Dari Meja Penyunting - Edisi 2 | Pergas Blog

wasat

meja-penyunting

Dari Meja Penyunting – Edisi 2

01 April 2015 2:11 am // Written by

Alhamdulillah, Wasat edisi no. 2 dapat menemui pembaca. Semoga Allah terus memberi kekuatan untuk meneruskan penerbitan ini dan diterima sebagai amal soleh di sisiNya.

Edisi kali ini mengemukakan tiga artikel yang diharapkan dapat memberi manfaat yang besar dalam menghadapi cabaran-cabaran dan isu-isu terkini sesuai dengan prinsip wasatiyah yang mahu disebarkan melalui penerbitan ini.

Artikel pertama ialah sumbangan Ustaz Mustazah Bahari yang membicarakan perspektif seorang tokoh agama Nusantara yang hebat dan tersohor, al-marhum Buya Hamka, dari kitabnya Falsafah Hidup. Sebagai tokoh agama hebat yang diakui ramai melalui karya-karyanya yang pelbagai, tidak syak lagi Buya Hamka adalah simbol individu dan pemikiran agama aliran wasatiyah yang wajar dikaji dan dicontohi. Hari ini, kemudahan teknologi maklumat telah berjaya mempopularkan tokoh-tokoh agama muda dan dinamik dari rantau lain khususnya di kalangan anak-anak muda sehingga sumbangan tokoh generasi Buya Hamka dan sebelumnya tenggelam. Tidak salah untuk mengambil kebaikan dari tokoh-tokoh kontemporari dan dari rantau lain, tapi generasi muda perlu juga didedahkan dengan tokoh-tokoh besar dari rantau ini samada yang masih hidup atau yang telah pergi supaya tradisi keilmuwan agama Nusantara dapat dilestarikan. Dengan itu, Muslim di rantau ini berasa bangga bahawa mereka bukan hanya penerima sahaja. Sebaliknya rantau ini juga penyumbang dan melahirkan tokoh agama yang disegani. Tambahan pula fahaman wasatiyah dalam agama bukan hanya perlu berpaksi pada Al-Quran dan hadis tapi juga dalam aplikasinya mengambil kira konteks khusus Islam di rantau ini. Maka pengalaman dan tradisi ilmu ulama serantau amat penting juga untuk dikaji dan dijadikan pedoman.

Pemilihan Buya Hamka juga adalah penerusan dari Wasat edisi no. 1 yang menampilkan Prof. Kamal Hassan seorang tokoh agama Nusantara juga.

Artikel kedua dipetik dari buku Kesederhanaan Dalam Islam terbitan Pergas mengingatkan kembali akan pendekatan wasatiyah dalam menanggapi isu takfir (mengkafirkan seorang Muslim yang lain). Pemilihan isu ini adalah lanjutan dari topik wasatiyah dalam isu bid`ah yang diterbitkan oleh Wasat edisi no.1. Kededua topik ini amat relevan kerana antara masalah yang masih berterusan dihadapi oleh masyarakat Muslim di mana-mana termasuk di Singapura ialah soal perbalahan dan perpecahan yang berbangkit dari isu-isu agama hingga menatijahkan perbuatan menghukum mereka yang berbeza pandangan dengan hukuman sesat dan lebih buruk lagi mengkafirkan Muslim yang lain.

Walau pun masalah ini juga berpunca dari psikologi seseorang, tapi soal kefahaman agama yang betul dan wasatiyah dalam soal takfir dan bid`ah tidak dapat ditolak tepi. Oleh itu, diharapkan artikel ini dapat membantu pembaca untuk memberi kefahaman yang baik sehingga dapat pula mempengaruhi tingkah laku diri terhadap orang lain yang mempunyai perbezaan pandangan dalam isu-isu agama tertentu.

Artikel ketiga disumbangkan oleh Ustaz Azfar Anwar, graduan terbaik dari kalangan pelajar-pelajar Singapura yang lulus dari universiti-universiti Mesir tahun 2014.

Beliau membicarakan pengamatannya mengenai kecenderungan kembali sebahagian asatizah untuk menimbulkan polemik silam dalam Ilmu Kalamseperti pengertian ayat-ayat mutasyabihat yang tidak menatijahkan penambahan ilmu baru pada isu yang dibicarakan. Sebaliknya, mengakibatkan kebingungan di kalangan orang awam dan keretakan hubungan silaturahmi dalam barisan asatizah. Hal ini, di sisi beliau, tidak bersesuain dengan konsep wasatiyah dan pastinya relevan dengan tema Wasat juga. Kritikan ini adalah langkah yang berani kerana ia mungkin mengundang kontroversi. Tapi pihak penyunting berpendapat pendapat ini wajar diberi ruang kerana mencapai wasatiyah bukan dengan mengelak kontroversi atau mencapai keseragaman dalam kefahaman tapi melalui perbincangan yang sihat yang mana Wasat bersedia untuk menjadi wadah berkenaan.

Jika ada yang tidak bersetuju dengan pendapat Ustaz Azfar Anwar, bolehlah menyumbang respon untuk pertimbangan Wasat edisi akan datang.

Wassalam

————————

Artikel bagi edisi ini (untuk versi penuh dalam format pdf, klik di sini. Untuk membaca setiap artikel bersendirian, sila klik tajuk setiap artikel di bawah)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


The reCAPTCHA verification period has expired. Please reload the page.

related articles