(Untuk versi penuh dalam format pdf, sila klik di sini. Untuk membaca setiap artikel bersendirian, sila klik tajuk setiap artikel di bawah)
Dari meja penyunting….
Selamat bertemu kembali kepada sekalian para pembaca dalam Wasat, no. 15/Jun 2017.
Wasat mengucapkan Ramadan Mubarak kepada semua berserta doa agar kehadiran bulan ini akan menambah keberkatan dan menjadikan kita semua hamba Allah yang lebih baik dari sebelumnya.
Tiga artikel yang pasti menarik minda pembaca dibentangkan oleh Wasat kali ini.
Artikel pertama bertajuk Liberal Dalam Beragama: Yang Diterima dan Ditolak, yang disumbangkan oleh Ustaz Mustazah Bahari. Artikel ini cuba menyentuh sikap wasatiyah dalam menangggapi fenomena liberal dalam beragama yang bertitik tolak dari pemerhatian penulis akan penggunaan istilah liberal hanya sebagai satu mekanisme untuk menafikan pendapat yang berbeza. Kalau dulu istilah “kaum muda” atau “Wahabi” dilontarkan kepada sesiapa yang menyampaikan pandangan agama yang berbeza dari pegangan arus utama, gelaran liberal pula diguna oleh pihak-pihak tertentu kepada sesiapa yang membicarakan isu-isu yang ada persamaan dengan aliran liberal atau berbau “kebaratan” atau moden, tanpa menilai dengan mendalam perbezaan yang mungkin ada pada metodologi, bahkan tanpa menyedari bahawa pendapat yang dituduh liberal itu sebenarnya wujud dalam tradisi dan khazanah ilmu yang dipertahankan. Penulis tidak menafikan dalam artikelnya kewujudan aliran liberal yang perlu ditolak. Apa yang penulis ingin sampaikan ialah sikap saksama sebagai satu sifat utama wasatiyah, iaitu bukan semua yang menyeru pada pembaharuan pemikiran dan hukum agama atau penyemakan semula pendapat silam atau penjanaan idea-idea baru dan berbeza dari yang dulu sama dan perlu dicurigai.
Artikel kedua sumbangan Ustaz Muhammad Haniff Hassan bertajuk Al-Wala’(Taat-Setia) Kepada Pemerintah Dalam Konteks Minoriti Muslim Singapura. Artikel ini membicarakan salah satu komponen utama dalam konsep Al-Wala’ Wa Al-Bara’ (WB) yang sering kali dipaparkan sebagai konsep yang mendasar dalam akidah yang tidak boleh disalahi kerana akan menyebabkan kerosakan iman. Komponen yang dimaksudkan ialah soal wala’ kepada bukan Muslim yang mana ia mencakupi larangan ke atas Muslim untuk ada rasa cinta dan ukhuwwah dengan semua bukan Muslim, melantik mereka sebagai pemimpin dan tunduk serta taat pada pemerintahan mereka. Artikel ini berhujah bahawa konsep WB ini bukan perkara dasar dalam akidah, sebaliknya ia hanya tafsiran dan ijtihad semata. Oleh itu, ia boleh dikritik, disemak semula atau dibuat tafsiran baru, selama mana ia kekal mengikut metodologi yang sah dalam keilmuan Islam. Dalam hal ini, penulis mengetengahkan perspektif berbeza bagi masyarakat Muslim di Singapura sebagai hasil dari wacana yang timbul dari insiden doa kemenangan ke atas bukan Muslim oleh seorang imam di salah sebuah masjid di Singapura. Perspektif ini disandarkan pada pernyataan Pergas dan Pejabat Mufti Muis yang mewakili segolongan besar golongan asatizah Singapura – larangan ketaatan bukan kepada semua bukan Muslim, tapi hanya kepada mereka yang memusuhi sahaja.
Salah satu isu yang panas dibicarakan oleh ramai pihak ialah isu Arabisasi masyarakat Melayu hari ini. Natijah darinya timbul pelbagai pandangan yang tidak saksama. Ustaz Firdaus Yahya menyumbang pemikiran dengan tujuan membina sikap wasatiyah dalam isu ini melalui artikel keempat yang bertajuk On Arabisation: Understanding the Negative and Positive Aspect of It. Dalam artikel ini, penulis memberi fikiran tentang apa yang baik dan perlu dan buruk dan tidak perlu dari Arabisasi yang beliau kategorikan di bawah Arabisasi positif dan Arabisasi negatif.
Moga kesemua artikel yang diterbitkan ini akan menambah ilmu sekalian pembaca dan sentiasa kekal dalam prinsip wasatiyah dalam beragama.
Selamat membaca…. Dengan nama Tuhan yang mencipta