Untuk versi penuh dalam format pdf, sila klik di sini. Untuk membaca setiap artikel bersendirian, sila klik tajuk setiap artikel di bawah.
Alhamdulillah, Wasat edisi no. 32 / April 2020, dengan izin Allah taala, bertemu sekali lagi dengan para pembaca dengan tiga artikel yang diharap dapat memberi manfaat.
Artikel pertama bertajuk Mimpi dan Aplikasinya Sebagai Sumber Hukum, oleh Ustaz Dr Muhammad Adib Termizi bin Ahmad Al-Jafari. Artikel ini membahaskan pandangan para ulama dalam menjadikan mimpi sebagai sumber hukum atau sandaran dalam menjawab persoalan bersangkutan dengan syariat. Ia mengemukakan empat pendapat ulama. Penulis menguatkan pendapat jumhur ulama yang menolak mimpi sebagai sumber hukum kecuali jika ia bertepatan dengan dalil syarak yang sedia ada.
Artikel kedua adalah sumbangan Ustaz Mustazah Bahari, dengan tajuk Hukum Bukan Muslim Memasuki Tanah Haram. Perbahasan artikel ini berkisar pada polisi baru kerajaan Arab Saudi untuk mengeluarkan visa pelancong bagi menggalakkan pelancongan ke negara itu. Akibat dari perkembangan ini ialah senario kehadiran pelancong bukan Muslim di Tanah Haram Mekah dan Madinah yang mungkin akan menimbulkan rasa tidak senang di kalangan Muslim kerana sebelum kehadiran bukan Muslim di sana tidak berlaku kerana larangan yang dikenakan. Sikap kurang senang yang diikuti pula dengan tingkah laku yang tidak elok mungkin boleh berlaku di kalangan para jemaah dari Singapura seperti cemuhan dan perlakuan kasar apabila berhadapan dengan perkembangan baru ini. Sebagai langkah pro-aktif, penulis membentangkan kepelbagaian pendapat para ulama dulu dan masa kini mengenai kemasukan bukan Muslim ke Tanah Haram di Mekah dan Madinah dengan harapan ilmu yang dikongsi ini dapat membimbing ke arah fahaman dan sikap yang sederhana.
Artikel ketiga ialah Towards Fair Reward for Asatizah, oleh Ustaz Muhammad Haniff Hassan. Artikel ini berhujah bagi imbuhan yang lebih adil dan saksama bagi asatizah atas kerja dan khidmat yang mereka berikan dalam bentuk mengajar ilmu-ilmu agama atau usaha-usaha dakwah baik kepada individu atau institusi. Hal ini berkaitan dengan tanggapan yang masih wujud di kalangan sejumlah anggota masyarakat bahawa asatizah hendaklah menunaikan tanggungjawab agama mereka dengan penuh ikhlas, tanpa mengharapkan imbuhan kebendaan dan menyerahkan soal imbuhan dan rezeki mereka kepada Allah taala selaku Yang Maha Memberi Rezeki, hingga wujud pula tanggapan dan sikap yang negatif terhadap asatizah yang meletakkan harga bagi khidmat dan kerja yanag mereka lakukan. Di peringkat institusi pula, masih terdapat amalan para majikan yang tidak memberi imbuhan yang saksama kepada asatizah bagi pekerjaan yang dilakukan mereka seperti gaji yang rendah dan manfaat kerja yang tidak setara dengan industri pekerjaan biasa. Walau pun terdapat banyak sebab bagi masalah ini, artikel ini berpendapat salah satu puncanya berakar pada pendapat hukum dari masa silam yang mengharamkan pengambilan upah bagi mengajar ilmu agama dan melakukan syiar-syiar agama yang penting seperti tugas menjadi imam di masjid. Artikel ini mengemukan hujah-hujah agama bagi pendapat yang membenarkan dan mengemukan perpespetif kontekstual bagi kededua pendapat yang mengharam dan membenarkan imbuhan yang lebih baik bagi asatizah hari ini.
Selamat membaca. Bacalah dengan nama Tuhanmu.