Untuk versi penuh dalam format pdf, sila klik di sini. Untuk membaca setiap artikel bersendirian, sila klik tajuk setiap artikel di bawah.
Dari meja penyunting….
Alhamdulillah, bertemu sekali lagi dengan para pembaca di edisi terbaru, Wasat (no. 23/September 2018).
Kita baru sahaja memasuki tahun baru hijrah 1440. Maka dengan itu diucapkan kepada sekelian para pembaca, “Salam tahun baru hijrah. Moga dikurniakan keberkatan dan kejayaan di tahun yang baru menjelang”.
Wasat, pada kali ini, mengemukakan tiga artikel pilihan.
Artikel pertama bertajuk Pandangan Wasatiy Mengenai Fiqh Iftiradhi (Fiqah Jangkaan/Kemungkinan), oleh Ustaz Mustazah Bahari. Artikel ini memperkenalkan kepada para pembaca satu bentuk fiqah dan membicarakan pendapat ulama yang memboleh dan menolaknya. Berdasarkan pendapat-pendapat yang ada, penulis mencadangkan sikap yang sederhana terhadap bentuk fiqah ini. Sekali gus, penulis mengetengahkan idea akan kepentingan berfikir tentang kemungkinan-kemungkinan masa depan (futuristik) jika jelas maslahat dan keperluannya dan ia adalah bentuk penghayatan Islam yang sederhana.
Artikel kedua Islam Sederhana Arab Saudi: Sumbangan Yang Terbatas?, oleh Ustaz Syed Huzaifah Alkaff. Artikel ini membicara akan usaha pembaharuan kerajaan Saudi Arabia untuk mewar-warkan Islam Sederhana di negara berkenaan bagi membaiki imej Islam konservatif yang sinonim dengannya. Penulis membicarakan latarbelakang dari usaha ini dan cabaran-cabarannya. Penulis berpendapat usaha ini hanya bakal mempunyai kadar kejayaan yang terbatas disebabkan kekangan struktur politik dalaman yang telah berakar umbi dan realiti geo-politik yang ada.
Artikel ketiga bertajuk, Apabila Gagal Memahami Agama Dengan Pengertian Yang Luas, oleh Mohd Hafiz Kusairi. Artikel ini mengulas sikap sesetengah Muslim yang mengamalkan ibadah-ibadah hanya pada tahap ritual fisikal dan kebaikan diri sahaja, sedangkan sudut nilai dan kaitan ibadah itu untuk kebaikan yang menjangkau diri sendiri terabai. Penulis melihat ini mempunyai kaitan dengan cara pembelajaran dan pengajaran agama yang sedia ada yang juga menatijahkan tiga akibat lain. Untuk mengatasinya pula, penulis mencadangkan tiga perkara. Bagi mengetahui tiga akibat lain dan tiga cadangan yang dibuat, bacalah artikel ini untuk dijadikan bahan renungan.
Akhir sekali… Bacalah dengan nama Tuhanmu yang mencipta.