Untuk versi penuh dalam format pdf, sila klik di sini. Untuk membaca setiap artikel bersendirian, sila klik tajuk setiap artikel di bawah.
Sekali lagi kami bersyukur kepada Allah taala kerana masih dapat menghasilkan Wasat edisi no. 4 dan dizinkanNya untuk melalui Ramadan yang penuh keberkatan.
Belum terlambat bagi pihak penyunting Wasat untuk mengucapkan kepada sekalian pembaca – Salam `Id Al-Fitr. Semoga Allah taala menerima segala amal ibadah kita sepanjang bulan Ramadan yang lalu, mengkabulkan doa yang diminta, menjadikan kehidupan kita sebagai Muslim lebih baik setelah Ramadan dan dipertemukan lagi dengan Ramadan yang akan datang.
Alhamdulillah, edisi kali ini masih dapat mengemukakan empat artikel bagi bahan bacaan dan renungan para pembaca.
Artikel pertama bertajuk Menegakkan Keadilan Dalam Penilaian sumbangan Ustaz Mohammad Rizhan bin Leman.
Artikel ini membicarakan tentang sikap yang sederhana dan adil dalam melakukan penilaian.
Ia amat berguna apabila melakukan penilaian terhadap sesuatu pendapat, karya, peribadi atau organisasi supaya tidak jatuh dalam pelampauan atau menimbulkan natijah buruk seperti perbalahan dan keretakan silaturahmi dari penilaian itu.
Enam perkara dicadangkan oleh artikel ini. Namun yang lebih penting ialah intinya. Oleh itu, jumlah enam ini bukanlah sesuatu yang dianggap muktamad. Pastinya ada lagi perkara-perkara lain yang dapat ditambah. Oleh itu juga, jadikanlah artikel ini hanya sebagai sumber berfikir akan apa lagi yang patut dilakukan bagi mencapai keadilan dan menjunjung wasatiyah dalam penilaian.
Artikel kedua pula bertajuk Wasatiyah Dalam Penyebaran Fakta Sejarah: Prinsip Al-Zahabi dalam Siyar A`lam Al-Nubala’ oleh Ustaz Mustazah Bahari.
Artikel ini mempunyai kesamaan dengan artikel pertama dalam membicarakan wasatiyah dalam membuat penilaian. Artikel ini hanya berbeza dengan yang pertama dari segi fokus, iaitu ia membicarakan soal penilaian terhadap fakta-fakta sejarah yang melibatkan individu-individu dan tokoh-tokoh dalam sejarah.
Dengan mengambil contoh dari karya imam Al-Zahabi yang menulis pelbagai biografi hidup tokoh-tokoh silam, artikel ini mengemukakan lima contoh penilaian yang dapat dijadikan pengajaran apabila membuat kritikan atau analisa terhadap mana-mana pihak.
Artikel ketiga bertajuk Al-Ghazali and His Ecumenical Mission: A Reflection for Contemporary Singaporean Muslim Community hasil sumbangan dari Ustaz Irwan Hadi bin Mohd Shuhaimy.
Ustaz Irwan berusaha mengajak pembaca menghayati pemikiran Imam Al-Ghazali dalam menilai perbezaan pendapat dan menghukumkan sesuatu itu dalam lingkungan iman atau kekufuran.
Walau pun Imam Al-Ghazali seorang tokoh agama yang amat dihormati dan dikenali oleh ramai penuntut agama di sini, namun karya beliau yang diulas oleh Ustaz Irwan bukanlah satu karya yang popular dan dibaca oleh ramai.
Oleh itu, ulasan Ustaz Irwan akan karya ini amat berguna kerana diharapkan ia akan mendorong pembaca untuk membaca karya penting ini yang ditulis di akhir kehidupan beliau.
Karya ini boleh dicari di internet untuk dimuat turun supaya dapat dibaca. Ustaz Irwan berpendapat membaca pemikiran Imam Al-Ghazali dalam karyanya ini amat relevan memandangkan telah muncul kembali di dalam masyarakat perdebatan lama berkaitan ayat-ayat mutasyabihat dan sifat-sifat Allah yang boleh menjurus kepada tuduhan sesat dan kafir sesetengah pihak-pihak yang terlibat.
Membaca karya ini dapat menyedarkan pembaca betapa Imam Al-Ghazali yang begitu kuat membela kesucian ajaran Islam melalui karya besarnya Ihya `Ulum Al-Din, tetapi amat berhati-hati untuk menjatuhkan tuduhan kufr dan sesat. Sebaliknya, beliau berpegang pada pendekatan yang inklusif tetang siapa itu Muslim dan siapa pula yang layak mencapai kejayaan (salvation) di hari Kiamat kelak.
Artikel keempat bertajuk A Balanced Viewpoint Towards Misfortune and Disaster sumbangan Ustaz Muhammad Haniff Hassan.
Artikel ini juga membicarakan soal penilaian tetapi lebih terfokus pada penilaian terhadap bencana dan musibah yang menimpa.
Seringkali apabila berlaku bencana dan musibah, ramai pihak yang mengaitkannya dengan bala dan hukuman Tuhan ke atas manusia disebabkan dosa-dosa yang dilakukan.
Artikel ini mengajak pembaca agar meninggalkan pola pemikiran seperti itu dan mengemukakan hujah bagi pendekatan yang lebih saksama dalam memahami musibah dan bencana sesuai dengan nas dari Al-Quran dan hadis.
Wassalam