Dari Meja Penyunting - Edisi 34 | Wasat No. 34 / Ogos 2020

wasat

meja-penyunting

Dari Meja Penyunting – Edisi 34

01 August 2020 12:00 am // Written by Pergas

Untuk versi penuh dalam format pdf, sila klik di sini. Untuk membaca setiap artikel bersendirian, sila klik tajuk setiap artikel di bawah.

Selamat Hari Raya Haji kepada sekalian pembaca. Semoga Allah taala menerima ibadah korban yang dilaksanakan, mengurniakan ganjaran terbaik serta menjadikan kehidupan sepanjang tahun penuh rahmat dan keberkatan.

Bersyukur juga kepada Allah taala kerana mengizinkan Wasat untuk terus diterbitkan. Semoga ia terus memberi manfaat kepada para pembaca sekalian.

Wasat edisi no. 34 / Ogos 2020 kali ini menerbitkan empat artikel untuk bacaan pembaca sekalian.

Artikel pertama bertajuk Menyewakan Dinding Yang Telah Diwakafkan Untuk Masjid Bagi Pengiklanan Komersial, sumbangan Ustaz Dr. Muhammad Adib Termizi bin Ahmad Al-Jaafari. Artikel ini menarik kerana isu yang dibincangkan dan pendekatannya yang bersifat wasatiyah. Ia membicarakan mengenai hukum iklan komersial jika diletakkan di pelbagai tempat di bangunan masjid; a) ruang solat/iktikaf, b) dinding luar, c) papan notis, d) iklan aktiviti masjid sebagai penaja. Sifat wasatiyah artikel ini ialah ia mengelak dari melakukan generalisasi hukum (i.e memberi halal atau haram secara umum) dalam isu yang dibincangkan. Ia membahagikan masjid pada beberapa ruang yang berbeza dan memberi iklan komersial di setiap ruang dengan hukum yang sesuai. Ia mengakui realiti hari ini yang mana jawatankuasa pengurusan masjid perlu berusaha untuk menjana pendapatan bagi memastikan masjid dapat berfungsi dengan baik dan tidak bergantung pada derma masyarakat semata-mata. Dalam merumus hukum, penulis berusaha tidak mengabaikan turath (khazanah ilmu) yang sedia ada.

Artikel kedua ialah sumbangan Ustaz Mustazah Bahari yang bertajuk Mengekang Berita Palsu Dari Sudut Ilmu Al-Jarh Wa Al-Ta`dil. Dalam artikel ini, penulis berusaha menceduk pelajaran dari ilmu yang dibangunkan oleh para ulama apabila menilai seseorang perawi hadis bagi memastikan kesahihan berita yang dilaporkan. Penulis berpendapat sifat `adalah (integriti/wibawa) dan dhabt (kejituan) boleh digunapakai sebagai kriteria bagi menilai samada sesuatu maklumat yang disebar di Internet sebagai benar atau palsu.

Artikel keempat pula bertajuk Berakhlak Mulia Walau Diuji, oleh Ustaz Muhammad Syafiee Bin Mohamed Hassan. Artikel ini membicarakan kepentingan Muslim untuk kekal mengamalkan akhlak mulia walau pun dalam keadaan sulit seperti berhadapan dengan ujian wabak Covid-19 sekarang ini, satu sifat yang sejajar dengan wasatiyah dalam Islam.

Akhir sekali, Ustaz Muhammad Haniff Hassan, menyumbang artikel keempat dalam bahasa Inggeris bertajuk Muslims Serving in a Police Dog Unit. Penulis, dalam artikel ini, menjelaskan hukum bagi Muslim bertugas sebagai pengendali anjing di dalam pasukan-pasukan keselamatan seperti polis dan tentera, iaitu harus. Namun penulis menegaskan bukan tujuan utama artikel ini menggalakkan penyertaan Muslim dalam bidang ini kerana ia sesuatu yang diakui sebagai taboo dan sensitiviti masyarakat yang sedia ada perlu diambilkira dan dihormati. Apa yang mendorong artikel ini ditulis ialah untuk menjelaskan kekeliruan yang wujud dalam masyarakat bahawa Muslim yang bertugas di unit anjing polis telah melakukan sesuatu yang haram dan tercela. Hal ini pula mengakibatkan celaan dan hinaan dari ahli keluarga dan masyarakat yang tidak sepatutnya berlaku. Atas sebab itu, masyarakat perlu dididik dengan hukum yang betul agar jauh dari sikap pelampauan yang boleh menyebabkan salah faham pula terhadap Islam di kalangan bukan Muslim.

Selamat membaca. Bacalah dengan nama Tuhanmu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

related articles