(Untuk versi penuh dalam format pdf, sila klik di sini. Untuk membaca setiap artikel bersendirian, sila klik tajuk setiap artikel di bawah)
Semoga para pembaca berada dalam keadaan sihat sejahtera dan dirahmati Allah taala selalu.
Alhamdulillah, Wasat no. 16/Ogos 2017 masih diizinkan oleh Allah taala untuk bertemu para pembaca sekalian. Semoga edisi kali ini terus memberi sumbangan positif kepada sekalian para pembaca seperti edisi-edisi yang lalu.
Sebelum membicarakan tentang isi kandungan edisi terkini, izinkan Wasat berkongsi dua perkara penting yang akan berlaku pada bulan Ogos ini.
Pertama, ialah kehadiran Hari Kebangsaan ke 52 Singapura pada 9 Ogos nanti yang sememangnya disambut setiap tahun oleh semua warga Singapura. Wasat ingin turut ambil kesempatan ini untuk mengucapkan ucapan selamat dan sejahtera kepada semua rakyat Singapura dengan doa agar Allah taala terus merahmati bumi ini dengan kemakmuran dan keamanan dan melindunginya dari segala musibah dan bahaya.
Kedua, bulan Ogos ini akan menyaksikan Pergas menganjur Muktamar Ulama, iaitu pada 12 Ogos nanti. Muktamar ini akan membincangkan sekali lagi isu-isu wasatiyahdalam konteks Singapura sebagai kesinambungan dari Konvensyen Ulama pada tahun 2003 dahulu. Wasat berharap muktamar kali ini akan dapat sambutan hangat dari ahli-ahli Pergas dan para pembaca sekalian dan membuahkan hasil yang memberangsangkan bagi manfaat masyarakat Islam di Singapura.
Tiga artikel bertemu para pembaca dalam Wasat kali ini.
Artikel pertama bertajuk Pendekatan Wasatiy Dalam Menuntut Ilmu, sumbangan Ustaz Mohammad Rizhan bin Leman. Artikel ini memberi 6 tips mudah bagi para penuntut ilmu memastikan jalan mencari ilmu dilalui secara adil dan saksama, iaitu:
- Menuntut ilmu dari pakar
- Tidak menghadkan kebenaran pada sesiapa atau tempat tertentu
- Belajar dari pelbagai guru
- Hiasi diri dengan sifat adil
- Belajar dari karya asal seorang alim
- Tidak memperkecilkan orang lain.
Artikel kedua pula bertajuk Pelantikan Wanita Sebagai Presiden Mahkamah Syariah: Satu Analisa Wasatiy, oleh Ustaz Mustazah Bahari. Penulis mengulas isu pelantikan hakim wanita di mahkamah syariah Singapura pada awal tahun ini yang mana persoalan ini sebenarnya menyalahi pandangan majoriti ulama dan pandangan muktamad di sisi mazhab Syafi’ii yang merupakan mazhab utama fatwa di Singapura dan masyarakat Islam setempat. Penulis berpendapat isu sepenting dan kontroversi ini seharusnya diberi penjelasan hukum yang baik agar tidak timbul salah faham dan bagi membantu pendidikan masyarakat serta peningkatan wacana agama tempatan. Penulis kemudiannya mengambil inisiatif menerangkan apakah sikap yang wasatiydalam isu ini yang membolehkan pelantikan sedemikian diterima sah di sisi agama.
Akhir sekali ialah artikel berbahasa Inggeris yang bertajuk Know Allah: The Most Compassionate and Merciful God, oleh Ustaz Muhammad Haniff Hassan. Dalam artikel ini, penulis berhujah dengan merujuk pada nas-nas agama Islam sendiri bahawa Allah taala adalah Tuhan yang mahu dikenali sebagai Yang Maha Pengasih dan Penyayang, bukan Tuhan Pendendam atau Penyiksa hamba-hambaNya. Berdasarkan pada kefahaman ini juga, penulis membetulkan salah faham terhadap erti takwa, iaitu ia bukan takut kepada Allah taala. Tapi ia bermakna akur dan patuh pada Allah taala yang boleh dicapai atas rasa kasih dan cinta, dan bukan takut. Ini, pada pandangan penulis, adalah cara wasatiy dalam mengenali dan memperkenalkan Allah taala kepada manusia kerana ia adalah cara yang mana Allah taala sendiri pilih bagi memperkenalkan diriNya kepada manusia dalam Al-Quran sebagaimana yang terakam dalam ayat pertama dari Al-Quran.
Sekian.. Bacalah dengan nama Tuhanmu yang mencipta….