pengaruh iman ini bukan sahaja wujud dalam bentuk yang positif pada Muslim, tapi realiti juga menunjukkan kewujudannya dalam bentuk negatif, hingga menjejaskan cara hidup seorang Muslim, pencapaian masyarakat Muslim dan imej Islam itu sendiri.
Kededua penulis menyatakan salah satu sebab dari kesan negatif dari iman ini ialah kefahaman yang tidak wasatiy dan menyeluruh tentang iman pada Akhirat. Kededua penulis kemudiannya memberi tips bagaimana mencapai wasatiyah dalam isu ini. Artikel ini bukan hanya ditujukan pada pembaca untuk memahami konsep iman pada Akhirat secara wasatiy tapi juga berguna pada asatizah apabila membicarakan isu ini di kalangan awam.
Sekian, selamat membaca.
Wassalam