Untuk versi penuh dalam format pdf, sila klik di sini. Untuk membaca setiap artikel bersendirian, sila klik tajuk setiap artikel di bawah.
Dari meja penyunting….
Alhamdulillah, Wasat dapat terus diterbitkan bagi edisi terbaru no. 24/Disember 2018.
Semoga penerbitan ini terus memberi manfaat kepada para pembaca sekalian.
Bulan Disember adalah bulan terkahir bagi tahun 2018. Maka pada kesempatan ini, sidang penyunting ingin mengambil kesempatan melalui Wasat untuk mengucapkan kepada sekalian pembaca,
Kepada para pembaca yang bakal bercuti, semoga dikurniakan keselamatan dan kerehatan dalam percutian.
Wasat mengemukakan tiga artikel menarik untuk pembaca.
Artikel pertama bertajuk, Penafsiran Moden Terhadap Hukum Aurat Wanita: Satu Analisa, sumbangan Ustaz Mohammad Rizhan Bin Leman. Artikel ini mengemukakan dua tafsiran baru mengenai hukum memakai tudung bagi Muslimah dan kritikan terhadapnya berdasarkan metodologi pengambilan hukum tradisional. Keinginan untuk berfikiran kritikal dan mengemukakan hujah dan kritikan secara tenang dan bermetodologi adalah sifat wasatiyah yang terpuji yang menjadikan artikel ini relevan bagi Wasat.
Artikel kedua bertajuk Blind Pursuit in Islamic Banking and Finance: Al-Wasat(Middle Path) Between Socially Responsible and Maximisation of Wealth, sumbangan Ustaz Mohd Jakfar Embek. Sebagaimana artikel pertama, artikel ini juga mengajak pembaca melihat secara kritikal tapi membina terhadap perkembangan industri perbankan dan kewangan Islam. Tanpa bertujuan untuk menidakkan kepentingan dan sumbangan industri ini bagi umat Islam, penulis mengemukakan keprihatinan bahawa ia berpotensi untuk jatuh dalam kesilapan industri perbankan dan kewangan konvensional sekiranya para pemain industri hanya mementingkan keuntungan dan kepentingan pemegang saham sahaja, dan tidak mempedulikan nasib golongan kelas bawahan dengan melakarkan dan melaksanakan pelan Tanggungjawab Sosial Korporat. Hal ini adalah penting kerana terdapat petanda bahawa memaksimakan keuntungan menjadi keutamaan menjangkiti industri ini dan menjejas prinsip keadilan yang sepatutnya menjadi teras industri ini.
Artikel ketiga bertajuk Commenting on the Problem with “Salafism”, sumbangan Umm Maryaam. Artikel ini mengulas secara kritikal sebuah artikel terbitan akhbar Today yang membicarakan aliran Salafi sebagai satu aliran yang bermasalah kerana sifat asasinya yang boleh menjejas keharmonian masyarakat, bahkan ancaman pada keselamatan negara. Penulis berpendapat pola pemikiran yang dikemukakan bersifat generalisasi dan tidak mengambilkira pelbagai kajian berkaitan aliran Salfi masa kini menyatakan bahawa ia bukan satu kelompok yang seragam (homogeneous). Sebaliknya aliran Salafi mengandungi pelbagai aliran yang walau pun mempunyai persamaan, tetapi juga berbeza sesama mereka. Sebahagian dari perbezaan ini menatijahkan ketegangan sesama mereka juga. Oleh itu, menyatakan secara umum bahawa aliran Salafi adalah bermasalah dan mana-mana individu yang beramal dengannya perlu diwaspadai, tidak membantu tujuan mewujudkan keharmonian masyarakat.