Dari Meja Penyunting - Edisi 31 | Wasat No. 31 / Februari 2020

wasat

meja-penyunting

Dari Meja Penyunting – Edisi 31

01 February 2020 12:00 am // Written by

Untuk versi penuh dalam format pdf, sila klik di sini. Untuk membaca setiap artikel bersendirian, sila klik tajuk setiap artikel di bawah.

Alhamdulillah, Wasat edisi no. 31 / Februari 2020, dengan izin Allah taala, bertemu sekali lagi dengan para pembaca dengan tiga artikel yang diharap dapat memberi manfaat.

Artikel pertama kali ini bertajuk, Kesederhanaan Mengimbangi Masa Dalam Kehidupan, oleh Ustaz Muhammad Husin Bin Masnin. Artikel ini membicarakan tentang kehidupan yang bersifat wasatiyah melalui pengurusan masa yang baik dan kefahaman yang betul pada keutamaan (awlawiyat) dalam kehidupan dari sudut pandangan Islam. Pembaca diberitahu bahawa mengurus masa adalah anjuran Islam dan bukan hanya satu pengetahuan dan kemahiran dalam bidang pengurusan semata-mata.

Artikel kedua bertajuk Masa, Amanah Dan Dunia: Renungan Tentang Usia Di Tahun Baru, oleh Mohammad Hafiz Bin Kusairi, juga membicarakan tentang kepentingan masa dari sudut berbeza. Artikel ini menegur sesetengah Muslim yang mengabaikan masa hingga menyebabkan pengabaian pula pada amanah dan janji sesama manusia dan dalam urusan dunia semata-mata kerana ingin melaksanakan tuntutan ibadah kepada Tuhan. Sebagai contoh ialah mereka yang datang lambat ke sekolah dan kerja di pagi hari kerana menghadiri acara-acara agama di malam hari atau sengaja ambil cuti sakit kerana untuk menghadiri acara-acara itu hingga menjejas hak dan kewajipan kepada orang lain. Hal ini bukanlah cara hidup wasatiyah dan ia   perlu diubah atau tinggalkan.

Artikel ketiga bertajuk Falsafah Tauhid Di Alam Melayu, oleh Ustaz Mohd Jakfar Embek. Artikel ini membicarakan kewujudan tiga aliran dalam membincangkan persoalan kewujudan Allah taala dan hubungannya dengan kewujudan alam ini di alam Melayu. Tiga aliran itu ialah; 1) aliran Wahdatul Wujud yang banyak dipegang oleh golongan ahli falsafah dan tasawuf-falsafah, 2) Ithnaniatul Wujud yang juga dikenali sebagai aliran Al-Asya`irah dan Al-Maturidiyah, dan 3) aliran Salaf. Dengan erti kata lain, pemikiran falsafah tauhid di alam Melayu secara umumnya juga dapat dibahagi kepada tiga – iktikad Wahdatul Wujud, iktikad Ahli Kalam dan iktikad Salaf. Artikel ini juga menyingkap bagaimana kedatangan aliran Wahdatul Wujud ke alam Melayu, tokoh-tokohnya dan kitab-kitab mereka. Fokus diberikan pada konsep Wahdatul Wujud kerana ia adalah satu fahaman yang banyak terdapat dalam pelbagai ajaran yang menyeleweng. Maka memahaminya dengan baik, boleh membantu menjaga diri dari terjatuh dalam fahaman-fahaman yang tertolak di sisi agama dan untuk mencapai wasatiyah dalam hidup.

Selamat membaca. Bacalah dengan nama Tuhanmu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

related articles