Untuk versi penuh dalam format pdf, sila klik di sini. Untuk membaca setiap artikel bersendirian, sila klik tajuk setiap artikel di bawah.
Selamat bertemu kembali di Wasat, no. 29/Oktober 2019.
Diucapkan juga kepada sekalian pembaca, “Selamat Tahun Baru Hijrah 1441”. Moga tahun baru hijrah ini membawa lebih keberkatan dan kesejahteraan.
Kepada para pembaca yang selamat pulang dari menunaikan ibadah haji pula didoakan agar dikurniakan haji yang mabrur, Amin.
Wasat kali ini menyampaikan tiga artikel buat tatapan para pembaca dengan harapan ia akan terus dapat menambah ilmu dan mendorong minda untuk berfikir dan merenung kehidupan agama, diri, keluarga dan masyarakat.
Artikel pertama bertajuk Melibatkan Golongan Bukan Muslim Dalam Amalan Wakaf Demi Pembangunan Negara, Menurut Perspektif Syariah, oleh Ustaz Dr. Muhammad Adib Termizi bin Ahmad Al-Jafari. Ia membicarakan persoalan hukum golongan bukan Muslim melakukan wakaf bagi umat Islam. Ia adalah satu idea yang tidak diketahui ramai, walau pun ulama silam telah pun membincangkannya di dalam kitab-kitab mereka. Perbincangan ini diharap agar dapat menambah ilmu para pembaca. Di samping itu penulis berharap ia dapat mencetus perubahan dalam undang-undang bagi meluaskan skop wakaf kepada bukan Muslim supaya bermanfaat kepada masyarakat Muslim dan amalan wakaf dapat digandakan.
Artikel kedua pula Islam dan Fahaman Pluralisme: Ke Arah Sikap Yang Lebih Seimbang Dalam Islam, oleh Ustaz Mohd Jakfar bin Hj. Embek. Artikel ini berhujah bahawa fahaman pluralisme tidak semestinya menyalahi Islam, jika dimaknakan dengan erti sikap akur dan keinginan untuk hidup secara aman dengan kepelbagaian dalam agama. Bagi menyokong sikap ini, penulis menunjukkan kewujudan perbezaan pendapat di kalangan cendekiawan Muslim tentang erti pluralisme dan penggunaan oleh mereka yang tidak semestinya menjurus pada perakuan bahawa semua agama adalah sama dan setara.
Akhir sekali ialah artikel yang bertajuk Penggunaan Akal Dalam Memahami Teks Agama: Satu Perspektif Wasati, oleh Ustaz Muhammad Syafiee Bin Hassan. Artikel ini cuba membahaskan sikap yang seimbang dalam menggunakan akal bagi memahami, mentafsir dan mengamalkan nas dari Al-Quran dan Sunnah. Dengan menggunakan contoh hadis mengenai lalat yang jatuh ke dalam minuman dan dapatan sains bahawa lalat adalah binatang yang membawa kuman yang boleh membahayakan kesihatan manusia, penulis menunjukkan aplikasi bagi fahaman yang dikemukakan dalam artikel ini.
Selamat membaca.. Bacalah dengan nama Tuhanmu.