Dari Meja Penyunting - Edisi 18 | Pergas Blog

wasat

meja-penyunting

Dari Meja Penyunting – Edisi 18

01 December 2017 2:18 am // Written by

Untuk versi penuh dalam format pdf, sila klik di sini. Untuk membaca setiap artikel bersendirian, sila klik tajuk setiap artikel di bawah.

Semoga para pembaca berada dalam keadaan sihat sejahtera dan dirahmati Allah taala selalu.

Selamat membaca Wasat no. 18/Disember 2017.

Semoga edisi kali menyumbang sekali lagi pada peningkatan ilmu dan kefahaman para pembaca mengenai Islam dan isu-isu yang menjadi keprihatinan semua.

Wasat pada edisi kali ini, sekali lagi, mengemukakan tiga artikel untuk para pembaca.

Artikel pertama bertajuk Wasatiy Dalam Memahami Tafsiran Maksud Dharb Menurut Ulama, sumbangan kolektif Ustaz Mohammad Yusri Yubhi bin Md. Yusoff, Ustazah Khairunnisaa Abdul Rahim dan Ustazah Zanaria Jusary. Artikel ini membicarakan mengenai ayat Al-Quran yang dijadikan hujah bagi keharusan suami memukul isteri yang tidak taat sebagai salah satu mekanisme untuk mendidik dan membetulkannya. Para penulis menganalisa perkataan yang diguna oleh Al-Quran – dharb – yang difahami sebagai pukul dari segi bahasa Arab dan tafsiran para ulama silam dan masa kini. Kesimpulan dari analisa ini, para penulis merumuskan ‘pukul’ hanyalah salah satu makna dari dharb dan digunapakai oleh ramai ulama silam bagi mentafsir perkataan itu. Namun jika ditinjau dari segi konteks penurunan ayat, contoh dari Nabi s.a.w dan erti perkataan dharb selain pukul dalam bahasa Arab, para penulis berpendapat tafsiran ulama hari ini bahawa perkataan berkenaan lebih tepat difahami sebagai bukan pukulan mendidik ke atas isteri dan tafsiran ini lebih sesuai bagi konteks hari ini. Namun, apakah tafsiran masa kini itu? Bacalah artikel ini untuk mendapatkan jawapannya.

Artikel kedua pula bertajuk Wasatiyah Dalam Persoalan Mimpi, oleh Ustaz Mustazah Bahari. Mimpi adalah satu realiti yang dialami oleh semua manusia. Sering kali seorang Muslim berada dalam dilemma apabila bermimpi sesuatu – apakah makna dari mimpi itu, perlukan mencari makna dari mimpi yang dilihat dan perlukah pula mempercayainya. Lebih serius lagi ialah bagaimana sikap yang saksama apabila berhadapan dengan dakwaan seseorang bahawa ia bermimpi sesuatu yang menganjurkan amalan tertentu atas nama agama? Artikel ini cuba menghurai isu ini dan memberi panduan yang dapat membina sikap wasatiy dalam isu ini.

Akhir sekali ialah artikel dalam bahasa Inggeris yang bertajuk Towards a Common Balanced Standpoint on Apostasy for Singapore’s Asatizah Community, oleh Ustaz Muhammad Haniff Hassan. Artikel ini menyuarakan keperihatinan tentang bagaimana insiden murtad boleh menimbulkan respon yang negatif hingga menyebabkan keresahan dan ketidarharmonian sosial hingga memburukkan imej Muslim dan Islam di mata khalayak ramai. Insiden buruk ini pernah berlaku di Singapura pada bulan Disember tahun 1950 yang dikenali dengan insiden Nadra atau Maria Hertogh. Artikel ini berhujah insiden murtad adalah sesuatu yang lumrah dan tidak terelak, baik dalam konteks Singapura atau luar negara. Khuatir akan bagaimana soal murtad ini boleh mengakibatkan reaksi negatif masyarakat Muslim sebagaimana yang berlaku di negara-negara lain dan bagi mengelakkan agar tragedi dari insiden Maria Hertogh tidak berulang lagi, artikel ini mengemukakan cadangan agar asatizah di Singapura mengorak langkah pro-aktif untuk membina konsensus tentang pendirian agama yang saksama dalam isu ini dalam konteks Singapura hari ini yang mana pendirian ini pula dapat dijadikan dasar bagi kerangka dalam menangani gejala murtad yang diakui sebagai dosa besar di sisi agama. Sikap agama yang disepakati di kalangan asatizah penting kerana ia turut mempunyai pengaruh yang signifikan dalam menentu sikap dan respon masyarakat Muslim terhadap insiden murtad yang berlaku, walau pun diakui faktor-faktor lain juga mempunyai peranan yang penting.

Sekian.. Bacalah dengan nama Tuhanmu yang mencipta dan…

Selamat Tahun Baru 2018.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


The reCAPTCHA verification period has expired. Please reload the page.

related articles