Untuk versi penuh dalam format pdf, sila klik di sini. Untuk membaca setiap artikel bersendirian, sila klik tajuk setiap artikel di bawah.
Dari meja penyunting….
Alhamdulillah, bertemu sekali lagi dengan para pembaca di edisi terbaru, Wasat (no. 22/Ogos 2018).
Wasat edisi kali ini bertemu pembaca bersempena bulan umat Islam sibuk bersiap untuk melakukan ibadah haji.
Kepada mereka yang akan menunaikan haji tahun ini, diucapkan selamat beribadah. Moga Allah taala mengurniakan kesihatan dan kemudahan melakukan ibadah haji hingga diterima sebagai amal soleh di sisiNya. Semoga juga Allah taala mengurniakan keampunan ke atas segala dosa dan dikabulkan segala doa.
Kepada para pembaca yang berada di Singapura pula, didoakan agar berkelapangan untuk menunaikan ibadah korban dan, “Selamat Menyambut `Id Al-Adha”.
Wasat, pada kali ini, mengemukakan tiga artikel pilihan.
Artikel pertama bertajuk Wasati Dalam Memahami Kaedah Hermeneutika Dalam Tafsir, oleh Ustaz Mohammad Yusri Yubhi Md Yusoff. Artikel ini membuat perbandingan antara kaedah tafsir tradisional dan hermeneutika. Penulis membicarakan persamaan dan perbezaan antara kededuanya. Beliau juga menyimpulkan bahawa persamaan yang ada bermakna kaedah hermeneutika boleh digunapakai bagi mentafsir ayat-ayat Al-Quran, tertakluk pada syarat-syarat tertentu. Wujudnya perbezaan dasar juga bermakna penggunaan kaedah hermeneutika haruslan dilakukan secara berhati-hati dan tertakluk pada syarat-syarat tertentu. Jika tidak, ia boleh membawa pada kesalahan serius dalam mentafsir Al-Quran. Bacalah artikel ini bagi memahami erti hermeneutika, perbezaan dan persamaannya dengan kaedah tafsir tradisional dan syarat-syarat yang perlu dipenuhi bagi penggunaan hermeneutika bagi tafsir Al-Quran.
Artikel kedua Berdakwah Dengan Ilmu: Moga Tidak Terlepas Pandang, oleh Mohd Hafiz Bin Kusairi. Artikel ini membicara akan kepentingan ilmu bagi aktivis dakwah dan bahaya melakukan kerja dakwah atas dasar semangat semata-mata. Penulis mengemukakan empat cara memiliki ilmu bagi melakukan dakwah. Penulis juga mengemukakan dua jenis ilmu alat bagi dakwah. Baca artikel ini mengetahui apakah empat cara dan dua jenis ilmu alat ini.
Artikel ketiga bertajuk, Lessons on Organisational Excellence for Da’wah Organisation from Prophet Sulaiman a.s, oleh Ustaz Muhammad Haniff Hassan. Artikel ini memaparkan 10 ciri organisasi cemerlang yang perlu ada bagi organisasi Islam yang berusaha untuk mencapai visi masyarakat Muslim yang cemerlang. Sepuluh ciri ini dicerna dari kisah Nabi Sulaiman a.s. dan Ratu Balqis yang disebut dalam surah Al-Naml, ayat 15-44. Walau pun artikel ini membicarakan ciri-ciri ini dalam konteks organisasi cemerlang, namun ia juga sesuai untuk diterapkan pada peringkat individu. Untuk mengetahui apakah 10 ciri organisasi/Muslim cemerlang, jangan terlepas untuk membaca artikel ini dengan teliti.
Akhir sekali… Bacalah dengan nama Tuhanmu yang mencipta.