Dari Meja Penyunting - Edisi 25 | Pergas Blog

wasat

meja-penyunting

Dari Meja Penyunting – Edisi 25

01 February 2019 3:00 am // Written by

Untuk versi penuh dalam format pdf, sila klik di sini. Untuk membaca setiap artikel bersendirian, sila klik tajuk setiap artikel di bawah.

Dari meja penyunting…

Alhamdulillah, Wasat dapat terus diterbitkan bagi edisi pertama untuk tahun baru 2019, iaitu edisi ke 25.

Bersamaan dengan ini juga, Wasat telah menjangkau usia empat tahun.

Bersama kita ucapkan kesyukuran kepada Allah taala yang mengizinkan usaha kecil ini berterusan sehingg kini. Moga-moga ia berterusan juga hingga ke tahun-tahun akan datang dan diterima sebagai amal soleh di sisiNya, Amin.

Wasat menyajikan kepada para pembaca tiga artikel.

Artikel pertama bertajuk, Menuju Wasatiyah Dalam Tanggapan Terhadap Ulama Sultan, oleh Ustaz Mustazah Bahari. Artikel ini membicarakan sikap wasatiy yang perlu ada apabila menanggapi golongan agamawan yang bekerja di bawah para penguasa atau yang akrab dengan mereka. Penulis mengakui wujudnya amaran terhadap agamawan yang menjual agama bagi mendapatkan imbuhan besar dari para penguasa. Namun penulis berhujah amaran ini tidak seharusnya membina sikap prejudis di kalangan orang ramai terhadap semua agamawan yang dilihat rapat atau bekerja dengan para penguasa kerana dianggap sudah pasti akan menggadai prinsip agamanya untuk kepentingan peribadi kerana hakikatnya ramai ulama besar yang dihormati dan dirujuki sehingga kini mempunyai hubungan dengan penguasa. Bahkan, nabi Yusuf s.a.w itu sendiri bekerja di bawah penguasa bukan Muslim. Tambahan pula, para penguasa memang perlu kepada nasihat para agamawan dalam mengurus maslahat umum dan jika semua agamawan, menjauhi para penguasa, pastinya akan mewujudkan vakum yang boleh menatijahkan mudarat lebih besar. Bacalah artikel ini bagi mendapatkan huraian lebih lanjut.

Artikel kedua bertajuk Islam dan Hubungan Dengan Bukan Muslim (Kristian): Satu Perspektif Ke Arah Keharmonian Hidup Bersama,oleh Ustaz Muhammad Abdul Mateen Hisham. Artikel ini berhujah bahawa sikap yang wasatiymengenai hubungan Muslim dan bukan Muslim (Kristian dalam konteks artikel ini) ialah aman dan harmoni dalam kehidupan bersama dalam sebuah masyarakat atau negara, selama mana tiada bukti permusuhan dari pihak yang lain. Penulis artikel ini berhujah tanggapan bahawa semua Kristian (bukan Muslim yang lain juga), pada asalnya, adalah golongan yang anti-Islam dan memusuhi Muslim, yang memerlukan Muslim sentiasa berwaspada akan tipu daya mereka adalah prejudis yang dilarang kerana Al-Quran dan sejarah Nabi s.a.w menunjukkan bukti sebaliknya. Bukti-bukti ini boleh dibaca dalam artikel.

Artikel ketiga pula bertajuk A Balance Approach to the Issue of “Merry Christmas” Greeting By Muslims, oleh Ustaz Muhammad Haniff Hassan and Ustaz Mustazah Bahari. Artikel ini berkaitan dengan kontroversi ucapan “Merry Christmas” oleh Muslim yang sering kali berlaku ketika menjelang perayaan Krismas di bulan Disember yang lalu. Pada asasnya, artikel ini berhujah soal semasa boleh mengucapkan ucapan sedemikian atau tidak adalah soal khilafiyah yang mana pihak-pihak yang berbeza pendapat perlu saling hormat menghormati. Yang berpendapat harus melakukannya tidak harus menuduh yang tidak mahu melakukannya sebagai golongan pelampau/radikal atau elemen tidak sihat bagi keharmonian sosial di Singapura dan yang berpendapat tidak harus pula tidak wajar menuduh yang lain sebagai sesat atau telah menggadai prinsip. Baca artikel ini bagi mendapatkan rujukan mengenai 154 ulama merata dunia dan dari pelbagai aliran bersama-sama mengucapkan tahniah kepada Kristian di seluruh dunia atas kehadiran Krismas sebagai tanda amali akan keharusan melakukannya.

Pada kesempatan ini, Wasat mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina bagi para pembaca dan asatizah yang menyambut kedatangannya.

Moga dikurniakan tahun yang diberkati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


The reCAPTCHA verification period has expired. Please reload the page.

related articles